Wednesday, May 20, 2009

Usul Menjunjung Kasih 2009 – DSAI (siri 4 dari 5 siri)


(Ucapan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di parlimen pada 19 Feb 2009)

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh. Apakah Yang Berhormat Permatang Pauh sedar bahawa dalam pendedahan kes ADUN Kulim Lim Soo Nee ini. Kerjasama yang telah diberikan oleh beliau kepada BPR pada waktu itu, BPR Pulau Pinang sudah berlangsung seawal bulan empat dan semua catatan pergerakan beliau dan agen-agen BN dan namanya, alamatnya di mana, nombor telefonnya, berjumpa di mana, berapa nilai umpan, restoran mana, tempat mana, pekan mana, semuanya dalam pengetahuan dan pemantauan BPR Pulau Pinang. Apakah Yang Berhormat Pematang Pauh sedar perkara ini yang pertama.

Yang kedua, sehinggalah kemuncak akhir tahun lepas sebuah hotel yang disebut oleh Yang Berhormat Permatang Pauh, CCTV itu dipasang oleh BPR, rakaman itu dipasang oleh BPR dan selepas itu pegawai BPR yang bekerjasama dengan Lim Soo Nee ini mengucapkan tahniah, terima kasih Yang Berhormat, rakaman jelas, gambar jelas. Masalahnya apa, pegawai itu selepas itu kena tukar. Hari ini kalau Yang Berhormat Batu Pahat hendak tanya betulkah ini ada atau tidak. Kalau soal isteri menangis, itu kredibiliti dipertikaikan. Kalau ada laporan polis itu dipertikaikan, ini kerjasama wakil PKR ini kerana mengharapkan masih ada cebis-cebis kredibiliti dan wibawa BPR dalam menghapuskan rasuah, itu pun bersepai juga. [Tepuk] Jangan tanya kami, tanya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah yang kita bahas aktanya dan berkuat kuasa 1 Januari tahun ini. Kenapa tukar pegawai itu, mana pergi CCTV bukti itu, kenapa tidak tangkap Mahadzir Khalid sekarang, itu persoalannya. [Tepuk] Jangan tanya kita. Kerja kita dedahkan kita punya semua catatan pergerakan. Kalau itu masih kredibiliti hendak dipertikaikan, qaalu salamaa. [Ketawa]

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Boleh jawab sekali.

Dr. Haji Mohd. Puad bin Zarkashi [Batu Pahat]: Boleh penjelasan lagi sekali Yang Berhormat Permatang Pauh.
Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Boleh jawab sekali, sekali.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya sambung, biar saya jawab ini dahulu. Saya memang punyai maklumat dan kebanyakan daripada Yang Berhormat Lim Soo Nee dan semalam pun dia ke rumah saya. Saya bagi tahu Lim saya hendak kemukakan di Parlimen, dia kata silakan dan dia oleh kerana pertemuan berulang kali, ramai rakan-rakan UMNO confident lah dia sudah tangkap satu, cerdiknya UMNO ini di Kedah, sudah kena tangkap satu. Rakan-rakan kita pun ada yang syak wasangka kepada beliau, eh asyik duduk jumpa Mahadzir Khalid ini tetapi ini lah program kita dan saya bagi tahu sekarang ini dia. You hendak berbincang dengan pimpinan Keadilan, PAS, DAP silakan, you ugut, you hendak beli orang, kita siap CCTV. [Ketawa]

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh. Sebetulnya saya tidak ada keraguan berhubung dengan insiden-insiden yang berlaku cuma kita harus ingat pertemuan demi pertemuan, perjumpaan demi perjumpaan ini boleh berlaku di mana-mana. Cuma mungkin BPR tidak boleh buktikan ada transaksi di antara kedua-dua pihak. Niat itu dengan apa yang kita laku tidak sama. Di mahkamah tidak boleh dibuktikan. Kalau benar Mahadzir Khalid ini melakukan kesalahan sebegitu, saya memang tidak berkompromi, tangkap mereka yang terlibat. [Dewan Riuh] Akan tetapi mungkin tidak ada bukti, macam mana mahu tangkap. Itu sahaja.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih.

Tuan Mohd. Firdaus Jaafar [Jerai]: Sudah, sudah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Yang lain diam-diamlah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya setuju kenyataan Yang Berhormat Kinabatangan terakhir tentang bukti yang saya difahamkan dengan CCTV itu berakhirlah siasatan. Dengan CCTV itu terteralah bukti cuma kita tunggu tindakan. Jadi saya hendak bagi jaminan kepada Yang Berhormat Kinabatangan, betul or boleh bercakap, orang ada pertemuan bahkan saya dalam Pakatan Rakyat terutama Parti Keadilan tidak pernah melarang mana-mana ahli kita bertemu dengan sesiapa sahaja kerana saya juga bertemu. Yang diharamkan ialah kerja jenayah dan saya harap Yang Berhormat Kinabatangan jangan ikut Yang Berhormat Batu Pahat kerana saya hendak sebut di sini pertama perkara itu seperti mana yang disebut Yang Berhormat Machang berulang berbulan-bulan dan kemuncaknya ialah BPR memerangkap dengan CCTV, itu kemuncaknya. Selepas itu BPR kata lengkap, selesai, terima kasih banyak kamu telah bagi kerjasama cukup baik, tutup cerita, tutup untuk ambil tindakan tetapi mungkin kerana tekanan di atas tindakan belum diambil. Jadi hendak tunggu tahap profesionalisme suruhanjaya yang kita sokong habis-habisan dan Yang Berhormat Kinabatangan tahu di antara masalah saya...

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: [Bangun]

Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: [Bangun]

Datuk Seri Anwar Ibrahim [permatang Pauh]: ...Ini ada juga ada personel sedikit kerana masalah saya berbalah dengan beberapa teman-teman saya sebelah sana. Itu mengenai Akta Pencegahan Rasuah. Yang Berhormat Sri Gading tahu benar kerana dia memang kasih betul dekat saya dahululah. [Ketawa] Ya, tahu benar kes ini di antara kes sampai beberapa orang kawan-kawan saya Ahli-ahli Parlimen masa itu nasihat, “Anwar perlahankanlah sedikit, tak usahlah push Akta Pencegahan Rasuah ini nanti dia orang marah”. Akan tetapi pada masa itu saya kata itu sudah maksimum yang saya boleh lakukan. Yang Berhormat Shah Alam.

Dr. Haji Mohd. Puad bin Zarkashi [Batu Pahat]: Yang Berhormat Permatang Pauh kan berani orangnya, cakap sahajalah memang nampak bagi duit, cakap sahaja, apa salahnya.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Shah Alam.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Yang Berhormat Batu Pahat, kita tahu maklumat saya ini cukup, hendak ambil tindakan silakan. Kalau tidak mahu ambil, kita memang tahu kelemahan. Tidak usah cabar saya berikan maklumat yang saya tidak sepatutnya tahu, ini tidak ikhlas kalau begitu. Jadi yang saya beri yang setakat saya tahu dan saya hendak bagi tahu yang BPR bagi tahu kepada Yang Berhormat terima kasih kita ada cukup bukti sekarang, terima kasih kerana bagi kerjasama yang cukup baik, cukuplah, fahamlah itu. Yang Berhormat kan Ahli Parlimen, katanya guru dahulu, guru mana macam ini. [Ketawa] Yang Berhormat Shah Alam.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh, mungkin dahulu apabila guru itu ada anak murid, dia ikutlah guru itu masa itu betul. Sekarang ini guru...

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Tanyalah, jangan berucap ya.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Kalau sekarang ini yang saya, orang hot dengan saya, saya tidak tahulah kenapa hari ini. [Ketawa] Dia orang jaki tengok baju aku, jaket aku cantik kot. [Ketawa] Saya hendak dapat penjelasan sedikit daripada Yang Berhormat Permatang Pauh berdasarkan apa yang disebut oleh Batu Pahat agak keliru, dia kata salahnya ialah PKR calon-calonnya tidak standard katanya. Dia hendak calon-calon yang standard ini yang boleh dimakan, yang boleh ditahan ugut, yang boleh ditahan rasuah, yang boleh ditahan kena culik, yang boleh kena macam-macam, dia hendak calon-calon macam itu. Dia tidak kisah seolah-olahnya yang persoalan ugutan, persoalan sogokan, persoalan segala-galanya ini BN, ini memang BN akan lakukan. Maka carilah calon-calon yang boleh tahan, ini sikap mereka. [Tepuk] Adakah itu satu sikap yang bertamadun, yang orang yang bangun cakap pasal Islamlah, cakap ini, cakap itu tetapi dia hendak kita cari calon, insya-Allahlah kita boleh cari calon-calon yang sebegitu, yang boleh rendam tidak basah, jemur tidak kering, insya-Allah. [Tepuk] Akan tetapi tidak malukah Barisan Nasional, tidak malukah Barisan Nasional mempertahankan tindakan-tindakan yang sebegitu rupa. Lalu saya harap bagi pihak Barisan Nasional, hendak pertahankan tetapi apabila sampai soal sampai begitu sekalilah sama-samalah kita cuba selamatkan negara kita ini. [Tepuk] Terima kasih.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih, saya cuma sambut kenyataan Yang Berhormat Shah Alam yang terakhir itu, yang lain tidak mengapalah, kita mungkin berbeza pendapat dari segi polisi dan sebagainya tetapi apabila bukti nyata diberikan, kalaupun tidak sanggup sokong pendirian kita, diam sudahlah, jangan kita secara terang pertahankan begini, tidak boleh. Saya hendak menasihatkan mungkin isu lain, laporan polis kita boleh berbalah sedikit sebanyak tetapi dalam isu ADUN Kulim, tidak boleh pertahan, cukup. Lebih baik kita diam dari berbicara kerana berbicara parah akibatnya. Ini terutamanya
anak-anak kita dengar...

Dato' Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: [Bangun]

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ini yang akhirlah sebelum saya masuk ke tajuk lain Pokok Sena.

Dato' Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Terima kasih Permatang Pauh. Apa yang didedahkan oleh Permatang Pauh tadi berkaitan dengan aduan yang dibuat oleh ADUN Kulim itu tadi satu pengulangan kepada satu peristiwa yang pernah berlaku dalam pilihan raya 2004. Kalau tidak silap saya DUN Pasir Raja diambil dengan gambar, agen kepada calon Barisan Nasional untuk menawarkan kepada calon PAS pada waktu itu. Kita ambil dengan gambar dengan video dan sebagainya kemudian dengan duitnya sekali kemudian BPR datang untuk tangkap sehingga sekarang kes itu masih belum dibawa ke pengadilan. Jadi saya ingat, Sri Gading tolong-tolong tengoklah dan juga Batu Pahat tolong-tolong tengok supaya kes-kes yang macam ini dapat dibawa ke mahkamah. Setuju tidak setuju Yang Berhormat?

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih Yang Berhormat. Lebih pada setujulah tetapi sudah berlaku tetapi kali ini ia berbeza daripada apa yang berlaku tentang tujuh bukti itu. Kali ini Yang Berhormat Lim ini bersama dengan BPR, itu beza dia, makna berbulan-bulan bekerja sehinggakan imej dia terjejas di kalangan teman-teman kita. Teman-teman kita termasuk dalam pimpinan Pakatan Rakyat dan Parti Keadilan...

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Sudah sama-sama BPR pun terlepas juga?

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Belum lagi.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Oh, belum lagi.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Mudah-mudahan saya sebut di sini Yang Berhormat Kinabatangan dengan harapan BPR ambil tindakan. Kalau tidak dia mempermainkan, memperolokkan nama suruhanjaya. Saya hendak teruskan dengan....

Dr. Lo' Lo' Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Sedikit sahaja Yang Berhormat, sedikit sahaja sambung daripada situ. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh. Untuk berlaku adil kepada BPR saya pernah bertanya pada sumber yang sahih daripada dalam BPR kenapa kes-kes seperti yang disebut tadi tidak proceed. Dia kata kami telah selesai kes yang ini, kes yang ini, kes yang ini, dia sebut semua telah selesai, high profile case. Telah hantar ke Pejabat Peguam Negara, di situ kami tidak ada kuasa. Jadi apa agaknya pandangan daripada Yang Berhormat Permatang Pauh?

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih. Saya bagi maklumat ini maklumat baru tetapi kalau maklumat semasa saya Timbalan Perdana Menteri pun banyak kerana BPR masa itu melapor sedikit sebanyak kepada saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pengurusan. Pada masa itu beberapa laporan dikemukakan termasuk isu-isu yang lebih besar, Perwaja dan lain-lain. Akan tetapi selagi bukan sahaja SPRM, yang ini saya ingat peringatan Yang Berhormat Titiwangsa itu tepat kerana ada kemungkinan sekarang Badan Pencegah Rasuah atau suruhanjaya telah mengemukakan kepada Jabatan Peguam Negara. Dan dengan Peguam Negara yang ada sekarang ini yang dipertikaikan kewibawaan yang mempunyai rekod yang teruk, hendak harap ambil tindakan, mustahil. Kebetulan Yang Berhormat Gua Musang baru sampai, saya cuma tadi bangkitkan tentang bukti ADUN Kulim bekerjasama dengan BPR, ambil CCTV tentang transaction cuba beli dan ugut tetapi sampai sekarang belum ada tindakan. Mungkin suruhanjaya gagal ataupun kerana keengganan Peguam Negara Tan Sri Gani Patail untuk membuat sesuatu. Saya hendak sambung dengan kes kedua.

Dato' Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Rasuah ini boleh sedikit?

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ya biar, biar saya sambung satu lagi kes kemudian Yang Berhormat Pasir Salak bangkit. Kes bekas Exco Kedah Arumugan a/l Vengataraku, Bukit Selambau yang meletakkan jawatan sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan ADUN baru-baru ini. Kes yang dibesarkan dalam surat khabar hanya kerana dia ada satu perkahwinan mengikut peraturan undang-undang sivil dan dia ceraikan isteri, belum selesai penceraian, dia kahwin mengikut peraturan undang-undang Hindu. Ini dosa besar bagi UMNO Kedah maka serang habis-habisan. Akan tetapi saya hendak tambah sini tiga report polis dibuat oleh beliau, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri buat report polis mengenai ugutan terhadap dirinya dan keselamatan diri dan keluarganya. Pada 1 April 2008, 8 Mac pilihan raya, 1 April pembantu khas kepada Arumugam membuat aduan polis nombor sekian bahawa beliau menerima panggilan telefon mengancam beliau dan Arumugam supaya jangan aktif dalam politik Parti Keadilan Rakyat.

Sekiranya ingkar akan berlaku perkara tidak baik seperti pembunuhan atau penembakan terhadap Joe Fernandez ADUN Lunas yang mati ditembak beberapa tahun lalu. Laporan polis dibuat tidak ada tindakan. Ugutan terus 18 Oktober 2008, Yang Berhormat Arumugam buat aduan polis bahawa beliau bimbang keselamatan diri, keluarganya kerana dua lelaki datang mengugut untuk mendera beliau, isteri dan anak. 17 Disember, setelah bertemu saya di Permatang Pauh saya bagi nasihat, tidak ada upaya kita buat apa-apa melainkan you buat laporan polis.

Pada 17 Disember, laporan ketiga kerana bila ugutan kali ketiga disampai kepada beliau, cermin keretanya dipecahkan oleh orang-orang tertentu. Batu Pahat kata, kita tidak kata UMNO atau MIC tetapi laporan polis dibuat, siasat tidak ada siasatan. Sekalipun beliau tidak dipanggil. Ini Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kerana mungkin kebetulan orang India dan ada setengah-setengah tanggapan orang India ini memang kelas rendah di Malaysia ini. Sebab saya harap MIC buat pendirian betul-betul kerana saya orang Melayu saya hendak pertahankan hak rakyat dan jangan dipermainkan cara sedemikian. Jadi bagi orang macam Yang Berhormat Arumugam yang akhirnya mengambil keputusan begitu dia bagi tahu saya dia bagi kes A. Kugan dibunuh, kita tidak boleh buat apa-apa. Saya bagi tiga laporan tidak boleh buat apa-apa. Tidak boleh dia kata, saya tidak boleh teruskan. Itulah sebabnya, saya katakan “Masalahnya Arumugam, kalau dia tidak boleh, kalau tiap-tiap hari you hidup dalam ketakutan, saya terima hasrat you untuk meninggalkan politik sementara waktu”. Jadi sekarang ini saya minta MIC jangan letak calonlah di Bukit Selambau, menjaga maruah orang India ini. Jadi untuk Arumugam saya hendak tunjuk Tuan Yang di-Pertua, apa yang kita boleh buat di negara kita ini.

Tiga laporan polis, bukan, bukan saya hendak bezakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri penting kita kena dengar, orang kampung tidak penting. Akan tetapi hendak tunjukkan bagaimana kalau laporan itu melibatkan kedudukan UMNO dan Barisan Nasional tidak ada tindakan sama sekali. Ini yang membimbangkan kita seperti mana yang berlaku dalam kes Mahadzir Khalid di Kedah.

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: [Bangun]

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya hendak sambung satu lagi di Kedah sebelum bagi laluan kepada Yang Berhormat Machang. Kes ketiga di Kedah, Exco Yang Berhormat Tan Wee Shu berulang kali diugut, dia marah, dipanggil dalam satu pertemuan dengan Mahadzir Khalid, dia bagi amaran. You hendak bincang-bincang, you hendak masuk dengan kita boleh, you jangan cuba beli kita dan ugut kita dalam perjumpaan ini. Dia kemudian minggu berikutnya dia terima tiga butir peluru. Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah bila dia terima tiga butir peluru, dia buat laporan polis. Sampai hari ini belum ada siasatan atau laporan mengenai laporan ini. Jadi maknanya pihak polis, atasan polis bersekongkol untuk membiarkan ugutan. Orang diculik, isteri meraung, tidak dipedulikan kerana melibatkan kedudukan Timbalan Perdana Menteri. Yang ini saya tidak percaya Tuan Yang di-Pertua, polis tidak akan mengambil tindakan kerana polis tahap profesionalisme di peringkat daerah dan negeri itu banyak yang baik melainkan dia tahu ada arahan dari atas jangan sentuh kerana kita ada rancangan besar untuk menumbangkan Kerajaan Kedah seperti mana dilakukan terhadap Perak. Yang Berhormat Machang... Bersambung...

No comments: