Monday, May 4, 2009

Gobind kena gantung - 5/5

USUL MENGGANTUNG TUGAS YANG BERHORMAT PUCHONG SEBAGAI AHLI PARLIMEN MENGIKUT PERATURAN MESYUARAT 27(3)

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Permatang Pauh.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Yang di-Pertua, saya ucapkan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua. Saya juga meneliti usul yang dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Walaupun saya merasakan perlu diberikan tempoh supaya diteliti, tetapi saya akur keputusan Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua kenyataan yang dikeluarkan oleh Yang Berhormat Puchong memang kenyataan serius. Saya tidak nafikan, dalam keadaan biasa baik pembangkang atau kerajaan tidak boleh pandang ringan sebab itu saya faham mengapa Menteri merasakan perlu usul ini dibawa segera.

Cuma saya ingin menjelaskan di sini, ini satu tuduhan yang berat dan sesiapa juga Ahli Yang Berhormat sama ada pihak kerajaan atau pembangkang tidak harus mengeluarkan kenyataan yang serius begini, yang kasar begini kalau tidak mampu mempertahankan dakwaan itu. Saya tidak berkesempatan untuk berbincang panjang dengan Yang Berhormat Puchong, tetapi sepatutnya sebelum kita berbicara soal hukum. Kita harus beri ruang mengapa sanggup seorang Ahli Yang Berhormat mengeluarkan kenyataan yang begitu kasar mendakwa seorang Timbalan Perdana Menteri tidak membunuh, tetapi terlibat dalam pembunuhan, dalam kes pembunuhan.

Sebab itu kita tahu dalam hal ini sepatutnya ada dua pertimbangan yang saya rasa kita harus berikan perhatian. Pertama, oleh kerana tuduhan ini serius dan dia tidak terlepas begitu sahaja, kita hukum orang itu. Tuduhan masih kekal sebab itu jangan kita terburu-buru untuk menggunakan kuasa majoriti kita menghukum kemudian kes ini dengan sendirinya terhenti. Sebaiknya kes ini harus diselesaikan melalui ketegasan, memberi ruang kepada orang yang mendakwa kalau tidak mampu memberikan hujah dan bukti, maka menghukum mengikut peraturan undang-undang yang ada.

Inilah sebab mengapa ada kebijaksanaan bila rakan-rakan mengemukakan supaya diteliti di bawah Peraturan Mesyuarat 80(1) iaitu Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Kerana ini bukan soal seperti mana yang saya dengar enam kali diulang oleh Tuan Yang di-Pertua tentang celopar begitu sahaja. Kalau orang celopar tuntut dia minta maaf atau hukum begitu. Akan tetapi ini tuduhan yang begitu serius, ia tidak boleh ditutup hanya dengan kenyataan Menteri ataupun undi. Ini tuduhan jenayah yang berat dan besar, saya tidak tahu sama ada Yang Berhormat Puchong akan menjelaskan kemudian. Mungkin di sini atau juga di luar, tetapi oleh kerana dakwaan itu dakwaan yang agak keras yang tidak sepatutnya dikeluarkan kalau tidak ada keupayaan mengemukakan bukti.

Ini saya tidak pertikai, sesiapa juga yang mengeluarkan kenyataan yang menuduh sesiapa bukan sahaja Timbalan Perdana Menteri. Rakyat biasa, buruh kasar sekalipun kalau tidak dapat mengeluarkan bukti dan tidak boleh mempertahankan hujahnya, tidak boleh menggunakan haknya sebagai manusia apatah lagi sebagai Ahli Parlimen. Sebab itu saya kurang mengerti walaupun telah dibuat keputusan mengapa kita tidak berikan ruang supaya diberikan penjelasan dan rakyat juga puas hati. Ada tuduhan yang begitu kasar dan keras dilemparkan, siasatan dilakukan kemudian didapati tidak benar, maka orang yang membuat dakwaan itu dihukum keras. Akan tetapi kalau kita gunakan hanya ruang ini, bahas dari segi politik kemudian jatuhkan hukuman yang keras, itu tidak menyelesaikan masalah, itu yang pertama.

Yang kedua Tuan Yang di-Pertua, ialah sesiapa sahaja, bukan sahaja Timbalan Perdana Menteri, Ahli Parlimen atau orang lain bila terkena tuduhan begitu harus berupaya untuk mempertahankan dirinya menolak ini sebagai satu fitnah kemudian menuntut supaya penyiasatan yang rapi dan terbuka dilakukan. Yang dibangkitkan kebimbangan adalah kerana dalam kes ini dicurigai dan dikhuatiri kerana rekod penyiasatan dan perjalanan mahkamah, hal ini tidak dipatuhi dan diikuti. Ini yang menimbulkan permasalahan dan persoalan ini terus dibangkitkan berulang kali. Saya tidak mahu menyenaraikan apa yang dijadikan pengetahuan umum yang berkaitan dengan kes yang menyebabkan Yang Berhormat Puchong yang juga peguam dalam kes ini, yang melemparkan tuduhan yang keras begitu. Ada yang dibangkitkan yang sampai sekarang ditutup begitu sahaja, soal pegawai penyiasat yang hilang, soal rekod imigresen yang hilang, soal keterangan yang saksi tidak dipanggil. Hal-hal ini adalah hal yang kita sebut sahaja ia terus sub judice, jadi akhirnya semua kes yang ditafsirkan dan persepsi rakyat yang melibatkan tokoh-tokoh besar tertutup kerana menggunakan kuasa dan kekuatan sub judice yang disebutkan itu.

Sebab itu saya inginlah meminta pertimbangan Tuan Yang di-Pertua dan rakan-rakan, saya tidak bermaksud supaya menarik balik usul ini tetapi bagi ruang. Yang Berhormat jika Yang Berhormat bercakap tentang rule of law, the principle of natural justice ada orang membuat tuduhan, dia mempertahankan tuduhan itu. Kalau dia tidak buat balik tuduhan orang yang dizalimi atau difitnah berhak untuk menuntut tuduhan. Dalam kes ini orang yang buat tuduhan tidak ada hak untuk mengeluarkan keterangan yang terperinci dan siasatan teliti dan orang yang dituduh tidak pun menyebut dan menafikan dan ada untuk mempertahankan dirinya. Dalam dua-dua prinsip tidak ada, yang ada hanya menggunakan ruang dan kuasa kerana jumlah yang ramai dan majoriti untuk menghukum tanpa dua prinsip ini diambil kira.

Jadi saya pohon setakat itu, saya minta Tuan Yang di-Pertua beri pertimbangan kalau tidak - sukar, kita diminta untuk terus membuat keputusan dalam tuduhan yang berat. Ini bukan soal yang Tuan Yang di-Pertua ulang sebut, ini soal kenyataan yang longgar. Saya faham, saya juga dihamun banyak walaupun rakan-rakan saya cakap soal prinsip hari ini, yang melanggar batas akhlak dan etika baik khazaf, baik fitnah tetapi itu soal lain. Ini kalau berkaitan dengan tuduhan jenayah besar, ia tidak tertutup. Menteri Dalam Negeri ada di sini, ia tidak boleh ditutup dengan hanya undi majoriti.

Soal tuduhan jenayah besar harus ada keupayaan, pertama biar hak, bukan sahaja hak yang menuduh. Bahkan saya dalam hal ini, terkeluar daripada pertimbangan lain yang saudara-saudara boleh tafsirkan. Hak Yang Berhormat Pekan, Timbalan Perdana Menteri untuk mempertahankan dirinya dan membersihkan dirinya. Itu harus diberikan sepenuhnya. Akan tetapi dalam kes ini, yang ada bukan soal principle of natural justice. Yang ada hanya brute power, force untuk mengatakan right or wrong berdasarkan undi bukan berdasarkan siasatan dan keputusan yang sebenarnya. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. [Tepuk]

