Wednesday, April 15, 2009

Hoi beruk, anjing, babi ! (Bhg 1dari 4 bhg)


(Ucapan Dato’ Ibrahim Ali di Dewan Rakyat pada 19 Feb 2009)

Tuan Yang di-Pertua, pertamanya saya ingin mengingatkan diri saya dahulu Titah Ucapan Diraja, Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku mengingatkan akan perilaku Ahli-ahli Dewan Rakyat supaya menjaga martabat Dewan Rakyat, baik dari segi perbahasan ataupun apa jua perbuatan supaya kita dipandang mulia di sisi masyarakat sebagai sebuah institusi yang dipertanggungjawab untuk mengurus hal ehwal negara.

Tuan Yang di-Pertua, dalam Titah Ucapan Diraja, yang ringkas tetapi padat, saya turut menjunjung kasih apabila Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Agong kita telah menekankan antara lain membangkitkan soal asas Perlembagaan, peranan bloggers yang tidak bertanggungjawab dan suka membuat fitnah dan cerita-cerita sensasi, ingatan kita kepada Ahli-ahli Parlimen dan menyentuh soal kedudukan ekonomi negara.

Saya tidak bercadang untuk mengambil kesempatan dalam perbahasan ini dengan hasrat ataupun niat untuk menunjukkan kita sebagai juara ataupun hendak menunjukkan akan kebenaran kita semata-mata. Saya hendak simpulkan dalam mukadimah ini dahulu Tuan Yang di-Pertua saya sudah pun masuk usia 58 tahun...

Seorang Ahli: Hendak pencen sudah.

Dato' Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Diamlah. Kalau kita hendak pencen, kita dahulu pencen. Jangan kata kat orang. Saya juga adalah bekas pemimpin pelajar yang melibatkan diri tidak baru dan mengikuti perkembangan negara dan mengenali pemimpin-pemimpin ini daripada dekat.

[Timbalan Yang di-Pertua (Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar) mempengerusikan Mesyuarat]

Saya simpulkan kadang-kadang Tuan Yang di-Pertua lima kali dua sepuluh, lima kali dua sepuluh. Kata dulang paku serpih, kata orang kita yang lebih. Jadi Tuan Yang di-Pertua, dalam soal isu yang dibangkitkan oleh Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong mengenai dengan asas perlembagaan yang saya percaya timbulnya masalah ganggu-gugat termasuklah kemuliaan institusi Raja-raja Melayu berlarutan daripada kenyataan yang
dikeluarkan oleh Majlis Raja-raja Melayu sebelum ini. Kemudian beberapa haru baru-baru ini kita melihat kenyataan yang dibuat oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang saya percaya dirujuk kepada perkara-perkara yang sedang berlaku di mutakhir ini. Akan tetapi apabila perkara-perkara ini berbangkit sekarang ini maka timbullah cerita-cerita lalu.

Pada saya mudah sahaja, sesiapa yang menderhaka kepada Raja tidak kira Barisan Nasional, tidak kira pihak PR, saya sendiri pun kena turut dipertanggungjawabkan. Masalah sekarang ini tuduh-menuduh di antara satu sama lain. Jadi bila tuduh-menuduh di antara satu sama lain apabila saya mendengar ucapan sesetengah Ahli Yang Berhormat termasuklah Ketua Pembangkang saya menyimpulkan pepatah Melayu mengatakan kuman di seberang lautan kita nampak, gajah di depan mata kita tidak nampak. Waktu kita berada dalam kerajaan dengan menikmati kedudukan dan kemuliaan kita tidak nampak kezaliman-kezaliman berlaku malah kita turut mempertahankan kezaliman itu. Apabila kita hilang jawatan maka kita nampaklah kezaliman itu kerana kita yang menanggung dan jatuh di atas batang hidung kita sendiri.

Jadi Tuan Yang di-Pertua, yang kasihannya ialah rakyat. Rakyat yang tidak tahu apa-apa yang menanti kepimpinan daripada kita semua. Inilah harapan rakyat tetapi politik yang berlaku sekarang ini sampai turut menjejas Institusi Raja. Dalam banyak perkara bukan sahaja soal apa yang berlaku di Perak, kenyataan-kenyataan sehinggalah kata-kata. Saya hendak berkongsi dengan Ahli-Ahli Yang Berhormat dan sesetengah ahli yang tidak tahu adat berbahasa ini. Apabila kita membuat kenyataan-kenyataan dengan pihak akhbar ataupun seumpamanya bila kita merujuk kepada Institusi Raja, dia ada bahasanya kalau kita reti adat Melayu ini di mana langit dijunjung di situ bumi dipijak. Kita berbahasa patik. Bila kita sentuh batang tubuh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu kita kena sebut Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku ataupun Baginda Tuanku. Tidak boleh perkataan dia. Kita tidak akan saman dia di mahkamah. Bahasa itu adat itu. Ada budayanya.

Ini yang saya percaya yang dimaksudkan oleh Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong termasuklah peristiwa-peristiwa yang sedang berlaku tuduh menuduh di antara satu sama lain. Tak apalah ringkasnya. Dalam ucapan Ketua Pembangkang tadi dalam menyentuh isu Perlembagaan yang paling besar yang saya hendak rujuk ialah dengan mengaitkan pula sekarang ini tentang ucapan. Saya percaya dia rujuk kepada mantan Perdana Menteri pada 18 Jun 1993 waktu pindaan Perlembagaan bersabit dengan kekebalan Raja-raja. Kemudian disentuh soal kedudukan bahasa dan saya agak senang hati dan menyambut baik apabila Ketua Pembangkang mengatakan kalau boleh perkara ini dipinda. Kalau tidak silap saya dengar tadi. Saya pun sama. Waktu pindaan ini saya tidak ada dalam Kabinet. Saya bukan anggota Kabinet. Ada pihak lain yang menjadi anggota Kabinet. Kalau ini yang dikatakan tidak betul kenapa waktu itu tidak dibantah. Sebab apa, kerana waktu itu aku menjadi Timbalan Perdana Menteri. [Tepuk]

Sebab itu saya tidak suka kepada manusia yang bercakap tidak serupa bikin. Sifat ketelusan kepura-puraan ini yang saya cukup benci. Saya cukup meluat Tuan Yang di-Pertua. Maka sebab itu Tuan Yang di-Pertua saya ingin mencadangkan...

Beberapa Ahli Pembangkang: [Menyampuk]

Dato' Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Dengarlah orang bercakap ini! Lepas itu hendak cakap, cakaplah. Sebab itu Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengusulkan kalau betul kita mahu mendaulatkan Institusi Raja walaupun ia dibuat di zaman mantan Perdana Menteri saya ingin mencadangkan supaya Ketua Pembangkang membawa usul persendirian sama-sama kita meminda balik undang-undang bagi mengembalikan kuasa Raja-raja Melayu. Apabila undang-undang dilulus di Parlimen ianya tidak akan menjadi undang-undang sehingga mendapat kelulusan Raja walaupun selepas 30 hari. Saya menyokong kerana dahulu saya tidak bersetuju walaupun waktu itu saya turut menjadi anggota Barisan Nasional. Jangan kita bercakap tidak serupa bikin. Hanya kita hendak menangguk di air keruh sekadar untuk menunjuk dan menutup segala kelemahan kita dengan kelingking yang semua orang nampak. Orang macam saya nampak, orang lain mungkin tidak nampak.

Jadi ini pokoknya. Saya sokong. Sama juga dengan isu PPSMI, pengajaran Bahasa Inggeris untuk mata pelajaran Matematik dan Sains. Enam tahun dahulu waktu dibuat tak ada siapa yang membantah, kementerian yang menganjur. Tak ada siapa yang membantah termasuk tokoh-tokoh bahasa, termasuk anggota kabinet. Saya waktu itu pun tidak ada dalam Dewan ini. Hari ini menjadi kecoh. Rujuk kepada perlembagaan di bawah fasal 152(1). Dalam fasal 153 Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan 152(1) mengatakan segala urusan rasmi kerajaan hendaklah di dalam Bahasa Melayu dan pihak GAPENA telah membuat laporan polis. Patutnya laporan polis ini dibuat enam tahun dahulu tapi tak apa baru dibuat.

Jadi saya hendak minta penjelasan dengan pihak kerajaan waktu menjawab nanti dari segi undang-undang apakah tafsiran undang-undang aliran bahasa mengajar di sekolah-sekolah juga merupakan urusan rasmi kerajaan. Kalau tafsiran ia mengatakan urusan rasmi kerajaan, tak payah kaji lagi sudah. Terus mesti diubah kepada Bahasa Melayu untuk mengajar Bahasa Inggeris, Hisab dan lain-lain mata pelajaran, tidak boleh dibuat dengan bahasa-bahasa lain.

Sebab itu Perlembagaan dan itulah asas Perlembagaan. Kalau tafsirnya begitu. Kalau tafsirnya begitu tak payah lagi dikaji sebab itu kehendak Perlembagaan tetapi kalau ianya bukan kehendak perlembagaan, tafsirnya tidak ada kena-mengena dengan bahasa apa yang kita hendak guna untuk mengajar di sekolah-sekolah maka pertimbangkan dari segi baik buruknya.

Saya juga berpendapat dari segi soal bahasa jiwa bangsa, bahasa mengenal bangsa, mendaulatkan bangsa memang saya pun di situ tetapi yang saya hairannya semua yang buat bising sebahagian besarnya dahulu semua terlibat dan hari ini menjadi isu politik dan masa depan anak-anak bangsa kita jangan kita politikkan. Jangan kita politikkan untuk mencari keuntungan parti politik masing-masing. Yang penting ialah masa depan negara, masa depan anak kita, tetapi asas Perlembagaan menjadi panduan. Kalau Perlembagaan mengatakan demikian, ditafsirkan demikian maka kita mesti ikut apa kata Perlembagaan – full stop!

Samalah kita dalam umat Islam kalau dalam al-Quran itu jelas, tidak boleh dibahaskan lagi, begitu jua hadis yang sahih tidak boleh dibahas lagi. Tidak payah kita kaji ada jawatankuasa mendengar pandangan atau seumpamanya; tapi kalau ia tidak tertakluk di bawah Perlembagaan seperti yang saya maksudkan tadi saya ingin mencadangkan cara penyelesaiannya. Ia ialah hendak meminta Kementerian Pelajaran buat referendum, mini referendum sebab ada PIBG, ada sekolah-sekolah. Dapatkanlah laporan sebenarnya daripada ibu bapa dan pandangan rakyat dan buat keputusan kepada asas proses demokrasi. Walaupun saya masih lagi berpendirian, bahawasanya saya juga turut dengan pendirian supaya pengajaran Ilmu Hisab dan Sains ini dalam bahasa Melayu. Walaupun ia buat dalam zaman Yang Berhormat Dr. Mahathir mantan Perdana Menteri dulu, walaupun orang kata saya ini penyokong kuat kepada mantan Perdana Menteri, ada yang saya setuju ada yang saya tidak setuju. Saya nyatakan pendirian saya dengan jelas. Cuma yang saya bangkitkan hipokrasi, kadang-kadang sifat munafik sesetengah pihak; ada waktu setuju, ada waktu tidak setuju. Ada waktu kata, ada waktu menguntungkan kita, kita setuju. Ada waktu tidak menguntungkan kita, kita tidak setuju. Sifat munafik inilah yang saya paling jijik dan benci sekali. [Tepuk]

Tuan Yang di-Pertua, sebab isu-isu ini membabitkan kepentingan agama, bangsa dan negara. Samalah juga dengan asas Perlembagaan, kemuliaan kedudukan Raja-Raja Melayu. Tadi ketua pembangkang membaca framework Almarhum Tunku Abdul Rahman, tetapi yang diambilnya dan ditekankan dalam perbahasaan ialah masalah kebebasan suara rakyat. Bahagian akhir itu tetapi bahagian depan tidak disebut kerana hendak justified dengan apa yang berlaku sekarang. Kita tengok di negara Thailand, bagaimana adab sopan santunnya rakyat Thailand dengan Raja mereka. Sekarang ini timbul macam-macam fitnah. Macam-macam fitnah, tetapi siapa yang rugi? Kita sudah tahu, kita sudah merdeka 50 tahun, negara berjalan dengan aman, pemimpin naik turun. Ada yang kena pecat, ada yang kena macam-macam hal. Saya pun kena gugur dulu! Kita lawan secara politik tapi ada adab, ada peraturannya. Akan tetapi kerana cita-cita kita seorang, kita hendak rosakkan semua sekali dan menuding dan menyalahkan orang 100% kononnya kitalah seorang yang bersih. Itulah satu pembohongan yang paling besar. [Tepuk]

Itu pandangan saya, saya tanggung. Kalau inilah kenyataan saya tidak betul, kalau itulah satu dosa, saya tanggung dosa itu. Ini adalah sebab saya turut terlibat. Saya tahu dan saya tidak tahan lagi melihat apa yang berlaku sekarang ini. Nasib baiklah alhamdulillah, belum lagi teruk tetapi akan sampai ke arah itu. Semua ini ialah kerana perebutan kuasa. Rakyat pula ikut sahaja dan rakyat pula dia akan tengok siapa yang pandai bercakap, siapa yang petah bercakap. Duduk di padang yang besar, duduk di dalam gelap, duduk di bawah pokok, saya pun pandai bercakap. Kadang-kadang saya pun boleh juga pusing kepala bercakap. Semua orang pandai bercakap. Apatah lagi yang hebat bercakap. Akan tetapi rakyat tidak tahu. Rakyat hanya menilai kepada percakapan, kepada pidato. Akhir sekali kebenaran belum tentu betul. Maka rakyat membuat keputusan. Inilah yang membimbangkan saya.

Saya cukup risau dan runsing Tuan Yang di-Pertua. Kes-kes yang disebut dalam perbahasan tadi; masalah demokrasi yang dikait dengan jenayah, memang betul. Kalau betul kita turut mendukung. Akan tetapi kita pun membuat kecuh. Kita cuba hendak lari daripada hakikatnya. Jadi sebab itu kadang-kadang kita tidak boleh hormat. Oleh sebab itu, saya hendak minta dan menyeru rakyat Malaysia dengan rendah hati kepada rakyat Malaysia demi masa hadapan Malaysia. Nilai seseorang pemimpin bukan hanya duduk kepada kepetahan bercakap. Nilai dan kemuliaan seseorang pemimpin kena lihat perilaku. Perilaku itu penting, sejarah itu penting sebab dari segi soal lemah atau tidak lemah, buruk atau tidak buruk, kita manusia bukan maksum, Tuan Yang di-Pertua. Kita bukan rasul, kita bukan nabi. Memang setiap pemimpin ada kelebihan dia, ada kelemahan dia, ada cacat-cela dia. Tidak ada sesiapa yang sempurna. Akan tetapi jangan kita meletakkan segala-galanya. Tahu semua yang salah.

Saya juga tidak bertujuan untuk mempertahankan mantan Perdana Menteri. Saya katakan tadi yang saya tidak setuju, saya tidak bersetujulah. Saya hendak supaya kedudukan kemuliaan Raja-raja Melayu, kuasa Raja-raja Melayu yang dahulunya walaupun kita berdasarkan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Walaupun undang-undang diluluskan di Parlimen, ia tidak akan menjadi undang-undang selagi mana tidak ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong. Ini saya bersetuju supaya dipinda balik. Itu zaman mantan Perdana Menteri dahulu. Sewaktu saya berucap dahulu pun saya mengatakan demikian juga, konsisten dalam bab ini demi memanjangkan kemuliaan.

Akan tetapi sekarang ini apa sudah jadi? Saya bercakap terang-terang, kalau ada bangsa asing. Bukan orang Melayulah. Maaf, bukan orang Melayu. Kalau ada pihak-pihak yang bukan orang Melayu, saya bercakap terus-terang. Kalau ada orang-orang seumpama ini, dari
segi tutur bahasanya menyebut nama-nama baginda dengan cara yang tidak betul. Memang
saya terasa, saya terasa.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Tuan Yang di-Pertua...

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Saya tidak bagi jalan, masa tidak ada. Tidak payahlah bahas. Hendak jawab, jawablah nanti.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Saya minta diperbaiki itu bangsa asing.

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Tidak payah, tidak payah. Saya kata saya tidak bagi. Saya tidak pernah ganggu orang bercakap. Ini waktu saya bercakap, dengarlah. Kalau hendak jawab, jawablah.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Tidak ada, tidak. Bahasa itu kurang sopan.

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Masa mana kurang sopan?

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Apa itu bangsa asing?

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Apa salahnya saya kata bangsa asing?

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Tuan Yang di-Pertua, saya minta dia tarik kerana...

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Saya kata bangsa asing. Apa itu salah bangsa asing?

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Itu adalah satu kesalahan Tuan Yang di-
Pertua.

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Saya kata bangsa asing, apa...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Jangan buat
keputusan sendiri Yang Berhormat Padang Serai, duduklah.

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Biar saya buat penjelasan Tuan Yang di-Pertua kerana
saya hendak rujuk...

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Duduk Yang
Berhormat. Saya dengar ucapan Yang Berhormat Pasir Mas.

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Dengar dahulu!

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: [Bercakap tanpa pembesar suara]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Saya dengar
Yang Berhormat.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Saya tidak bersetuju dengan apa yang dia
cakap.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: You tidak
setuju, duduk cakap tidak setuju.

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Nanti saya bagi penjelasan.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Duduk Yang
Berhormat.

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Saya maksud bangsa asing Tuan Yang di-Pertua macam orang-orang asing, reporters luar negara. Ini yang kita kata bangsa asing. [Disampuk] Tak retikah? Ini yang saya katakan bangsa asing dan juga orang-orang bukan Melayu seperti saya.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: [Menyampuk]

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Itu sahaja maksud saya!

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Inilah! Tadi you gunakan perkataan ‘munafik’. Ha, kamu munafik sekarang ini. [Dewan riuh]

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Saya tidak ada, saya kata perkataan umum. Saya tidak sebut sesiapa pun melainkan saya katakan umum. Ini soal prinsip perbahasan umum. Kamu jangan kurang ajar! [Tepuk] Hei Bangsat! Kamu jangan kurang ajar!

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Pasir Mas kurang ajar, Tuan Yang di-Pertua.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat!

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Orang Melayu masih majoriti di negara ini.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Kita tidak pernah pertikaikan itu. Kita tidak pernah pertikaikan!

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Ya, betul!

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Kita bersetuju bahawa...

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Betul!

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat Padang Serai, tadi saya cakap duduk. Tak payah dulu.

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: Tuan Yang di-Pertua...

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Dengar dalam konteks apa yang saya maksudkan. [Disampuk] Jangan terasa. Makan cili, kita rasa pedas. Saya tidak pernah ganggu orang. Saya ambil ingatan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. [Disampuk] So, don’t try to provoke tak tentu pasal. [Disampuk]

Tuan N. Gobalakrishnan [Padang Serai]: [Bangun][Menyampuk]
bersambung ke Bhg 2....

No comments: