Wednesday, June 4, 2008

Islam Hadhari

(Dewan Rakyat : Rabu 7 Mei 2008)

JAWAPAN-JAWAPAN LISAN BAGI PERTANYAAN-PERTANYAAN

8 Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai] minta Perdana Menteri menyatakan adakah Islam Hadhari terus menjadi pegangan kerajaan sekarang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi]: Tuan Yang di-Pertua, pendekatan pemikiran Hadhari akan diperkasakan melalui pelbagai agenda bagi membina kesedaran dan penghayatan secara hadarah di kalangan ummah. Bagi menterjemahkan pelaksanaannya JAKIM telah dan akan menempatkan seramai dua orang pegawai di setiap kementerian bagi membantu dan menyelaraskan pelaksanaan program-program berkaitan dengan pemikiran ini. Usaha juga sedang dijalankan untuk menyediakan piawaian Hadhari atau dengan izin Hadhari standard bagi menyediakan indeks pencapaian kepada sepuluh prinsip dalam pendekatan Hadhari ini. Satu jawatankuasa telah dianggotai oleh ahli-ahli profesional dalam pelbagai bidang dan wakil-wakil agensi kerajaan termasuk Institut Kefahaman Islam Malaysia atau IKIM bagi menyediakan piawaian Hadhari ini dan ia akan dijadikan sebagai satu penanda aras atau dengan izin benchmark bagi mengukur tahap pencapaian setiap prinsip dalam pendekatan pemikiran Hadhari ini.

Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada menteri yang menjawab. Empat tahun yang lalu, apabila Islam Hadhari ini diperkenalkan sebagai satu pendekatan telah menimbulkan berbagai-bagai persoalan. Antara teras-teras seperti yang disebutkan di dalam Islam Hadhari ini, dua perkara yang kita nampak jelas iaitu pembinaan modal insan dan juga tentang pemodenan dalam pembangunan negara, ternyata dipertikaikan sehingga menyebabkan Barisan Nasional hampir-hampir ditolak dalam pilihan raya 2008 sehingga berlaku penyusunan semula Kabinet yang lebih radikal kerana modal-modal insan dalam Kabinet yang lalu ternyata tidak berjaya dibina dalam tempoh empat tahun [Dewan riuh] yang disebutkan. Termasuk juga - approach pada soalan ya, termasuk juga salah sebuah negeri, satu-satunya negeri di Malaysia ini yang meletakkan Islam Hadhari sebagai teras moto negeri tersebut iaitu Terengganu. Soalannya, tempat di mana itu dijadikan moto pun modal insan pertamanya terpaksa ditukar kerana gagal.

Jadi soalan saya, semua ada kena mengena ini. Dengan kegagalan ini, mengapakah kerajaan seperti yang dijawab tadi ingin meneruskannya dan adakah mereka merasa bahawa segala kelemahan itu memerlukan masa lagi untuk diperbaiki dengan pendekatan-pendekatan yang baru disebutkan ataupun ini hanya sebagai satu langkah politik untuk menyaingi perjuangan yang dibawa oleh pihak Pakatan Rakyat yang membina satu pendekatan yang lebih baik kepada rakyat Malaysia. Mohon penjelasan.

Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi: Tuan Yang di-Pertua, yang mengkonotasikan kegagalan ini hanya Yang Berhormat Kuala Krai dan konco-konconya. Bagi kita, apabila kita lihat tahap pertama kalau Yang Berhormat Kuala Krai lihat apabila awareness campaign dengan izin kempen kesedaran ini diwujudkan, kenapa Yang Berhormat tidak sebut bahawa dalam pilihan raya 2004 Islam Hadharilah antara faktor yang telah memenangkan BN dengan kejayaan yang baik. [Tepuk] Fasa yang kedua berlaku demikian kerana jenis spesies begitulah yang menyebabkan keadaan ini berlaku. Kerana pemutar belitan prinsip dan juga beberapa pendekatan yang baik yang telah di cacamarbakan atas tujuan-tujuan politik, maka pembangunan modal insan yang kita buat dalam manhaj yang baru bersesuaian dengan ayat [Membaca sepotong ayat Al-Quran]. Perimbangan soalan duniawi dan ukhrawi yang saya fikir dipersetujui oleh Yang Berhormat dan kawan-kawan yang lain juga. Kenapa perlu fobia terhadap pemikiran ini.

Kita tidak jadikannya sebagai mazhab baru apatah lagi sebagai agama baru. Pendekatan ini adalah pendekatan untuk civilize dengan izin untuk mentamadunkan ummah keseluruhannya dan janganlah fobia terhadap istilah, lihatlah apa isi yang ada di dalam pemikiran Hadhari.

Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Menteri. Kalau kita lihat pemikiran daripada Pakatan Rakyat ataupun ‘Pakatan Public Relation’ - PR ini, kita melihat bahawa tidak ada persetujuan asas di antara negara Islam yang diperjuangkan oleh parti PAS seperti mana yang diutarakan oleh Yang Berhormat Kuala Krai tadi dengan negara Islam itu di bantah keras oleh parti DAP yang memperjuangkan negara sekular. [Dewan riuh] Jadi saya hendak tanya kepada Yang Amat Berhormat Menteri, soalan saya adakah pendekatan Islam Hadhari ini mendapat persetujuan daripada seluruh komponen Barisan Nasional yang mewakili Kerajaan Malaysia berbanding dengan ‘Pakatan Public Relation’ yang tidak boleh setuju atas satu persetujuan yang asas itu.

Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi: Tuan Yang di-Pertua, pendekatan ini bukan sahaja dipersetujui oleh parti komponen Barisan Nasional tetapi juga dipersetujui oleh organisasi-organisasi bukan Islam yang lain. Malah pengantarabangsaan pendekatan Hadhari ini juga telah diiktiraf oleh negara-negara OIC. [Tepuk] Dalilnya pada bulan Disember yang lalu, 30 negara-negara Islam bukan sahaja memberikan penghayatan terhadap pendekatan fikrah Hadhari tetapi juga melaksanakannya dengan memberikan acuan baru pelaksanaan di negara-negara tersebut. Malah kita lihat bahawa Hadhari world yang dilakukan di dalam beberapa jurnal yang lain memperlihatkan penerimaan negara luar terhadap pendekatan ini yang tidak terima beberapa kumpulan yang jumud sahaja terhadap pendekatan Hadhari.

Seorang Ahli: Hadhari yang lain dah ni, ini bukan Islam Hadhari macam-macam Hadhari boleh sebut macam ni.

No comments: