Tuesday, June 24, 2008

Dun Sanglang: PAS akan rayu di Mahkamah Persekutuan



Bashir Ishak Mon Jun 23, 08 6:39:11 pm MYT

KANGAR, 23 Jun (Hrkh) - PAS akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen pilihan raya Dun Sanglang ke Mahkamah Persekutuan.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin berkata demikian ketika berceramah di Markas MTD Sanglang malam tadi.

"Saya mendapat mesej dari peguam kita yang menyatakan bahawa Lajnah Guaman PAS Pusat telah memutuskan berbuat demikian dalam mesyuarat mereka," katanya.

Sementara itu, peguam Zulmi Sabri yang dihubungi menjelaskan bahawa rayuan tersebut akan difailkan dalam masa yang terdekat untuk menuntut Ustaz Hashim diisytiharkan sebagai pemenang dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

"Kita akan memohon penjelasan tentang kuasa-kuasa mahkamah dalam berhadapan dengan masalah seperti ini apabila seorang calon diisytiharkan kalah sedangkan lawannya tidak pula diisytiharkan sebagai pemenang," jelasnya.

Minggu lalu, mahkamah pilihan raya di sini memutuskan bahawa calon Barisan Nasional, Abdullah Hassan tidak diisytiharkan sebagai pemenang sepertimana yang dituntut oleh Ustaz Hashim dalam petisyennya.

Mahkamah sebaliknya memulangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat keputusan sama ada Ustaz Hashim diisytihar pemenang atau diadakan pilihan raya semula.

Bagaimanapun satu lagi tuntutan agar Ustaz Hashim diumumkan sebagai pemenang tidak diputuskan kerana mahkamah tidak mempunyai kuasa berdasarkan Seksyen 35C dalam AKta Kesalahan Pilihan raya 1954 yang telah dimansuhkan pada tahun 2003.
Petisyen ini difailkan oleh Ustaz Hahsim selaku calon PAS yang bertanding mempertahankan kerusi Dun tersebut tetapi diisytiharkan kalah kepada Abdullah Hassan dengan majoriti 149 undi.

Bagaimanapun berlaku kesilapan semasa mengisi nama calon pada borang 14 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi) yang mana Ustaz Hashim sepatutnya menang dengan majoriti 47 undi.

No comments: