Monday, May 4, 2009

Gobind kena gantung - 1/5

USUL MENGGANTUNG TUGAS YANG BERHORMAT PUCHONG SEBAGAI AHLI PARLIMEN MENGIKUT PERATURAN MESYUARAT 27(3)

11.33 pg.

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat, saya telah menerima satu pemberitahu usul daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan saya berpuas hati bahawa ianya adalah bagi faedah orang ramai dan mustahak dibahaskan seberapa segera. Oleh itu saya menjemput Yang Berhormat Menteri untuk mengemukakan usul.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz]: Tuan Yang di-Pertua ....

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Point of order Tuan Yang di-Pertua.

Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: ..mengikut Peraturan Mesyuarat 27..

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Point of Order 27. Sungguhpun Tuan Yang di-Pertua ada kata bahawa Tuan Yang di-Pertua puas hati bahawa atas public interest perlukan usul ini diizinkan untuk bahas satu hari sahaja bolehkah kita tahu apa itu public interest yang peraturan memerlukan tujuh hari untuk notis diberi oleh seorang Menteri mengenai usul dikecualikan. Oleh kerana public interest mustahak apa itu public interest?

Tuan Yang di-Pertua: Yalah betullah kepentingan orang ramai. Dia seperti kepentingan Ahli-Ahli Yang Berhormat dalam Dewan ini yang bertunjuk-tunjuk maki atas sendiri. Orang semua lihat Parlimen ini bahawa satu Parlimen bukan lagi world class Parliament iaitu tempat pergaduhan macam pasar. Bukankah itu public interest?

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Bukankah ini public interest dan oleh kerana terlibat Timbalan Perdana Menteri sahaja yang.....

Tuan Yang di-Pertua: Ipoh Timur, Ipoh Timur...

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: ....menyebabkan public interest sebab itu ini menjadi satu...

Tuan Yang di-Pertua: Ipoh Timur itu persepsi Ipoh Timur. Sila Menteri.

Dato' Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Tuan Yang di-Pertua mengikut Peraturan Mesyuarat 27(3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, saya mohon mencadangkan usul seperti berikut:-

BAHAWA pada 12 Mac 2009, Yang Berhormat Tuan Gobind Singh Deo, Ahli Parlimen Kawasan Puchong semasa perbahasan peringkat Jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2009) 2009 telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mendakwa Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, Ahli Parlimen kawasan Pekan terlibat dalam kes pembunuhan.

BAHAWA Yang Berhormat Ahli Parlimen Kawasan Puchong juga telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menghina Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat setelah diperintah keluar Dewan.

DAN BAHAWA kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Yang Berhormat Ahli Parlimen Kawasan Puchong adalah merupakan satu dakwaan yang sangat serius dan menyalahi hak dan keistimewaan sebagai Ahli Parlimen serta merupakan satu penghinaan kepada Dewan ini.


MAKA INILAH DIPERSETUJUI BAHAWA Yang Berhormat Ahli Parlimen Kawasan Puchong hendaklah digantung tugas dari jawatannya sebagai Ahli Parlimen selama 12 bulan dari tarikh keputusan usul ini diluluskan. Dalam masa penggantungan ini Yang Berhormat Ahli Parlimen Kawasan Puchong tidak akan dibayar kesemua bayaran elaun dan kemudahan sebagai seorang Ahli Parlimen. Tuan Yang di-Pertua saya mohon mencadangkan.

Tuan Yang di-Pertua: Ada yang menyokong.

Beberapa Ahli: [Bangun]

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat, dalam soal seperti begini tidak ada penjelasan. Kalau boleh point of order. Yang Berhormat Beruas kalau point of order boleh, penjelasan tiada. Tumpat.

Dato’ Kamarudin bin Jaffar [Tumpat]: Tuan Yang di-Pertua Point of Order. Saya mendengar apa yang dibaca oleh Yang Berhormat Menteri...

Tuan Yang di-Pertua: Point of order di mana Yang Berhormat?

Dato’ Kamarudin bin Jaffar [Tumpat]: 80(1) Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Yang di-Pertua: 80(1) sila.

Dato’ Kamarudin bin Jaffar [Tumpat]: Saya dengar Yang Berhormat Menteri tadi menyebut dan membaca yang akhir ayatnya hak dan keistimewaan. Dalam 80(1) disebutkan di sini,

“Hendaklah ada sebuah jawatankuasa yang akan dinamakan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan mengandungi Tuan Yang di-Pertua sebagai pengerusi dan enam orang ahli yang dilantik oleh Jawatankuasa Pemilih dengan seberapa segeranya yang boleh selepas dimulakan tiap-tiap Parlimen. Kepada jawatankuasa ini hendaklah diserahkan apa-apa perkara yang nampaknya menyentuh kuasa-kuasa hak-hak dan kebebasan majlis. Adalah kewajipan atas Jawatankuasa ini menimbangkan apa-apa perkara demikian itu yang diserahkan padanya dan mengeluarkan penyata di atas perkara itu kepada Majlis.”

