(Dewan Rakyat 13 Mei 2008)
Tuan R. Sivarasa [Subang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua atas peluang membahas Titah Diraja dan Menyokong Usul Menjunjung Kasih Kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Dalam ucapan ringkas ini, saya ingin menumpukan kepada tema perlunya reformasi beberapa institusi-institusi penting.
Pada hemat saya, kemerosotan, kewibawaan beberapa institusi penting telah menjadi isu-isu yang penting di dalam pilihan raya dan keputusan pilihan raya baru-baru ini adalah satu mesej yang jelas kepada semua, kepada Kerajaan Barisan Nasional dan juga kepada kita di Pakatan Rakyat bahawa rakyat Malaysia mahu reformasi atau reform dengan izin, dalam beberapa institusi-institusi penting ini. Institusi yang saya maksudkan ada termasuk Suruhanjaya Pilihan Raya ataupun SPR, institusi PDRM, Polis Diraja Malaysia, institusi Jabatan Peguam Negara dan juga institusi Kehakiman.
Saya tidak ada masa Tuan Yang di-Pertua, untuk membincangkan semua ini tetapi saya ingin bermula dengan memberi pandangan sedikit tentang SPR dan pengendalian pilihan raya. Ada pandangan yang diberi oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri juga beberapa pemimpin Barisan Nasional bahawa kemenangan besar oleh Pakatan Rakyat 82 Kerusi dan lima buah kerajaan negeri bermaksud bahawa pilihan raya kita adalah bebas dan adil. Bagi saya inilah satu tanggapan atau pendapat yang salah, yang tidak ada asas. Inilah satu misconception, dengan izin. Inilah seolah-olah berkata dengan izin, cancer is not a killer sebab some patients survived the disease.
Inilah dan bagi saya Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya proses pilihan raya yang dikendalikan di dalam negara kita masih tidak bebas dan adil dan saya boleh cakap di sini bahawa sekiranya prosesnya dijalankan mengikut piawaian ataupun nilai-nilai antarabangsa untuk pilihan raya bebas dan adil, ada kebarangkalian besar bahawa Pakatan Rakyat telah menang jauh lebih kerusi daripada yang dicapai. Ada kemungkinan besar bahawa kita duduk di tempat yang berbeza daripada yang ada sekarang. Inilah hakikatnya. Jadi kita tidak boleh menafikan bahawa dari segi perundangan, dari segi legal, Barisan Nasional telah menang di sana, tetapi ada timbul isu kesahan, ataupun legitimacy. Legal legitimacy memang ada, tetapi dari segi moral legitimacy, dari segi legitimacy of the government, itu masih ada satu persoalan. Apakah isu yang dalam pengendalian pilihan raya yang mengakibatkan atau membawa persepsi bahawa pilihan raya ini tidak bebas atau adil.
Ada beberapa aspek, saya menumpukan kepada tiga sahaja. Satu ialah pengendalian undi pos. Undi pos sekarang berjumlah 221,885 undi. 221,000 undi, 2% lebih daripada jumlah keseluruhan dan dalam pilihan raya yang baru ini, ada beberapa penyelewengan yang kita lihat. Saya bagi dua, tiga contoh sahaja Tuan Yang di-Pertua di sini. 72,000 kertas undi pos ini telah hilang. Bermaksud diambil oleh pengundi, selepas itu tidak dikembalikan. Mana mereka pergi, kita belum tahu. Ada contoh di Kuala Lumpur, di mana pemerhati daripada Pakatan Rakyat dipaksa memerhati 100 meter dari tempat pengundian. Proses membuang undi tidak sulit lagi dan di beberapa tempat, proses pembuangan undi dibuat tanpa satu daftar undi diberi kepada pemerhati Pakatan Rakyat. Ini serius sebab dalam 30 Kerusi di mana Barisan Nasional menang dengan majoriti-majoriti yang tipis, jumlah perbezaan undinya hanya 56,822 undi. Jadi ini menunjukkan begitu besar pengaruh undi pos ini yang berjumlah 221,000 undi.
Jadi, Tuan Yang di-Pertua, isu ini dengan jelas mencemar proses pengendalian pilihan raya kita. Gelaran undi pos ini juga satu misnomer, dengan izin, sebab mereka, anggota polis dan anggota tentera yang membuang undi menggunakan undi pos ini sebenarnya tidak perlu menggunakan undi pos. Mereka boleh membuang undi seperti kita semua, seperti pengundi biasa di tempat-tempat yang biasa. Hanya 1% daripada undi pos dalam negara ini adalah pengundi pos sebenarnya, dengan izin, actual postal voters yang duduk di luar negara sama ada mereka bekerja atau belajar di luar negara. Yang 99% itu ada di sini. Jadi tidak ada asas untuk SPR menggunakan amalan undi pos untuk mereka.
Selain daripada undi pos, kita juga ada masalah liputan media yang berat sebelah dan inilah satu punca terus atau langsung daripada Akta Mesin Cetak yang memerlukan lesen diperbaharui setiap tahun. Saya gembira mendengar di Dewan yang mulia ini pandangan daripada Yang Berhormat daripada Barisan Nasional beberapa kali termasuk Kulai dan Rembau di mana kita mendengar bahawa akta ini perlu dimansuhkan. Kita sangat mengalu-alukan dan kita setuju dengan pandangan itu. Sudah tiba masanya, in fact sudah terlewat pandangan itu diberikan tetapi dialu-alukan pandangan itu diluahkan dan kita setuju, tetapi kita juga kena faham bahawa untuk kebebasan media yang tulen, Akta Rahsia Rasmi dan juga Akta Hasutan perlu juga dimansuhkan ataupun dipinda.
Tuan Yang di-Pertua, isu ketiga yang mencemarkan pengendalian pilihan raya di negara kita adalah daftar undi yang tidak bersih. Atas sebab itu ada desakan untuk penggunaan dakwat kekal untuk memastikan pengundi tidak boleh membuang undi lebih sekali, tetapi malangnya seperti disebut tadi dalam ucapan lain tiba-tiba pada saat-saat terakhir SPR telah membatalkan kegunaan dakwat kekal ini walaupun telah dipersetujui pada pertengahan tahun lepas pada bulan Julai selepas kelulusan Majlis Fatwa Kebangsaan diberikan...
Jadi kesimpulannya, adalah bahawa negara kita tidak boleh mengambil ruang di dunia ini dalam kumpulan negara-negara yang betul-betul demokratik yang sebenar-benarnya melakukan satu pilihan raya yang bebas dan adil selaras dengan piawaian nilai antarabangsa sehingga kita buat satu reformasi sistem pilihan raya kita. Jadi saya ingin mencadangkan bukan sahaja kepada pemerintah, kepada kita semua di Dewan yang mulia ini yang bertanggungjawab atas isu ini bahawa kita perlu satu muafakat di sini bahawa sistem ini mesti diubah dan satu suruhanjaya diraja ditubuhkan oleh kerajaan untuk kaji isu yang cukup penting ini. Kita perlu satu suruhanjaya untuk menyiasat daftar undi yang sedia ada sebab adalah jelas bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ini tidak lagi mempunyai wibawa, tidak lagi mempunyai kewibawaan yang cukup untuk melakukan tugas penting itu.
Jadi, saya menggulung Tuan Yang di-Pertua. Saya ulanglah cadangan itu sebagai satu seruan juga bahawa negara kita perlu move on, dengan izin, kepada satu era demokrasi yang baru dan reformasi sistem pilihan raya ini adalah satu unsur utama dalam perkembangan itu. Sekian, terima kasih. Saya mohon menyokong.
No comments:
Post a Comment