Wednesday, May 20, 2009

Usul Menjunjung Kasih 2009 – DSAI (siri 1 dari 5 siri)

(Ucapan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim di parlimen pada 19 Feb 2009)

Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mengambil kesempatan menjunjung kasih atas Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong dan juga memohon maaf kepada Tuan Yang di-Pertua kerana tidak menghadirkan diri seperti mana yang telah saya jelaskan kerana saya tergendala di Doha.

Saya juga meneliti Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan saya ingin merujuk pertamanya pada perenggan 21 mengenai keluhuran Perlembagaan. Ini satu isu yang penting kerana setelah setengah abad merdeka Tuanku Agong masih merasakan perlu untuk mengulangi keperluan menggesa rakyat supaya memahami semula semangat Perlembagaan. Ada yang pernah menyebut seperti mana yang disebut Yang Berhormat Menteri pagi tadi bahawa Perlembagaan kita itu tidak ada mukadimah atau preamble.

Saya ingin membacakan preamble dalam pemasyhuran Perlembagaan yang disebut oleh, dibacakan, diisytiharkan oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1997,

“Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang berperlembagaan, berdasarkan demokrasi cara Parlimen.”

Tuan Yang di-Pertua, tiga perkara utama yang menjadi asas kepada pemasyhuran Perlembagaan adalah keutamaan Raja-Raja Melayu, hak asasi dan kebebasan rakyat serta sebuah negara aman makmur yang mengamalkan sistem demokrasi dan Raja Perlembagaan. Perkara ini diungkit kerana mutakhir ini perkataan derhaka diulang, dilaung-laungkan dan sebahagiannya oleh rakan-rakan saya di sebelah sana. Saya faham kalau agenda itu politik biasa tetapi isu ini, isu yang berkaitan dengan Perlembagaan dengan pendirian saya sebagai anak Melayu dan jiwa saya jiwa Melayu dan warga Malaysia.

Saya tahu mereka menggunakan media selain daripada Utusan Malaysia dan TV3 yang menjadikan isu derhaka isu besar dan menuduh saya di antara penderhaka. Saya hendak gunakan kesempatan ini Tuan Yang di-Pertua, untuk menjelaskan apa maksud institusi diraja dalam sejarah Melayu kerana tidak ramai yang melaung-laungkan dan uar-uarkan itu sebenarnya faham budaya dan sejarah mereka sendiri dan sebahagianya kerana tidak mampu bertarung berdepan sebagai pahlawan pendekar dalam parti. Mereka terpaksa berselindung di bawah istana yang mereka hina dan remehkan sebelumnya. [Tepuk]

Sejarah UMNO ditubuhkan itu sejarah yang mempertahankan institusi Raja. Saya tidak nafikan tetapi sejak 80-an kekuatan dan kuasa terhakis besar. Dalam ucapan 18 Januari 1993 di Dewan ini, Perdana Menteri ketika itu menyebut;

“Oleh itu lahirlah pendapat bahawa Raja perlu diletak di bawah satu Perlembagaan yang menentukan kedudukan dan peranan Raja dengan cara ini raja tidak boleh bertindak dengan sewenang-wenangnya. Kuasa Raja akan ditentukan oleh Perlembagaan iaitu undang-undang asas negara. Namun ada Raja yang sanggup menyerahkan negara diri sendiri kepada kuasa asing tanpa menghiraukan Perlembagaan.”

Apakah kenyataan dan ayat terakhir itu tidak menghina Raja di Institusi Raja? Benar, ada yang ditelah oleh rakan-rakan di sebelah sana. Saya pada ketika itu seorang Menteri dan memang saya konsisten untuk menyokong langkah-langkah yang mengikat semua institusi supaya tunduk kepada Perlembagaan tetapi maksud kita mendukung seperti mana yang telah saya jelaskan kepada Almarhum Tuanku Yang di-Pertuan Agong sendiri kepada ketika itu dan beliau menziarahi saya setelah saya menjalani pembedahan di Munich. Saya mengulangi pendirian saya. Kita menyokong Tuanku pindaan itu dengan maksud kuasa hanya mempertahankan kuasa Raja mengikut Perlembagaan dan selebihnya itu kuasa dipulangkan kepada rakyat.

Bukan apa yang berlaku iaitu kuasa yang diambil dari Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja dipulangkan kepada penguasa pemimpin-pemimpin negara yang boleh bertindak lebih rakus dalam sejarah. [Tepuk]

Saudara bagi orang yang menjana dan mencanang soal raja dan derhaka, rujuk semula sejarah Melayu, himbau semula kisah si Kitol celaka itu dan rakan konspirasinya, Raja Mendaliar yang tercatat dalam teks klasik Sejarah Melayu. Akibat hasutan dan fitnah si Kitol, dengan kekayaan melimpah Raja Mendaliar, Laksamana akhirnya termakan umpan lalu menyampaikan kepada Sultan bahawa Bendahara menderhaka. Fitnah bahawa Bendahara itu menderhaka dipersembahkan dan Sultan mengambil keputusan membunuh Bendahara dan seisi keluarga kecuali Tun Fatimah.

Tuan Yang di-Pertua rekayasa cerita ini adalah sama dikaitkan dengan apa yang berlaku di Perak Darul Ridzuan. Muncul kembali si Kitol dan Raja Mendaliar moden, ada yang terang ada yang berselindung dan media menghebahkannya. Ada peluang untuk orang berkarier seperti saya menjelaskan Tuan Yang di-Pertua, pagi ini ada arahan ulangan dalam RTM, jangan siar satu perkataan atau satu minit foto. Saya tidak hirau, 11 tahun saya alami ini lebih parah dari sekarang. Sekurang-kurangnya saya diberi ruang berbicara depan Tuan Yang di-Pertua tetapi jangan kita anggap rakyat boleh mudah dihina dan diperbodohkan. [Tepuk]

Retorik derhaka, derhaka, derhaka itu hanya untuk melindungi pekung rasuah jenayah yang dilakukan dan derhaka itu tidak ada maknanya. Sekarang konon-kononnya orang yang meraut, mengaut kekayaan berbilion ringgit menjadi pejuang, yang miskin kerdil menjadi penderhaka. Sejak bila Sejarah Melayu mengajar kita begitu? [Tepuk]

Saya sentuh pindaan Perlembagaan sebelum ini dan ada kalau di kalangan Ahli-ahli Parlimen muda kerana yang lain seperti mana yang kita tahu selain daripada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, tidak ada kebiasaan tidak ada tradisi, tidak mendengar hujah. Menteri datang untuk berucap, tinggalkan sidang. Apa ingat ini semua pendengar-pendengar
dan tidak punyai kekuatan untuk berhujah. Apa tradisi dan budaya untuk kita kekalkan?

Mereka akan bicara kemudian ulang derhaka. Pengulasan itu tidak ada, memang ada rakan-rakan saya sebahagiannya dari backbenchers yang mendengar tetapi ini budaya yang tidak boleh dipertahankan. Apa semuanya sibuk ketika ini? Jadi tidak mahu langsung hargai hujah yang dibawa.

Jadi Tuan Yang di-Pertua saya tidak mahu ulang apa yang berlaku 1993 dan pindaan yang berikutnya kerana UMNO pada ketika itu telah meminta di antara lain mulanya dipengerusikan oleh panel yang diketuai oleh Tun Ghaffar Baba termasuk saya dan kemudian akhirnya dalam membincangkan dengan Raja-Raja, saya yang diminta dan ditugaskan berbicara akhir dalam beberapa pertemuan dengan Tuanku Sultan Azlan Shah selaku Yang di-Pertuan Agong. Saya faham benar dan saya cuba meleraikan ketegangan itu dengan memberikan usul supaya dapat diperkenankan Tuanku.

Tuan Yang di-Pertua bila bangkit umpamanya oleh Yang Berhormat Bukit Gelugor kerana Yang Berhormat bagi Bukit Gelugor membuat kenyataan mencadangkan untuk menyaman Tuanku. Saya berpendapat saman itu perlu terhadap kerajaan negeri yang kita anggap tidak sah tetapi tidak perlu kepada Tuanku. Yang Berhormat Bukit Gelugor memilih untuk menegur saya dan ini dijadikan isu besar oleh Yang Berhormat Batu Pahat kerana dalam tradisi UMNO dan budaya, Perdana Menteri tidak boleh ditegur. Akan tetapi dalam budaya kita, saya ditegur agak garang juga oleh singa Bukit Gelugor ini tetapi saya anggap sebagai teguran yang baik, saya boleh bekerja dan tidak ada masalah bagi saya. Kita tidak boleh anggap parti di dalam Pakatan Rakyat ini, dalam kesepakatan ini seperti mana budaya dalam UMNO dan Barisan Nasional.

