Monday, May 4, 2009

Gobind kena gantung - 4/5

USUL MENGGANTUNG TUGAS YANG BERHORMAT PUCHONG SEBAGAI AHLI PARLIMEN MENGIKUT PERATURAN MESYUARAT 27(3)

Dato’ Razali bin Haji Ibrahim [Muar]: Bismillaahir Rahmaanir Rahiim. Assalamualaikum Warmatullaahi Wabarakaatuh. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Yang di-Pertua: Sila.

Dato’ Razali bin Haji Ibrahim [Muar]: Saya mengucapkan terima kasih dan kita telah lama menantikan ketegasan dalam Dewan ini atas perlakuan yang berlaku. [Tepuk] Saya bersimpati dengan Tuan Yang di-Pertua kerana terpaksa memberi penjelasan kepada satu perkara yang sangat mudah yang telah dipersetujui oleh Tuan Yang di-Pertua untuk dibawa ke Dewan. Sebenarnya pada saya Tuan Yang di-Pertua, tidak perlu sebut perkara-perkara itu, itu adalah kuasa Tuan Yang di-Pertua. [Tepuk] Banyak perkara telah kita lakukan dan saya sebenarnya ingin menarik keadilan usul yang dibawa. Saya ucapkan tahniah kerana perkara ini serius. Kalau hendak kata tidak tahu saya nampak tersusun perkara yang dibangkitkan tadi. Sudah macam ada satu perancangan, tetapi yang ada di hadapan kita ini bukan soal sub judice seperti yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Bandar Kuching. Saya nampak perkataan pembunuh ini tidak perlulah kita kaitkan kepada mana-mana. Peraturan 36(9) jelas, saya membaca keputusan yang pernah dibuat oleh rakan-rakan Ahli Parlimen kita yang terdahulu.

Tahun 1966, perkataan yang diguna oleh Yang Berhormat SP. Sinavasagam kepada Yang Berhormat Menteri Tun Dr. Ismail. Dia guna diktator sahaja. Dia tidak guna pembunuh. Dia guna diktator pun didapati bersalah. Ini perkara yang kita hendak timbulkan. Dia tuduh saya pun pembunuh pun boleh salah. Tidak perlu kait dengan kes mana-mana pun. Bukan sebab sub judice. Yang Berhormat yang bangun tadi saya nampak semua peguam. Dalam satu kes yang sedang berjalan di mahkamah disebut oleh Puchong. Dia sebut. Kalau hendak kata dia tidak kaitkan dia sebut. Banyak kes yang masih belum dibawa ke mahkamah tetapi sebelum itu ada dia kata ada saksi penting yang tidak dibawa cuba mengaitkan Yang Berhormat Pekan. Walaupun dia bukan pihak dalam kes yang terbabit, mengaitkan itu pun pada saya tidak betul. Jangan kata pembunuh kes tahun 1966 diktator pun salah.

Jadi pada hari ini, kita perlu membuat pendirian sama ada kita Yang Berhormat ingin terus bermain dengan isu politik. Terus membakar sentimen sampai nanti ada orang sebut ada kes diputuskan di mahkamah walaupun percanggahan pendapat oleh hakim, perlakuan tetap berlaku kenapa kita tidak bangkitkan? Kenapa kita terima keputusan mahkamah? Ini bukan sub judice. Ini keputusan mahkamah. [Tepuk] Tidak kita bangkitkan. Kita tidak mahu perkara ini dimainkan oleh Ahli-ahli Parlimen kerana kita di antara tugas yang lebih besar. Ada banyak kes sebelum ini Yang Berhormat pada saya perkara ini tidak perlu kita panjangkan. Besar sungguh dua perkara salah yang dibuat:-

(i) Menghina Speaker apabila di sebut tadi “You should be ashamed of yourself”, enam bulan; dan
(ii) Menyebut Ahli Parlimen Pekan pembunuh, enam bulan.

Sudah betullah 12 bulan. [Ketawa] Ini bukan perkara ini bukan precedent selalunya enam bulan Yang Berhormat Bukit Gelugor pernah kena enam bulan, Yang Berhormat Batu Gajah pun pernah kena enam bulan sebab satu salah. Hari ini dua salah.

Seorang ahli: Banyak lagi.

Dato’ Razali bin Haji Ibrahim [Muar]: Sebelum ini pun disebut dengan apartheid, kita tidak ambil tindakan Yang Berhormat Speaker. Saya pun kalau hendak ikut hati, kita patut lebih awal. Kalau katakan diktator pun salah, apartheid pun salah.

Beberapa ahli: [Bangun]

Dato’ Razali bin Haji Ibrahim [Muar]: Janganlah bangun dulu. Saya tidak bagi. Saya tidak bagi. Tak apa, tak apa. [Dewan riuh] Ramai lawyer hendak bangun pun bangunlah saya tidak bagi. Yang Berhormat.

Seorang Ahli: Yang Berhormat lepas ini bahas.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat, Ahli Yang Berhormat. Yang berdiri ini minta penjelasan. Mahu kasi laluan tidak?

Dato’ Razali bin Haji Ibrahim [Muar]: Saya tidak bagi.[Dewan riuh] Tuan Yang di-Pertua, dekat satu jam kita dengar dia guna peraturan mesyuarat. Kita yang ada undang-undang ini gunalah ilmu itu cara betul. [Tepuk] Janganlah kita bawa... Saya lebih mementingkan apa persepsi rakyat. Kita tidak mahu besok, bila kita buat keputusan 12 bulan...

Tuan Yang di-Pertua: Ahli Yang Berhormat. Ahli Yang Berhormat. Duduklah Yang Berhormat. Ahli Yang Berhormat yang tidak mahu buat penjelasan. Sila duduk.

Dato’ Razali bin Haji Ibrahim [Muar]: Kita buat keputusan 12 bulan, dia keluar ini dia buat cerita kat luar kata kita hendak menganiaya kawan-kawan. Bukan, ini perkara yang tidak betul. Saya kata saya tidak bagi.

Tuan Yang di-Pertua: Ahli Yang Berhormat. Ahli Yang Berhormat. [Dewan riuh] Ahli Yang Berhormat. Penjelasan apabila yang berucap itu tidak kasi laluan bermakna tiada penjelasan. [Dewan riuh. Kenapa sering kali diangkat peraturan mesyuarat ini segala Yang Berhormat terlibat juga tidak ikut. Apa sebab? Yang Berhormat Beruas sudah. Sila terus. [Dewan riuh] Ahli Yang Berhormat. Kalau perkara ini keceloparan tidak melebihi tiada hari ini. Jadi mulai daripada hari ini, ambil iktibar. Kalau berucap, berucap macam Yang Berhormat Permatang Pauh. [Dewan riuh] Sila teruskan.

Dato’ Razali bin Haji Ibrahim [Muar]: Tuan Yang di-Pertua, tadi disebut banyak perkara-perkara yang (a) sampai (f), (n) sembilan itu semua privileges itu bukan bawah kita. Tuan Yang di-Pertua, atas kita perlembagaan kita buat undang-undang untuk dijalankan di mahkamah. Kita bukan mahkamah. Jadi perkara-perkara yang diberi kuasa kepada para hakim kita pada hari ini harap dapat dijalankan dengan baik tetapi dalam kes ini pada saya usul yang dibawa ini perlu disegerakan. Perkataan segera itu kalau kita bawa privileges pun ia akan bahaskan di sini juga. Buat apa kita buang masa. Ayatnya segera. Kalau tidak, bukan segeralah. Bukan kalau kita buat Jawatankuasa dia terus putus kita terima, kita bahas juga. Jadi hari ini disebabkan kesegeraan supaya tidak berpanjangan kita ini semua diberi amanah untuk berbahas. Tidak puas hati, puas hati, hendak beritahu dalam Dewan ini. Tidak perlu kita tunggu.

Beberapa Ahli: [Bangun].

Dato’ Razali bin Haji Ibrahim [Muar]: Saya sudah kata saya tidak bagi dan berdiri apa lagi? Duduklah sekejap. Saya cakap tidak panjang. Saya tidak niat hendak cakap panjang. Kalau bagi saya sepuluh minit ini habis sebab perkara ini perkara yang perlu kita putuskan kerana kesegeraan. Nanti Yang Berhormat dapat peluang Yang Berhormat cakaplah. Cakap saya tidak ganggu. Saya hendak beritahu kita ada rules of law.

Dalam perkara yang disebut 36(1) sampai sembilan itu semua dilanggar. Dalam perlembagaan disebut satu sampai tiga pasal apa? Sebutlah empat sekali. Peraturan 63(4) kata perkara yang berlanggar dengan hasutan, 63(5) yang menyentuh tentang Yang di-Pertuan Agong, kenapa tidak sebut. Jangan baca separuh-separuh.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat apa ini. Point of order kah penjelasan? Point of order. Sila.

Tuan M. Kula Segaran [Ipoh Barat]: Tuan Yang di-Pertua, saya merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 83 yang dibahas oleh Yang Berhormat sebelum ini mengatakan bahawa Dewan ini dapat membuat keputusan kerana perkara-perkara adalah diketahui oleh semua. Ini tidak benar Tuan Yang di-Pertua. Kalau kita teliti 83 ia memberi ruangan untuk memanggil saksi-saksi di antaranya dia kemungkinan besar Yang Berhormat Puchong akan memanggil saksi-saksi yang ada berkaitan dengan apa yang dituduhkan. [Dewan riuh]

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih. Terima kasih.

Tuan M. Kula Segaran [Ipoh Barat]: Maka Tuan Yang di-Pertua, mereka mungkin tidak setuju pada saya.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih.

Tuan M. Kula Segaran [Ipoh Barat]: Tuan Yang di-Pertua, jadi dia.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih. Terima kasih. Terima kasih Ipoh Barat.

Tuan M. Kula Segaran [Ipoh Barat]: Saya belum habis. Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat telah mengelirukan Dewan ini, mungkin dia tidak tahu belajar daripada kita.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat, Yang Berhormat sudahlah Yang Berhormat. Ahli Yang Berhormat Ipoh Barat sudahlah. Sudahlah Yang Berhormat Ipoh Barat sudahlah. Ahli Yang Berhormat. Duduk Yang Berhormat Ipoh Barat. Duduk. Yang Berhormat Ipoh Barat duduk. Semua peraturan-peraturan mesyuarat yang telah dibangkitkan dan akan dibangkitkan bagi tafsiran saya di bawah Peraturan Mesyuarat 43, Peraturan Mesyuarat 27(3) yang dibawa oleh Menteri itulah muktamad. Ahli-ahli Yang Berhormat, kenapa takut berbahas dengan soal gelagat Ahli-ahli Yang Berhormat sendiri. Apa pasal? Saya cuma benarkan usul mengikut pendapat saya usul itu adalah proper. Yang dibahas adalah tabiat Ahli-ahli Yang Berhormat sendiri bukan orang lain. Kenapa harus sangat dipertikaikan ini? Sila. Teruskan.

Dato’ Razali bin Haji Ibrahim [Muar]: Jadi.

Tuan Yang di-Pertua: Kenapa ini harus mendapat halangan sudahlah 27(7), (3) saya kata proper. Proper lah. Sekarang yang dibahas, adakah kamu mahu juga bercakap lebih-lebih kecuali itu yang kamu mahulah. Memaki hamun sesama sendiri, tuduh-menuduh, fitnah. Kalau itu kamu mahu bagi tahu. Buat press statement di luar sana. Pergi luar sana buat press statement. Ini yang kami mahu. Sila.

Dato’ Razali bin Haji Ibrahim [Muar]: Sebab itu Tuan Yang di-Pertua, saya sebenarnya simpati Tuan Yang di-Pertua tidak perlu cerita panjang-panjang Tuan Yang di-Pertua. Memang itu kebijaksanaan kita bahaslah. Kenapa diserang Tuan Yang di-Pertua sebab keputusan.

Tuan Yang di-Pertua: Sila bahaslah. Yang you pun ini juga Yang Berhormat, kamu punya hal yang sendiri. Terpulang kepada kamu.

Dato’ Razali bin Haji Ibrahim [Muar]: Tuan Yang di-Pertua, banyak kes yang pernah kita putuskan dalam Dewan mungkin bukan oleh kita tetapi oleh yang terdahulu. Bila kita buat kenyataan dalam surat khabar pun salah. Betul kita ada imuniti tapi kita tidak sewenang-wenang buat kenyataan di luar. Mengeluarkan kenyataan dalam PAC pernah jadi tahun 1960 pun salah kerana tidak dibawa di Dewan. Betul kita ada PAC tetapi ia tidak boleh buat kenyataan di luar tanpa membawa ke Dewan sebab Jawatankuasa ini ditubuhkan oleh kita.

Jadi hari ini kita berpeluang untuk melihat satu kes yang straight forward, dengan izin disebut dengan jelas. Saya tidak minat hendak tengok yang panjang-panjang, panggil saksi dan yang sebagainya. Saya ada dalam Dewan, saya dengar tiga kali dia sebut kalau saya hendak ulang balik dalam ini pun ada, tidak payah. Dalam Hansard nanti dapat seorang satu baca, apa yang dia sebut. Yang Berhormat Serdang pun ada juga tokok tambah dalam itu, baca sendiri .

Akan tetapi hari ini Usulnya kepada Yang Berhormat Puchong dan Usul itu dipersetujui oleh Tuan Yang di-Pertua dan kita tidak ada masalah menerima 12 bulan. Kalau ikut kita hendak suruh tambah, tetapi sebab mereka yang berwajib di pihak kerajaan telah membawa Usul - 12 bulan, maka kita bahaskan. Sebab itu akhir sekali jangan kita ingat, kita ini berada di atas undang-undang. Kes public prosecutor Datuk Mark Koding Ahli Parlimen Kota Kinabalu disebut semasa Usul Titah Diraja tahun 1978 dibawa ke mahkamah. Dibuat keputusan tahun 1982 didapati bersalah, mana kita ada imuniti? Sebab itu apabila tidak mahu mengulangi kenyataan dalam Dewan, di luar, impolitely bersalahlah itu. Kalau berani buat balik di luar, saya hendak tengok. Semua ini peguam jangan kita gunakan undang-undang, saya pun kadang-kadang terfikir juga tadi padanlah banyak kes mahkamah tertangguh. Benda yang mudah, yang boleh kita putuskan dengan segera, panjang, sebab banyak sangat tahu undang-undang. Minta maaf saya dalam Dewan...

Seorang Ahli: Tidak payah maaf.

Dato’ Razali bin Haji Ibrahim [Muar]: ... saya sebut sebab saya terfikir tadi. Sama ada tahu atau tidak pada saya usul ini mudah, saya ingin menyarankan menjadikan ini sebagai pengajaran dan saya harap Tuan Yang di-Pertua kita tidak mahu esok dijadikan isu politik. Cerita seolah-olah ada pertimbangan politik, sentimen dan sebagainya. Saya tidak minat dan saya rasa kami di Barisan Nasional tidak minat tentang itu. Kita tahu perkara yang dibuat itu salah walaupun dilakukan oleh rakan bijaksana di sebelah sana. Akan tetapi salah tetap salah, hukuman yang diberi perlu kita tunjukkan teladan supaya tidak diikuti pada masa depan. Sekian terima kasih, saya mohon menyokong. [Tepuk]

Beberapa Ahli: [Bangun]

No comments: