Monday, June 9, 2008

Petikan Ucapan Puan Hajah Nancy binti Shukri [Batang Sadong]

Dewan Rakyat : 7 Mei 2008)

USUL MENJUNJUNG KASIH TITAH UCAPAN DIRAJA

Tuan Johari bin Abdul [Sungai Petani]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Batang Sadong. Saya bersimpati dengan yang Berhormat yang membela nasib masyarakat di sini. Kita ini sebuah negara membangun. Saya dahulu pun di kawasan saya macam kampung Yang Berhormat lah. Alhamdulillah kerana berminat Yang Berhormat sebagai calon Barisan Nasional. Bahkan saya minta pandangan Yang Berhormat. Sebahagian daripada kawasan kita di Semenanjung termasuklah kawasan-kawasan dimenangi oleh pembangkang ini, sebenarnya yang membangunkannya ialah Kerajaan Barisan Nasional, Barisan Nasional, bukan mereka. Mereka ambil kesempatan sahaja. [Ketawa] Apakah pandangan Yang Berhormat tentang kawasan Yang Berhormat? Siapakah yang membangun sekarang? Kerajaan mana yang membangunkan walaupun dalam proses pembangunan seterusnya? Terima kasih.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Saya sambung sedikit Yang Berhormat. Saya sambung sedikit soalan itu, kalau boleh. Terima kasih Tuan Yang di- Pertua, Yang Berhormat Batang Sadong. Sedikit waktu lalu, saya membuat penyelidikan tentang jurang digital ataupun digital divide dengan izin. Apa yang paling saya agak terkejut dengan penemuan bahawa dalam laporan Kementerian Pelajaran sendiri, wujud 1,500 sekolah yang bukannya dipisahkan jurang divide tetapi tidak punya bekalan air dan api. Apabila saya menekuni fakta-fakta ini, 95 peratusnya datangnya daripada negeri-negeri Sarawak dan Sabah sementara kedua-dua negeri ini merupakan negeri paling kaya di seluruh Persekutuan ini. Tentunya Yang Berhormat sedia maklum betapa penting dalam hal modal insan ini bagaimana kedudukan ini masih berterusan setelah empat purnama merdeka dalam Persekutuan Malaysia ini. Sila Yang Berhormat komentar perkara ini.

Puan Hajah Nancy binti Shukri [Batang Sadong]: Terima kasih. Dari saya memulakan ucapan saya tadi, saya telah mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan iaitu Kerajaan Barisan Nasional. Saya bersetuju memang pembangunan yang dibawa adalah dari Kerajaan Barisan Nasional. [Tepuk] Jadi, apa-apa yang berlaku memang tidaklah dapat kata orang dapat dilakukan untuk sekali gus semua kita hendak capai, tetapi apa yang kita hendak ialah kita hendak cepatkan lagi sekarang sebab kawasan kita luas berbanding dengan di Semenanjung.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Terima kasih Yang Berhormat dari Batang Sadong. Tuan Yang di-Pertua, Timbalan Yang di-Pertua, sebenarnya saya agak kelirulah dengan ucapan Yang Berhormat yang pada awalnya mengucapkan terima kasih kepada Barisan Nasional untuk pembangunan yang dibawa dan selepas itu mengkritik Kerajaan Barisan Nasional kerana tidak membawa pembangunan. Ini merupakan satu kenyataan yang agak mengelirukan. Sambil kita berkata terima kasih, selepas itu semasa itu, kita kata sudah 46 tahun tidak ada perbezaan, keadaan kita macam itu juga dan ada pula yang bertanya sama ada pembangunan yang dibawa itu datangnya daripada Barisan Nasional. Adakah Yang Berhormat mengenali mana-mana kerajaan yang memerintah Persekutuan, negara Malaysia ini selain daripada Barisan Nasional? Sekiranya pembangunan tidak datang kepada tempat Yang Berhormat, tidakkah ianya menunjukkan bahawa dasar pembangunan yang dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional itu tidak adil dan berat sebelah? Saya rasa apa yang telah disuarakan oleh Yang Berhormat daripada Kimanis dan daripada Sabah dan daripada Sarawak yang lain, semuanya menunjukkan kepada kita bahawa walaupun ada pembangunan, hakikatnya Kerajaan Barisan Nasional telah bertindak dengan secara yang tidak adil. Inilah satu perkara yang saya rasa perlu ditegaskan oleh Yang Berhormat. Terima kasih.

Puan Hajah Nancy binti Shukri [Batang Sadong]: Terima kasih Yang Berhormat. Kita ini selalunya memang kita menghargai apa yang orang beri kepada kita. Sebab itu kita berterima kasih kerana Kerajaan Barisan Nasional telah membawa pembangunan dari awal. Namun memang tidaklah mencapai apa yang kita kehendaki setakat ini. Sebab kawasan kita luas. Jadi memang saya tidak mengkritik kerajaan.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Kita memang sebagai orang Islam, orang Melayu, kita bersyukur dengan segala yang diberi dan ini memang satu perkara yang bagus, tetapi sambil itu ianya adalah amat penting bagi kita untuk juga menuntut keadilan. Lalu sekiranya kita duduk di dalam satu banglo seperti mana yang diberikan contoh oleh Yang Berhormat Kimanis tadi, duduk di sebuah banglo tetapi terpaksa tidur di tepi tandas. Kalau begitu lebih baik kita punya rakan kongsi banglo yang lain. Kita usir keluar rakan kongsi yang ada sekarang ini [Ketawa] dan kita cari rakan kongsi yang lain yang akan bertindak dengan lebih adil terhadap kita walaupun kita berterima kasih dengan apa yang telah diberi. [Disampuk] Persoalannya, tidakkah persoalan keadilan dan hak kepada rakyat di negeri Sarawak perlu juga diperjuangkan oleh Yang Berhormat dari negeri Sarawak. Terima kasih.

Puan Hajah Nancy binti Shukri [Batang Sadong]: Terima kasih. Sekarang ini Yang Berhormat duduk sebelah sana, sebab itu bercakap sedemikian. [Disampuk] [Tepuk] Sebab Yang Berhormat pun tahu kawasan Sarawak itu luas berbanding dengan di Semenanjung Malaysia ini, satu-satu negeri itu kecil. Kita di Sarawak itu besar. Jadi kita faham sebab itu kita di Sarawak ini orang sentiasa bersyukur. [Tepuk] Orang sentiasa bersyukur dan berterima kasih dan dengan itu kita sering meminta sahaja supaya ianya dipertingkatkan dan difahami oleh semua supaya rakan di sana pun faham kenapa kita minta lebih supaya tidak ada yang bising kepada kita. Faham kerana bukanlah kerajaan tidak adil kepada kita tetapi terpaksa mengagihkan kerana keluasan yang begitu besar tempat kita, kawasan kita. [Tepuk] Terima kasih.

Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar]: Terima kasih Batang Sadong. Saya juga berkesempatan untuk pergi ke negeri Sarawak. Saya punya persoalan daripada apa yang diutarakan tadi ialah tentang apakah persoalan peruntukan yang menjadi masalah atau adakah peruntukan itu ada tetapi dari segi pelaksanaannya, macam mana ia diagih-agihkan peruntukan itu. Itu pun saya kira perlu diambil kira dan ini akan memberi kesempatan kepada sejauh mana kita kata kecekapan pentadbiran di negeri Sarawak itu untuk mengagih-agihkan segala projek pembangunan yang diberi kepada negeri Sarawak.

Puan Hajah Nancy binti Shukri [Batang Sadong]: Terima kasih Yang Berhormat. Kalau Yang Berhormat dengar tadi, saya menyeru agar ditingkatkan peruntukan. Jadi tidak ada masalah peruntukan. Dipertingkatkan sahaja untuk kita. Jadi saya teruskan ya, terima kasih.

No comments: