Tuesday, May 20, 2008

USUL KESELAMATAN PELATIH PLKN

Dewan Rakyat (13 Mei 2008)

Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sejak Program Latihan Khidmat Negara dilaksanakan telah berlaku banyak masalah terutamanya yang melibatkan masalah keselamatan pelatih-pelatih yang sedang menjalani latihan tersebut. Pada 7 Mei seorang lagi pelatih PLKN bernama Too Hui Min yang sedang menjalani Program Latihan Khidmat Negara di Geo Kosmo, Kuala Kubu Baru telah meninggal dunia. Sebelum ini pada bulan April yang lalu pelatih bernama Afiq Zuhairi Ahmat Rozali pelatih di Kem Tasik Chenderiang juga telah meninggal dunia selepas mengalami demam. Seorang pelatih bernama R. Balammah pula meninggal dunia selepas 10 hari menamatkan program tersebut. Sementara itu di Kem Jiwa Murni seramai 300 orang pelatih yang menjalani PLKN di kem tersebut terpaksa dikuarantin kerana dipercayai dijangkiti selesema. Ada di kalangan mereka telah menerima rawatan di Hospital Taiping.

Kekerapan berlakunya kematian, masalah kesihatan dan keselamatan pelatih PLKN sejak kebelakangan ini ia telah menimbulkan banyak persoalan kelemahan pengurusan dan pelaksanaan program ini. Adalah wajar PLKN ini dihentikan dengan serta-merta sementara Kementerian Pertahanan mengambil tindakan meneliti semula keberkesanan dan kemampuan pelaksanaannya kerana ia melibatkan isu nyawa dan keselamatan pelatih.

Bagi ibu bapa, anak mereka dihantar ke program ini kerana diwajibkan oleh undang-undang. Tambahan anak mereka ini adalah hidup atau sihat ketika dihantar ke kem tetapi sebaliknya mayatnya yang dibawa kembali ke rumah. Oleh itu perkara ini adalah perkara yang tertentu, ia juga adalah perkara kepentingan orang ramai kerana program ini bagi sesi 2008 melibatkan 110,00 orang pelatih. Perkara ini perlu disegerakan memandangkan insiden kematian pelatih terlalu kerap sejak kebelakangan ini dan keperluan pihak kementerian bertanggungjawab ke atasnya dan bukan sekadar menyampaikan ganti rugi daripada pihak insurans kepada ahli keluarga. Saya mohon mengusulkannya.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Ahli-ahli Yang Berhormat, saya telah menerima satu Pemberitahu Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1), daripada Ahli Yang Berhormat kawasan Batu Gajah pada hari Jumaat, 9 Mei 2008. Teks usul itu adalah seperti yang dibacakan oleh Ahli Yang Berhormat itu sebentar tadi.

Bagi membolehkan perkara ini ditimbangkan saya telah meneliti perkara ini dan saya dapati bahawa tertentu, perkara ini adalah satu perkara yang tertentu. Kepentingan orang ramai, ia adalah kepentingan orang ramai. Berkehendak disegerakan, perkara ini tidak perlu disegerakan. Isu melibatkan nyawa dan kesihatan pelatih sememangnya merupakan perkara amat penting. Pihak Kementerian Pertahanan sentiasa berusaha mengambil pelbagai usaha dalam meningkatkan aspek kesihatan dan keselamatan pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara dan masa untuk membangkit perkara ini masih ada ruang yang banyak dalam Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ini dan juga pada rang undang-undang yang bakal dibentangkan di Parlimen nanti. Oleh yang demikian, saya menolak usul ini di bawah Peraturan Mesyuarat 18(2).

No comments: