Tuesday, June 3, 2008

Nasib golongan OKU

(Dewan Rakyat : Rabu 7 Mei 2008)

JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN

4. Tuan Gwo-Burne Loh [Kelana Jaya] minta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan sama ada kerajaan pernah melobi untuk meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai konvensyen terhadap hak golongan orang kurang upaya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat [Dato’ Dr. Ng Yen Yen]: Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Yang Berhormat dari Kelana Jaya, mana-mana kerajaan di dunia tidak perlu melobi untuk meratifikasi mana-mana Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau PBB. Semua Konvensyen PBB adalah terbuka untuk ditandatangani dan diratifikasi oleh mana-mana negara ahli. Ini termasuklah konvensyen mengenai hak orang kurang upaya. Untuk makluman Yang Berhormat juga, Kerajaan Malaysia amat prihatin akan isu-isu orang kurang upaya di negara ini. Oleh yang demikian, Malaysia telah pun menandatangani konvensyen ini pada 8 April tahun ini di Ibu Pejabat PBB, New York. Sebagai niat dan hasrat untuk meratifikasi konvensyen tersebut, kini Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang mengkaji implikasi undang-undang dan mendapatkan pandangan daripada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan pertubuhan bukan kerajaan atau NGO, dengan izin, sebelum memperakukan kepada kerajaan, cadangan untuk meratifikasi konvensyen ini. Terima kasih.

Tuan Gwo-Burne Loh [Kelana Jaya]: Yang Berhormat, apakah langkah-langkah yang diambil oleh kementerian dalam menyediakan lebih banyak prasarana kepada golongan orang kurang upaya ini. Apakah kerajaan akan menjadi satu mainstream kepada menyediakan kemudahan lebih banyak seperti tempat letak kereta bagi OKU di pusat-pusat membeli belah, kompleks kerajaan dan universiti? Bolehkah pihak kementerian menyatakan apakah rancangan-rancangan masa hadapan untuk OKU dan bolehkah laporan-laporan setiap tahun mengenai rancangan kementerian terhadap OKU dibentangkan kepada Parlimen? Terima kasih.

Dato’ Dr. Ng Yen Yen: Terima kasih. Untuk menentukan pihak OKU masuk ke mainstream dalam pembangunan negara, kementerian memang ada jalan dengan beberapa cara untuk menentukan perkara ini. Yang pertama adalah mengadakan akta-akta untuk memberikan pihak OKU ada hak sendiri. Akta Orang Kurang Upaya sudah diluluskan di Parlimen di dalam negara ini pada 24 Disember 2007. Pada masa sekarang kita sudah menjalankan strategi-strategi untuk menjalankan akta-akta ini. Akta-akta ini pun juga ada bersama dengan Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya. Jadi berikan kita masa sampai 2012 untuk semak semula.

Pada masa sekarang, beberapa undang-undang pun ada untuk menentukan pihak orang kurang upaya dapat infrastruktur dan juga melalui insentif-insentif pengurangan cukai seperti dalam Bajet 2008, Kementerian Kewangan ada mengumumkan mana-mana pihak swasta jikalau ada memberikan infrastruktur untuk OKU friendly di tempat kerja akan dapat tax exemption. Sekian.

Datuk Halimah binti Mohamed Sadique [Tenggara]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya sudah berdiri dekat enam kali. [Ketawa] Tuan Yang di-Pertua, mengapakah terdapat begitu banyak orang kurang upaya yang disalahgunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk dijadikan pengemis dan apakah mereka ini menjadi mangsa sindiket yang mengambil kesempatan di atas kedudukan dan nasib mereka? Saya hendak tahu daripada menteri, apakah usaha kementerian untuk menentukan hak golongan orang kurang upaya ini terbela? Terima kasih.

Dato’ Dr. Ng Yen Yen: Terima kasih. Memang kementerian pun sangat-sangat risau perkara ini berlaku. Pada masa sekarang ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, yang menggunakan kanak-kanak dan orang tua untuk jadi pengemis. Jadi di sini, Ahli-ahli Yang Berhormat, dari kementerian saya, yang pertama jika kita dapat maklumat, kita pergi cari mereka dan masukkan ke pusat kita, supaya mereka sekurang-kurangnya mendapat kehidupan yang basic. Akan tetapi apa yang perlu adalah, pihak kita ini melalui enforcement dan lain-lain, mesti cari sindiket ini sebab we are the ending end, the receiving end. Apa maksud asas itu? Itulah masalah yang sedang kita kaji. Sekian.

No comments: