Wednesday, June 4, 2008

Penahanan BSA Tahir di bawah ISA

(Dewan Rakyat : Rabu 7 Mei 2008)

JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN

7. Dato’ Mukhriz bin Tun Mahathir [Jerlun] minta Menteri Dalam Negeri menyatakan kenapa BSA Tahir dianggap pengancam kepada keselamatan negara sehingga ditahan di bawah ISA.

Menteri Dalam Negeri [Datuk Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar]: Tuan Yang di-Pertua, saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Jerlun yang mahu tahu kenapa BSA Tahir dianggap mengancam keselamatan negara dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Negeri 1960.

Tuan Yang di-Pertua saya juga mohon izin menjawab pertanyaan ini bersama dengan pertanyaan daripada Yang Berhormat Wangsa Maju pada 8 Mei 2008 kerana ia menyentuh perkara yang sama.

Tuan Yang di-Pertua, punca utama kepada penahanan seseorang di bawah akta ini adalah berasaskan maklumat yang diperoleh secara langsung atau melalui kaedah intelligence yang menunjukkan perbuatan atau tindakannya boleh mengancam keselamatan, ekonomi atau gangguan kepada perkhidmatan penting negara. Keputusan yang diambil kemudiannya untuk menahan seseorang bersandarkan kepada tujuan untuk menggagalkan serta mencegah kemungkinan berlakunya ancaman kepada keselamatan.

Dalam kes ini penahanan dilaksanakan berasaskan maklumat dan siasatan yang mengaitkan BSA Tahir dengan rangkaian antarabangsa percambahan teknologi senjata nuklear bagi Libya dan penggunaan Malaysia sebagai tempat mengeluarkan komponen centrifuge yang diperlukan. Beliau juga mempunyai hubungan dengan rangkaian Abdul Qadir Khan atau AQ Khan iaitu seorang pakar yang bertanggungjawab menjadikan Pakistan sebuah negara nuklear. Rangkaian ini juga, terlibat dengan pembangunan senjata nuklear untuk Iran dan Libya.

Tuan Yang di-Pertua, setelah menyiasat secara mendalamnya didapati ada rangkaian dan kaitannya, BSA Tahir ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 kerana jika rangkaian ini tidak dihentikan, ia akan mendedahkan negara Malaysia kepada pelanggaran tanggungjawabnya di bawah Non-Proliferation Treaty serta resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai percambahan senjata nuklear, juga sekali gus boleh mengakibatkan negara Malaysia dikenakan sekatan ekonomi dan menjejaskan hubungan dua hala dengan negara-negara tertentu.

Setelah dipertimbangkan sehalus-halusnya, tindakan penahanan BSA Tahir di bawah seksyen 81 Akta Keselamatan Dalam Negeri telah dilakukan. Tuan Yang di- Pertua itu adalah asas penahanan. Terima kasih.

Tuan R. Kapal Singh [Bukit Gelugor]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Nampaknya soalan ketujuh adalah soalan oleh Tun Dr. Mahathir bukan anaknya tetapi tidak mengapa itu. Tuan Yang di-Pertua, saya mahu tahu adakah BSA Tahir ini beri peluang di bawah seksyen 73 Akta Keselamatan Dalam Negeri untuk membuat pembelaan sebelum dia dihantar ke Kemunting.

Datuk Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar: Tuan Yang di-Pertua, mengikut peruntukan Akta Keselamatan Dalam Negeri, semua orang yang ditahan di bawah akta ini mempunyai hak untuk disemak semula setiap perkara yang melibatkan penahanan beliau. Dalam hal ini, beliau telah ditahan dan disiasat dan penahanannya daripada dua tahun disambung kepada empat tahun. Sekian.

Tuan R. Kapal Singh [Bukit Gelugor]: Tuan Yang di-Pertua, menteri tidak faham soalan saya. Bolehkah jelaskan sekali lagi. Adakah diberi peluang bahawa seksyen 73 sebelum dia dihantar ke Kemunting di bawah satu perintah tahanan. 73, do you understand?

Datuk Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar: Tuan Yang di-Pertua, saya sudah menjawab soalannya. Kita berpuas hati dengan tindakan yang telah diambil oleh kerajaan daripada part ini adalah berasaskan maklumat yang kita ada dan kita membuat penahanan...

Tuan R. Kapal Singh [Bukit Gelugor]: Bukan itu...

Datuk Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar: Sama ada dia appeal atau tidak itu soal lain. Itu yang telah saya jawab ya.

Tuan R. Kapal Singh [Bukit Gelugor]: Bukan appeal 73, do you understand?

Datuk Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar: I understand, but the question I said that… saya tidak mahu menjawab Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, untuk saya bagi tahu Yang Berhormat, Yang Berhormat bertanya berkenaan soalan berkenaan mahkamah ini Akta Pencegahan. Akta Pencegahan kita mengambil tindakan, berasaskan maklumat yang ada dan kita berpuas hati bahawa orang ini boleh ditahan di bawah akta tersebut.

Tuan R. Kapal Singh [Bukit Gelugor]: 73 of the act. Do you understand that?

Datuk Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar: Yes, I understand that. That’s why I said...

Tuan R. Kapal Singh [Bukit Gelugor]: What it is about? [Dewan riuh]

Dato' Mukhriz bin Tun Mahathir [Jerlun]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, sebenarnya ini soalan saya sendiri. Bukan soalan mana-mana pihak yang lain. Nampaknya ada kesimpulan daripada siasatan yang dibuat setakat ini oleh pihak Kementerian Dalam Negeri. Saya hendak tanya adakah ini telah menunjukkan bahawa beliau perlu ditahan lagi dan kenapa? Terima kasih.

Datuk Seri Syed Hamid bin Syed Jaafar Albar: Tuan Yang di-Pertua, saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Jerlun di atas soalan tambahan. Saya akan menyemak kes ini bila tamat tempoh penahanannya dan membuat keputusan kemudiannya. Terima kasih.

No comments: