(Dewan Rakyat 13 Mei 2008)
Tuan Raime Unggi [Tenom]: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua, kerana memberi ruang dan peluang kepada saya untuk turut membahaskan Titah Diraja Seri Paduka Baginda Yang di-Pertua Agong.
Tuan Yang di-Pertua, saya ingin membahaskan mengenai isu pembasmian kemiskinan yang telah lama kita perjuangkan untuk menaik taraf kehidupan masyarakat kita. Saya melihat kerajaan menjalankan pelbagai program untuk membasmi kemiskinan di kalangan penduduk Malaysia dan telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan di negara kita. Kita melihat kadar penurunan 8.5% pada tahun 1999 kepada 5.7% pada 2004 dan 3.6% pada tahun 2007. Walau bagaimanapun angka tersebut masih besar terutama di kawasan luar bandar iaitu 7.1%. Sabah terutamanya masih mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi berbanding dengan negeri-negeri yang lain iaitu sebanyak 23% daripada isi-isi rumah hidup di bawah garisan kemiskinan kebangsaan. Ini memerlukan perhatian yang serius daripada pihak kerajaan untuk mengurangkan jurang kemiskinan di negeri Sabah. Sasaran kerajaan untuk membasmi kemiskinan pasti tidak akan berjaya sekiranya negeri Sabah masih mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi. Saya melihat usaha ini kurang berjaya di kawasan luar bandar kerana masih banyak program-program yang dilaksanakan tidak sampai ke peringkat akar umbi.
Tuan Yang di-Pertua, kita semua maklum bahawa negeri Sabah di bawah bayu merupakan sebuah negeri yang kaya dengan sumber-sumber pertanian. Malah, jika kita lihat para petani merupakan golongan yang mempunyai pendapatan yang tinggi berbanding dengan golongan yang bekerja degan sektor awam mahupun swasta. Namun, jika kita pergi ke kawasan-kawasan luar bandar di negeri Sabah yang berpotensi untuk dimajukan dalam sektor pertanian amat mendukacitakan, bahawa mereka masih lagi mengusahakan dengan kaedah pertanian tradisional. Adakah kaedah ini yang diwarisi turun menurun dapat mengeluarkan penduduk peribumi Sabah daripada kepompong kemiskinan tegar? Ini dapat dilihat dalam statistik yang menunjukkan bahawa kadar kemiskinan tegar di negeri Sabah adalah sebanyak 5.5% berbanding dengan negeri-negeri lain yang tidak melebihi 2% kadar kemiskinan tegar.
Kita tahu bahawa terdapat banyak program yang telah dijalankan untuk membantu golongan ini. Namun, sejauh manakah ia sampai ke peringkat akar umbi adalah sukar dipastikan kerana masih banyak lagi di kawasan di negeri Sabah mempunyai jalan raya yang tidak dinaik taraf dan masih dalam status tanah merah dan juga ‘gerambel’, malah tidak disenggarakan dengan baik menyebabkan keadaan ini bertambah teruk apabila musim hujan. Terutamanya kawasan-kawasan pedalaman seperti di daerah Pitas, Kota Merudu, kawasan saya sendiri dan juga Pensiangan begitu juga kawasan-kawasan yang lain...Keadaan ini juga merupakan salah satu faktor menyebabkan mereka sukar untuk melepasi PGK, Paras Garis Kemiskinan yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.
Tuan Yang di-Pertua, berdasarkan kepada statistik kemiskinan tegar di negeri Sabah sehingga 30 September 2007, bilangan golongan miskin tegar di negeri Sabah adalah berjumlah 21,514 orang. Daripada jumlah ini seramai 13,802 orang dikategorikan sebagai miskin tegar produktif. Sementara 3,708 orang pula sebagai miskin tegar tidak produktif, manakala 4,004 orang diletakkan di bawah kategori miskin tegar, orang kurang upaya, OKU. Walaupun begitu, masih ramai lagi yang sebenarnya yang belum berdaftar Tuan Yang di-Pertua, dan sekiranya diteliti dan direkodkan semula angka ini hanya sedikit berbanding dengan yang belum berdaftar.
Saya berharap agar agensi-agensi kerajaan yang telah dipertanggungjawabkan dapat melaksanakan program-program yang telah dirangka dapat dilaksanakan dengan lebih telus agar golongan ini dapat dikurangkan jumlahnya. Agensi-agensi Kerajaan Persekutuan seperti FAMA, JPPS, FELDA dan banyak lagi haruslah memainkan peranan yang penting dalam memastikan kejayaan program yang telah diatur dapat dilaksanakan dengan baik. Ini kerana hanya sebilangan kecil sahaja kawasan-kawasan di negeri Sabah yang diberikan perhatian untuk diusahakan walaupun masih bayak lagi kawasan-kawasan yang memerlukan.
Secara amnya, di Sabah masih banyak lagi kawasan-kawasan yang berpotensi yang dimajukan bagi industri asas tani terutamanya pertanian berasaskan tani. Saya yakin penduduk luar bandar ini akan dapat keluar daripada kepompong kemiskinan sekiranya bantuan-bantuan ini dapat diberikan dalam bentuk latihan dan juga pemberian benih-benih yang bermutu dan juga modal. Sebagai contoh, para petani yang mengusahakan tanah sawah yang hanya bergantung kepada pembajakan tanah daripada Pertubuhan Peladang khususnya di kawasan saya, malah mesin pembajak traktor yang dimiliki oleh Persatuan Peladang Tenom tidak mampu memberi perkhidmatan kepada semua para petani di daerah Tenom. Secara tidak langsung mereka hanya dapat mengeluarkan hasil yang hanya dapat menampung keperluan mereka sendiri.
Dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan, Tuan Yang di-Pertua, sejumlah RM589.5 juta telah dibelanjakan bagi 10 program Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR). Program tersebut memberi tumpuan kepada projek ekonomi dan sosial yang melibatkan golongan miskin tegar. Oleh yang demikian saya yakin bahawa keutamaan ini adalah untuk golongan luar bandar yang mana masih mencatatkan kadar kemiskinan yang tinggi. Saya berharap agar program-program ini akan dapat memberi manfaat kepada mereka.
Tuan Yang di-Pertua, sebagai contoh saya tidak faham mengapakah peruntukan yang telah diberikan kepada JPPS pada tahun lalu iaitu sebanyak lebih kurang RM200 juta telah dikurangkan kepada hanya RM56 juta pada tahun ini sedangkan di negeri Sabah masih memerlukan peruntukan yang banyak untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat di negeri Sabah.
Tuan Yang di-Pertua, pembangunan modal insan adalah merupakan satu keutamaan yang harus dan perlu diberikan kepada masyarakat luar bandar terutama dari segi latihan pendidikan. Apa yang berlaku pada ketika ini program latihan dari segi kemahiran lebih tertumpu di kawasan yang berdekatan dengan pekan mahupun bandar. Saya percaya sekiranya lebih banyak program-program yang berteraskan kemahiran dilaksanakan di kawasan luar bandar pasti akan dapat memberikan pengetahuan dan juga kemahiran kepada golongan sasar dalam memperbaiki taraf ekonomi mereka. Secara tidak langsung pasti akan dapat mengurangkan kadar kemiskinan di luar bandar terutamanya di negeri Sabah yang masih mempunyai kadar kemiskinan yang tinggi.
Kemiskinan juga merupakan salah satu faktor kenapa ramai ibu bapa di kawasan pendalaman tidak dapat menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Ini disebabkan oleh pendapatan yang diperoleh sekadar cukup untuk menampung keperluan sekeluarga. Walaupun kerajaan pada ketika ini memperkenalkan satu akta yang mewajibkan anak-anak dihantar ke sekolah, namun adalah sukar bagi kita untuk melaksanakan disebabkan kekangan kemiskinan.
Tuan Yang di-Pertua, sekolah-sekolah di luar bandar juga amat mendaifkan ibarat penduduknya yang juga adalah di bawah belenggu kemiskinan. Adakah masalah ini dapat diselesaikan? Saya juga telah berulang kali membawa dan juga menyuarakan masalah ini di Dewan yang mulia ini. Kita ingin melihat anak-anak kita bersekolah yang mempunyai kemudahan yang baik, barulah mereka yakin yang kita betul-betul ingin membantu mereka untuk memberikan ilmu yang terbaik bagi anak-anak mereka. Hasrat kerajaan untuk menjadikan sifar buta huruf juga akan tercapai apabila kita benar-benar ikhlas dalam menyediakan kemudahan yang baik untuk golongan ini.
Saya yakin bahawa ada di antara guru-guru yang tidak mahu dihantar ke kawasan pedalaman disebabkan oleh keadaan jalan yang tidak baik dan juga kekurangan kemudahan infrastruktur yang baik. Pihak kerajaan mempunyai banyak program untuk membantu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat luar bandar. Banyak kawasan luar bandar di Sabah masih tidak mempunyai bekalan elektrik, air bersih dan juga klinik. Saya berharap agar kawasan-kawasan ini dapat diberikan perhatian yang serius dan tindakan yang sewajarnya perlu diambil dalam mengatasi masalah ini.
Adalah menyedihkan setelah kita merdeka 50 tahun namun masih terdapat rakyat kita yang masih hidup di bawah kepompong kemiskinan. Saya sedar kerajaan amat memandang serius masalah ini dengan menyediakan pelbagai program. Namun sejauh manakah berkesannya program-program tersebut dan juga adakah program-program ini sampai ke peringkat akar umbi.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga berharap agar program yang telah dijalankan di Pulau Bangi dapat diteruskan di kawasan pedalaman di negeri Sabah yang masih mundur. Masih banyak lagi kawasan-kawasan yang terdapat di negeri Sabah dapat dimajukan melalui program-program yang berasaskan kepada pertanian. Suntikan tambahan peruntukan kepada negeri Sabah amat diperlukan ekoran daripada sokongan yang tidak berbelah bagi kepada kerajaan kerana dahagakan pembangunan dan hasrat ingin keluar daripada kepompong kemiskinan.
Tuan Yang di-Pertua, akhir sekali saya juga ingin memohon agar sistem perkhidmatan awam dapat dikaji semula bagi memastikan apa juga program yang dilaksanakan oleh kerajaan sampai ke peringkat akar umbi. Kawasan luar bandar merupakan kawasan yang selalu ketinggalan dari segi program-program yang dijalankan oleh pihak kerajaan dalam membantu mereka. Saya percaya bahawa terdapat agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam hal untuk memastikan ia sampai ke peringkat akar umbi. Namun ia tidak jelas kerana ia tidak sampai ke peringkat akar umbi. Saya yakin dan percaya apa jua yang kita usahakan untuk membantu golongan miskin ini tidak akan kesampaian apabila sistem penyampaian dan perkhidmatan yang diberikan sekadar melepaskan batuk di tangga.
Tuan Yang di-Pertua, akhir sekali saya berharap agar konsep satu perkhidmatan, satu penyampaian dan dasar tiada pintu yang salah berjaya dilaksanakan dengan pemantauan yang lebih teratur. Saya percaya bahawa konsep ini akan berjaya sekiranya penjawat-penjawat awam yang telah dipertanggungjawabkan dalam hal ini dapat menjalankan tugas yang telah diamanahkan sesuai dengan sumpah dan janji yang telah dibuat. Kita tidak mahu dikatakan indah khabar dari rupa kerana sasaran kita sekarang adalah memperbaiki sistem penyampaian bagi memastikan keberkesanan dan juga pelaksanaan sampai kepada kumpulan sasar. Sekian, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih. Saya mohon menyokong.
No comments:
Post a Comment