Apa yang diperintah oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri itu macam fatwa nabi semuanya. Itu sebabnya jadi rosak, punah, tidak berani bangun untuk membuat teguran. Jadi oleh yang demikian, saya hendak sebut sementara saya berbeza pendapat dengan Yang Berhormat Bukit Gelugor mengenai soal menyaman Tuanku, saya menentang keras percubaan menghina beliau, hak beliau dan mengugut beliau untuk menangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. [Tepuk] Inikah cara kita berunding? Kita tidak setuju, bangun, hujah macam Yang Berhormat Pasir Salak hendak lakukan. Sila.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan juga Yang Berhormat Permatang Pauh. Saya bersimpati dengan Yang Berhormat Permatang Pauh dengan perasaan yang begitu marah dan geram kerana beliau sekarang dalam situasi tertekan dan ditekan. Walau bagaimanapun, sebagaimana yang disuarakan oleh Yang Berhormat, biar kita berbicara secara rasional dan secara berhemah. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Permatang Pauh, adakah Yang Berhormat menganggap bahawa untuk mempertahankan hak-hak Perlembagaan, maka ianya perlu dilakukan tindakan biadab seperti yang berlaku di depan istana Tuanku tempoh hari. Di mana maki hamun, bukan sahaja terhadap orang ramai seperti saya yang hina ini tetapi juga kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan dan Raja Muda Perak. Bawa perkara ini ke mahkamah, tidak ada hal, kalau ada peruntukan-peruntukan yang dipercayai bahawa ada peruntukan Perlembagaan, perundangan yang boleh menjadi hujah kepada pihak Pakatan Rakyat, silakan. Tidak perlu untuk menjerit, mengadakan demonstrasi, mengacau keselamatan, memaki hamun, mencampuradukkan ayat Quran, ayat Allah SWT dengan maki hamun, tidak perlu, tidak perlu ini Yang Berhormat!

Saya tidak menafikan hak-hak Yang Berhormat Ketua Pembangkang dan rakan-rakan penyokong beliau untuk menuntut keadilan, menegakkan kebenaran, itu di pihak Yang Berhormat. Yang Berhormat kena fikir di pihak Duli Yang Maha Mulia Tuanku, dia ada hak-hak dia. Di sini saya ada bawa Perlembagaan, Perlembagaan Perak, The Constitution of The State of Perak, saya ada bawa Perlembagaan Malaysia. Memang ada interpretasi masing-masing, peguam pihak sana mempunyai interpretasi yang sedemikian. Bagi pihak istana, Tuanku mempunyai interpretasi beliau. Jadi biarlah mahkamah yang memutuskan.

Kalau mengikut interpretasi yang ada, saya juga merujuk kepada lawyer-lawyer atau peguam-peguam yang boleh kita pakai, yang independent, yang neutral dari segi politik. Mereka mengatakan hak Tuanku ada dua yang mutlak, ini dalam Perlembagaan. Pertamanya, melantik Menteri Besar, ini ada dalam Perlembagaan. Yang kedua, sama ada hendak membubarkan Parlimen atau tidak, juga hak mutlak Tuanku. Jadi ini kalau hendak dipertikaikan, bawa ke mahkamah, tidak perlu menjerit, tidak perlu maki hamun supaya kita boleh hidup dalam satu demokrasi yang dikatakan berhemah. Terima kasih.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Terima kasih Yang Berhormat Pasir Salak. Saya menyambut baik penjelasan Yang Berhormat Pasir Salak untuk memberikan ruang kepada kita menjawab dan juga menghadapkan kes ini ke mahkamah. Akan tetapi, Yang Berhormat Pasir Salak juga tahu di antara sebab kita dihina kerana kes ini dibawa ke mahkamah oleh sahabat-sahabat Yang Berhormat Pasir Salak. Kalau Yang Berhormat Pasir Salak mengatakan ada ruang, saya setuju dan soal Perlembagaan, saya pun ada bawa Perlembagaan. Bukan setakat itu, saya hendak ingatkan Yang Berhormat Pasir Salak, Yang Berhormat Pasir Salak mungkin tahu bahawa di peringkat akhir rundingan masalah Institusi Raja, pindaan Perlembagaan, etika Raja, itu saya yang merundingkan bagi pihak UMNO dengan Tuanku Raja Azlan Shah pada ketika itu.

Jadi saya bukan hendak berbahas soal itu. Dalam isu ini, seperti mana yang dibawa oleh Dato’ Seri Nizar berulang kali ialah mengambil daripada buku Governance Constitution Monarchy yang ditulis oleh Paduka Seri Sultan Perak yang kebetulan dikirim kepada saya semasa saya di penjara. Di antara lain menyebut tentang Constitution of Monarchy Rule of Law and Good Governance, dengan izin ‘under normal circumstances, it is taken for granted that the Yang di-Pertuan Agong would not withhold his consent to a request for dissolution of Parliament. His role is purely formal’. Ini hujah Paduka Seri Sultan Perak yang kita gunakan, apa yang derhakanya? Kalau Yang Berhormat Pasir Salak menyebut ada orang yang menghina ataupun maki hamun, saya setuju dengan Yang Berhormat Pasir Salak. Akan tetapi mengapa ditujukan kepada sebahagian orang yang marah pada ketika itu di Kuala Kangsar, saya setuju kita patut tegur.

Tuan Yang di-Pertua, mengapa kita tidak tegur bila Ahli-ahli UMNO di Terengganu menghina Yang di-Pertuan Agong dengan istilah yang paling kesat yang dipamerkan dalam akhbar. [Tepuk] Dan lebih daripada hina kerana istilahnya itu istilah yang cukup kesat yang saya tidak mahu ulang di sini. Kalau pendekatan yang digunakan itu konsisten, kita guna cara konsisten dan saya ingin menyebut di sini bahawa saya tidak bersetuju apa juga cara maki hamun atau menghina kerana institusi Raja itu harus dipertahankan. [Tepuk]

Dan bukan setakat itu, di Dewan yang mulia ini Tuan Yang di-Pertua, Tuan Yang di-Pertua masih ingat kenapa saya berpendapat isu imuniti kekebalan itu boleh dipertahankan yang telah dimusnahkan, dipinda oleh UMNO dan saya anggap satu hal yang salah yang harus diperbetulkan. Akan tetapi ia juga tertakluk kepada peraturan-peraturan, kita berpegang kepada prinsip iaitu Raja tidak melakukan kesalahan selagi mana dia berada di dalam parameter atau sempadan undang-undang dengan izin, ‘but kings that could do no wrong or that could not wrong because their power was circumscribed by laws’. ‘Raja tidak melakukan kesalahan kerana kuasa mereka terikat dengan undang-undang’, kata Bernard Mandeville dalam The Grumbling Hive.

Tuan Nasharudin Mat Isa [Bachok]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh. Seperti mana yang telah dinyatakan oleh Yang Berhormat Permatang Pauh tadi perbezaan pendapat kita bukan dengan hal yang berkaitan dengan ingin menyaman Tuanku. Walaupun kita ada perbezaan pandangan dan pendapat tetapi apa yang berlaku di negeri Perak tidaklah sampai kepada peringkat kita menabalkan seorang Raja baru. Bolehkah Yang Berhormat Permatang Pauh bersetuju dengan saya bahawa pemimpin UMNO pernah terlibat dalam menabalkan seorang Sultan baru sehingga kepada peringkat mencemar institusi Raja. Terima kasih. [Tepuk]

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Yang di-Pertua, kita boleh bawa rentetan peristiwa tentang apa yang dilakukan, bukan sahaja yang dianggap dari sudut yang dikaitkan dengan Perlembagaan dan undang-undang tetapi penghinaan yang jelas yang mengakibatkan pindaan Perlembagaan yang besar dan ucapan rasmi di Dewan yang jelas dan nyata menghina institusi dan kedudukan Raja-Raja.

Saya hendak sambung Tuan Yang di-Pertua kerana Institusi Raja ini dikaitkan dengan sejarah dan budaya Melayu. Maka oleh yang demikian, kitab-kitab klasik yang berkaitan harus disingkap semula. Di antara lain Bukhari Al-Jauhari yang menulis di Acheh di terbit di sekitar 1603, berjudul ‘Tajul Salatin Mahkota Segala Raja’. Kata Bukhari Al-Jauhari, “Sesungguhnya Allah Taala menitahkan akan adil dan ihsan dan barang siapa daripada Raja-Raja yang tiada dua peri ini pada-Nya tiada dapat dibilang Raja adanya”. Ini orang yang menasihati Raja. Orang yang menasihati Raja itu mengingatkan Raja-Raja. Apakah kenyataan ini kenyataan derhaka? Tidak. Kenyataan ini tercerna dari perasaan kasih untuk mempertahankan Institusi Raja bukan untuk mendukung semua keterlanjuran. Ada kupasan-kupasan lain yang saya tidak singkap di sini dan saya akan edarkan. Akan tetapi saya nak rujuk semula kepada kitab atau sejarah kitab klasik yang sangat penting bagi kita orang Melayu dan rakyat Malaysia iaitu Hikayat Hang Tuah - Bab 15. Saya faham Tuan Yang di-Pertua arif tentang Hikayat Hang Tuah ini iaitu bila Bendahara Paduka Raja bertindak menyalahi keputusan Sultan Melaka ketika itu.

Bendahara ini orang taat. Dia tahu apa yang berlaku sebelumnya dengan kisah Hang Jebat yang dianggap si penderhaka. Sekarang sebelumnya maaf, Hang Tuah dititah oleh Tuanku Sultan untuk dibunuh. Bendahara memutuskan untuk tidak membunuh Tun Tuah dan sembunyikan Tuan Tuah di Hulu Melaka. Ini yang dikatakan Bendahara pintar. Bendahara yang dalam sejarah Hang Tuah dianggap bijaksana. Masjid Tanah dia tahu dia orang Melaka. Derhaka Bendahara Paduka Raja derhaka. Akan tetapi derhaka Bendahara Raja sebab itu disebut ‘Ampun Tuanku, sembah derhaka patik sembahkan’. Itu dibolehkan Yang Berhormat Pasir Salak bukan maknanya derhaka ini semua tidak boleh. Ini orang yang jerit derhaka tidak faham istilah bahasa. Ini masalahnya dalam UMNO ini, dia tidak faham. Derhaka ini salah semua. Tak betul.

Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Tak reti bahasa.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ha betul. Terima kasih.

Dato’ Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Tak reti Melayu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Derhaka Bendahara Paduka Raja bukan derhaka Hang Jebat malah sikap Mamanda Menteri itu menyelamatkan keadaan umpamanya dalam karya klasik Melayu Hang Tuah itu pembentuk peribadi dan kebudayaan kita, kemahiran pelbagai bahasa, penampilan tokoh berani dan handal, taat dan bijak. Jadi membaca karya itu menambahkan rasa kagum kita kepada apa yang ditonjolkan sebagai tokoh dan pahlawan Melayu sejati. Akan tetapi saya nak sebut tentang derhaka Bendahara Paduka Raja yang memilih untuk menyelamatkan Tun Tuah di Hulu Melaka. Saya tidak tahu di Hulu Melaka di mana? Dekat Masjid Tanah saya kira.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Minta laluan sikit. Sikit lagi. Sekali lagi. Saya rasa cerita Hang Tuah dan sebagainya itu tadi tidak perlu dalam konteks yang kita hadapi sekarang ini. Saya nak tanya kepada Yang Berhormat. Dalam satu perhimpunan merayakan kemenangan Parti Pembangkang di Perak iaitu di stadium. Di mana semua pemimpin-pemimpin besar Pakatan telah turut hadir dengan ribuan penyokong. Ada beberapa pemimpin daripada DAP berucap dengan begitu lantang dan berani sekali dan melaungkan kata-kata bahawa sudah berakhirnya ketuanan Melayu dan bermulanya ketuanan rakyat. Memang kalau secara literalnya ditafsirkan rakyat itu yang lebih berkuasa. Merekalah yang menjadi tuan kononnya. Akan tetapi dalam satu Sistem Raja Berperlembagaan pemerintah ketua kerajaan ialah Raja, Sultan, Agong dan memberi erti bahawa di situ orang ramai sudah merasakan bahawa Pakatan membawa satu perjuangan untuk menghapuskan kedudukan dan kuasa Sultan serta mengangkat rakyat lebih mengatasi Raja-raja. Ini telah dibuktikan untuk pengetahuan Yang Berhormat Permatang Pauh dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri di Perak. Exco Pakatan membuat kenyataan-kenyataan khususnya Exco daripada DAP yang memperlekeh dan menghina Sultan-sultan. Apa ada pada kuasa Sultan? Apa peduli pada Sultan? Kita yang berkuasa sekarang? Keangkuhan ditunjukkan oleh mereka dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri. Ini betul. Jadi saya hendak bertanya kepada Yang Berhormat Permatang Pauh bukankah ini tanda-tanda menunjukkan penderhakaan sudah dilihat bibit-bibitnya? Bersambung ...

No comments: