Tuesday, April 21, 2009

Hoi beruk, anjing, babi ! (Bhg 2dari 4 bhg)

(Ucapan Dato’ Ibrahim Ali di Dewan Rakyat pada 19 Feb 2009)

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat...

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Kita mengata orang boleh, kita tegur sedikit tak boleh. Sudah melenting...

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: [Bercakap sambil meninggalkan Dewan]

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Hei, beruk!!

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Beruk sahaja kenal dengan beruk tau!

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Kamu jangan kurang ajar ya!

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Beruk besar kenal dengan beruk...

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Hei, anjing!

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Kalau saya anjing, kamu pun anjing.

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Kamu anjing!

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Tuan Yang di-Pertua, Tuan Yang di-
Pertua...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Sudah Yang
Berhormat Padang Serai.

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Tuan Yang di-Pertua, orang seperti Yang Berhormat Padang Serai ini harus dihalau keluar daripada Dewan. Yang Berhormat Pasir Mas. Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat...

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Dia bercakap sudah berjalan. Tidak bercakap di tempat. What’s wrong?

Datuk Haji Mohamad bin Haji Aziz [Sri Gading]: Yang Berhormat Pasir Mas sedang memperkatakan sesuatu yang sedang ditunggu-tunggu oleh seluruh bangsa Melayu. Soal kedaulatan Raja-raja, Sultan-sultan Melayu dan apa yang diperkatakan oleh Yang Berhormat Pasir Mas sedang ditunggu oleh semua bangsa Melayu dalam negara ini. Raja Melayu adalah payung kepada bangsa Melayu, payung kepada semua bangsa dalam negara ini. Jadi kita dengarlah ucapan apa yang dilahirkan oleh Yang Berhormat Pasir Mas sebagai seorang rakyat yang setia kepada negara ini. Kenapa semua pihak nak marah? Apakah orang Melayu jadi dosa hendak mempertahankan Raja Melayu? Saya sokong sangat dengan apa yang dikatakan oleh Yang Berhormat Pasir Mas. Kalau nak balikkan semula kekebalan Duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu, tonggak memerintah dan asal negara ini sebelum penjajah datang ke negara ini. [Tepuk]

Syabas Yang Berhormat Pasir Mas, teruskan perjuangan anda dan saya tetap bersama-sama dengan Yang Berhormat Pasir Mas dan seluruh bangsa Melayu dalam negara ini mempertahankan Raja-Raja Melayu. Tidak ada orang boleh kurang ajar, biadab dengan Sultan dan Raja-Raja Melayu dalam negara ini.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: [Bangun]
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: [Bangun]

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Tuan Yang di-Pertua, saya tak bagi jalan. Saya nak jelaskan di sini...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang lain dia tak bagi jalan Yang Berhormat, Yang Berhormat Shah Alam duduk, Yang Berhormat Titiwangsa duduk.

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Tuan Yang di-Pertua, saya nak beritahu, tadi saya bercakap ada Ahli Yang Berhormat bercakap waktu berjalan keluar, tidak menghormati Dewan, keluar kata-kata kesat, saya pun keluar. Saya nak minta maaf Tuan Yang di-Pertua, semua kata-kata tidak baik tadi, saya hendak tarik balik, saya gentleman. Saya minta maaf kepada Tuan Yang di-Pertua, cuma saya terpaksa kata oleh kerana dia kata saya waktu berjalan keluar dan saya tak bagi jalan. Saya tidak bercadang untuk berbahas dengan sesiapa, lepas ini nak jawab ucapan saya, jawablah dalam perbahasan nanti, saya tidak mahu buang masa.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Baik Yang Berhormat.

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: I don’t want to take any people time, tak payah. Kalau ada masa panjang, boleh, segala masa saya diambil, kalau nak diganti boleh. Tuan Yang di-Pertua jangan larang saya berhenti, saya bagi masa. Saya dah jadi anggota Dewan Rakyat ini bukan baru, bukan saya takut untuk bagi laluan berbahas, boleh. Cuma tinggal lagi saya menghormati masa.

Tuan Yang di-Pertua, jadi saya dah sebut tadi, saya ulang balik, saya tarik balik semua apa yang saya katakan tadi. Saya minta maaf.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Bukan you seorang Melayu tau, ramai lagi Melayu.

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Ya lah, tetapi kalau orang Hindu cakap saya macam itu...

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Bagi pihak Melayu, you have no right.

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Hey, you shut up! You shut up! You shut up! Babi!

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Awak ingat awak seorang saja Melayu?

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Apa you bercakap macam itu?

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Beri saya laluan!

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Tak payah!

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Beri saya laluan!

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Tak payah!

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Kalau kamu berani!

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Tak payah!

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Penakut!

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Apa penakut?

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat Shah Alam...

Beberapa Ahli: [Menyampuk]

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: [Menghempaskan songkoknya]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat Pasir Mas, teruskan Yang Berhormat. Yang Berhormat Kuala Selangor, saya tak nak tengok lagi begitu. Kalau nak keluar, keluar sahaja.

Beberapa Ahli: [Menyampuk]

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Hormatlah pandangan orang!

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Ya teruskan Yang Berhormat.

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Astaghfirullah. Tuan Yang di-Pertua, sekali lagi saya minta maaf, saya minta maaf banyak-banyak kepada Dewan yang mulia tentang apa yang berlaku. Mereka membuat provokasi kepada saya dengan tidak ikut peraturan, dengan tidak menghormati Tuan Yang di-Pertua. Menuduh, menuding dan mengeluarkan kata-kata kesat sambil berjalan keluar daripada Dewan. Inilah yang dikatakan mereka ini golongan beradab dan pejuang-pejuang Islam, cukup saya kesal.

Jadi kalau ada kesilapan itu Tuan Yang di-Pertua, sekali lagi saya minta maaf, saya tarik balik semua kata-kata yang tidak baik untuk didengar tadi. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. [Tepuk]

Tuan Yang di-Pertua, saya menyebut tadi tentang soal kedudukan Institusi Raja, perkara-perkara yang dibangkit dalam perbahasan oleh rakan-rakan tadi. Saya juga turut berhak memberi pandangan saya, saya juga turut berhak mengeluarkan pendapat dan apabila keluar kenyataan-kenyataan yang pedas, saya turut dengar dan saya sikit pun tidak rasa tersinggung. Akan tetapi ada pihak mudah rasa tersinggung tapi dia mengata orang tak apa, tapi kalau dia dikata, dia rasa tersinggung dan mereka melenting. Inilah yang perlu diketahui oleh rakyat jelata. Saya minta benar-benar dengan rakyat, saya tujukan ucapan saya ini berkait dengan ucapan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menyeru kepada rakyat terutamanya yang cerdik pandai, jangan terjebak dengan perangkap politik pihak-pihak tertentu yang boleh merosakkan negara kita. [Tepuk]

Kita boleh berbeda pendapat, kita boleh berbeda ideologi, tetapi saya nak minta rakyat jangan menjadi alat kepada mana-mana pihak. Jangan kita mudah bersentimen dan beremosi tak tentu fasal.

Jadi Tuan Yang di-Pertua, dalam hubungan ini, saya dah sebutkan tadi bersabit dengan PPSMI, bersabit dengan kedaulatan Raja-Raja Melayu yang saya sendiri minta kalau boleh diperbetulkan balik. Kalaulah dikirakan bahawa ini boleh menjaga martabat Raja-Raja Melayu, kita betulkan balik.

Selain daripada itu Tuan Yang di-Pertua, dalam asas Perlembagaan yang diminta dipertahankan oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ialah hak istimewa orang-orang Melayu. Kedudukan hak istimewa orang-orang Melayu, sekarang ini ada dalam Perlembagaan, ianya sebagai hiasan. Saya hendak minta pihak kerajaan supaya melaksanakan hak istimewa orang Melayu ini. Hak istimewa orang-orang Melayu ini bukan sekadar kalau kita lihat bahawa ekonomi orang Melayu bila maju sudah sampai kepada tahap 30% maka sudah seimbang, maka waktu itu kita boleh lupakan dasar ini sebab kita pelbagai kaum.

Pada saya ini soal Perlembagaan, soal hak, hak tetap hak. Kalau orang Melayu dan capai 40% sekalipun, kalau itu hak istimewa orang-orang Melayu dan kaum bumi kita mesti pertahankan kerana ini kita tukar dengan kerakyatan dahulu. Hak kita tetap menjadi hak kita. Jadi sekarang ini, kedudukan ekonomi orang Melayu kita pun tidak tercapai lagi ke tahap 30%, tidak begitu lagi seimbang. Hak ini sudah mula dilupakan dan dah mula bercakap dasar-dasar baru.

Jadi Tuan Yang di-Pertua, jadi ini saya minta supaya ianya diperkasakan, dilaksanakan di mana setakat ini saya cukup kecewa dengan isu hak orang Melayu ini, hak istimewa orang Melayu ini dari segi pelaksanaannya dah banyak terhakis, untuk kaum peribumi sekali dengan tidak juga menyentuh kepentingan lain-lain kaum.

Tuan Yang di-Pertua, selain daripada itu, saya hendak minta penjelasan daripada pihak kerajaan. Berapakah jumlah Tanah Rizab Melayu sebenarnya di seluruh negara? Berapa banyak, saya minta kalau boleh dijawab sendiri oleh Perdana Menteri ataupun Timbalan Perdana Menteri. Berapa jumlah Tanah Rizab Melayu yang sudah diambil oleh kerajaan untuk tujuan-tujuan pembangunan? Adakah tanah-tanah ini sudah diambil, diganti sebab mengikut kehendak Perlembagaan, setiap Tanah Rizab Melayu yang diambil, mesti diganti dengan keluasan yang sama. Saya membangkitkan perkara ini sebab Tanah Rizab Melayu tidak dilindungi di bawah fasal 153. Yang dilindungi oleh fasal 153 iaitu Islam agama rasmi negara, bahasa Melayu bahasa kebangsaan, hak istimewa Melayu, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan juga hak kerakyatan tetapi tidak termasuk melindungi kedudukan Tanah Rizab Melayu. Dalam Artikel 159 kalau tak silap saya, saya dah lupa dah, yang saya maksudkan di sini ialah Tanah Rizab Melayu ini boleh berubah.

Datuk Dr. Marcus Makin Mojigoh [Putatan]: [Bangun]

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Minta maaf, saya takut hilang saya punya aliran pemikiran. Tanah Rizab Melayu ini boleh berubah Tuan Yang di-Pertua, kalaulah mana-mana kerajaan yang menguasai 2/3 majoriti di Dewan Rakyat ataupun di dewan negeri-negeri, mereka boleh mengubah status kedudukan Tanah Rizab Melayu ini. Sebab ia tidak dilindungi di bawah fasal 153 seperti yang saya maksudkan tadi. Maka sebab itulah saya minta supaya Tanah Rizab Melayu ini dilindungi sebaik-baiknya.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Peraturan.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Ya duduk Yang Berhormat, apa peraturan?

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Ini saya percaya tidak cukup kuorum.

Datuk Dr. Marcus Makin Mojigoh [Putatan]: Hendak bagi Yang Berhormat Padang Serai atau?

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Peraturan Mesyuarat 13, tidak cukup kuorum.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Okey duduk, duduk Yang Berhormat. Setiausaha cuba hitungkan, bilang berapa orang? 29 orang, kena berdiri bilang lain kali. Cukup kuorum Yang Berhormat, silakan.

Dato' Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tadi saya...

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Cubaan yang gagal.

Dato' Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Sila Yang Berhormat Putatan.

Datuk Dr. Marcus Makin Mojigoh [Putatan]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Dapat juga minta laluan daripada sahabat saya Yang Berhormat Pasir Mas. Tahniahlah kerana berhujah dengan begitu lantang Yang Berhormat. Memang Yang Berhormat ini memang lantang dari peringkat pengajian tinggi dahulu, dia saya punya presiden di Kesatuan Penuntut UiTM dahulu Tuan Yang di-Pertua dan memang saya kagum dengan cara beliau berpidato. Jadi soal Yang Berhormat timbulkan tadi berkenaan dengan keistimewaan orang Melayu tadi, Artikel 153 dalam Perlembagaan kita, saya rasa bercelaru sedikit kerana beliau tidak pernah menyentuh soal keistimewaan bumiputera, native dari Sabah dan Sarawak, hanya menumpukan orang-orang Melayu sahaja. Saya minta pandangan Yang Berhormat adakah ini kita juga bukan rakyat Malaysia yang tidak terkandung dalam Perlembagaan?

Dato' Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Terima kasih Yang Berhormat mengingatkan saya. Memang pada saya Melayu itu termasuklah kaum bumiputera yang lain. Jadi kalau ada kesilapan saya minta maaf. Sebab itu waktu kita menubuhkan sebuah pertubuhan NGO untuk memperjuangkan kaum peribumi, kita namakan Pertubuhan Peribumi PERKASA, tidak Melayu dan saya beri jaminan dari segi pendirian saya, setakat lagi mana dianya kaum peribumi termasuk di Sabah dan Sarawak, orang Melayu inilah kita pertahankan dan kita akan sama-sama berjuang, insya-Allah.

Jadi Tuan Yang di-Pertua, saya minta tadi penjelasan yang terperinci kedudukan Tanah Rizab Melayu. Saya mengatakan demikian Tuan Yang di-Pertua, bangunan kita boleh buat, kapal terbang kita boleh buat, kapal selam kita boleh buat, tetapi tanah kita tidak boleh buat. Tanah...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat Pasir Mas, satu sahaja saya kurang jelas.

Dato' Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Ya?

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat kata kalau diambil sebesar itu dan diganti sebesar itu juga. Kalau yang tengah hutan ganti itu Yang Berhormat, nilai dia rendah Yang Berhormat.

Dato' Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Itu pun satu juga, terima kasih Tuan Yang di-Pertua mengingatkan saya tetapi nilai itu satu perkara. Dari segi Perlembagaan kalau tidak silap saya Tuan Yang di-Pertua, Tuan Yang di-Pertua seorang peguam, dia hanya disebut, diganti sama dengan apa yang diambil. Mungkin tanah diambil di bandar, Tanah Rizab Melayu, diganti dalam hutan dengan keluasan yang sama. Akan tetapi dari segi nilai tidak disebut saya pun tidak tahu, minta pihak kerajaan yang menjawabnya nanti. Cuma pada saya pentingnya kawasan sebab Tuan Yang di-Pertua, semua benda dalam benda ini bolehlah manusia buat kapal, kereta, kapal selam tetapi yang manusia tidak boleh buat ialah tanah. Tanah...

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Ada Yang Berhormat, timbus tanah, laut dia timbus jadi tanah. [Ketawa]

Dato' Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Betul, bersetuju dengan Yang Berhormat Kinabatangan tetapi berapa banyak kita boleh timbus? Akan tetapi tanah yang kita timbus pun kita bagi dekat orang juga. Jadi persoalan saya Tuan Yang di-Pertua, apabila semua ini hilang nanti dan tidak boleh diganti, inilah yang berlaku kalau kita tengok sejarah negara Palestin. Cukup, saya tidak bahas, takut sensitif nanti. Saya hanya bercakap dalam konteks untuk mempertahankan kepentingan kaum peribumi dan bangsa saya. Itu hak, pandangan saya walaupun saya juga mendukung bahawa semua kaum di negara kita ini mempunyai hak masing-masing sebagai warga negara. Akan tetapi harus diingat, Islam sebagai agama rasmi. Dalam Artikel 11 mengatakan lain-lain agama bebas boleh dianuti tetapi jangan kita tafsir pula kebebasan ini meletakkan agama lain sama dengan taraf agama Islam. Kita boleh bebas mengamalkan agama-agama lain, diizinkan oleh Perlembagaan tetapi kedudukannya tidak sama dengan Islam sebagai agama Persekutuan. Sama juga bahasa Melayu, bahasa kebangsaan. Kita izinkan menggunakan apa sahaja bahasa di negara kita ini tetapi kita tidak boleh samakan kedudukan bahasa Melayu dengan bahasa lain sebab ianya bahasa kebangsaan. Sebab itu kalau kita kata nama jalan mesti digunakan bahasa Melayu.... bersambung

No comments: