Wednesday, May 20, 2009

Usul Menjunjung Kasih 2009 – DSAI (siri 2 dari 5 siri)

(Ucapan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di parlimen pada 19 Feb 2009)

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih. Pasir Salak, ini kalau disebut ketuanan Melayu dan ketuanan rakyat saya pun sebut itu. Bila saya sebut ketuanan rakyat mengapa kita sebut ketuanan rakyat itu kita menghina Raja tidak. Raja Melayu itu Raja rakyat Malaysia bukan Raja orang Melayu. [Tepuk]

Saya iktiraf Raja itu Raja Melayu tetapi Raja Melayu itu berdaulat atas takhta pelindung rakyat Malaysia semuanya. Ini kita terima dan iktiraf baik dalam Barisan Nasional dan juga Pakatan Rakyat walaupun dalam kempen UMNO tidak disebut begitu. Akan tetapi saya ada bukti dan yang ditandatangani bersama tentang mempertahankan Institusi Raja-raja Melayu oleh Parti Keadilan, DAP dan PAS. Jadi oleh yang demikian kita lihat kepada kenyataannya. Yang Berhormat Pasir Salak menyebut yang dirundingkan secara tertutup oleh Majlis Kerajaan Negeri. Saya tidak tahu. Kalau benar ada penghinaan itu harus dibetulkan tetapi itu hanya tafsiran. Saya boleh sebut puluhan kali kisah penghinaan terhadap Raja-raja dalam Mesyuarat Kabinet.[Tepuk]

Akan tetapi apakah wajar saya buat begitu? Tidak wajar kerana minit mesyuarat Kabinet itu rahsia sifatnya dan saya tidak akan keluarkan. Cuma saya nak sebut perkara itu berlaku. Janganlah kita pilih. Kalau benar berlaku kita betulkan tetapi saya ingin pertahankan di sini kerana dalam pertemuan saya dengan pemimpin-pemimpin PAS, DAP dan Keadilan pendirian kita dan juga komitmen kita untuk mempertahankan ciri asas Perlembagaan itu tidak berganjak sama sekali. Kalau tidak, tidak mungkin Pakatan ini boleh mantap kalau asas-asas Perlembagaan ini tidak dipertahankan. [Tepuk].

Tuan Yang di-Pertua, saya hendak sebut di sini kerana apa yang dibicarakan tadi dalam kisah Mamanda Menteri itu persamaan dengan Edmund Burke yang berselisih pendapat dengan Thomas Paine penulis The Rights of Man. Pemikiran Burke tercurah dalam karya Reflections on French Revolution. Jadi oleh itu, saya ingin mengulangi tentang prinsip ini kerana kita tidak boleh kawal bagaimana media UMNO dengan hilang pertimbangan kerana takut kemaraan rakyat ini akan cuma menggunakan isu derhaka tetapi tidak isu yang pokok. Saya ingin pertahankan sekali lagi hak Dato’ Seri Nizar sebagai Menteri Besar yang sah di Perak dan rakan-rakannya. [Tepuk]

Ini adalah untuk mencabar keputusan di mahkamah dan keputusan Menteri Besar kerajaan haram yang baru dan rakan-rakan dia. Ini cara yang kita buat melalui proses mahkamah yang diakui oleh Yang Berhormat Pasir Salak dan bukan untuk menyatakan derhaka kerana derhaka seperti mana yang dilakukan oleh Bendahara Paduka Raja itu derhaka yang menyelamatkan Tun Tuah dan menyelamatkan dalam kita tahu kisah Hikayat Hang Tuah. [Tepuk]

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi [Dato’ Haji Noh bin Haji Omar]: Terima kasih Yang Berhormat. Saya dengar ucapan Yang Berhormat tadi dekat luar. Bukan kata Menteri tidak dengar kita dengar dekat luar. Masa zaman Yang Berhormat Timbalan Perdana Menteri dahulu dekat luar belum ada TV lagi. Ini tadi bila kata derhaka saya nak tanya Yang Berhormatlah dalam sejarah Yang Berhormat dalam UMNO dahulu pun pernah tidak kita mengganggu sampai sanggup menghalang perjalanan Sultan? Baring di jalan. Kacau laluan seperti yang demikian. Pernah tidak benda berlaku? [Dewan riuh] Itulah saya hendak tanya?

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih. Dalam pengalaman saya dalam UMNO pernah Perdana Menteri, Menteri-menteri dan pemimpin UMNO menghina Raja-raja. Dalam pengalaman saya cuma saya tidak pernah dengar seperti mana yang berlaku di Terengganu di mana ada tunjuk perasaan yang mencemar duli dan menghina dan memanggil nama Raja dengan perkataan yang kesat. Akan tetapi saya sudah sebut dan sudah jawab pada Yang Berhormat Pasir Salak tadi.

Dato’ Haji Noh bin Haji Omar: Saya ingat Yang Berhormat tidak jawab soalan saya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tidak. Saya hendak jawab. Saya jawab. Dengar. Sabar.

Dato’ Haji Noh bin Haji Omar: Yang Berhormat tidak jawab soalan saya. Soalan saya ialah pernah tidak sampai orang UMNO baring di jalan ini? Sultan hendak jalan, baring di jalan. Polis grip macam tu .

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ya. baik-baik. Saya nak sebut...

Dr. Mohd. Hatta bin Othman [Kuala Krai]: Lantik Sultan baru pun ada lebih teruk daripada baring tu.

Dato’ Haji Noh bin Haji Omar: Polis grip macam tu. Itu bukan perbuatan yang derhaka?

Dato’ Haji Noh bin Haji Omar: Bukan kurang ajar ini perbuatan derhaka kah?

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]:Tidak apa.

Dato’ Haji Noh bin Haji Omar: Bukan kurang ajar ini perbuatan derhaka?

Seorang ahli: Hoi. Lantik Sultan...

Dato’ Haji Noh bin Haji Omar: Kalau kita bercakap Datuk Seri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ini Menteri ini.

Dato’ Haji Noh bin Haji Omar: I know. Saya Menteri pun, saya ada hak.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Menteri pun tidak ikut peraturan.

Tuan Yang di-Pertua: Sudah sudah.

Dato’ Haji Noh bin Haji Omar: Saya pun ada Raja. Ini soal Raja. Soal Melayu. Bukan hak itu hak saya.

Seorang ahli: Lantik Sultan baru.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Hak-hak tetapi Menteri pun kena ikutlah. [Bercakap tanpa menggunakan pembesar suara

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Menteri pun kena ikut peraturanlah. [Dewan riuh]

Dato’ Haji Noh bin Haji Omar: Sebab Yang Berhormat pun cakap lain yang kita tanya lain Yang Berhormat jawab.

Tuan Yang di-Pertua: Soalan sudah di aju Yang Berhormat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Soalan dia tanya belum habis jawab dia dah melompat. [Ketawa] Saya jawab yang pertama saya kata ada kisah-kisah penghinaan dan tapi saya tidak pernah tengok poster menghina Raja seperti yang berlaku di Terengganu. Saya jawab kepada Yang Berhormat Pasir Salak tadi sama ada oleh UMNO atau bukan UMNO cara mana pun menghina termasuk yang berlaku di Kuala Kangsar yang dituduh menghina Raja saya tidak setuju tetapi dia tidak dengar Yang Berhormat Tanjong Karang ini. Jadi pandangan saya konsisten.

Seorang ahli: Dia lena di luar kot.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Yang saya pertikai...

Tuan Gwo-Burne Loh [Kelana Jaya]: Duduk-duduk dekat tepi.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: ...yang saya pertikai memilih untuk marah di Kuala Kangsar tetapi kelu membisu di Terengganu. [Tepuk]

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Saya kata kita tegur kesalahan di Terengganu, kita tegur kesalahan di Kuala Kangsar dan kita tegur kesalahan di Perlis. Siapa sahaja yang menghina institusi harus ditegur termasuk kalau Menteri pun kita tegur.

Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Kelantan Sultan baru.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih. Yang Berhormat Permatang Pauh dan Yang Berhormat Marang. Jam sudah pukul 1.02. Jadi saya mohon maaf untuk mengganggu perbahasan yang begitu robust dan demokratik. [Ketawa] Jadi perbahasan ini akan diteruskan pada pukul 2.30 nanti. Mesyuarat saya tangguhkan hingga pukul 2.30 nanti.

