Oleh Ahmad Zaini Kamaruzzaman
"KAMI datang ke Bukit Gantang untuk meraikan kemenangan," kata seorang penyokong Pas dari Pantai Timur pada hari penamaan calon Ahad lalu. Pandangan itu mungkin dilihat bongkak kerana terlalu yakin kemenangan akan memihak kepada calon mereka, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Apabila ditanya kenapa terlalu yakin, beliau berkata ‘tsunami’ politik yang melanda negara pada Pilihan Raya Umum Mac 2008 terbukti berterusan di Permatang Pauh, kemudian ke Kuala Terengganu dan kini akan berulang di Bukit Gantang. Mengapa pula ia akan berulang di Bukit Gantang? Mampukah calon Barisan Nasional (BN), Ismail Saffian menahan gelombang tsunami yang didakwa penyokong Pakatan Rakyat akan turut mengubah senario politik di Perak selepas BN berjaya mengambil alih kuasa pada awal Februari lalu.
Jawapannya terletak kepada 55,562 pengundi yang akan memangkah kertas undi Selasa depan. Sebanyak 62 peratus pengundi Melayu, 27 peratus Cina, sembilan peratus India dan bakinya kaum lain akan membuat keputusan. Tidak seperti di Bukit Selambau yang calon Bebas turut memainkan peranan penting dalam penentuan siapa yang bakal menang, Kamarul Ramizu Idris yang bertanding atas tiket Bebas langsung tidak relevan di Bukit Gantang. Pertarungan sebenar adalah antara Nizar dan Ismail. Persoalannya, isu mana yang mampu menarik hati pengundi dan apa pendirian pengundi Melayu, Cina dan India? Jika pada pilihan raya umum lalu, hanya 1,566 undi memisahkan Pas dengan BN, bagaimana pula aliran pengundian kali ini?
Selepas tiga hari berkempen, BN dan Pas dilihat mendendangkan isu berbeza. Isu nasional dan krisis perlembagaan negeri Perak menjadi modal utama Pas, manakala BN lebih banyak mengutarakan isu pembangunan dan kelebihan calon tempatan untuk meraih sokongan pengundi, selain terus memainkan isu Mohammad Nizar sebagai boneka DAP ketika menjadi Menteri Besar dan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pokok.
Memang seperti dijangka, isu rasuah politik dan keputusan pemilihan pucuk kepemimpinan Umno antara topik utama dalam ceramah Pakatan Rakyat. Kewibawaan Presiden Umno yang baru, Datuk Seri Najib Razak sebagai bakal Perdana Menteri menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga dipertikaikan serta pembubaran DUN Perak dijaja untuk meraih simpati. Bagi Pas isu itu mungkin mudah 'dibeli' oleh pengundi berbanding isu lain. Malam kelmarin, ayam tambatan Pas, Mohamad Sabu ketika berceramah di Simpang cuba mengapi-apikan isu Najib dan rasuah politik.
Speaker DUN Perak, V Sivakumar pula terus mempertikaikan kesahihan kerajaan BN Perak dan isu menghalang sidang DUN sehingga memaksanya mengadakan mesyuarat di bawah pokok. Begitu juga Mohammad Nizar yang merayu pengundi supaya memilihnya sebagai Ahli Parlimen untuk memberi mesej kepada BN bahawa pengambilan alih kuasa baru-baru ini tidak mendapat restu rakyat. Selain itu, Pakatan Rakyat mengambil kesempatan menjelaskan beberapa isu seperti pemberian hak milik tanah di kampung baru oleh kerajaan Perak yang dipertikaikan BN sebelum ini.
Tiada langsung isu pembangunan atau perancangan memajukan rakyat diutarakan, sebaliknya mereka memainkan sentimen simpati terhadap Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar yang didakwa 'digulingkan' secara tidak sah. Malah, walaupun Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin bertegas tiga pilihan raya kecil itu bukan pungutan suara terhadap Najib sebagai Perdana Menteri, BN mahu tidak mahu perlu menerima hakikat Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Air adalah ujian kepada Najib dan Umno. BN perlu lulus ketiga-tiga ujian itu untuk membuktikan perubahan dijanjikan Umno dan Najib diterima pengundi.
Tugas BN menjelang 7 April ialah untuk menjawab persoalan itu yang dibangkitkan Pakatan Rakyat. Isu pembangunan, rekod perkhidmatan dan calon anak tempatan saja tidak memadai untuk menarik pengundi. Namun, usaha menyampaikan mesej untuk menjawab dan memberi penjelasan juga perlu ada. Ceramah dan kempen dari rumah ke rumah serta menerusi media massa arus perdana saja tidak memadai kerana terlalu banyak sumber maklumat yang boleh diperoleh rakyat dalam membuat keputusan.
Pengarah Pusat Penyelidikan Pas Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad, yang yakin Pas menang di Bukit Gantang, berkata kedua-dua pihak mahu mendominasi pentas kempen dengan menampilkan isu yang mampu menggamit sokongan dan minat rakyat dengan menonjolkan isu dominan. Katanya, semua isu dibangkitkan Pakatan Rakyat adalah rangkuman kepada usaha memperkasakan politik baru untuk penilaian rakyat dengan menggunakan isu Najib, salah guna kuasa, rasuah politik dan perlembagaan negeri Perak.
“Kita sampaikan semua maklumat berkenaan dan menerangkan kepada rakyat bagaimana politik baru akan memberi kebahagiaan dan menjamin kebajikan mereka,” katanya sambil menambah, Pakatan Rakyat menggunakan semua medium untuk menyampaikan maklumat sama ada menerusi ceramah atau media alternatif seperti internet.
Persoalannya, apakah cara bagi BN untuk mematahkan kempen pembangkang? Apakah hujah yang mahu disampaikan? Adakah hujah mereka boleh diterima oleh pengundi? Jika mahu menang, Muhyiddin perlu ada senjata untuk menangkis serangan peluru pembangkang. Ceramah dan membawa calon menemui pengundi dari rumah ke rumah serta dari kedai ke kedai saja bukan perisai atau senjata sebenar mempertahankan diri atau menyerang balik lawan. BN perlu mempunyai senjata lain yang lebih ampuh.
Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, ketika ditanya bagaimana BN boleh menangkis serangan itu berkata, Umno sudah memulakan inisiatif menghapuskan politik wang termasuk mengenakan tindakan terhadap mereka terbabit. “Kita telah memulakan pembaharuan dan Najib juga telah menjanjikan perubahan. Pembangkang sebaliknya tidak banyak melakukan perubahan. Moral mereka masih pada tahap lama termasuk pelbagai tuduhan tanpa fakta. Kini terpulang kepada rakyat untuk membuat keputusan,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubu Gajah, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar pula mencadangkan Najib mengumumkan segera rombakan barisan Kabinet yang berwibawa seperti janjinya untuk membawa perubahan. Baginya keputusan pemilihan kepemimpinan Umno dan janji menghapuskan rasuah politik baru-baru ini tidak memadai untuk meraih sokongan. Katanya, kedudukan di Bukit Gantang kini pada tahap 50-50 dan ini peluang terbaik untuk BN merampas kembali kerusi berkenaan daripada Pas seterusnya membuktikan rakyat merestui kerajaan BN yang baru di Perak.
“Rakyat harapkan perubahan dalam Umno. Peralihan kuasa akan berlaku tidak lama lagi. Peluang kita makin cerah selepas peralihan kuasa, tetapi jika Najib umumkan barisan Kabinet baru sebelum hari mengundi 7 April, keyakinan rakyat yang terhakis sebelum ini dapat dikembalikan kepada kita. Ini adalah ujian pertama kepada BN dan janji Umno membawa perubahan. Jangan hanya sekadar retorik,” katanya.
Pas yakin mendapat tempat di hati pengundi, tetapi seperti diakui oleh Dr Dzulkifli ada tujuh hari lagi untuk kedua-dua parti berkempen bagi meraih undi. Macam-macam boleh berlaku. Yang menentukan kemenangan ialah siapa yang mampu mendapat tempat di hati pengundi. Bagi BN, walaupun ia tidak dianggap sebagai pungutan suara terhadap kepemimpinan Najib, Bukit Gantang penting untuk 'mengesahkan' kerajaan negeri pimpinan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, manakala Pas mahu membuktikan pembubaran DUN adalah langkah terbaik untuk menyelesaikan kemelut politik Perak.
Penulis ialah Pengarang Berita, Berita Harian
No comments:
Post a Comment