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, saya cuma benarkan perbahasan ini sehingga jam satu. Saya mahu Menteri menjawab mungkin dalam lima hingga sepuluh minit. Ahli Yang Berhormat-Ahli Yang Berhormat, perkara ini jelas, saya membenarkan usul itu atas sebab saya duduk di sini hampir setahun. Saya dengar segala ungkapan-ungkapan yang dikeluarkan. Akan tetapi malangnya apabila ditegur tidak ada siapa yang mendengar. Akan tetapi apabila satu perkara yang berbangkit begini, semua angkat peraturan mesyuarat. Ada lagi perkara-perkara lain yang perlu dibincangkan. Peringkat Jawatankuasa, Menteri menjawab, ada lagi lebih kurang 20. Jadi kalau Ahli-ahli Yang Berhormat bersikap seperti Ahli-ahli Yang Berhormat, tidak ada perkara begini yang menghabiskan masa kita. Silakan Yang Berhormat Batu Pahat. Saya juga ada kuasa untuk saya tetapkan masa itu kerana saya sendiri yang menerima usul ini. Usul ini, apa yang dihujahkan oleh Yang Berhormat Permatang Pauh saya terima dengan baik tetapi saya terima usul ini proper. Saya mahu Ahli-ahli Yang Berhormat bahas, saya juga mahu Ahli-ahli Yang Berhormat juga kasi jatuh hukuman, bukan saya supaya lain kali, jangan lagi ada hujah-hujah yang melanggar peraturan mesyuarat. Silakan.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih. Saya ingin tanya beberapa minit kah Tuan Yang di-Pertua?

Tuan Yang di-Pertua: Dua, tiga minitlah. Jangan terlampau panjang lebar. Yang Berhormat sudah berucap di sini berapa puluh jam kalau dikira dari tahun lalu lagi. [Ketawa] Dua, tiga minit cukup.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, saya menyokong usul ini sebab mesti ada noktah kepada perkara ini, kelakuan ini dan tindakan yang tidak mengikut peraturan sebab perkara ini sudah diulang dua tiga kali dan tindakan pun pernah diambil terhadap Yang Berhormat Puchong tetapi beliau mengulang juga perbuatan ini. Maka saya fikir apa yang diusulkan oleh Menteri pada hari ini adalah cukup penting supaya memberi pengajaran kepada kita untuk mematuhi peraturan yang sedia ada yang begitu banyak disebut oleh Tuan Yang di-Pertua, 36(2), 36(4), 36(6) dan sebagainya. Jadi sebab itulah, pada saya apa yang berlaku pada hari ini, cukup jelas menyatakan bahawa ada orang yang berpengetahuan undang-undang seperti Yang Berhormat Puchong tetapi menyalahgunakan kekebalan yang ada di Parlimen ini untuk sebenarnya menimbulkan persepsi buruk terhadap individu tertentu khususnya kepada Yang Berhormat Pekan.

Saya ingin menghujah apa yang disebut oleh Yang Berhormat Permatang Pauh yang menyatakan kenapa tidak perlu disiasat sedangkan kita lihat hujah Yang Berhormat Puchong hanyalah berdasarkan kepada kenyataan Ketua Penyiasat, Chief Inspector Gan itu yang dia kata bahawa Yang Berhormat Pekan adalah saksi utama. Akan tetapi apa yang jelas bila saya baca balik apa yang dibangkitkan dalam kes Raja Petra ini hanyalah dibaca statement tersebut tetapi tidak disebut sepenuhnya sedangkan Chief Inspector itu dengan jelas menyatakan, dengan izin Tuan Yang di-Pertua “Pekan was not interrogated because the police had dismissed his involvement in this case.”

Cukup jelas. Kenapa dia tidak baca habis? Jadi, hujah beliau menggunakan hujah yang tidak kukuh, maka itu yang saya katakan bahawa tindakan perlu diambil. Kalau berani kenapa tidak bawa dakwaan ini luar daripada Parlimen dan bila di bawa di dalam Parlimen, berasaskan kepada andaian dan hujah yang tidak kukuh dan sebenarnya ramai yang teraniaya. Bukan sahaja Inspector Gan teraniaya kerana dia menyatakan bahawa Yang Berhormat Pekan tidak perlu dipanggil kerana tidak ada kes. Kenapa tidak disebut? Kemudian Yang Berhormat Pekan juga teraniaya dan ramai orang teraniaya termasuk rakyat teraniaya kerana ditipu dengan hujah...

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih Yang Berhormat Batu Pahat.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: ...Yang tidak kukuh daripada Yang Berhormat Puchong itu tadi.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih Yang Berhormat Pahat. Cukup, cukup.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Oleh sebab itu bagi saya tindakan tegas mesti diambil terhadap Yang Berhormat Puchong. Saya setuju setahun, sepatutnya lebih daripada itu. Tuan Yang di-Pertua, sepatutnya dalam kes seperti ini, kalau ada orang membuat tuduhan terutama dalam kes berat melibatkan pembunuhan ini, maka sepatutnya perlu ditanya pada dia, boleh tidak buat dakwaan di luar? Kalau dia enggan juga, sebenarnya kita tidak perlu tunggu lama. Ambil tindakan tegas sahaja kepada orang ini sebab ini tidak bertanggungjawab sebenarnya kepada rakyat, menyalahgunakan institusi Parlimen...

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih, terima kasih Yang Berhormat Batu Pahat.

Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: ...Sebab dia seorang peguam. Oleh itu saya harap perkara seperti ini jangan berulang lagi. Saya mohon menyokong.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih Yang Berhormat Batu Pahat. Saya harap juga lain kali Yang Berhormat Batu Pahat jangan melanggar peraturan mesyuarat. [Disorak]. Silakan Yang Berhormat Ipoh Timur.

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Tuan Yang di-Pertua, hari ini Parlimen kita bertindak sebagai satu mahkamah untuk buat keputusan dan buat hukuman dan kita pun perlu mengikut suasana dan syarat-syarat satu-satu mahkamah. Kalau mengikut mahkamah, mungkin sudah ada permohonan bahawa hakim patut fikir untuk recuse himself oleh kerana sangat jelas daripada kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Tuan Yang di-Pertua, nampaknya Tuan Yang di-Pertua sudah buat satu prejudgment mengenai perkara ini dan Tuan Yang di-Pertua pun mahu hukuman dibuat. Tuan Yang di-Pertua perlu bukan sahaja adil tetapi justice not to be done but must seen to be done tetapi saya harap...

Tuan Yang di-Pertua: Saya buat justice pun Yang Berhormat Ipoh Timur, dituduh juga tidak adil. Ada Ahli-ahli Yang Berhormat yang menganggap Parlimen ini sebagai jungle. It is like jungle out there.
Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Ya, jangan kita menjadi satu kangaroo court. Kita nampaknya dilihat orang ramai satu kangaroo court dan saya tidak mahu memohon Tuan Yang di-Pertua untuk recuse yourself, withdraw daripada ini kerana dalam mahkamah tentulah ada satu permohonan dibuat dan yang Tuan Yang di-Pertua adalah seorang peguam, tahu latar belakang ini. Akan tetapi dalam perkara ini saya harap kita baca usul ini bahawa tindakan dicadangkan diambil terhadap Yang Berhormat Puchong oleh kerana ada mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mendakwa Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, Ahli Parlimen kawasan Pekan terlibat dalam kes pembunuhan.

Ini satu public interest question. Satu public interest question kerana beberapa perkara yang timbul yang disebut oleh Yang Berhormat Permatang Pauh, sama ada mengenai Chief Inspector yang ada testimoni beliau bahawa Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri seorang important witness tetapi tidak ada disoalkan, sama ada mengenai testimoni dalam mahkamah, mengenai gambar Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri dan Altantuya Shaaribu, sama ada mengenai keadaan di mana Elite Squad yang menjaga Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, sama ada mengenai kenyataan RPK.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Ipoh Timur. Celahan yang saya ingin buat, dalam peranan selaku legislator, law maker, perkara yang ditimbulkan adalah sebenarnya dalam bidang kuasa sebuah peranan legislative yang seharusnya menyemak imbang sistem judiciary. Kita berlainan daripada pandangan Yang Berhormat Batu Pahat, tidak perlu setiap kali kalau membuat satu dakwaan mesti dibuat di luar. Kita mempertikaikan the procedure, the rule of law. Jadi apabila Yang Berhormat Puchong membangkitkan perkara ini, ia adalah dalam peranannya untuk membangkitkan satu perkara yang penting selaku law maker. Mempertikaikan atau menyemak imbang peranan judiciary. [Tepuk]. Saya kira itu perkara yang cukup penting Yang Berhormat Ipoh Timur kerana ia perlu dilihat sebagai peranan kita dan kita berhak untuk menjalankan tugas semak imbang itu di sini. [Tepuk]. This is the rule of law. Jadi saya minta Yang Berhormat Ipoh Timur tolong perjelaskan peranan ini dan bukannya dakwaan-dakwaan ini mesti dibuat di luar, di sini tempatnya.

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Ya, sebab itu saya kata sangat mustahak apabila kita bertindak sebagai satu mahkamah, kita jangan dilihat bertindak sebagai satu kangaroo court dan kita perlulah bincang dengan panjang lebar dengan semua fakta-fakta yang relevan. Tadi ada sebut beberapa perkara yang menimbulkan soalan, adakah Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya termasuk statutory declaration, private investigation kita, Bala Subramaniam yang ada kata bahawa ada penglibatan. Semua ini perlu dijelaskan. This is public interest question. Dalam Parlimen ada hak kebebasan bersuara dan tentu ada check and balance, betul. Saya mahu memetik satu quotation mengenai Parliamentary Privileges, dengan izin,
“Procedures are in place for both the House and Select Committees to ensure natural justice (fairness of process) is observed. These allow right of reply to those who consider their reputation has been damaged by statements made under privilege.”

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ada more than the right to reply. Tidak pernah dia buat apa-apa, menggunakan right of reply di dalam Dewan ini mengenai semua perkara ini. Ini satu public interest question yang sangat mustahak, khasnya oleh kerana Yang Amat Berhormat akan menjadi Perdana Menteri tidak lama lagi, dua minggu lagi dan kita mahu seorang yang menjadi Perdana Menteri disokong oleh semua rakyat. PM untuk semua rakyat Malaysia disanjung di dunia juga. Bukan oleh kerana soalan-soalan yang begitu penting timbul, haunted, hounded and doubt by all these questions. Sebab itu... [Disampuk] Ya.

Tuan R. Karpal Singh [Bukit Gelugor]: Terima kasih. Rakan saya dari Ipoh Timur ada nyatakan tadi, natural justice. Adakah Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri demand natural justice. Di Dewan ini satu tuduhan serius ada dibuat terhadap dia terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya, dia tidak ada di sini hari ini. Dia tidak ambil berat. Dia tidak ada di sini untuk cabar Yang Berhormat dari Puchong untuk mengeluarkan apa yang dikatakan oleh dia di sini di luar daripada Dewani ini. Kenapa dia tidak hadir hari ini? Dia takut. Bolehkah...

Tuan Yang di-Pertua: Silakan Ipoh Timur.

Tuan R. Karpal Singh [Bukit Gelugor]: Bolehkah saya dapat penjelasan daripada rakan saya dari Ipoh Timur?

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Ya, ini daripada yang saya sebut, dia ada right of reply.

Tuan Yang di-Pertua: Ipoh Timur, saya bagi dua, tiga minit lagi. Selepas itu saya mahu menteri menjawab.

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Dia ada right of reply dalam perkara ini dan ini penting, bukan sahaja kepada Yang Amat Berhormat kita, kepada rakyat, kepada dunia sama ada kita akan mempunyai satu Perdana Menteri, there will be a respected by all atau all the doubts. Oleh sebab itu dalam perkara ini patutlah dirujuk kepada Committee of Privileges dan saya harap selain daripada kita menggunakan group majority, kita sekarang ada Barisan Nasional majoriti untuk luluskan apa yang disukai tetapi dalam pandangan dunia, inilah abuse of power.

Dato’ Kamarudin bin Jaffar [Tumpat]: [Bangun]

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Ya, okey,.

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat, Yang Berhormat Tumpat, pendekkan pasal saya mahu Ahli Yang Berhormat menjawab dan saya mahu perkara ini diselesaikan sebelum jam 1.00.

Dato’ Kamarudin bin Jaffar [Tumpat]: Insya-Allah, sangat pendek. Hanya tidak sampai dua minggu yang lalu, Yang Berhormat Bukit Gelugor telah dikepung oleh pemuda-pemuda UMNO. Apabila dipersoalkan tindakan apa yang diambil, maka kita menggunakan Peraturan 80A, tetapi kenapa kes 80A tidak boleh digunakan misalnya, dalam kes yang kita hadapi hari ini. [Tepuk] Kenapa kita pilih begini? Terima kasih.

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Saya harap Tuan Yang di-Pertua boleh timbang kenapa kita perlu tamat pukul 1.00? Ini satu perkara yang penting. Ada ramai Ahli di sini, tidak tahu di sana, yang mahu mengambil bahagian dalam perbahasan dan saya harap kita ada masa oleh kerana betul ada perkara yang penting yang kita mahu bahas tetapi ini kalau kita mengeluarkan gambaran kepada orang luar bahawa kita sudah ada kangaroo court, saya rasa imej Parlimen akan jatuh. Sekian, terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih. Menteri, sila gulung, sila.

Beberapa Ahli Pembangkang: [Bangun] [Menyampuk]

Tuan Yang di-Pertua: Sila Menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz]: Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menggulung di mana beberapa perkara yang telah dibangkit...

Beberapa Ahli: [Menyampuk]

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, saya dengar itu. Apabila saya tidak respons bermakna saya tidak layan. [Disampuk] Sila, sila. Menteri, sila.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Minta maaf, Tuan Yang di-Pertua. Kita hendak buat usul untuk menghukum Yang Berhormat Puchong. Sekarang Yang Berhormat Puchong berdiri, kita kena bagi ruang Puchong bagi penjelasan. [Tepuk]

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat, saya faham itu, Yang Berhormat, tetapi tindakan saya ialah saya menjemput Menteri untuk menggulung perbahasan kerana semua sudah saya dengar.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Akan tetapi Puchong belum berucap.

Tuan Yang di-Pertua: Saya tahu Yang Berhormat. Ini kan berbahas? Saya akan panggil siapa yang saya mahu panggil, Yang Berhormat Permatang Pauh.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Ya, terima kasih. Yang Berhormat, saya tidak mahu...

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Sayalah orang terakhir mahu berbalah dengan Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Tuan Yang di-Pertua tahu itu, tetapi saya minta, kita hendak buat satu usul hendak hukum berat seorang Ahli Yang Berhormat dan kita tidak mahu bagi ruang kepada dia berucap. Saya fikir ini satu yang janggal, Tuan Yang di-Pertua. Saya minta sebelum Yang Berhormat Menteri jawab, biar Yang Berhormat Puchong diberikan floor untuk menjelaskan pendirian dia. [Tepuk] Dia buat tuduhan...

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: ...Saya terima, Tuan Yang di-Pertua, bahawa Yang Berhormat Puchong buat tuduhan yang berat.

Seorang Ahli: Its only fact.

Datuk Seri Anwar Ibrahim [Permatang Pauh]: Kalau begitu, beri dia ruang untuk memberi penjelasan sebelum dibuat keputusan.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih, terima kasih, terima kasih. Persidangan di bawah usul yang dibawa tadi itu bagi saya tidak ada beza dengan perbahasan lain. Tidak ada beza dengan perbahasan lain. Saya telah buat ketetapan dan saya akan teruskan dengan ketetapan itu, sila gulung.

Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Yang di-Pertua: Teruskan, teruskan.

Beberapa Ahli Pembangkang: [Bangun] [Menyampuk]

Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Sebenarnya kita berlaku adil.

Tuan Yang di-Pertua: Teruskan.

Beberapa Ahli Pembangkang: [Bangun] [Dewan riuh]

Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Tuan Yang di-Pertua, saya mengucapkan berbanyak terima kasihlah kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam soal ini dan saya ingin membuat penjelasan berkenaan dengan perkara yang telah dibangkit. Pertama, berkenaan dengan...

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, Ahli-ahli Yang Berhormat, Ahli-ahli Yang Berhormat, saya sudah buat ketetapan apa pun persepsi Ahli Yang Berhormat, itu sudah diambil kira. Biarlah dia menggulung. Sila, teruskan. [Dewan riuh]

Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Tuan Yang di-Pertua, pertamanya perkara yang dibangkit berkenaan dengan apa yang telah Yang Berhormat dari Permatang Pauh cakap sebentar tadi iaitu bahawa kita harus melihat niat apa yang di sebalik yang dilakukan oleh Yang Berhormat dari Puchong.

Semua Ahli Pembangkang: [Bangun] [Menyampuk]

Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Saya ingin menjelaskan di sini iaitu ini bukan satu jenayah di mana yang kita hendak bincangkan bukan satu jenayah yang harus kita membukti dan menyelami apakah niat di sebalik dia membuat kenyataan itu. Jadi oleh kerana itu, cukup sahaja kalau tindakan itu telah pun dilakukan dan jelas tindakan itu menampakkan sikap kurang ajar terhadap Timbalan Perdana Menteri, sudah cukup kita mengambil tindakan terhadap beliau.

Keduanya, melainkan kalau Yang Berhormat dari Puchong dia mengaku dia gila, itu lainlah. Akan tetapi saya percaya waktu dia membuat kenyataan itu dia tidak gila dan dia tahu apa yang dilakukan itu adalah salah.

Ketiganya, saya ingin mengatakan di sini iaitu Timbalan Perdana Menteri, dia tidak hadir pada hari ini disabitkan kes dia sedang dibincangkan dan dia tidak mahu kehadirannya itu akan mempengaruhi sebagai Ketua WHIP, mempengaruhi Ahli daripada Barisan Nasional membuat keputusan untuk menyokong dia. Maka itulah yang dikatakan mengapa dia tidak hadir pada hari ini.

Selain daripada itu, Yang Berhormat, dalam perkara yang dibangkit sebentar tadi iaitu mengatakan segala apa tindakan yang diambil oleh Puchong dilakukan dalam Dewan. Memanglah, kita tidak suruh pun dia keluar daripada Dewan kerana tindakan yang kita hendak ambil ialah sebagai Majlis di atas tindakan perbuatan dia di dalam Dewan. Bermakna apa salah laku yang dia buat di dalam Dewan ini, kita berhak untuk mendengar dan kalau dia merupakan satu offences, penghinaan terhadap Dewan, maka kita berhak untuk membincang dan mengambil keputusan sama ada dia telah melakukan kesalahan ataupun tidak.

Semua Ahli Pembangkang: [Keluar Dewan]

Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Soal memberi kesempatan kepada dia, pihak kita lebih adil. Bapa dia kita suruh bela. Bapa dia itu, lawyer yang bela dalam ini, lebih daripada apa yang boleh kita berikan. Bukan setakat dia sebagai Wakil Rakyat Puchong dibenarkan membela, bapa dia pun kita bagi bela dia. Apa lagi yang hendak dikehendaki oleh kita? Jadi sebab itu, Tuan Yang di-Pertua, saya kira tidak ada banyak perkara yang penting dibangkitkan oleh mereka. Jadi saya mohon supaya usul ini dibahas dan diterima. Terima kasih.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih. Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis untuk diputuskan. Masalahnya ialah Usul atas nama Menteri di Jabatan Perdana Menteri di bawah Peraturan Mesyuarat 27(3) seperti yang tertera dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini di bawah Perkara 1 hendaklah disetujukan. Usul dikemuka bagi diputuskan, dan disetujukan.

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, jam sekarang sudah 1.01 petang, maka saya tangguhkan Mesyuarat ini hingga ke pukul 2.30 petang.

No comments: