Tuesday, May 20, 2008

Soalan pertama Ahli Parlimen Hulu Langat

Dewan Rakyat (13 Mei 2008)


7. Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan status penggunaan LPG sebagai punca tenaga. Sejauh manakah keberkesanan pelaksanaannya di seluruh Malaysia. Adakah infrastrukturnya cukup bagi menggalakkan pengguna mengalih penggunaan dari petrol kepada LPG.

Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, izinkan saya membuat pembetulan kepada soalan saya itu. Kalau mengikut soalan asal yang di dalam buku ini, bukan LPG tetapi CNG dan LNG.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar]: LNG? Jadi macam mana Yang Berhormat Menteri tidak ada notis Yang Berhormat, perubahan.

Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Kalau tak boleh, saya mintalah Yang Berhormat Menteri jawab soalan saya nombor 7 ini, kemudian mungkin kita minta Jabatan Perdana Menteri menjawab.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna [Dato' Shahrir Abdul Samad]: Tuan Yang di-Pertua, ini yang saya pun keliru kenapa ditanyakan tentang soal peralihan penggunaan dari petrol ke LPG. Jadi saya sangka baik bahawa inilah soalan asalnya. Walau bagaimanapun, saya rasa bahawa kalau kita lihat kepada keadaan di negara kita, penggunaan LNG dan CNG, LNG hanya dieksport ke negara lain seperti mana yang telah dinyatakan oleh sahabat saya dalam soalan yang pertama.

Yang kedua, gas asli ada digunakan bagi tujuan pembuatan dan juga penjanaan kuasa. Manakala dari segi CNG pula, iaitu Compressed Natural Gas atau lebih popular dikenali sebagai Natural Gas for Vehicles atau NGV digunakan sebagai bahan bakar alternatif bagi kenderaan persendirian dan kenderaan perdagangan, dan juga pengangkutan awam dalam negara kita. Untuk menubuhkan atau menguatkan infrastruktur kepada penggunaan NGV di kalangan kenderaan, baru-baru ini kerajaan telah mengarahkan Petronas untuk membina 200 lagi Stesen NGV menjelang tahun 2008. Buat masa ini kita ada 65 yang sedia ada dan ditambah dengan 8 pada bulan Mei ini, iaitu 73 dan dua lagi akan siap tak lama lagi menjadi 75 dan pada akhir tahun ini insya-Allah 25 lagi akan dapat disiapkan. Dan pada tahun 2009, akan dijangka siap 100 lagi. Ia lebih kepada untuk menampung keperluan sebanyak lebih 10,700 lebih kuranglah kenderaan yang menggunakan NGV.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Dia tak bagi juga aku nak tanya. Adik nak tanya apa pun tak boleh?

Tuan Lim Guan Eng [Bagan]: Tuan Yang di-Pertua, saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri. Dalam usaha untuk mengalihkan penggunaan kepada sama ada LPG, CNG dan sebagainya gas dalam generik termnya pada gas. Adakah pihak kerajaan sedar bahawa bekalan yang diberikan selama ini, adalah jauh berkurangan sehingga sungguhpun Malaysia adalah sebuah pengeluar atau pengeksport gas utama di Malaysia, tetapi ia tidak dapat menampung keperluan tempatan. Dari sini seperti yang sedia maklum Yang Berhormat Menteri bahawa kita ada gas pipeline yang telah dibina dengan perbelanjaan berbilion ringgit tapi apa gunanya ada paip gas bila ia tidak ada gas? Ini memberikan kesan yang begitu besar kerana kita telah kehilangan pelaburan sebanyak RM7 bilion. Dalam aspek ini saya tidak nampak usaha yang dinyatakan oleh Yang Berhormat Menteri akan berjaya, sekiranya kita tidak boleh memaksa Petronas untuk memastikan bekalannya sentiasa ada. Bolehkah kita Tuan Yang di-Pertua, meminta Petronas kurangkan bekalan kepada IPP supaya dapat disalurkan kepada pengguna tempatan kerana pengguna tempatan hanya menggunakan 12% daripada bekalan gas, sedangkan 65% diberikan kepada TNB dan juga IPP. Bolehkah IBP dikurangkan supaya kita, pengguna tempatan boleh digunakan untuk pembangunan ekonomi dan juga penggunaan gas yang bersih, penggunaan tenaga yang bersih bagi rakyat Malaysia. Sekian, terima kasih.

Dato' Shahrir Abdul Samad: Tuan Yang di-Pertua, memang sebahagian besar daripada gas asli di sebelah Semenanjung digunakan untuk penjanaan kuasa elektrik, seperti mana Yang Berhormat menyatakan bahawa inilah bagi sebanyak enam puluh lebih peratus digunakan bagi penjanaan kuasa elektrik sama ada oleh TNB ataupun IPP. Memang sebenarnya ia menjadi satu dasar di mana ia merupakan penjanaan secara bersih juga untuk penggunaan elektrik. Saya lihat bahawa memang adanya persaingan permintaan di antara penggunaan untuk industri ataupun penggunaan untuk penjanaan kuasa. Kita tidak boleh lari daripada keadaan ini. Memang ia menekan kepada keperluan ataupun bekalan gas yang ada di sebelah Semenanjung khususnya, sehinggakan bekalan gas yang ada di Semenanjung didapati daripada luar daripada Malaysia sebenarnya iaitu daripada Natuna dan juga Joint Development Authority Area di antara Thailand, negara Thailand dan Malaysia. Jadi bermakna bahawa sebenarnya di Semenanjung, penggunaan gas itu ditampung oleh gas asli yang datangnya daripada sumber-sumber bukan sumber negara kita semata-mata, tetapi sumber daripada Natuna di Indonesia dan juga daripada kawasan persamaan Thailand dan juga Malaysia. Jadi, itu keadaan yang sebenarnya, bahawa kapasiti ataupun hasil keluaran gas sudah pun ditampung oleh gas asli yang diimport dan dibeli daripada Indonesia dan daripada Thailand.

Jadi soalnya, sama ada ia lebih baik bagi kita mengalih daripada membekal gas asli ini kepada TNB dan IPP bagi penjanaan kuasa, ataupun lebih baik diberikan kepada penggunaan industri yang bukan menjanakan kuasa. Itu saya rasa satu keadaan yang harus kita lihat kembali. Tentu kerana pertamanya, penggunaan gas bagi jana kuasa menjanakan kuasa elektrik dibekalkan pada harga yang agak rendah, berbanding dengan apa yang dibekalkan kepada industri. Ada juga dan kerana ini tentunya membawa kepada berasakan kepada dasar dan strategi kerajaan untuk memberi bekalan harga elektrik yang rendah, yang mampu ditanggung oleh pihak pengguna sama ada pengguna biasa atau industri yang menggunakan kuasa elektrik. Jadi ini persoalan yang harus dihadapi oleh kerajaan. Saya percaya bahawa seperti mana Yang Berhormat pun menyatakan kebimbangan tentang penggunaan gas bagi tujuan penjanaan kuasa elektrik, perkara ini dikaji dari semasa ke semasa dan ia akan melibatkan perubahan strategi dan penekanan kita.

Tentulah kalau kita beralih pula daripada penjanaan menggunakan gas asli untuk penjanaan kuasa elektrik, kita kena pula menggunakan bahan api yang lain. Jadi tentulah pula nanti ada Yang Berhormat pula mempunyai pertimbangan dari segi kesannya kepada alam sekitar dan bila digunakan pula soal arang batu, tentu ia juga menimbulkan pertanyaan kepada kita. Ini semua soalan dan pertimbangan yang ada, dalam kita membentuk dasar penggunaan sumber gas negara kita.

Dr. Che Rosli bin Che Mat [Hulu Langat]: Tuan Yang di-Pertua, baru satu soalan. Saya berhak untuk bertanya satu soalan sahaja Tuan Yang di-Pertua. Soalan daripada saya tadi Tuan Yang di-Pertua. Jadi saya berhak menyambung sedikit. Soalan tambahan. [Dewan riuh]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Dalam Dewan ini Yang Berhormat, saya dengar jawapan dah cukup dah. Jadi hak Yang Berhormat saya yang putuskan. Terima kasih Yang Berhormat.

No comments: