Wednesday, May 20, 2009

Saingan sengit di Bukit Gantang


Aura Dr Mahathir turun kempen, peratusan keluar undi sandaran BN rampas kerusi

SEHINGGA semalam, Barisan Nasional (BN) dan Pas masing-masing yakin calon mereka, Ismail Saffian dan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan menang dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, di Perak hari ini. BN mendakwa sudah mendapat semula sokongan sebahagian besar pengundi Melayu yang memihak kepada Pas pada pilihan raya 2008. Pas yang beberapa hari lalu mendakwa sedang mendahului sokongan pengundi Melayu, kelmarin mengisytiharkan pula sokongan pengundi Melayu merosot.

Sokongan pengundi Melayu dikatakan sukar dipastikan dan sering berubah menjadikan pilihan raya kecil ini amat menarik dengan kedua-dua pihak tidak boleh duduk senang tanpa bekerja keras menarik pengundi.

Tiga hari lalu, sumber BN menyatakan parti itu berada di belakang Pas dengan perbezaan 2,000 undi dan hanya mahu mengurangkan majoriti kemenangan Pas daripada 1,566 undi kepada kurang 1,000 undi saja. BN juga dikatakan tidak mendapat tempat di hati pengundi bukan Melayu khususnya pengundi Cina. Pengundi Cina di DUN Kuala Sepetang yang dimenangi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan 564 undi majoriti pada pilihan raya lalu dikatakan masih memihak kepada Pakatan Rakyat.

BN yakin mampu mendapat sokongan di DUN Trong yang dimenanginya dengan 916 undi majoriti sebelum ini, tetapi menghadapi kesukaran menembusi pengundi Melayu di DUN Changkat Jering selepas ramai marah kepada tindakan Adun mereka, Mohd Osman Jailu daripada PKR dan mengalih sokongan kepada BN sehingga menyebabkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak tumbang, pada awal Februari lalu.

Namun, kurang 24 jam sebelum hari mengundi, BN bertambah yakin dengan peluang merampas kerusi Parlimen Bukit Gantang. Daripada hanya mengharap untuk mengurangkan majoriti kemenangan Pas, petugas BN mula bercakap mengenai kemenangan dengan majoriti agak besar.

Daripada 55,562 jumlah pengundi, 35,105 adalah pengundi Melayu, tetapi hanya kira-kira 17,000 saja ahli Umno. Pada pilihan raya lalu, daripada 40,301 yang keluar mengundi, BN hanya mendapat 18,499 undi, berbanding Pas 20,015 undi dan Bebas 872 undi.

Jika trend keluar mengundi kekal sekitar 73 peratus seperti dulu, BN memerlukan anggaran 2,500 undi tambahan untuk menang kali ini kecuali jika ramai yang memberikan undi kepada calon Bebas, Kamarul Ramizu Idris.

Sepanjang berkempen, Pas kelihatan yakin mendapat sokongan pengundi Cina dan ia diakui BN yang mendakwa sukar mengubah sikap mereka. Berikutan itu, pengundi Melayu dikatakan menjadi faktor penentu untuk menang, tetapi sejak awal mereka dikatakan condong kepada Pakatan Rakyat, menyebabkan BN terpaksa menggandakan usaha menarik hati mereka untuk mengundi Ismail.

Ketika Pas menggunakan slogan mengembalikan demokrasi kepada rakyat dengan meminta pengundi memberikan mesej kepada BN supaya DUN Perak dibubarkan, BN pula menggunakan slogan 'Memohon Restu Rakyat' untuk kekal menerajui kerajaan negeri.

Perubahan yang dijanjikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Umno dan kerajaan juga dijadikan sandaran untuk menarik semula sokongan dengan penampilan poster dan kain pemidang kempen terbaru menggunakan slogan satu Malaysia yang berbunyi 'Satu Impian Satu Malaysia Pilih BN' dengan turut memaparkan gambarnya, Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan Ismail.

Kurang 24 jam sebelum hari pengundian, BN melemparkan 'bom' sebagai senjata ampuh untuk memerangi dakyah parti pembangkang yang agresif berkempen meraih undi di Bukit Gantang sejak sembilan hari lalu.

Kira-kira 5,000 orang mendengar ucapan 40 minit bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut disiarkan secara langsung menerusi TV1. Inti pati ucapan pertamanya atas pentas Umno sejak tsunami politik pada 2008 ialah meminta pengundi terutama rakyat menyokong kepemimpinan Najib sebagai Perdana Menteri.

Kehadiran Dr Mahathir pada hari terakhir bukan saja menyuntik semangat di kalangan petugas BN, malah penyokongnya yakin pengundi Melayu akan kembali menyokong Umno dan BN. Aura Dr Mahathir masih ada.

Perjalanannya dari kereta ke khemah kenamaan sejauh 100 meter mengambil masa 10 minit kerana diserbu dan dikerumuni penyokong BN yang mahu bersalaman dengannya sambil laungan 'Hidup Tun.' Begitu juga ketika berucap, hadirin tekun mendengar dan mengikuti butir kata-katanya. Mereka masih mahukannya. Bagi mereka, beliau pemimpin yang mampu membawa BN, khususnya Umno kembali di hati rakyat. Ketika merujuk kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hadirin berteriak 'balun Tun... balun' memintanya terus mendedahkan pekung Anwar.

Pada suatu ketika beliau berhenti sejenak ketika hadirin menjerit meminta beliau terus membicarakan kepemimpinan serong Anwar, namun sebagai pemimpin berwibawa dan seperti kelazimannya, tidak banyak beliau 'menyerang' Anwar walaupun diminta oleh hadirin supaya beliau meneruskannya. Hanya satu perkataan 'derhaka' keluar daripada mulutnya yang merujuk kepada Mohammad Nizar. Selain itu, beliau lebih banyak bercakap mengenai kepemimpinan Najib dan mengapa rakyat perlu memberikan sokongan kepada Perdana Menteri baru untuk memimpin negara.

Dr Mahathir juga lebih banyak mengimbau kembali sejarah dan kejayaan negara supaya rakyat sedar mengenai peranan BN memajukan dan membangunkan negara. Namun, kehadiran Dr Mahathir bukan jaminan penuh BN akan merampas kembali Bukit Gantang. Isu dan sentimen di Perak terlalu besar.

Isu kembali kepada rakyat untuk menentukan siapa yang sebenarnya menjadi pilihan sebagai kerajaan negeri menjadi topik utama Pakatan Rakyat dalam kempen selain usaha menjadikan Mohammad Nizar sebagai ikon untuk meraih undi.

Ketua Puteri Umno Sepang, Rina Mohd Harun yang berkempen sejak seminggu lalu tidak dapat memberikan jawapan sama ada kehadiran Dr Mahathir akan memberi kesan segera, tetapi berharap ucapannya akan mengubah hati pengundi, khususnya Melayu untuk kembali menyokong BN.

"Gerak kerja kita lakukan. Kehadiran Tun mungkin satu bonus kepada kita," katanya.

Bagi Pengarah Pusat Penyelidikan Pas Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad, kehadiran Dr Mahathir tidak memberikan gegaran di Bukit Gantang kerana tidak ramai yang datang ke majlis berkenaan kerana bekas Perdana Menteri itu tidak memberikan banyak kesan dalam politik negara. Beliau yakin majoriti pengundi masih berpihak kepada Pakatan Rakyat.

Namun, beliau mengakui setakat semalam, sokongan pengundi Melayu merosot daripada 47 peratus kepada 45 peratus, tetapi pengundi Cina meningkat daripada 65 peratus kepada 70 peratus. Pengundi India pula kekal pada 15 peratus yang sekali gus akan memberikan kemenangan kepada Pas. Ditanya mengenai majoriti yang bakal diperoleh, beliau berkata:

"Dalam lingkungan yang sama 1,500 undi atau meningkat sedikit berbanding sebelum ini."

Jika begitu tinggi keyakinan Pas untuk menang, maka BN memerlukan usaha pada saat akhir di pusat mengundi hari ini menerusi peraih undi untuk memastikan kemenangan. Semuanya terpulang kepada 55,562 pengundi.

Jika kehadiran Dr Mahathir dapat membantu, maka BN bukan saja mendapat restu di Perak, malah yang lebih penting ialah memberi suntikan semangat kepada Najib untuk membawa perubahan kepada negara dan rakyat. – (Berita Harian/7 April 2009)

No comments: