Tuesday, June 3, 2008

Program Makanan Tambahan Sekolah

(Dewan Rakyat : Rabu 7 Mei 2008)

JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN

2. Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai] minta Menteri Pelajaran menyatakan:-

(a) sejauh mana keberkesanan program bantuan makanan yang diberikan di sekolah-sekolah luar bandar membantu pelajar-pelajar mendapat pemakanan seimbang; dan

(b) apakah langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam menangani masalah keracunan makanan yang kerap berlaku di sekolah-sekolah serta penguatkuasaannya menepati prinsip am kebersihan makanan.

Menteri Pelajaran [Dato’ Seri Hishammuddin bin Tun Hussein]: Terima kasih. Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Pelajaran Malaysia telah pun bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam menyediakan 20 menu rancangan makanan tambahan mengikut keperluan nutrien seorang murid berdasarkan saranan pengambilan nutrien BMI 2005. Penyediaan menu ini telah mengambil kira objektif pemberian RMT iaitu memenuhi di antara satu perempat dan satu pertiga daripada jumlah keperluan kalori harian seorang murid. Menu ini juga disediakan bagi memenuhi piramid makanan Malaysia yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan.

Berhubung dengan keberkesanan program RMT, terdapat lima kajian daripada universiti tempatan yang menjalankan penyelidikan tentang keberkesanan program bantuan makanan di sekolah-sekolah kita. Kajian yang terkini telah dilaksanakan oleh pihak Universiti Putra Malaysia pada tahun lepas. Hasil kajian mendapati bahawa program ini telah mencapai matlamat dan dasar yang digariskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua, saya memandang serius kejadian keracunan makanan di sekolah-sekolah kita dan telah pun mengarahkan beberapa langkah tegas yang telah dan akan terus diambil bagi mencegah kejadian ini berterusan berlaku. Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia telah menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kualiti Makanan dan Pemakanan yang dipengerusikan bersama oleh Yang Berhormat-Yang Berhormat Timbalan Menteri kementerian masing-masing. Ia bertujuan menangani dan menguatkuasakan segala peraturan serta memastikan ia menepati prinsip am kebersihan pemakanan.

Kedua, tindakan tegas dikenakan terhadap pengusaha kantin yang gagal mematuhi perjanjian termasuk menamatkan perkhidmatan mereka. Pejabat pelajaran daerah, pengetua, guru besar dan juga pengusaha kantin diarah memberi penjelasan dan bertanggungjawab secara langsung untuk memastikan bahawa ia tidak berlaku. Sekiranya ia berlaku lagi disebabkan kecuaian dan pemantauan yang lemah pihak pentadbir sekolah akan dikenakan tindakan tatatertib. Pengusaha kantin yang terlibat dalam kes keracunan makanan akan disenaraihitamkan oleh kementerian. Kita juga telah mengadakan program-program fahaman pengurusan kualiti makanan dengan semua pihak yang berkepentingan termasuk pengusaha kantin dan asrama, permuafakatan PIBG serta syarikat pembersihan sekolah.

Kita telah pun menubuhkan unit tindakan segera, menyediakan hotline dan juga faks supaya pihak orang ramai yang merasakan mereka tidak boleh membuat aduan secara terus kepada kementerian kerana halangan-halangan di peringkat daerah atau negeri bolehlah menggunakan talian-talian ini untuk mengadu terus kepada pihak kami. Juga mengarahkan PPG terus mengadakan pemantauan di sekolah-sekolah dari semasa ke semasa. Tuan Yang di-Pertua, kementerian akan bertindak tegas kepada sesiapa sahaja sama ada pihak sekolah, pengusaha kantin ataupun pembekal yang terbukti melakukan kecuaian sehingga menyebabkan kejadian ini berlaku.

Puan Nurul Izzah Anwar [Lembah Pantai]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua dan juga terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya mahu menanyakan soalan susulan tentang jawatankuasa pemakanan ini, adakah ia akan menyelesaikan masalah bahawa kalau kita bandingkan Malaysia tidak wujud satu prinsip - prinsip am ada tetapi tidak wujud satu sistem di mana sama dengan di UK Food Standards Agency untuk menyeragamkan kewujudan di mana wujudnya kerajaan tempatan ada berlainan sistem associate of standard users. Maksudnya di Lembah Klang mungkin standard pemakanan tidaklah sama diseragamkan dengan kawasan di Kelana Jaya, contohnya. Jadi, bagi saya walaupun wujud jawatankuasa pemakanan ini, adakah ia akan menyelesaikan masalah ketidakseragaman yang akhirnya mengakibatkan kes-kes keracunan sering berlaku sehinggalah bulan April tahun ini. Terima kasih.

Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein: Terima kasih Yang Berhormat daripada Lembah Pantai. Sebenarnya kita tidak harus melihatnya sebagai satu penyeragaman kerana keperluan sekolah-sekolah berbeza mengikut lokasi. Di sini, seperti yang disarankan dalam soalan Yang Berhormat sendiri tumpuan kita kepada sekolah-sekolah yang berada di luar bandar yang betul-betul memerlukan bantuan dan pembelaan. Rancangan makanan tambahan ini di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan, di bawah Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, kita telah tingkatkan jumlah untuk RMT ini yang sasarannya ialah kepada anak-anak kita yang berada di sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman. Jawatankuasa ini walaupun tidak dilihat seperti ataupun sama sahaja yang diadakan di United Kingdom tetapi kita mesti menyesuaikan mengikut keperluan kita makanan yang sesuai mengikut cita rasa anak-anak kita. Apa yang penting ialah kalori dan apa yang diperlukan untuk memastikan anak-anak kita ini membesar dalam keadaan yang selesa dan mampu menggunakan kemudahan ini untuk memastikan mereka tidak terpinggir atau tersisih.

Tuan Ahmad Maslan [Pontian]: Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan. Berapakah nilai peruntukan rancangan makanan tambahan ini bagi setahun dan adakah diberikan kepada pelajar miskin di bandar? Bukankah rancangan makanan tambahan, bantuan makanan asrama, buku teks, kumpulan wang amanah pelajar miskin, bantuan tuisyen, yuran sekolah yang dimansuh dan lain-lain yang bernilai berbilion ringgit ini membuktikan bahawa pendidikan sekolah menengah dan sekolah rendah di Malaysia ini hampir percuma. Mohon ulasan.

Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein: Terima kasih Yang Berhormat daripada Pontian. Seperti saya maklumkan dalam jawapan saya dua hari yang lepas di Dewan yang mulia ini, rancangan makanan tambahan ini merupakan hanya sebahagian daripada rancangan-rancangan bantuan yang lain. Rancangan makanan tambahan yang disebutkan tadi jumlahnya setahun ialah RM276 juta dan ia dapat manfaatkan 771,506 murid. Ini tidak termasuk bantuan makanan asrama, tidak termasuk skim-skim bantuan tuisyen, makanan prasekolah, program susu, elaun kepada murid kurang upaya, bantuan perjalanan, bantuan murid miskin, bantuan di sekolah asrama penuh dan juga asrama-asrama harian. Kelmarin saya telah nyatakan tiap-tiap tahun kerajaan membelanjakan sejumlah lebih daripada RM3 bilion untuk membantu anak-anak kita yang memerlukan kepada pembelaan tadi.

Jadi, dalam kadar itu dengan penghapusan yuran-yuran yang diumumkan dalam belanjawan baru-baru ini pihak-pihak yang melihat ia sebagai satu isu yang sedikit sebanyak menenggelamkan apa yang telah kita bantu anak-anak kita selama ini saya rasa memang tidak wajar. Terima kasih.

No comments: