Tuesday, June 3, 2008

Kenapa petani KADA masih miskin?

(Dewan Rakyat : Rabu 7 Mei 2008)

JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Apakah Yang Berhormat sedar di Kelantan ada Lembaga Kemajuan Kemubu yang dikenali sebagai KADA. KADA mempunyai peruntukan yang banyak tetapi gagal membantu meningkatkan pendapatan di kalangan para petani. Adakah KADA ini gagal kerana pucuk pimpinan yang dulu dan sekarang menggunakan KADA sebagai agensi politik diri masing-masing ataupun betul-betul mempunyai perancangan untuk membantu para petani meningkatkan taraf hidup mereka di Kelantan. Terima kasih.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani [Dato’ Mustapa Mohamed]: Kita ada lapan kawasan jelapang padi. Yang terbesar ialah MADA di Kedah, yang kedua KADA di Kelantan. KADA mempunyai bilangan staf melebihi 1,000 orang dan KADA dipertanggungjawabkan untuk membangunkan kawasan padi di Kelantan melibatkan lebih 30,000 hektar. Isu utama di kawasan KADA pada hari ini ialah yield ataupun hasilnya yang tidak seberapa jika dibandingkan dengan kawasan MADA dan kawasan-kawasan lain. Usaha-usaha sedang dilakukan dan di bawah peruntukan terkini yang kita umumkan 2 Mei yang lalu KADA akan diperuntukkan lebih RM50 juta ringgit sebagai tambahan peruntukan untuk menyenggara tali air, menambah bantuan baja dan lain untuk memastikan KADA juga dapat menyumbang kepada usaha-usaha untuk menambah pengeluaran padi dalam negara. Sama ada kegagalan KADA ada kaitan dengan kepimpinan ataupun KADA dipolitikkan, kepimpinannya pada hari ini termasuklah pengurus besar telah pun diberi ingatan.

Saya melawat KADA dua minggu yang lalu dan saya telah diberi taklimat oleh pihak KADA. Saya telah memberi ingatan kepada pihak KADA bahawa agenda utama KADA ialah untuk menambah pengeluaran padi, menambah pendapatan petani dan menambah keluaran hasil tani. Itu adalah agenda utama dan dengan peruntukan tambahan yang disediakan lebih RM50 juta pada tahun ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk membantu KADA.

Maka saya telah memberi ingatan kepada pihak pengurusan dan kepimpinan KADA bahawa mereka hendak menepati matlamat utama mereka iaitu menjaga kebajikan petani untuk menambahkan pendapatan dan KADA tidak boleh lari daripada matlamat utama tersebut.

No comments: