Tuesday, June 3, 2008

Gaya hidup sihat

(Dewan Rakyat : Rabu 7 Mei 2008)

JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN

Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada menteri yang telah memberi jawapan tadi berhubung dengan punca-punca utama kematian iaitu septisemia, kanser dan juga cardiovascular dan kemalangan. Soalan tambahan saya, apakah langkah-langkah yang sedang, akan dan mungkin dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengubah mungkin cara hidup masyarakat dalam negara kita ini untuk mencegah daripada punca-punca kematian yang disebutkan oleh menteri tadi ini.

Kalau kita daripada akhbar Metro hari ini, seorang Profesor Bersekutu Fakulti Perubatan, UiTM akan mengadakan satu kajian berhubung dengan kemungkinan kanser disebabkan oleh pemancar gelombang elektro magnetik daripada pemancar-pemancar Syarikat Telco ini. Apakah kementerian akan membantu beliau iaitu Profesor Adlina Sulaiman untuk mengadakan kajian ini? Kerana beliau mendapati tempat-tempat yang berhampiran dengan menara-menara ini, banyak kes kanser berlaku. Jadi saya minta jawapan daripada kementerian. Terima kasih.

Menteri Kesihatan [Dato’ Liow Tiong Lai]: Okey, terima kasih Yang Berhormat daripada Pendang. Berhubung dengan penyakit-penyakit kanser dan cardiovascular, ia ada banyak berkait dengan cara hidup kita. Oleh itu kerajaan telah pun menggalakkan preventing measure. Kita hendak, kalau boleh memastikan kita tingkatkan lagi kempen cara hidup yang sihat. Seperti mana kita sedia maklum, mulai tahun 2005, kita telah mengadakan kempen dengan tema “Sihat Sepanjang Hayat”. Kira-kira kita hendak menggalakkan rakyat bukan sahaja kerajaan mempertingkatkan perkhidmatan kita dari segi bidang kuratif ataupun klinikal di hospital-hospital, malahan dari segi preventif adalah cukup penting untuk kita memastikan rakyat kita lebih sihat, kurang ke hospital kerana kita mengadakan gaya hidup yang sihat. Contoh-contoh di mana kita harap rakyat dapat memahami cara hidup sihat adalah dari segi makanan yang seimbang, dari segi senaman yang perlu diadakan kalau boleh setiap hari dan kalau boleh tidak merokok. [Ketawa]

Memang kita kempen ‘Tidak Merokok’ ini akan diteruskan. Kita hari ini juga dalam zaman globalisasi, masalah menangani stres, mental health adalah satu perkara yang kita akan tekankan dan dari segi sihat tanpa alcohol juga ditekankan. Oleh itu berhubung dengan soalan yang kedua yang diutarakan berkenaan dengan penyelidikan, kita akan bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk melihat bagaimana geran akan diberikan untuk membantu meningkatkan penyelidikan dalam bidang-bidang tersebut. Sekian, terima kasih.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Tentang merokok di Parlimen ini, sedikit. Tentang merokok. Ahli Parlimen sendiri merokok dalam kawasan Parlimen. [Dewan riuh] Sebab tadi Yang Berhormat Menteri bercakap tentang merokok. Jadi saya harap minta tolong sedikitlah tentang itu. Hendak minta penjelasan apakah sebenarnya polisi merokok di Parlimen ini? [Disampuk] Dewan riuh]

Tuan Yang di-Pertua: Ya, sudah, sudah siap jawab.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Bolehkah atau tidak merokok di kawasan Parlimen? [Dewan riuh]

Tuan Yang di-Pertua: Sudah dua soalan tambahan.

Dr. Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Ya.

Tuan Yang di-Pertua: Sudah dua soalan tambahan.

Beberapa Ahli: [Menyampuk][Dewan riuh]

Tuan Yang di-Pertua: Ahli-ahli Yang Berhormat tolong senyap.

No comments: