Oleh Ridzuan Yop
PERUBAHAN kepemimpinan negara dengan selesainya peralihan kuasa antara Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak semalam, bukan saja menaikkan semangat rakyat bahkan dijangka memberi impak positif kepada pengundi di Bukit Gantang.
Meskipun tidak menyatakan secara terus-terang impak peralihan kuasa itu, awal-awal lagi Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Mustafa Ali, mengakui Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan pengundi Melayu lebih tinggi dalam pilihan raya kecil di Parlimen Bukit Gantang setakat ini.
Namun, kenyataan itu tidak harus melalaikan petugas BN kerana apa saja boleh berlaku. Hakikatnya, kempen oleh kedua-dua pihak sudah bermula sebaik selesai proses penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Taiping, Ahad lalu dengan kehadiran ribuan penyokong BN dan Pakatan Rakyat.
Hari mengundi bakal diadakan Selasa ini, ketika suasana politik Perak masih tidak menentu berikutan kemelut peralihan kuasa penuh kontroversi berlaku awal Februari lalu. Tumpuan orang ramai ketika ini sudah pasti ingin mengetahui perkembangan politik semasa di Perak, terutama berkaitan pilihan raya kecil itu.
Kebanyakan mereka bertanyakan berapa peratus jentera BN atau Pakatan Rakyat menguasai kempen pilihan raya yang sedang hangat berjalan ketika ini sebelum menjelang hari mengundi. Sukar untuk ditentukan peratusan itu sama ada 60-40 atau 70-30 mahupun 50-50. Sehingga kini, kedua-dua pihak yakin mendapat sokongan pengundi.
Jika berdasarkan kepada telahan awal sudah pasti ia bersandarkan kepada jumlah orang yang menghadiri sesuatu ceramah, jika ramai yang datang maka kemungkinan calon parti berkenaan untuk menang adalah cerah.
Jika benar kemenangan dapat diukur berdasarkan kepada jumlah mereka yang datang mendengar ceramah sudah pasti Pas mempunyai kelebihan itu, berbanding majlis ceramah BN pada pilihan raya kecil ini.
Apapun adakah mereka yang hadir mendengar ceramah itu pengundi yang akan menterjemahkannya dalam bentuk undi seperti berlaku di dua pilihan raya kecil iaitu Parlimen Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.
Pada dua pilihan raya kecil itu, kehadiran penyokong diterjemahkan kepada undi yang akhirnya dimenangi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas. Adakah keadaan sama akan berlaku di Bukit Gantang. Apapun, jika kebanyakan yang datang adalah penyokong luar, ia mungkin tidak akan memberi sebarang makna kepada calon.
Pengundi senyap atau 'atas pagar' barangkali sudah membuat keputusan dan mereka tidak perlu menghadiri ceramah untuk menentukan wakil rakyat mereka. Selepas bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin diumumkan sebagai calon Pas, pengundi Cina dikatakan beralih menyokong beliau.
Sokongan kepada Mohammad Nizar oleh pengundi Cina dikatakan kerana simpati terhadap bekas Menteri Besar itu, yang disokong oleh pemimpin DAP negeri selepas bergabung dengan Pas dan PKR membentuk kerajaan negeri hasil keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12, Mac tahun lalu.
DAP yang menjadi rakan baik kepada Mohammad Nizar sudah pasti akan membantu mendapatkan sokongan pengundi Cina.
Namun, apakah benar pengundi Cina akan memberi undi mereka kepada Mohammad Nizar sebagai tanda simpati berikutan kemelut politik yang berlaku di Perak?
"Kita percaya sedikit sebanyak memang ada sokongan kepada Mohammad Nizar dengan pemilihan beliau sebagai calon Pas di kalangan pengundi Cina, tetapi ia bukan isu sebenar kerana pengundi mengundi seseorang calon berdasarkan isu setempat," kata Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe.
Beliau berkata, pengundi tidak boleh mengundi kerana simpati kerana jika mereka susah selepas memilih calon yang tidak mampu berkhidmat, siapa pula yang akan bersimpati kepada mereka.
Tan yang juga bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang selama sepenggal (2004-2008) berkata, daripada tinjauan yang dilakukannya, pengundi Cina tidak terpengaruh dengan isu nasional atau peralihan kuasa yang berlaku di Perak.
"Isu pengundi Cina adalah isu setempat, yang lebih penting kepada mereka wakil rakyat yang dipilih dapat membantu mengatasi masalah setempat yang mereka hadapi. Saya yakin, mereka akan mengundi calon BN (Ismail Saffian) jika mereka yakin Ismail dapat menyelesaikan masalah yang mereka hadapi," katanya.
Seramai 55,562 pengundi di Bukit Gantang dengan pecahan pengundi Melayu 62 peratus, Cina (27 peratus) dan India (10 peratus) dan lain-lain satu peratus.
Di Parlimen Bukit Gantang, ada tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Trong, Changkat Jering dan Kuala Sepetang. Daripada pecahan itu, di Trong ada kira-kira 1,500 pengundi Cina, Kuala Sepetang (6,000 pengundi) dan Changkat Jering (6,000 pengundi), manakala pengundi India di Bukit Gantang kira-kira 5,600 orang dengan Trong (1,071 pengundi), Kuala Sepetang (1,642 pengundi) dan Changkat Jering (2,609 pengundi).
Selain undi Melayu, undi Cina dan India juga bakal menentukan kemenangan calon.
Seorang pemerhati politik berpendapat undi Melayu mungkin kembali kepada BN berikutan krisis Perlembagaan Perak dan isu `mohon derhaka' oleh Mohammad Nizar, manakala kaum Cina yang mendapat banyak manfaat daripada kerajaan negeri Pakatan Rakyat, termasuk kelulusan tanah pegangan kekal selama 999 tahun untuk penduduk kampung baru Cina, mungkin memberi sokongan kepada Mohammad Nizar.
"Wakil rakyat yang pengundi mahukan adalah wakil rakyat yang mesra rakyat dan yang dapat menyelesaikan masalah dihadapi penduduk," kata Abdul Manan Abdul Rahman, 42 seorang usahawan berasal dari Matang, Kuala Sepetang.
"Pengundi mahu seorang wakil rakyat sedia bertegur-sapa dengan mereka di mana saja seperti di kedai kopi, di tepi jalan... mereka (pengundi) bukan mahukan projek tetapi mahukan seorang wakil rakyat yang dapat berkhidmat," katanya.
Sehubungan itu, katanya, parti yang dapat meletakkan calon anak tempatan akan memberi kelebihan kerana beliau mampu berkhidmat dan sering pulang ke kawasan.
Katanya, beliau gembira BN meletakkan anak tempatan sebagai calon pilihan raya kali ini selepas 23 tahun Bukit Gantang diwakili oleh orang luar.
Kedua-dua jentera BN dan Pas kini terus berkempen untuk mendapat sokongan pengundi. Namun, kedua-duanya tidak boleh alpa dan memandang ringan pengaruh calon bebas, Kamarul Ramizu Idris, 42, seorang usahawan kerana kehadirannya boleh mempengaruhi undi mereka.
Penulis ialah Ketua Biro Berita Harian, Perak
No comments:
Post a Comment