Jadi saya fikir jelas peruntukan Perkara 80(1) ini mengarahkan dan mewajibkan kita untuk menyerahkan apa-apa perkara yang nampaknya menyentuh kuasa-kuasa hak-hak dan kebebasan majlis kepada jawatankuasa tersebut.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih Ahli Yang Berhormat Tumpat.

Tuan M. Kula Segaran [Ipoh Barat]: Tuan Yang di-Pertua perkara yang sama di mana saya telah memberi notis kepada Tuan Yang di-Pertua pagi ini.

Tuan Yang di-Pertua: Ahli Yang Berhormat Ipoh Barat, saya deal dahulu dengan point of order yang dikemukakan oleh Tumpat. Ahli Yang Berhormat Tumpat dan untuk makluman ahli Yang Berhormat sekalian, sebelum saya membenarkan usul daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri di bawah 27(3) saya telah membaca peraturan-peraturan mesyuarat yang ada kaitan termasuk Peraturan Mesyuarat 80(1) yang tadi dibaca oleh Tumpat. Akan tetapi ada juga peraturan-peraturan Mesyuarat yang pada fikiran saya sebagai Yang di-Pertua yang mempunyai hak mutlak untuk mentafsir makna-makna Peraturan Mesyuarat. Saya berpendapat bahawa 27(3) yang ada kaitan dengan Peraturan Mesyuarat 44(8) yang patut dan wajar untuk dibahas dalam Dewan ini. Itu adalah tafsiran dan ketetapan saya maka itu saya membenarkan...

Tuan Nga Kor Ming [Taiping]: Tuan Yang di-Pertua...

Tuan Yang di-Pertua: ...Menteri yang berkenaan..

Tuan Nga Kor Ming [Taiping]: Peraturan, peraturan mesyuarat.

Tuan Yang di-Pertua: Saya belum lagi siap Peraturan Mesyuarat 42. Peraturan Mesyuarat 42 apabila Tuan Yang di-Pertua itu sedang bercakap tidak ada sesiapa Ahli Yang Berhormat boleh berdiri dan berhujah, yang dikecualikan bernafas, bernafas boleh. Saya sudah menimbang semua itu saya fikirkan bahawa Peraturan Mesyuarat di bawah 27(3) yang ada kaitan dengan 44(8) ada kaitan dan ini pernah dibuat di satu ketika dahulu dalam Dewan ini pada tahun 2001.

Tuan M. Kula Segaran [Ipoh Barat]: Peraturan mesyuarat Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Yang di-Pertua: Sila.

Tuan M. Kula Segaran [Ipoh Barat]: Dengan izin Tuan Yang di-Pertua, pagi ini saya telah memberi satu usul dialamatkan kepada Tuan Yang di-Pertua dan usul itu berbunyi bahawa mengikut Peraturan Mesyuarat 26(1)(a) iaitu pertama, membatalkan perenggan ketiga dan keempat usul berkenaan, menggantikan perenggan ketiga dan keempat dengan perenggan baru berikut;

maka ini adalah dipersetujui Ahli Yang Berhormat kawasan Puchong hendaklah dirujuk kepada satu Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk siasatan selanjutnya.

Tuan Yang di-Pertua, walaupun usul ini telah dikemukakan oleh saya mengikut peraturan mesyuarat tetapi usul ini tidak ada di meja-meja Ahli-ahli Parlimen hari ini. Bolehkah saya pohon agar ia dipanjangkan, kalau tidak cukup masa, kita tunda debat hari ini supaya semua perkara yang perlu dibawa untuk perhatian semua Ahli Parlimen dapat diberi perhatian. [Dewan riuh]

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih Yang Berhormat Ipoh Barat. Permohonan Yang Berhormat Ipoh Barat di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) adalah untuk usul hendak meminta cadangan yang telah dikemukakan kepada Mesyuarat oleh Pengerusi tanpa notis. Kalau atas budi bicara saya sebagai Tuan Yang di-Pertua membenarkan tanpa notis, maka ianya tidak perlu diedarkan kepada Ahli-ahli Yang Berhormat lah, kan begitu? Okey, itu jelas. Saya telah baca usul pindaan Yang Berhormat, Yang Berhormat mahu supaya perenggan tiga dibatalkan, perenggan empat diganti dengan usul Yang Berhormat baca tadi. Akan tetapi Yang Berhormat, saya mohon perhatian Yang Berhormat kepada Peraturan Mesyuarat 30.

“Pada masa sesuatu usul itu dalam timbangan Majlis Mesyuarat atau Jawatankuasa Majlis Mesyuarat, bolehlah dicadangkan pindaan-pindaan jika pindaan itu berkaitan dengan usul ini atau usul itu”.

Akan tetapi usul yang dibawa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri adalah di bawah perkara 27(3). Manakala pindaan yang dibawa oleh Yang Berhormat ini menentang usul yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Sepatutnya usul Yang Berhormat itu adalah usul persendirian yang ada kaitan dengan 30 Perkara 3. Jadi apabila saya baca peruntukan 30(1) iaitu usul Yang Berhormat tidak kena-mengena dengan usul pertama tadi, maka saya menolak di bawah 30(1). Usul Yang Berhormat itu adalah bertentangan dengan usul 30(3). Jadi atas sebab itu, maka saya memberi kebenaran kepada Menteri untuk membawa usul itu. Jadi terima kasih Yang Berhormat bahawa bagi pendapat saya, tafsiran saya, itu muktamad di bawah Peraturan Mesyuarat 42, 43 bahawa usul di bawah 27(3) itu adalah berkenaan. Ada lagi Yang Berhormat?

Tuan M. Kula Segaran [Ipoh Barat]: Tuan Yang di-Pertua, with the highest respect to the Chair Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Yang di-Pertua: Thank you very much.

Tuan M. Kula Segaran [Ipoh Barat]: Tuan Yang di-Pertua, kalau kita baca 26(1)(a), saya rasa it speaks for itself bahawa seorang Ahli Parlimen ada kuasa untuk membawa pindaan ini dan ini adalah tertakluk kerana Yang Berhormat Menteri bawa...

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat, Yang Berhormat, saya tahu. Duduk dulu Yang Berhormat. Itulah makanya tadi apabila saya baca Peraturan Mesyuarat 26(1), saya tegaskan lagi, saya tinggikan pitch suara saya, ‘boleh’ mencadangkan. Itu tertakluk kepada saya sebagai Tuan Yang di-Pertua sama ada cadangan itu saya terima atau tidak. [Tepuk] Jadi pengertian saya, apabila saya membaca segala peruntukan mesyuarat yang relevan dengan kes ini iaitu usul yang saya terima adalah di bawah 27(3) dan keputusan saya itu muktamad di bawah Peruntukan Mesyuarat 43. Ianya boleh dikaji semula apabila usul persendirian pula akan dibuat. Maka atas sebab itu, sekarang saya mulai untuk berbahas. Ahli-ahli Yang Berhormat, masalah sekarang ini terbuka untuk dibahas.

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Point of order Tuan Yang di-Pertua.

Tuan Yang di-Pertua: Sila Yang Berhormat Ipoh Timur.

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Ya, point of order.

Tuan Yang di-Pertua: Mana point of order? Sebut point of order Yang Berhormat.

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Tuan Yang di-Pertua, tadi Tuan Yang di-Pertua ada sebut Point of Order 44(8) untuk mengesahkan bahawa perbahasan ini dan usul di hadapan Dewan yang mulia ini dan 44(8) yang berbunyi dengan izin,

“Nothing in this Order shall be taken to deprive the House of the power to take action against any person, including a non-member, in accordance with any resolution of the House”.

Peraturan 44 ialah mengenai keadaan apabila berlaku disorder dalam House dan bukan di kemudian. Saya tahu bahawa peraturan ini ada digunakan tujuh tahun dahulu, disebutkan tujuh tahun dahulu apabila Yang Berhormat Batu Gajah ada digantung enam bulan dan apabila disoal waktu itu, peraturan ini ada disebut. Sungguhpun kalau kita baca Hansard itu tidak begitu meyakinkan oleh Tuan Yang di-Pertua masa mempengerusikan Mesyuarat pada masa itu. Akan tetapi ini sebenarnya mengenai keadaan hari tersebut apabila berlaku disorder dalam Dewan dan bukan untuk hari-hari yang kemudian. Sungguhpun peraturan ini ada digunakan tujuh tahun dahulu, ada disebutkan apa yang tidak betul, tak patut menjadi satu precedent. Saya harap Tuan Yang di-Pertua boleh timbang semula perkara ini bahawa supaya kita tidak teruskan satu insiden yang tidak wajar.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih, terima kasih, terima kasih Yang Berhormat Ipoh Timur. Apabila saya menimbang usul daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri di bawah 27(3), saya benar-benar memikirkan demi untuk kepentingan Parlimen. Saya duduk di meja ini hampir setahun, saya sering kali mengingatkan Ahli-ahli Yang Berhormat supaya dalam berbahas, tolonglah patuh kepada peraturan mesyuarat. Saya faham apa itu freedom of speech, saya faham apa itu privilege tetapi freedom of speech dan privilege dalam Parlimen mesti disulami dengan tanggungjawab Ahli-ahli Yang Berhormat sendiri. [Tepuk]

Perkara ini tidak akan berlaku sekiranya Ahli-ahli Yang Berhormat sewaktu berbahas berlagak dan bersifat seperti Ahli-ahli Yang Berhormat. Maka saya sebagai Tuan Yang di-Pertua untuk memberhentikan perkara begini jangan lagi berlaku, tafsiran saya kepada semua peraturan mesyuarat mengambil kira Peraturan Mesyuarat 43 iaitu keputusan saya mutlak. Maka apa pun yang disebut tadi setelah mengambil kira, saya fikir bahawa 44(8), Majlis ini sebagai Majlis, lagi penuh berkuasa daripada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan [Tepuk] kerana yang saya mahu yang berbahas ini adalah Ahli-ahli Yang Berhormat sendiri. Yang tidak mahu bahas oleh Yang Berhormat Ipoh Timur adalah kelakuan Ahli-ahli Yang Berhormat, kamu sendiri, bukan saya. [Tepuk]

Dato' Razali bin Haji Ibrahim [Muar]: [Bangun]

Tuan Yang di-Pertua: Ini sekarang yang sedang diperhatikan oleh masyarakat, itulah kepentingan ramai. Biarlah kamu bahas kelakuan kamu dan hujah-hujah yang patut kamu cakap, itulah yang saya mahu, maka itu saya benarkan di bawah 27(3). Sila Yang Berhormat Muar.

Tuan R. Karpal Singh [Bukit Gelugor]: Tuan Yang di-Pertua, Tuan Yang di-Pertua, peraturan mesyuarat.

Tuan Yang di-Pertua: Sila. Ahli-ahli Yang Berhormat, saya mahu pendapat daripada Parliamentarian yang begitu lama dan peguam terkemuka dalam negara ini. Saya mahu belajar, sila.

Tuan R. Karpal Singh [Bukit Gelugor]: Boleh belajar tetapi dengan tenang.

Tuan Yang di-Pertua: Sila, saya belajar dengan tenang. Saya tidak apa-apa pun, saya boleh senyum, sila teruskan. Ahli-ahli Yang Berhormat, tidak ada masa untuk kita berbahas kerana ini soal penting, ini bukan soal main-main. Sila.

Tuan R. Karpal Singh [Bukit Gelugor]: Semua jangan main-main. [Ketawa]

Tuan Yang di-Pertua: Peraturan mesyuarat mana?

Tuan R. Karpal Singh [Bukit Gelugor]: Peraturan Mesyuarat 27(3).

Tuan Yang di-Pertua: Sila.

Tuan R. Karpal Singh [Bukit Gelugor]: Menteri Yang Berhormat bertindak di bawah Peraturan 27(3). Apa makna Peraturan 27(3) Tuan Yang di-Pertua? Satu hari notis mencukupi untuk membawa usul seperti ini dalam Dewan yang mulia ini, saya terima itu. Akan tetapi ekoran daripada itu, the consequences Tuan Yang di-Pertua, apa consequences itu? Adakah, adakah mencukupi untuk Dewan yang mulia ini untuk membahas usul ini. Tidak ada, tidak ada apa-apa masa diberi kepada Ahli Yang Berhormat daripada Puchong, untuk bersedia, untuk fahami apa yang jadi, isi kandungan usul ini, penghinaan Dewan yang mulia ini.

Tuan Yang di-Pertua: Ahli Yang Berhormat, senyap Ahli Yang Berhormat. Belum selesai daripada Bukit Gelugor.

Tuan R. Karpal Singh [Bukit Gelugor]: Belum selesai, kerana ada ganggu, saya pun.

Tuan Yang di-Pertua: Sila.

Tuan R. Karpal Singh [Bukit Gelugor]: Baik, tidakkah wajar Tuan Yang di-Pertua, seperti apa yang jadi amalan di mahkamah. Seorang dipanggil ke mahkamah untuk dituduh, dan dituduh. Adakah perbicaraan itu dimulakan dengan serta-merta? Tidakkah orang itu berhak mengadakan masa untuk meneliti pertuduhan-pertuduhan itu, mendapat satu peguam untuk jadi peguam dia. Bolehkah court Tuan Yang di-Pertua, usul ini diperbahas hari ini?.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih.

Tuan R. Karpal Singh [Bukit Gelugor]: Tidakkah wajar memberi Tuan Yang di-Pertua masa, apa saya mengatakan tadi untuk bersedia, untuk mempertahankan diri.

Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih. Terima kasih.

No comments: