Wednesday, May 20, 2009

Usul Menjunjung Kasih 2009 – DSAI (siri 3 dari 5 siri)



(Ucapan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di parlimen pada 19 Feb 2009)

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, saya nak ulang kepada Batu Pahat saya bukan marah orang nak keluar parti, saya marah cara menculik, ugut, bini pun tak tahu, isteri pun tidak tahu, menangis rayu pada saya “Mana suami saya dilarikan?” Yang Berhormat Batu Pahat, sekarang saya akan bagi Kinabatangan. Jadi jangan kita pertahankan jenayah, ini tuduhan ini Akuan Bersumpah, siasat tanya Fauzi, tanya saksi dia, tanya Timbalan Perdana Menteri betul tak dia pergi ke rumah sekian hari bulan? Mengapa bila datang Timbalan Perdana Menteri kes pembunuhan Altantuya tidak boleh tanya, kes hilang rekod imigresen tidak boleh tanya, kes Bala Subramaniam hilang ke mana, tidak boleh tanya.

Saya tidak tuduh siapa bersalah, tanya pun tidak boleh, nak harapkan Polis macam ini nak jaga, kawal jenayah macam mana? Ini yang disebut double standard. Kalau Batu Pahat sebut Tuan Yang di-Pertua, dia kata “Kalau Anwar panggil saya, apa salahnya Tajul Rosli, Datuk Tajul Rosli, Tan Seri kalau tak silap, Tan Seri Tajul Rosli panggil orang lain”. Saya tidak kata salah, dengar betul-betul. Saya tidak pertikai hak sesiapa untuk pilih nak sertai, saya pertikai cara dibuat. Ramai Ahli Yang Berhormat Barisan Nasional yang ada tahu, banyak yang dah bincang dan dah datang ke rumah tu jumpa saya, ada yang dah tanda tangan, ada yang kata at the right time, ada saya sebut? saya tak sebut? Sebab apa? itu understanding, ada saya bagi RM5 juta? Ada saya ugut kalau you tak buat, aku sula kamu sampai mati, tak ada. Ada saya bawak lari dia seminggu sampai isteri tak tahu.

Tuan Yang di-Pertua saya tidak akan gunakan Dewan ini kalau isteri dia tak telefon saya bagi tahu dalam keadaan menangis teresak-esak. Yang Berhormat Batu Pahat kena ingat ini bukan politik lagi dah, ini sudah satu jenayah yang dilakukan bawa lari orang dan sebelum Yang Berhormat Kinabatangan, Yang Berhormat Kinabatangan kawan lama, saya pun nak pergi Sandakan juga. Bukan masalah-masalah keluar parti, masuk parti, kena ingat yang saya bangkitkan cara ia dibuat, baik ADUN Bota, kawan saya Nasaruddin, telefon datang ke rumah, saya kata okey bila? Saya kata tidak sempat lepas jamuan, okey pukul 10 malam datang. Dia kata saya tidak ada keyakinan sama sekali dengan pimpinan sekarang lebih-lebih lagi bila ada peralihan kuasa. Saya tengok rasuah, jenayah banyak, saya sudah fed up.

Saya kata, “kalau begitu ambil keputusan.” Dia kata “boleh.” Saya kata “kalau boleh ambil keputusan, saya tahu saudara akan didera dan dicaci oleh media UMNO.” Mereka mempunyai kekayaan, mereka mempunyai media. You kena decide betul-betul. Dia kata, “saya sudah ambil keputusan, saya sudah bertekad, saya sudah beristikharah”. Okey, kalau begitu you kena berdepan dengan media. Biar media tanya you sendiri, saya tidak mahu umum bagi pihak saudara. Maka kita uruskan buat media. Dia draf sendiri kenyataan, dia tanya pendapat Datuk Seri, “Boleh, kenyataan?”. Saya kata, “Saya tidak mahu campur kenyataan, sebab kalau saya campur nanti rekod kata, Anwar campur untuk pinda kenyataan.” Dia buat kenyataan. Kemudian saya kata, “Kalau begini, saudara bertanggungjawab menerangkan kepada pengundi-pengundi saudara di Bota, Parit, Perak.” Dia kata, “Okey”. Dalam tempoh tiga hari 10,000 orang lebih berhimpun dan dia berucap dengan tegas depan 10,000 orang. Saya hilang kepercayaan kepada pimpinan UMNO. Parti yang tidak punya idealisme, yang bergelumang dengan rasuah dan saya memilih Parti Keadilan dalam pakatan Rakyat.

Kemudian dia jumpa saya di Ipoh, dia pergi jumpa saya di Permatang Pauh kerana ada hadir ke satu majlis. Selepas itu ada sekali lagi telefon dari isteri, suami dia hilang lagi. Yang Berhormat Batu Pahat, saya tidak tambah. Saudara pun orang politik, saya pun orang politik. Saya pun bertanggungjawab akhirnya kepada Allah SWT. Bila saya sebut ada telefon, menangis, kata hilang, dengarnya pergi ke rumah Timbalan Perdana Menteri. Ini Tuan Yang di-Pertua, saya sebut the polemic. Hilang setelah beberapa hari menjelma dengan Timbalan Perdana Menteri, saya sudah sokong UMNO semula. Walaupun saya tahu perlembagaan UMNO tidak boleh terima balik sebelum lima tahun tetapi itu masalah UMNO bukan masalah saya. Akan tetapi perlembagaan UMNO itu saya ingat, Yang Berhormat Batu Pahat tidak hafal, saya hafal perlembagaan UMNO ini. Jadi...

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Mohon penjelasan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Yang di-Pertua, saya cuma hendak sebut yang ini, bukan hendak pertikai apa Yang Berhormat Batu Pahat sebut soal saudara juga diajak melalui teman-teman, ada bezanya. Akan yang saya pertikai ini, boleh tidak cara menculik orang. Boleh tidak seperti mana dalam ini.... [Menunjukkan satu dokumen] Mengugut orang.You charge, dakwa dua orang pasal kes rasuah. Kes yang entah ke mana sekarang kerana Badan Pencegah Rasuah ketika itu pun didakwa, dia pun dakwa. Selepas itu bila ada kes rasuah, ambil dia buat deal Saudara kita tunggu.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Minta penjelasan, sikit lagi.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Yang Berhormat Kinabatangan dulu.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh. Saya ada dua isu, yang pertama saya ditanya bolehkan kita tersenyum dalam keadaan isteri dia menangis? Memang, saya bukan tersenyum pasal itu, saya bersimpati sebetulnya. Cuma, apabila melibatkan culik ini bermakna satu perbuatan yang tidak baik. Akan tetapi mungkin, kalau kita percaya bahawa politic is possible game, mungkin dia ada understanding agreement di antara yang mahu berpindah dengan yang merunding. Ini kita tidak boleh tuduh culik juga. Sebab kalau culik ini boleh dikatakan kekerasan. Dia tiba-tiba hilang dan saya sendiri pun saya mengakui, perkara-perkara politik kita tidak boleh bagi tahu orang rumah kita sekali pun sebab dia rahsia. Jadi mungkin dia pun berpendapat tidak perlu bagi tahu isteri dia, dia hendak berhijrah. Sebab politik ini...

Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Hendak kahwin seorang lagi tidak perlu bagi tahu bini.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Kadang-kadang kita lihat kotor, tetapi realitinya begitu. Jadi persoalan yang ingin saya kemukakan, mungkin bagi pihak Pakatan Rakyat di Perak cari kaedah pendekatan yang baru. Sebab saya juga mendapat laporan, dulu pun Yang Berhormat Batu Gajah sebelum pilihan raya dia kata, “Saya tidak mahu bertanding sebab saya tidak sehaluan dengan pemimpin DAP di Perak.” Dua kerabat, sepupu, adik beradik yang menguasai segala-galanya. Tiba-tiba dia punya mentor campur tangan, Yang Berhormat Batu Gajah bertanding balik. Akan tetapi yang satu ini mungkin sudah tidak tahan walaupun dia deputy speaker di Perak tetapi sudah tidak tahan kerana kena tekan, dia pun lari. Akan tetapi DAP kata tidak ada kronisme, tidak ada apa-apa, tetapi jelas. Jadi mungkin inilah yang berlaku. Dua orang ini pun mungkin kerana tekanan dalaman. Mungkin dia dalam PR Melayu tetapi tidak tahan dengan DAP di Perak. Dia pun “Ah, buat apa tunggu kalau tidak tahan.” Dia pun lari bukan pasal diculik, dia sengaja mahu lari, cuma dia rahsiakan, mungkin itu yang berlaku.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih. Yang Berhormat Kinabatangan. Tuan Yang di-Pertua, ini bukan politik serba kemungkinan. Ini saya bagi ini fakta. Kalau Yang Berhormat fikir isterinya itu pura-pura nangis depan saya, itu soal Yang Berhormat. Pada masa itu saya benar-benar runsing, okey.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Minta maaf. Saya bukan kata pura-pura. Dia sendiri pun tidak tahu apa yang berlaku sebab dirahsiakan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Baik. Kalau benar dia tidak tahu Yang Berhormat, kita pilih Datuk Nasar dia pilih. Saya tidak mahu kata apa-apa yang menyinggung dia, saya bagi tahu fakta. Dia datang, dia buat kenyataan terbuka besoknya depan 10,000, dia berdepan. Orang pakatan Rakyat, dua Keadilan, satu DAP masuk. Sudahlah dia hilangkan macam kes dua Exco itu sepuluh hari, sembilan hari hilang. Kemudian menjelma hanya sekali di depan awam, di depan Timbalan Perdana Menteri. Kemudian hilang semula. Sampai sekarang tidak sanggup berdepan dengan rakyat yang memilihnya. Ada beza Yang Berhormat Kinabatangan. Bezanya besar, orang datang dengan conviction, dengan datang dengan pelbagai cara kaedah yang lain. Memalu dan mengaibkan kita kerana ia melibatkan langsung nama Timbalan Perdana Menteri dalam kes ini. Tidak ada langsung sense of shame. Tidak rasa tersinggung sama sekali bahawa ada orang hilang sembilan hari, jelma depan dia kemudian hilang semula. Ini dari segi yang disebut etika, moral, akhlak, prinsip semua. Boleh katakan “Oh, Anwar pun ajak”. Saya jumpa Yang Berhormat, saya kata “Bila Yang Berhormat boleh?” Itu ada saya sorok, ada saya paksa, ada saya larikan orang? Saya cakap soal prinsipal kerana saudara pernah..., dan sekarang saya menganggap sebagai sahabat. Saya cakap terus terang dan ini agenda kita. Jangan hairan kalau perkara ini berlaku dalam politik kerana Yang Berhormat sebut art of the possible tetapi possible itu jangan cara sogok, khianat, tipu, culik dan jenayah. Saya akan sambung dengan bukti yang lain. Kedah Darul Aman ....

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Penjelasan sikit.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Sebelum itu Yang Berhormat Batu Gajah, bagaimana saudara hendak kaitan dengan Yang Berhormat Batu gajah. Ini soal dalam parti. Apakah Yang Berhormat Batu Gajah diugut, cuba dibeli? Tidak. Dia ambil satu sikap dan pendirian tidak hendak. Pengalaman saya dengan ahli parlimen Parti Keadilan pun banyak. Dia berbeza pendapat dengan satu dua keputusan dari Kerajaan Negeri, dia ambil keputusan begitu begini kemudian kita panggil, kita bincang. Tapi yang kita bahaskan ini soal khianat, soal culik, soal bunuh, soal ugut. Akan sampai Yang Berhormat Kinabatangan. Saya hendak gunakan majlis ini hendak bincangkan titah di raja ini. Kalau tidak diganggu, saya tidak akan pendekkan. Saya tahu Tuan Yang di-Pertua, sudah lihat jam.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Sikit sahaja penjelasan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Baik,sebab itu Yang Berhormat Batu Gajah, dia ada prinsip dia. Dia masuk parti, bertanding berdasarkan prinsip. Dia berbeza pendapat dengan satu dua tokoh kemudian dia leraikan kerana prinsip perjuangan itu mengatasi sedikit satu dua pendapat perbezaan dengan parti. Bagaimana kita hendak bezakan pendirian Yang Berhormat Batu Gajah dengan prinsip dengan orang yang lari entah ke mana. Tidak tahu ke mana, tidak tahu sampai sekarang. Hendak kontak tidak tahu, pengundi dia tidak tahu mana. Sesekali telefon, tengok ini apa dia ini? Yang Berhormat Batu Pahat saya faham saudara Yang Berhormat Batu pahat wakil UMNO dan Barisan Nasional. Tidak apa saya faham, saya juga menghormati kerana Yang Berhormat Batu Pahat ini di antara ahli parlimen yang bercakap dan pertahan juga beberapa prinsip. Akan tetapi saya hendak sebut di sini, bila saya sebut kes-kes ini dan kes yang hendak sebut di sini, ini fakta.

Saya dengar khabar-khabar angin, saya tidak berani sebut kerana ini saya terpaksa pertahankan dan saya berkewajipan membentangkan hanya apa yang saya yakin sebagai fakta, ada laporan polis atau …statutory declaration. Kalau tidak ada, saya tidak berani. Akan orang kata diugut, saya kata buat laporan dia tidak mahu. Kalau begitu saya tidak mahu sebut.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sebab itulah di awal tadi saya membangkitkan soal kredibiliti kepada akuan bersumpah apa yang dinyatakan oleh si isteri tadi kebenarannya. Sebab itu saya kata bahawa ini berbangkit bertambah-tambah lagi apabila dalam kes Bukit Lanjan itu, mereka terus membuat satu andaian, ini adalah konspirasi Barisan Nasional. Jadi sebab itulah saya mengatakan bahawa bila melihat kepada kes Bukit Lanjan dikaitkan dengan apa yang berlaku di Perak, maka ini yang kita katakan kredibiliti itu yang mengatakan mereka ini dilarikan, diculik, diugut dan sebagainya. Kalau soal wakil rakyat DAP yang jadi Bebas itu sekarang menghilang diri, mungkin dia sebenarnya diugut oleh orang DAP sendiri ataupun PKR atau sebagainya, sebab itu dia takut untuk keluar. Dia sebenarnya yang terugut sekarang ini, sebab dia sendiri pun kata, dia kata dia mempertaruhkan nyawanya bila dia keluar daripada DAP. Maksudnya, dia tahu dia diugut, mestilah dia diganggu, keluarga dia diganggu dan sebagainya. Ini yang saya kata bahawa kita sebenarnya sudah muak mendengar perkataan diugut, diculik dan sebagainya ini. Sebab kredibilitinya itu tidak ada, yang saya katakan tadi asasnya ialah kelemahan dalam memilih calon-calon tersebut.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Ini yang sepatutnya diberi keutamaan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Okey...

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Apabila membangkitkan perkara itu. Ini salah siapa?

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Salah PKR lah.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Baik, saya terima. Saya tak pernah menolak, memang ada kelemahan dan insya-Allah kita perbaiki, termasuk program tarbiah dalam parti. Saya tak ada masalah, [Tepuk] tetapi jangan gunakan itu untuk menghalalkan jenayah, Yang Berhormat Batu Pahat sebagai tokoh muda yang kena ingat perkara ini, jangan halalkan jenayah. Jikalau nak gunakan satu alasan teknikal, oh belum bukti, mengapa Polis tak siasat? Mengapa tidak ada siasat, seorang buat tuduhan kepada Timbalan Perdana Menteri tentang penculikan, bagi tarikh jumpa, di rumah, pukul berapa, dengan siapa. Jumpa di rumah Timbalan Perdana Menteri dengan siapa, siasat. Kalau itu tidak boleh dilakukan dan nak katakan ini teknikal kerana dia lemah, memang betul dia lemah, sebab dirangka satu pertuduhan rasuah dan dia rasa gelisah.

Jumpa saya dua tiga kali nak selamatkan. Bagaimana, saya kata kena lawan di mahkamah sajalah, itu cara saya jawab. Bukan saya kata nak boleh runding dengan Timbalan Perdana Menteri, bukan kerja saya begitu. Jadi saudara kata tuduhan itu palsu, seorang ahli Exco hilang 10 hari, kemudian saya kata, ha mana boleh di culik, ini apa dia ini? 10 hari seorang Exco hilang, Menteri Besar tak tahu, ketua parti tak tahu, bini pun tak tahu dan saudara nak pertahankan. Ini pertahan apa? Tak betul, tidak boleh, tidak boleh kita pertahankan,

Tuan Yang di-Pertua, kalau nak buat dengan rela hati, ya berdepan, jumpa Press, biar Press tanya. Ini dah sebulan, belum lagi pergi ke depan kepada rakyat, ya kita tak percaya dengan Pakatan Rakyat dan Anwar dan apa pun. Sebut, dia sebut, kita berdepan dengan politik, jangan hilang. Kalau macam ini pun politik begini, direstui oleh kepimpinan tertinggi dalam negara, ini yang saya pertikai Yang Berhormat Batu Pahat.

Saya nak sambung kalau boleh, kerana ada isu Kedah dan Selangor belum habis lagi dan ini bangkit Bukit Lanjan, saya sampai kalau perlu. Laporan dibuat, di Kedah Darul Aman, di bawah pimpinan Dato Seri Azizan Abdul Razak, 11 April 2008, ini lebih serius daripada tadi. Sri Gading, dengar betul-betul, ya, betul. 11 April 2008, Ahli Dewan Undangan Negeri Kulim, Yang Berhormat Lim Soo Nee daripada Pakatan Rakyat telah dihubungi oleh seorang agen Barisan Nasional yang mewakili Datuk Seri Mahadzir Khalid, Pengerusi Barisan Nasional Kedah dan bekas Menteri Besar, minta Lim Soo Nee melompat parti, dengan tawaran RM4 juta. Betul, Yang Berhormat kata ini hanya tuduhan longgar. Okey, saya terima. Saya sambung. Tawaran itu dinaikkan RM5 juta. Ya, ini juga mungkin kenyataan melulu. Kemudian perjumpaan diatur untuk menemukan Yang Berhormat Lim dengan Datuk Seri Mahadzir Khalid dan Timbalan Perdana Menteri. ADUN Kulim itu diganggu dengan tawaran, pujukan lompat parti April, Mei, Jun dan Julai 2008, kemudian itu pun tuduhan Yang Berhormat Sri Gading. Kita tak boleh pakai politik ini, banyak orang tuduh, baik.

Yang Berhormat ADUN Lunas, buat aduan kepada Badan Pencegah Rasuah mengatakan dengan bukti tarikh-tarikh agen UMNO cuba beli beliau, maka beliau bersedia berpakat dengan BPR untuk menjadikan diri sebagai umpan untuk menangkap orang yang cuba beli. Ini kali pertama saya dedah kepada awam, saya nak tengok BPR, suruhanjaya sekarang sanggup bertindak ataupun tidak. [Tepuk] Saya nak tengok benar atau bebas, bebas benar yang mereka dakwa. Saya sokong suruhanjaya itu, saya sokong kenaikan gaji dan elaun mereka, saya yakin dengan keupayaan mereka. Akan tetapi saya nak tengok sejauh mana tekanan yang diberikan oleh pimpinan politik. Pertemuan demi pertemuan diatur oleh agen Barisan Nasional dan Yang Berhormat Lim. Semuanya dengan pantau BPR, Kinabatangan yang ini memang pukulan K.O. [Tepuk]

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Siapa nama itu agen-agen? [Ketawa]

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ada, ada, jangan lupa, baik. Kemuncak pemantauan ini Tuan Yang di-Pertua, pertemuan di antara bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Mahdzir Khalid dengan Yang Berhormat Lim di sebuah hotel di Seberang Jaya pada akhir 2008. Dia pilih hotel Seberang Jaya di Permatang Pauh, memang cari maut. [Tepuk][Ketawa] Ini kerana hotel Permatang Pauh itu walaupun UMNO punya tapi penyokong kita 100% [Tepuk] maka apabila sampai, pertemuan itu dirakam CCTV. Bukan astaghfirullah, alhamdulillah. [Ketawa][Tepuk] Sri Gading kata astaghfirullahlah. Alhamdulillah kerana dia nak cari bukti jenayah berlaku. Kita tuduh berbuih mulut-mulut, dia tak nak dengar, baik CCTV pasang, Yang Berhormat Lim, Mahadzir Khalid, bekas Menteri Besar Kedah.

Semua perbicaraan, sogok menyogok, ugutan, dirakam oleh BPR ketika itu, belum lagi Suruhanjaya, apa jadi? Tidak ada tindakan susulan diambil, pegawai yang bertanggungjawab dikeluarkan dari Kedah, saya difahamkan. Ya, yang itu astaghfirullah betul. Yang Berhormat ini macam mana, tadi dikatakan belum cukup bukti. Sekarang ini, CCTV, pegawai BPR, rakam, siapkan semua di Hotel Seberang Jaya. Saya ucap tahniah kepada pengundi-pengundi Permatang Pauh kerana membantu dalam mendedahkan kes jenayah besar ini. Tindakan sampai sekarang tidak ada. Jadi saya persilalah kalau ada soalan daripada Yang Berhormat.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Saya cuma nak tanyalah pasal apa ni, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Nak tanyalah pasal video tadi tangkap tadi, ada gambar tengah bagi duit.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: [Membaca sepotong ayat Al-Quran] ini maknanya kalau dah sampai dah, tak mahu juga, terima kenyataan ini, jawapan saya [membaca sepotong ayat Al-Quran] selamatlah kamu...

Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Laluan.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Jawablah terus terang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya tidak tengok, saya bukan, dengar dulu...

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Cakap terus terang, ada nampak tak bagi duit.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Dengar dulu. Tuan Yang di-Pertua, saya tidak tonton kerana saya bukan pegawai BPR; yang saya tahu ada rakaman. Dengar dulu.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Batu Pahat duduk dahulu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Yang Berhormat Batu Pahat ialah, hendak jadi jaguh murahan kata Yang Berhormat Gombak. Pertahan, sudahlah, sudah. Ada hal lagi yang kita boleh pertahankan. Lagi banyak Yang Berhormat Batu Pahat bercakap,pertahankan ini lebih jatuh kredibiliti dia sebagai wakil rakyat. [Tepuk]

Dr. Haji Mohd. Puad bin Zarkashi [Batu Pahat]: Itu sebab, apa salahnya saya tanya berterus terang nampak atau tidak gambar tersebut, kenapa tidak mahu jawab?

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Dia tidak bagi jalan Yang Berhormat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Malu kepada anak-anak kita. Yang Berhormat Permatang Pauh cuba bangkitkan bukti, Yang Berhormat Permatang Pauh bangkitkan bagaimana berbulan-bulan seorang wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat bekerjasama dengan BPR untuk memerangkap orang yang hendak beri sogokan rasuah dengan diambil CCTV. Yang Berhormat Batu Pahat pertahankan, mana tahu, mana bukti, mana gambarnya? Bukan kerja saya, saya bagi tahu suruhanjaya ambil tindakan dan dedahkan sekarang kerana saya boleh bertahan.

Dr. Haji Mohd. Puad bin Zarkashi [Batu Pahat]: Yalah, kalau setakat berjumpa, saya pun selalu jumpa orang-orang PKR. Orang boleh ambil gambar saya.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Tidak bagi jalan Yang Berhormat Permatang Pauh.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Kalau inilah cara ahli Barisan Nasional yang agak terbaik dalam sidang yang ini, qaalu salamaa. Yang Berhormat Machang...Bersambung...

No comments: