Wednesday, May 20, 2009

Usul Menjunjung Kasih 2009 – DSAI (siri 5 dari 5 siri)

(Ucapan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di parlimen pada 19 Feb 2009)

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Permatang Pauh. Apakah dalam kes bekas Yang Berhormat Bukit Selambau, Arumugam ini, Ahli Parlimen Permatang Pauh sedar bahawa di sana ada satu lagi laporan polis yang dibuat oleh beliau iaitu berkenaan dengan kes cubaan menculik beliau dan suspek ditahan oleh pihak polis. Yang Berhormat Arumugam dipanggil untuk kawad cam. Yang Berhormat Arumugam waktu itu mengesahkan itulah personaliti yang cuba menculik. Bukan tindakan yang diambil tetapi suspek itu dilepaskan sehinggalah Yang Berhormat Arumugam ini melepaskan jawatan. Apa kalimah hendak kita simpulkan. Kalaulah tiga laporan terdahulu yang disebut oleh Permatang Pauh...

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Kerajaan mafia, kerajaan mafia.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: ...Tidak dapat dikesan siapa yang baling batu, siapa yang ugut pembantunya tetapi dalam kes cubaan culik ini beliau buat laporan polis dan polis tangkap suspek, kawad cam dibuat, beliau sahkan, bukan itu didakwa tetapi suspek dilepaskan. Majulah negara kita, Negaraku yang tercinta.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih Yang Berhormat Machang akan tetapi saya akui...

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Yang Berhormat Permatang Pauh, boleh sedikit lagi...

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Akan tetapi saya masih akui negara kita masih lebih baik daripada Zimbabwe. Tahap jenayah ini masih terkawal berbanding dengan Zimbabwe. Akan tetapi, kalau keadaan begini berterusan tidak boleh kita pertahankan. Saya memang diberi maklum oleh Yang Berhormat Arumugam tentang kes ini. Dalam tiga kes laporan itu, sekali kawat cam disahkan lepas, dakwaan itu lepas dan terus mengugut beliau. Kemudian Menteri Besar Ustaz Azizan membantu dengan menyediakan seorang pegawai keselamatan. Dibayar oleh beliau, bantu kerana dia kata dia nampak Arumugam takut.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Boleh mohon penjelasan sedikit?

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Jadi, Yang Berhormat Arumugam dibantu oleh Menteri Besar dengan pegawai keselamatan. Bayar, anak isteri diganggu lagi. Saya tidak lihat ahli-ahli kalau di kalangan wakil-wakil rakyat kita yang Melayu yang ditekan begitu rupa walaupun kadang-kadang cuba sogokkan seperti yang berlaku dalam dua Exco yang saya sebutkan tadi. Akan tetapi, kalau di kalangan Cina terutamanya India tekanan kepada mereka itu luar biasa. Sebab itu saya hendak tekankan di sini dan negara kita ini mesti ada rules of law, jangan law of the jungle. Jangan anggap sebahagian daripada rakyat kita itu kelasa bawahan yang boleh di permain-mainkan. Ini yang saya hendak ulang di sini kerana hendak harap buat kenyataan di luar tidak akan disiarkan. Hendak harap Ketua Polis Negara ambil tindakan, saya tidak yakin beliau akan buat begitu. Namun, saya mintalah rakan-rakan Ahli Parlimen termasuk dari Barisan Nasional untuk buat pendirian. Boleh beza pendapat dengan saya dalam banyak perkara tetapi jangan izinkan jenayah berterusan. Kalau sudah pertikai sebelum ini, saya kemukakan bukti. Kalau sudah pertikai laporan polis, saya kemukakan bukti kerjasama BPR. Ini sebahagian, ada lagi ADUN Pulau Pinang saya tidak sebut, saya simpan setengah. Akan tetapi, saya bawa beberapa kes hendak tengok ada tidak perubahan selepas ini. Yang Berhormat Batu Pahat.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Pasir Salak.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Ringkas sahaja. Terima kasih. Mana satu Tuan Yang di-Pertua.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Batu Pahat.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Ya. Ringkas sahaja Yang Berhormat Permatang Pauh iaitu saya membaca statement pembantu kepada ADUN Bukit Selambau ini yang sudah meletak jawatan yang mengatakan bahawa dialah yang taja, bayar duit deposit dan sebagainya. Dia mengatakan bahawa Adun Selambau ini sebenarnya meletak jawatan kerana dia tidak berpuas hati dengan Kerajaan Negeri Kedah sekarang ini. Itu statement dia. Jadi, sebab itu saya kata apabila banyak sangat cerita-cerita begini, mana satu yang kita hendak pakai?

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Jadi, itulah saya kata bahawa ini membuktikan orang boleh buat sebanyak laporan, orang boleh kata apa-apa sahaja.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Yang Berhormat Batu Pahat.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Sebab itulah...

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: ...hendak menuduh apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Permatang Pauh itu betul, maka itu saya kata saya ragu-ragu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ya.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Satu lagi perkara yang ingin saya katakan di sini ialah ...

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya pun bukan di sini, bukan di sini Yang Berhormat.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Jangan maksudnya apabila mengatakan bahawa kita memandang rendah kepada orang India. Ini satu tuduhan yang melampau bagi saya. Siapa yang kata bahawa orang India di Malaysia ini diberikan satu layanan kelas rendah? Saya rasa tidak adil dengan tuduhan sedemikian.

Dato' Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Culik orang itu lah melampau.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Tanya orang India lah, jangan tanya awak.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih, terima kasih Yang Berhormat Batu Pahat. Sudah boleh ambil orang-orang yang diupah oleh UMNO untuk jawab buat kenyataan. Saya keluarkan ini laporan polis. Bukan orang upah di bawah. Saya keluarkan bukti peluru yang dihantar kepada Exco. Saya keluarkan kenyataan CCTV oleh BPR. Soal hendak pertikai itu, terserah pada saudara. Kalau ini gambarannya, ini memalukan kita. Kalau sudah berbicara soal rules of law sudah boleh berbeza pendapat. Saya berharap kalau boleh saya hendak teruskan. Yang Berhormat Gombak lah akhir saya bagi.

Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh dan Tuan Yang di-Pertua. Saya hendak minta pandangan Yang Berhormat Permatang Pauh kerana kebimbangan rakyat hari ini melihat perangai, watak dan budaya UMNO ini sudah meresap dalam institusi kerajaan. Kalau perangai denial sindrom yang ditunjukkan oleh Yang Berhormat Batu Pahat, saya faham kerana itu sahaja tahap yang boleh dipersembahkan dalam Dewan Rakyat. Namun, saya bimbang sekarang ini Yang Berhormat Permatang Pauh perangai ini, watak ini telah menyerap. Polis mempertikaikan laporan polis kita, mahkamah boleh mempertikaikan surat akuan bersumpah kita. SPR boleh mempertikaikan surat peletakan jawatan beberapa ADUN di negeri Perak. Malahan, peringkat awal saya dimaklumkan kematian di Bukit Gantang juga hampir-hampir dipertikaikan oleh SPR. Dia tidak tahu mati atau tidak, betul atau tidak. [Ketawa] Hendak jadi apa ini? Institusi kerajaan hari ini tidak boleh bertindak secara bebas dan bertanggungjawab. Apatah lagi Peguam Negara, apatah lagi Ketua Polis Negara kerana mereka belajar pada watak-watak seperti Yang Berhormat Batu Pahat ini. Jadi, saya minta pandangan Yang Berhormat Permatang Pauh tentang perkara ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih, terima kasih. Saya tidak bermaksud untuk hendak yakinkan Yang Berhormat Batu Pahat. Jangan bimbanglah, mudah-mudahan dia jadi Menteri. Akan tetapi, saya hendak sebut di sini kalau dia rujuk hanya kepada kenyataan-kenyataan, banyak media UMNO akan bawa cerita, interview memang tidak betul tetapi saya kata laporan ini ancaman kalau tidak di bunuh seperti mana dibunuh George Fernandes. Dia beritahu siapa yang telefon, rekod, siasatlah. Kemudian, laporan kedua orang ambil, ugut-ugut tidak boleh juga. Dia kata tidak, ini hendak kena bawa ke Istana, Tuanku Sultan Kedah hendak jumpa kerana hendak bagi Datuk, hendak bincang. Jadi, dia tertanya-tanya itu, naik kereta dia telefon Menteri Besar. Menteri Besar kata bukan cara yang macam itu. Orang ini ugut dan disebut nama siapa, nama yang pergi itu, siasatlah. Laporan ketiga sampai orang itu lari. Adalah simpati sedikit. Betullah dia itu India tetapi kita ini simpati lah sedikit nasib orang ini. Siasat sahaja, saya tidak suruh tangkap orang lagi, saya suruh siasat. Cuma kes seperti kes yang Lim Swee Nie dan BPR itu sampai dia ada CCTV, nasiblah. Baik.

Oleh yang demikian, saya pohonlah Tuan Yang di-Pertua kerana pencabulan hak dan jenayah ini jangan dibenarkan berterusan terutama kalau keputusan itu diserahkan kepada Ketua Polis Negara dan Peguam Negara yang memang terlibat. Dalam kes mereka berdua ini, saya tahu Suruhanjaya Anti Rasuah telah kemukakan laporan untuk mendakwa Ketua Polis Negara dan Peguam Negara dalam kes menipu, merekayasa, muslihat mereka yang kotor dan jijik semasa saya dipukul dahulu. Saya diminta buat laporan, buat laporan. Sekarang siasatan dibuat tetapi tertahan di situ. Oleh sebab itulah Ketua Polis Negara dan Peguam Negara mati-matian. Ini masalah dia kalau nampak kita marah, dia takut. Saya kata ini tidak ada kena mengena soal agenda peribadi, ini soal hukum. Kalau dia bertindak profesional, kita kata sudah. Saya sudah maafkan semua tetapi jangan lakukan begini. Ada laporan, ada kepentingan politik maka ditahan. Saya hendak sentuh dalam soal isu Perlembagaan.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Minta laluan sedikit Yang Berhormat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ini kalau sekarang saya panjang, Tuan Yang di-Pertua tegur kata saya panjang pula dan berapa kali Yang Berhormat Batu Pahat sindir saya kata panjang sangat. Padahal dalam kes enam jam itu, usul ada, banyak hal-hal lain. Dalam enam jam itu, satu jam diambil oleh Yang Berhormat Batu Pahat.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ya, sila Yang Berhormat Pasir Salak.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Permatang Pauh. Saya mintalah kepada Yang Berhormat supaya janganlah kita membuat tuduhan-tuduhan kepada polis dan kerajaan [Ketawa] kerana mereka tidak ada di sini. Mereka tidak ada di sini untuk membela diri. Kalau ada aduan, ada bantahan, sila kemukakan kepada pihak yang berkenaan, kepada polis itu sendiri. Selain daripada itu, saya juga ingin tidak tahu saya hendak panggil nasihat atau pun peringatan kepada Yang Berhormat saudara Permatang Pauh bersyukurlah kepada Allah SWT kerana saya rasa Kerajaan Barisan Nasional pun berjasa. Kalau tidak, mungkin Yang Berhormat tidak duduk di situ hari ini. Mungkin tidak duduk di situ. Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pihak-pihak peguam pun kita baca. Kita baca dan kita terima dengan baik sebab kita tidak mahu mengeruhkan keadaan. Kita tidak mahu berlaku tidak adil dan menghina atau pun menindas kepada sesama kita terutama kita dalam satu bangsa, satu agama. Sebab saya pun kalau saya hendak cerita, macam-macam saya boleh cerita. Saya boleh korek, macam-macam korek saya boleh buat. Akan tetapi saya tidak mahu kerana ini bukan kerja kita sebagai pemimpin, terutama pemimpin daripada orang Melayu yang beragama Islam. Saya mintalah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Pasir Salak.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Saya minta...

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya hendak minta Yang Berhormat bagi kat dia laporan polis. Dilampirkan gambar pistol, gambar peluru dan surat akuan. Tolong baca dan teliti, saya pun tidak larat hendak bercakap. Akan tetapi soalnya, Yang Berhormat Pasir Salak saya jelaskan. Polis berjasa banyak, polis yang berprofesional dan baik ramai. Bukan kenyataan melulu kita. Akan tetapi yang saya bangkitkan di sini, polis yang dihadapkan dalam kes jenayah dan rasuah di peringkat tertinggi pun ada. Siasat, kerana bagaimana kita hendak harapkan tahap profesionalisme polis, kalau pimpinannya itu terbabit dengan gengster, rasuah dan jenayah. Baik, ini suatu dakwaan.Buat siasatan dan ambil tindakan. Yang Berhormat Ipoh Timur bangkitkan dalam sesi yang lalu, sampai sekarang tidak ada tindakan. Jadi, kalau hendak kata kita buat kenyataan melulu kepada semua. bersyukur, betul bersyukur. [Membaca sepotong ayat al-Quran] Allah memerintahkan kita bersyukur. Kalau orang yang tidak bersyukur itu akan menerima azab yang pedih. Syukur inilah yang kita kena bercakap benar. Syukurlah kita ada berani courage of conviction. Syukurlah supaya kita tidak nampak bersekongkol dengan penjenayah dan perasuah kerana tanda syukur kita. [Tepuk]

Baik, saya hendak sambung dengan isu yang lain tentang Suruhanjaya Pilihan Raya secara ringkas sahaja kerana ini tentang keputusan SPR kerana apabila Tan Sri Aziz dilantik sebagai Pengerusi SPR, saya di antara orang dalam parti Pakatan Rakyat yang menyebut bahawa saya kenal beliau yang mempunyai prestasi yang baik sebagai pegawai kerajaan. Akan tetapi ternyata tekanan dalam sistem itu terlalu kuat bahkan, SPR pertikai keputusan Speaker Dewan Negeri Perak. Padahal kita tahu, sudah baca statute, peraturan dan undang-undang, kuasa Speaker dan kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya. Walaupun perkara ini sekarang sedang dihadapkan di mahkamah. Akan tetapi alasan SPR bahawa yang mempunyai kuasa di bawah seksyen 12(3) Akta Pilihan raya 1958 untuk menentukan keabsahan kekosongan kerusi tersebut tidak munasabah, tidak pernah berlaku sebelum ini. Akan tetapi, oleh kerana speaker itu Speaker Pakatan Rakyat, boleh dipertikai. Oleh yang demikian, saya mempersoalkan keputusan ini atas dua alasan.

Pertama, sebagai sebuah badan dibentuk menurut Perlembagaan, SPR sepatutnya bertindak mengikut peruntukan Perlembagaan perkara 113, fungsi SPR disebut dengan jelas. ‘...menjalankan pilihan raya, menyediakan daftar pemilik, menjalankan ulang kaji persempadanan’.

Yang kedua tugas sebenar SPR, menerima surat kekosongan kerusi hanyalah untuk menetapkan tarikh kekosongan. Ini dalam Seksyen 12(3) Akta Pilihan raya 1958 menyebut, ‘...berkenaan dengan sesuatu kekosongan yang akan dipenuhi dengan sesuatu pilihan raya kecil, writ hendaklah dikeluarkan tidak dahulu daripada 10 hari dan tidak lewat daripada 30 hari dari tarikh kekosongan itu disahkan berlakulah Suruhanjaya Pilihan Raya.’ Pendirian yang sama turut dinyatakan secara terbuka oleh bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid ketika diwawancara oleh media tempatan. Akan tetapi Tan Sri Aziz dan SPR memilih dan kali ini menganjak pilihan raya supaya jangan bercanggah dengan pilihan raya UMNO. Inilah rekod bagi dua bulan kerana hendak sedia supaya jangan ada gangguan tentang peralihan kuasa seandainya jadi.

Saya ingin menyentuh sekarang ini tentang isu jenayah. Kita sentuh tadi isu Kugan dan semalam kematian enam orang India di Kulim membimbangkan. Pada pandangan saya, kewibawaan pimpinan negara kita termasuk di kalangan orang Melayu terutamanya itu mantap. Apabila mereka dilihat sebagai adil kepada Melayu, bumiputera, Islam, adil kepada India dan Cina. Sebaik ada persepsi yang meluas, apabila ini tidak dapat dilaksanakan, seluruh apa yang disebut kompak sosial itu tercabar. Sebab itu saya ingin menyebut hal ini dan meminta supaya perkara ini tidak diambil dan dipandang remeh oleh kerajaan. Bilangan kes jenayah meningkat. Kadar jenayah meningkat 16.4% pada tahun 2008 berbanding 2007. 173,565 kes kepada 202,012 kes terutama Selangor, Johor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kes jenayah harta benda, kecurian motosikal, kereta, rompakan, tak termasuk penculikan yang dilapor dan tidak lapor, yang melibatkan kedudukan Timbalan Perdana Menteri.

Peningkatan kadar jenayah paling tinggi ialah jenayah perdagangan, 72% tahun 2008 berbanding 2007. Jenayah siber, pemalsuan kad kredit, wang palsu, cetak rompak, penipuan. Jenayah kekerasan, samun berkawan bersenjata api yang meningkat 202% dari 638 kepada 1,926 kes. Samun berkawan tanpa bersenjata api meningkat 134%. Kes rogol 2,452, meningkat 2,961, peningkatan 61%. Indeks kejadian jenayah setiap hari dianggarkan berlaku 8.11, kejadian rogol setiap hari pada tahun 2008 berbanding 6.72 kejadian setiap hari tahun 2007 dan berikutnya. Ketua Polis Negara yang menjadi teraju kepada pasukan harus mengambil tanggungjawab terhadap kelemahan dan penguatkuasaan. Ini sudah berulang kali dibangkitkan, tetapi tidak ada tindakan yang sewajarnya. Masalah jenayah harus ditangani kerana ia melibatkan juga iklim ekonomi yang harus lebih baik di negara kita. Orang-orang yang tidak dikaitkan dengan jenayah yang ditahan selepas itu dibebaskan termasuk yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri baik dituduh dikaitkan dengan Jemaah Islamiah yang sudah menjangkau enam tujuh tahun ataupun pemimpin-pemimpin HINDRAF yang terus ditahan tanpa bicara.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat, Padang Serai bangun Yang Berhormat.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh. Kadar indeks jenayah yang disebut Permatang Pauh tadi amat merunsingkan. Malam tadi enam orang pemuda India ditembak mati di Kulim dan mereka semua dikatakan keluar dari rumah dengan mengangkat tangan kerana diminta oleh polis untuk keluar. Akan tetapi apa yang berlaku adalah Ketua Siasatan Jenayah Bukit Aman meminta supaya kita yang memberi press statement mengenai pembunuhan-pembunuhan itu mahu soal siasat kita. Jadi saya risau kerana Yang Berhormat Permatang Pauh tadi telah membawa ke hadapan Parlimen ini jenayah-jenayah yang dilakukan oleh UMNO. Apabila ada pembunuhan oleh polis ini, mungkin kah polis ini melakukan jenayah-jenayah ini untuk menutup sangkut-paut mereka atau kemungkinan mereka juga terlibat dalam jenayah-jenayah. Pimpinan UMNO mendiamkan diri, tidak mahu menyoal mereka dan saya khuatir bahawa beberapa pegawai polis tertinggi juga terlibat secara meluas dalam jenayah jenayah gengsterism atau sebagainya kerana tidak mahu membawa mereka-mereka yang terlibat dalam jenayah ke muka pengadilan, kerana kalau pergi ke muka pengadilan dan dibawa ke mahkamah, akan terbongkar penglibatan mereka. Sebab itu mereka menggunakan jalan pintas dengan pergi menyerbu gengster-gengster dan tembak mati terus supaya maklumat-maklumat yang seharusnya keluar apabila di mahkamah. Mungkinkah ini di antara gejala yang sedang berlaku di negara ini dan didalangi oleh beberapa pimpinan polis yang jahat. Ini pandangan saya dan minta pandangan Yang Berhormat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Yang di-Pertua, saya tidak dapat buat andaian dalam kes terbaru kerana kita masih mengumpulkan maklumat. Cuma yang membimbangkan ialah cara mereka terus ditembak mati keenam-enamnya dan saya harap ada satu siasatan yang teliti oleh polis yang berkenaan dan tidak menutup atau cuba menghilangkan atau memadamkan fakta. Yang saya boleh kait ialah pengalaman kita dalam kes A. Kugan kerana kes itu telah diteliti dan dibahaskan, jadi kita mempunyai maklumat yang lebih terperinci yang tentunya membimbangkan orang ramai.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin beralih secara ringkas sahaja beberapa isu lain termasuk apa yang saya tekankan tentang mata pelajaran Sains dan Matematik tetapi yang telah disentuh oleh Ahli-ahli Yang Berhormat dan saya percaya akan disentuh oleh yang lain dan saya tidak bermaksud untuk mengulang. Saya hanya sentuh di peringkat akhir ini hanya soal ekonomi secara ringkas kerana saya sedar akan dibahaskan setelah 10 Mac nanti.

Dalam membahaskan isu belanjawan yang lalu kita bangun dan berhempas pulas menyatakan pembentangan pakej yang dikemukakan oleh Menteri Kewangan, pertama tidak mengikut peraturan, kedua terlalu kecil kerana 1% daripada KDNK, tetapi kita hanya ditempelak, diketepikan. Hari ini saya kebetulan pada tengah hari tadi berucap di Kuala Lumpur, Bankers Club Luncheon address dan saya sebut inilah negara di antara yang paling akhir yang menyebut soal pakej penyelamat dan stimulus berbanding dengan semua negara di dunia. Kerana apa? Kerana terlalu angkuh dan sombong dan sibuk dalam urusan lain.

Saudara, ekonomi kita dalam keadaan yang sangat gawat. Singapura mengambil langkah-langkah hampir tiap minggu untuk memangkinkan pertumbuhan ekonomi. Kita tahu apa yang dilakukan sebagai langkah pertama Presiden Barack Hussein Obama di Amerika Syarikat untuk mendapatkan kerjasama kedua-dua parti, by partisan untuk menyelamatkan ekonomi Amerika dan menjana pertumbuhan, tetapi di Malaysia enam bulan masih dalam penafian dan kini baru hendak buat dan tentunya Ahli-ahli Yang Berhormat dari UMNO, terutamanya dari MCA, GERAKAN, MIC itu nampak tidak berapa bermaya sekarang ini, jadi mereka bangun mengatakan, “Ha, inilah satu pakej baru yang kita hendak cadangkan. Saudara, kita cadangkan sejak bulan Oktober, bahas itu. Kita kata bawa pakej baru, bawa belanjawan baru, tambah stimulus, tidak boleh diangkat ekonomi dan selesaikan dalam keadaan sekarang.

Jadi tunggu mini budget, baru hendak bahas dan kita akan bahaskan. Cuma saya hendak sebut di sini baru pertama kali setelah enam bulan Menteri Kewangan menyatakan angka pertumbuhan 3% itu tidak mungkin tercapai. Paling lambat sekali di Malaysia ini. Tanya pakar ekonomi mana pun, tidak boleh capai tetapi inilah Menteri Kewangan paling lambat untuk menerima kenyataan ini. Kalau begini, bagaimana kita hendak kemudi bahtera ekonomi negara kita ini kalau menterinya gagal. Patut Menteri itu ke depan yang mendedahkan, memberikan maklumat, kemudian memberi rangsangan, menambah keyakinan, membantu syarikat kecil, sederhana dan menjana pertumbuhan ekonomi dan berikan stimulus package yang lebih bermakna tetapi ini tidak berlaku.

Kenyataan-kenyataan dalam isu pekerja, kita masih terikat dengan angka tahun 70-an. Penganggur maknanya orang yang tidak bekerja dan lapor kepada Jabatan Buruh atau Sumber Manusia. Ini angka tahun 70-an, tidak ada negara di dunia sudah pakai itu sekarang ini tetapi Malaysia masih. Bila saya tanya Menteri, dia kata, “Ya, ini sahaja yang dilapor.” Betullah, tetapi kalau kita hendak tahu, hendak jana pertumbuhan ekonomi negara dan masalah pengangguran yang lapor, tidak lapor, yang menganggur, unemployed, underemployed, itu masih direkodkan, tetapi kalau ini pun belum berlaku, saya harap susah. Yang berlaku apa dia? Propping up shares, ValueCap tidak melaporkan kepada EPF mana-mana saham yang akan dibeli walaupun KWSP memberi pinjaman RM5 bilion. Dia lapor terus kepada Menteri Kewangan dan Menteri Kewangan tentunya akan memilih beberapa syarikat termasuk bluechip dan saham-saham bermodal sederhana untuk tentunya menjana pertumbuhan, memberi keyakinan, terutama menjelang pemilihan di Perhimpunan Agong UMNO ataupun sebaik beliau mengambil alih, maka syer-syer itu meningkat.

Ini kesalahan dilakukan dahulu harus diperbaiki. Kerajaan perlu ingat juga bahawa RM5 bilion itu kepunyaan rakyat yang rata-rata pendapatan sederhana, pegawai kerajaan dan yang miskin dan tidak boleh digunakan untuk muslihat politik sempit. Khazanah Nasional Berhad mengalami kerugian tidak kurang daripada RM18 bilion pada tahun 2008. Tidak ada perbahasan sama sekali dalam negara. Saya tidak katakan semua ini sebab salah laku, penyelewengan, rasuah tetapi semua negara bila catat kerugian ini, dia ajak masyarakat untuk bahaskan. Benarkah sebab kemelesetan ekonomi dampak dari ekonomi antarabangsa ataupun permasalahan-permasalahan yang lain. Di negara kita semuanya ditutup.

Adakah Khazanah berupaya membayar bon-bon yang akan matang dalam masa terdekat? Ataupun memusing semula atau roll over bon-bon dan terpaksa membayar hasil atau yield, kadar hasil lebih tingi kerana risiko semakin meningkat dan ini Ahli Yang Berhormat Bandar Tun Razak lebih pakar daripada saya. Jadi saya serah kepada dia untuk sambung kemudian. Sebab itu kenyataan yg terbaru mendapat yang kita dengar bahawa Perdana Menteri menggesa supaya kelulusan yang lalu dilaksanakan segera. Itu menunjukkan kurang upaya kita melihat keadaan ekonomi sebagai sesuatu yang begitu mendesak sekali.

Jadi Yang Berhormat Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengambil kesempatan ini selain daripada menjunjung kasih ke atas titah Tuanku, Yang di-Pertuan Agong juga menyebut beberapa perkara terutama dalam isu Perlembagaan, pengurusan kerajaan dan governance ini, diambil berat betul-betul. Apa yang saya dedahkan dalam soal penculikan, ugutan dan rasuah, terutama yang melibatkan wakil-wakil rakyat. Itu perkara yang serius dan kali pertama kita dedahkan dengan bukti dan faktanya dedahkan dalam soal penculikan, ugutan dan rasuah, terutama yang melibatkan wakil-wakil rakyat. Itu perkara yang serius dan kali pertama kita dedahkan dengan bukti dan faktanya sekali. Saya harap walaupun kita berbeza pendapat dalam banyak hal, soal memperkukuh keyakinan rakyat kepada institusi penting itu harus dimulakan dari sekarang. Terima kasih...Tamat

No comments: