10.00 pagi
Hampir semua pusat pengundi di Bukit Gantang dalam keadaan panas dan sesekali menimbulkan ketegangan. Keadaan ini menyebabkan polis terpaksa bekerja keras memantau agar tidak sampai berlaku pergaduhan serius yang boleh mencemari proses pilihan raya. Kesemua pusat mengundi dipenuhi dengan perayu undi kedua-dua buah parti. Kumpulan sorak kedua-dua parti yang saling cabar mencabar mulut antara satu sama lain menyebabkan keadaan di pusat mengundi riuh randah.
Di Matang Gelugur dalam DUN Kuala Sepetang menjadi tegang apabila kumpulan penyokong UBN dan Pas saling cabar mencabar antara antara satu sama lain. Pergaduhan hampir meletus. Katanya bekas calon MB Kelantan, Awang Adek Hussein yang bertugas bagi Umno di sini cuba menunjukkan samseng dengan memasuki ke kawasan pengundian sedang beliau tidak mempunyai surat kuasa. Menyedari itu petugas Pas telah mempertikaikan tindakan Awang Adek Hussein dan melaporkan kepada polis. Polis telah menasihat Awang Adek Hussein keluar dari kawasan mengundi dengan disorak oleh penyokong Pas. Tindakan itu tidak disenang Awang Adek dan para penyokong UBN yang terus memakin hamun penyokong Pas.
Di Kepala Bukit, simpang Ibol antara tempat yang paling panas. Ratusan penyokong kedua parti awal-awal lagi tiba mengambil posisi masing-masing. Hampir kesemua penyokong kedua-dua pihak terdiri daripada anak-anak muda yang seakan sudah disiap untuk bertindak secara agresif. Walaupun keadaan gamat namun belum ada kejadian yang tidak diingini berlaku. Kedua penyokong masih dapat mengawal diri dan keadaan. Kawasan ini juga menjadi tumpuan media massa kerana sejak awal lagi simpang Kepala Bukit ini dikenali pasti kawasan panas dan hangat.
Waktu ini ( 9:00 pagi - 12:00 tengah hari) adalah waktu paling rancak para pengundi keluar untuk menuanikan kewajiban masing-masing. Sehingga kini situasi di bangsal panas memberi petunjuk sama rata. Baik Pas atau UBN tidak berani untuk membuat telahan siapa kalah dan siapa akan menang. Cuaca di Bukit Gantang baik. Manakala seluruh jalan dalam kawasan Bukit Gantang penuh sesak. Dianggar lebih 100,00 buah kenderaan memasuki Bukit Gantang.
2.15 petang
Sehingga jam 2:00 petang ini tiada tanda-tanda jelas parti mana yang akan menang di Bukit Gantang. Pemerhati politik bebas juga sukar untuk membuat ramalan. Manakala perisik kedua parti itu tidak begitu ghairah untuk mendakwa pihak mereka menang sebaliknya banyak meletakkan andaian ke atas beberapa perkara. Salah satu faktor yang dikatakan akan memberi petunjuk ialah mengenai peratus mengundi. Pihak Pakatan Rakyat bimbang kalau peratus mengundi rendah, apa lagi tidak mencecah angka 70% menyebabkan pilihan raya itu berpihak kepada UBN.
Hakikat ini diakui oleh seorang Professor Universiti Malaya yang berada sepenuh masa di Bukit Gantang bagi meninjau pilihan raya berkenaan. Menurutnya kalau peratus keluar mengundi rendah, kurang daripada 65% Pakatan Rakyat mungkin menghadapi masalah. Sebalik katanya kalau peratus keluar mengundi mencecah 70% harapan Pas lebih cerah berbanding dengan UBN.
Sementara menurut Professor yang menjawat jawatan Dekan itu, beberapa sumber memberi tahunya petugas UBN khasnya dari Pahang mengakui sukar untuk calon BN, Ismail Suffian memenangi pilihan raya berkenaan. Katanya kalaupun UBN menguasai 60 peratus undi Melayu ia belum tentu menang kerana Pakatan Rakyat dikatakan menguasai undi Cina lebih 70%. Manakala kedudukan undi India pula 50 - 50.
Dalam perkembangan lain dari risikan pihak SB (Polis) malam tadi meletakkan UBN berpeluang memenangi pilihan raya itu dengan kelebihan undi sebanyak 500 undi. Mungkin risikan itu benar sekiranya peratus mengundi rendah tidak mencapai 65% dan UBN menguasai undi Melayu lebih 55 peratus.
Sementara itu laporan seorang petugas Pas di Batu Hampar mengatakan ada fenomena pengundi yang berada di luar tidak pulang. Apa yang dikesaninya hampir 20 hingga 30 pengundi luar di peti undi yang dikawalnya masih belum mengundi. Dalam pilihan raya lalu Pas hanya menang 48 undi saja di peti undi berkenaan. Laporan ibu pejabat sebuah akhbar berbahasa Melayu di Kuala Lumpur pula menyebut Pakatan Rakyat akan memenangi kedua pilihan raya di Bukit Gantang dan Bukit Selambau.
7.00 malam
KIRA-KIRA dua jam lalu kesemua 36 pusat mengundi pilihan raya kecil P 59 Bukit Gantang telah pun ditutup. Para penyokong kedua parti yang bertanding telah mula beredar untuk meninggalkan Bukit Gantang menuju ke destinasi masing-masing. Dalam kepala masing-masing juga tertanya-tanya dan ternanti-nanti maklumat mengenai perkembangan hasil pilihan raya itu.
Seperti mana diumumkan peratus keluar mengundi meningkat sebanyak 3%. Peratus mengundi kali ini sebanyak 75.1% berbanding dengan peratus keluar mengundi pada pilihan raya umum lalu sebanyak 72.65%. Peratus ini menyebabkan kedua pihak merasakan tidak begitu selesa dan bolehlah dianggap pilihan raya ini dalam keadaan sama berat dan sama ringan.
Saya telah menerima result sepenuhnya di kesemua daerah mengundi dari seorang penjenguk budiman blog ini. Keputuan itu dicatat berdasarkan pengundian pukul 2:30 petang tadi di mana peratus mengundi ketika 49.32%. Sekiranya result ataupun keputusan itu tidak khilaf dan boleh diyakini pilihan raya Bukit Gantang seperti mana diramalkan berpihak kepada Pas. Pun begitu ia bergantung kepada aliran pengundian kira-kira 25.78% yang belum memangkah ketika itu.
Berdasarkan kepada keputusan itu juga menjelaskan bahawa pengundi Cina telah memihak kepada Pas. Boleh dikatakan semua daerah mengundi yang dimonopoli pengundi Cina dan pengundi Melayu di bawah 60% dimenangi oleh Pas. Bagaimana pun seperti juga diramalkan pengundi Melayu masih bersama UBN. Mana-mana daerah mengundi yang dominasi Melayu 75% ke atas ianya dimenangi oleh UBN. Yang tidak mencemaskan Pas kekalahan Pas di kawasan Melayu tidak begitu besar. Hanya beberapa buah daerah saja yang didominasi Melayu dimenangi oleh Pas.
Sementara itu ada beberapa keputusan awal telah diterima setakat ini; Kuala Sepatang Pas mengatasi UBN dengan majoriti lebih 1,500, di Sungai Rotan dan Kampung Cheh juga Pas menang tetapi dengan majoriti kurang 10 undi. Manakala dari 12,036 undi yang telah dikira Pas telah mendahului UBN sebanyak 2,624 undi. Jika trend ini berkekalan Bukit Gantang bakal dimiliki Pas dengan majoriti agak selesa.
9.20 malam
Sudah sah Menteri Besar Rakyat Perak, Mohamad Nizar Jamaluddin telah memenangi pilihan raya kecil P 59 Bukit Gantang menewaskan dua calon, BN, Ismail Suffian dan seorang calon bebas. Nizar mendapat 21,860 undi manakala Ismail Suffian mendapat 19,071 undi dan calon bebas mendapat 62 undi sekaligus calon bebas itu hilang wang pertaruhan. Majoriti diraih Nizar sebanyak 2,789 undi.
No comments:
Post a Comment