Mesyuarat disambung semula pada pukul 2.30 petang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Yang di-Pertua, saya hanya ingin merumuskan bahagian pertama tentang isu institusi Raja, Perlembagaan dan derhaka. Saya harap dengan penjelasan ini, walaupun media UMNO, Barisan Nasional memilih untuk memadamkan tapi kita harap rakyat akan dapat terdedah dengan kenyataan yang sebenar. Dalam merumuskan isu ini juga, saya ingin mengulangi pendirian kita tentang keperluan untuk membuat sedikit rombakan dan pindaan Perlembagaan untuk memantapkan semula kekuatan institusi tersebut.

Dalam hal ini juga, dalam membicarakan Perlembagaan sebagaimana titah Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agung, maka isu bahasa ada kaitannya. Kita berbangga dan mempertahankan prinsip Perlembagaan dan bahasa Melayu di antara tunggaknya. Akan tetapi bila pelaksanaan di Kementerian Pelajaran kini mengkhianati prinsip ini, orang yang menjadi juak-juak Melayu dan Perlembagaan itu mendiamkan diri. Maka saya hanya mengulangi pandangan beberapa rakan termasuk Yang Berhormat Marang yang menggesa Kementerian Pelajaran supaya segera membuat perubahan, menghormati semangat Akta Pelajaran Razak, Penyata Rahman Talib dan apa yang dilaksanakan selama puluhan tahun, memartabatkan kedudukan bahasa Melayu. Alasan yang dikemukakan oleh Menteri Pelajaran, beliau memohon sedikit lagi waktu, saya fikir itu hambar sama sekali kerana enam tahun pelaksanaannya, laporan dan kajian dikemukakan, dan melengahkan ini maknanya terus mengorbankan kepentingan bahasa dan mengkhianati amanah yang tertera dalam Perlembagaan Persekutuan.

Salah satu tunggak Perlembagaan juga adalah kedudukan hak keistimewaan orang-orang Melayu dan bumiputera. Yang dipertikaikan kini adalah cara kita mengendalikan. Kita menggunakan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera itu untuk memperkayakan segelintir pemimpin-pemimpin dan memberikan hadiah kecil-kecilan kepada rakyat terbanyak. Oleh yang demikian, ada kewajarannya supaya kita melihat semula maksud peruntukan 153 itu, mempertahankan kedudukan orang Melayu dan bumiputera supaya majoriti bumiputera memperoleh manfaat bersama dengan rakan-rakan mereka masyarakat Cina, India dan lain-lain.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin merujuk kini kepada permasalahan demokrasi dan jenayah di negara kita. Pertama, soal pencabulan demokrasi. Pimpinan negara sehingga kini belum dapat menerima, menelan kenyataan bahawa ada kemaraan rakyat yang inginkan perubahan dan Pilihan Raya Umum 8 Mac memberi kejutan besar kepada UMNO dan Barisan Nasional. Jadi apa langkah yang mereka ambil sekarang ialah menidakkan kenyataan itu dengan meneruskan cara ugutan dan rakus memastikan perubahan mandat rakyat itu berlaku. Saya ingin memberikan bukan saja kenyataan longgar, saya memberikan hujah dan bukti yang nyata.

Percubaan yang dilakukan oleh pimpinan UMNO termasuk Timbalan Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin, mengugut, melarikan orang, memberikan rasuah dengan jenayah yang besar, ini hanya meneruskan rekod dan tradisi rasuah yang memang dipalitkan kepada tokoh-tokoh berkenaan.

Terima kasih kerana Yang Berhormat Kuala Krau pun bersetuju dengan senyuman. Saya mulakan dengan akuan bersumpah. Seorang pemimpin Keadilan, Fauzi Muda yang mengaku awal 8 Mac pilihan raya, 11 Mac beliau di bawa bertemu dan berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri di rumah kediamannya. Apa kenyataan Fauzi Muda? “Dalam perbincangan tersebut, Dato' Sri Mohd Najib telah merayu kepada saya agar membantu memujuk sekurang-kurangnya dua Adun Negeri Perak daripada Parti Keadilan Rakyat melompat kepada UMNO atau menjadi wakil Bebas. Beliau sanggup menawarkan kepada saya sebanyak RM50 juta bagi tujuan tersebut dan terpulang kepada saya berapa jumlah yang saya hendak bayar kepada mana-mana ADUN Pakatan Rakyat yang mahu lompat.’’

Tuan Yang di-Pertua, ini pengakuan bersumpah. Kalau salah, ini terserah kepada siasatan pihak polis tetapi tidak ada siasatan daripada pihak polis. Cuma yang di war-war, yang dihebahkan oleh pimpinan UMNO, yang memulakannya Anwar. Ini orang yang buta sejarah... [Tepuk] Bodoh alang kepalang. Tidak tahu apa berlaku di Kelantan, di Terengganu di bawah pimpinan Menteri Besar, Daud Samad tidak berlaku apa yang diketahui dilakukan di Sabah, itu pertama.

Keduanya, saya meminta dan saya ulangi kepada rakan-rakan saya Barisan Nasional secara terbuka, saudara-saudara dipelawa untuk bersama menerima agenda ini termasuk Yang Berhormat Batu Pahat. Apa isu dia? Apakah saya sogok kepada Yang Berhormat Batu Pahat dengan janji nak jadi Perdana Menteri seperti mana yang beliau harapkan benar-benar? Saya tidak janjikan. Saya melalui teman-teman mengatakan kepada beliau ini agenda kita, kita mahu perubahan. Ini, di mana salahnya? Saya kata ini tawaran kita.

Apakah saya janji RM5 juta ataupun RM50 juta seperti mana yang dibuat oleh pemimpin beliau dalam pengakuan bersumpah ini? Tidak ada! Jadi, mengapa nak dikaitkan cara dan kaedah saya mengajak orang memilih Pakatan Rakyat dengan cara bawa lari orang, simpan di rumah, sembilan hari kemudian muncul bersama Timbalan Perdana Menteri. Tidak malu sama sekali, tidak ada maruah sama sekali. [Tepuk]

Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Memang muka tidak malu puak ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih. Ya, tidak ada maruah, maruah pemimpin, ambil orang hilang. Tuan Yang di-Pertua saya mulakan dengan pengakuan Fauzi Muda, Pengakuan Bersumpah, saya ulang di Parlimen kerana pimpinan polis tidak boleh diharap untuk membuat apa-apa penyiasatan. Kalau kes yang melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat selak habis kelambu, tetapi kalau kes yang melibatkan pemimpin, kes bunuh pun tidak berani disoal. Saya tidak katakan siapa yang terlibat tetapi soalan pun tidak ada, penyiasatan yang teliti pun tidak ada. Ini negara apa ini? Somalia, Chad atau Malaysia?

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Tidak bagi Batu Pahat Yang Berhormat?

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Boleh.. Biar saya habis yang sebahagian dahulu, saya memang tunggu nak Yang Berhormat Batu Pahat mencelah. Dalam pengakuan bersumpah Fauzi Muda tadi beliau menambah pengakuan “ Usaha mereka memujuk saya semakin kerap semenjak kes dua Exco Keadilan yang didakwa di Mahkamah atas tuduhan rasuah.” Mereka mensasarkan kedua-dua Exco tersebut agar dapat dipujuk dan kali terakhir ialah sebelum hari sebelum Tahun Baru Cina di mana mereka telah berjumpa saya dan menawarkan jika kedua-dua Exco tersebut bersetuju untuk melompat dari Pakatan Rakyat, Dato’ Sri Haji Mohd. Najib bersedia membayar RM5 juta bagi setiap orang termasuk untuk saya RM 5 juta.

Ini percubaan awal untuk menggugat Kerajaan Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Dato’ Seri Nizar. Jadi bila hilang dua Ahli Dewan Undangan Negeri Jelapang dan Changkat Jering, isteri ADUN Changkat Jering dan Behrang. Yang Berhormat Batu Pahat dengar baik-baik. Ini bukan wakil parti, isteri telefon menangis minta tolong saya “ Dato’ Seri, suami saya dibawa lari”. Saya kata di mana? Kata mereka” berjumpa Timbalan Perdana Menteri “. Saya kata telefon, tak jawab telefon, SMS, tak jawab SMS. Menangis, Yang Berhormat Batu Pahat kerana masa itu empat hari suami tu hilang. Hari kelima saya telefon, ada berita? Tak dapat, cuma ada hanya satu berita bagi tahu jangan bimbang kerana pimpinan UMNO jaga dia dengan baik. Saya jawab kalau ada perkembangan tolong bagi tahu. Cukup tujuh hari dua orang ini muncul bersama Timbalan Perdana Menteri tersengih, “Kami sekarang tidak percaya lagi dengan Pakatan Rakyat dan jadi Bebas dan menyokong pimpinan UMNO “

Yang Berhormat Kinabatangan bolehkah kita senyum dengan cara yang sedemikian? Tidak, betul saya bagi tahu, ini isteri dia telefon menangis. Ya, ini politik kotor, jijik, politik hambar, politik yang melibatkan pembunuhan, penculikan dan rasuah. Orang yang terlibat dalam ketiga-tiga kes ini nak diamanahkan jaga pimpinan negara ini, ini dia politik yang di banggakan. [Tepuk]

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Ini yang menjadi masalah kepada kita iaitu bahawa akhirnya apa yang sering kita katakan ialah diugut, dilarikan orang dan berbagai-bagai-bagai lagi. Sedangkan di manakah puncanya? Puncanya ialah kelemahan kepada PKR sendiri kerana itu adalah Wakil Rakyat mereka, yang mereka pilih untuk menjadi calon dan mereka ini ialah sebenarnya yang sebelum ini apabila didakwa di Mahkamah di tuduh bahawa ini adalah konspirasi Barisan Nasional ketika mereka di buat tuduhan dahulu, diperangkap dan sebagainya, sedangkan bagaimana nasibnya mereka ini terpilih menjadi calon? Itu juga menjadi satu persoalan.

Sebab itulah bila dikaitkan dengan Akuan Bersumpah, ini adalah perkara yang kita tahu bahawa sekarang ini Akuan Bersumpah pun di mana kredibilitinya? Banyak sudah Akuan Bersumpah yang dibuat, Saiful pun buat Akuan Bersumpah dan sebagainya macam-macam. Apakah kita nak dengar? apakah kita nak guna pakai? Begitu juga dengan perkara ini, Fauzi ini, bolehkah di guna pakai? Kredibiliti atau tidak sedangkan ada pula orang lain berhujah bahawa apa yang dikatakan oleh Fauzi itu tidak benar. Jadi itu kita nak gunakan itu sebagai hujah kita dalam Parlimen? Di mana kredibilitinya? Sebab itu...

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: [Menyampuk]

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Sikit lagi Permatang Pauh ya..sikit lagi. Sebab itu saya kata saya lebih mempersoalkan kredibiliti kita dalam melihat mereka ini, sebab itu sekarang ini timbul pula berbagai-bagai isu yang memperlihatkan kredibiliti Wakil-wakil Rakyat daripada sebelah sana tapi semuanya dikaitkan dengan kita. Saya membangkitkan soal, yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Permatang Pauh ini bukan kerana saya nak berhujah, maksudnya begini, iaitu apabila kita diminta menyokong Yang Berhormat Permatang Pauh ya, maka yang saya hujahkan ialah tidak kah ini double standard? Iaitu kita minta orang lain tandatangan surat untuk dihantar pada Agong itu dengan tujuan untuk membuktikan kepada Agong bahawa Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen, maka perlu lah Permatang Pauh diterima sebagai Perdana Menteri.

Inilah yang berlaku di Perak iaitu apabila tiga ahli Bebas menyatakan sokongannya kepada BN apabila Wakil Rakyat Bota itu kembali kepada BN ia telah menjadi 28:28, tidak perlulah maksudnya dibawa kepada Dewan Undangan Negeri. Ini yang saya buatkan perbandingan, apa bezanya kalau dulu kita nak buat cuma tidak berjaya, gagal 16 September, tetapi berlaku di Perak. Kenapa kita nak marah? itu sahaja, mohon penjelasan...Bersambung...

No comments: