Thursday, May 15, 2008

Jom jadi pemuzik - gaji RM130K sebulan

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang – Usul terima kasih titah Diraja
(Dewan Rakyat : 13 Mei 2008)

Tuan Lim Guan Eng [Bagan]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Tuan Yang di-Pertua, saya berdiri di sini untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di hadapan Dewan yang mulia ini. Izinkan saya bermula dengan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberikan kemenangan bersejarah kepada parti DAP dalam pilihan raya umum yang lalu; apabila DAP bersama dengan PKR serta PAS berjaya menafikan majoriti 2/3 BN di samping memenangi lima kerajaan negeri di Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kedah dan Kelantan.

Rakyat telah melihat bahawa kemenangan ini adalah tanda sokongan mereka kepada agenda perubahan untuk mewujudkan demokrasi sebenar yang prihatin kepada keperluan rakyat dan bukan segelintir pemimpin politik. Saya berharap kemenangan yang tidak terduga ini akan menjadi perintis kepada usaha mengakhiri dominasi dan diskriminasi Barisan Nasional dengan sistem dua parti yang menguarkan pilihan yang benar-benar demokratik kepada pengundi.

Tsunami politik pada 8 Mac adalah prestasi terbaik kami sejak hampir 40 tahun yang lepas. DAP bersama PKR dan PAS di Pulau Pinang telah berjaya menawan hati pengundi pelbagai kaum tanpa mengira baik Melayu mahupun bukan Melayu yang secara ikhlas telah memberikan kami mandat untuk membawakan perubahan yang mereka mahukan. DAP memenangi 28 kerusi Parlimen dan 73 kerusi DUN. Peratusan undi yang diterima untuk Parlimen adalah 12.8% manakala untuk DUN adalah 14%. Jika dicampurkan jumlah undi DAP, PKR dan PAS, peratusan undi yang diterima bagi Parlimen adalah hampir 48% dan untuk Semenanjung boleh dikira kami adalah parti majoriti di Semenanjung Malaysia. [Tepuk] Undi ini datang dari semua lapisan kaum dan begitu juga di peringkat DUN kalau kita lihat parti-parti yang menyokong PR di Pulau Pinang adalah sampai 60%, di Selangor 57%, di Perak 53.8%. Paling menakjubkan adalah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 62.1%. [Tepuk]

Oleh itu, saya harap bahawa keputusan yang dibuat oleh rakyat di lima-lima negeri ini akan dihormati tanpa dianaktirikan atau dianiayai kerana menggunakan hak demokrasi mereka untuk membuat pilihan. Dengan semangat demokrasi, kami menerima juga Kerajaan Pusat sebagai kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat. Bersama ini juga kami harap BN akan menerima keputusan rakyat untuk memilih kerajaan negeri baru yang dipilih tanpa memberikan arahan-arahan kepada Kerajaan Pusat untuk mengambil tindakan tertentu baik kepada Jabatan Pelajaran sampai saya difahamkan Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah punya gambar pun tidak boleh letak di sekolah-sekolah ataupun menubuhkan satu parallel government di mana Jabatan Pegawai Persekutuan didirikan untuk menandingi JKKK negeri. Saya harap perbuatan seperti ini tidak harus menidakkan peranan yang dimainkan oleh kerajaan negeri dalam menguruskan hal ehwal
kerajaan negeri.

Di sini, kami bukan sahaja mewakili pengundi yang menyokong kita, tetapi juga mereka yang menyokong Barisan Nasional khususnya di Sabah dan Sarawak yang terpinggir selama ini. Kami harap Kerajaan Pusat dapat menangani masalah kemiskinan dan keselamatan yang dihadapi oleh mereka sekian lama. Contohnya Sabah, sebuah negeri yang harusnya menjadi kaya kerana sumber asli yang begitu padat dan juga begitu banyak. Sungguhpun begitu, ia adalah negeri yang termiskin dan juga yang paling mundur. Adakah ini balasan daripada Barisan Nasional terhadap kesetiaan yang mereka tunjukkan selama ini.

Oleh itu, nampaknya budi tidak dikenang dan pengundi Sabah harus meneruskan perubahan seperti mana yang diteruskan dalam tsunami politik di Semenanjung Malaysia di mana bahang-bahangnya dapat kami rasa di kalangan Ahli-ahli Parlimen Barisan daripada Sabah sendiri.

Di sini, kami harap bahawa isu-isu yang menjadi perkara pokok kepada pengundi-pengundi bolehlah diuruskan dengan segera oleh Kerajaan Pusat. Contohnya penubuhan IPCMC yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Polis harus didirikan dengan segera.

Kedua, undang-undang yang melanggari dan mencabuli hak asasi manusia baik ISA, OSA ataupun Akta Hasutan. Ia mesti dihapuskan dengan segera dan yang penting sekali ialah PPBA iaitu Akta Mesin Cetak dan Penerbitan yang mengongkong kebebasan akhbar. Ia juga harus dimansuhkan dengan segera.

Ketiga, pembahagian ekonomi yang adil dan saksama kepada semua rakyat Malaysia dalam menangani masalah inflasi. Rakyat Malaysia dalam kesusahan, dan di sini kami berharap bahawa kekayaan negara bolehlah dikongsi bersama. Saya tidak faham mengapakah keuntungan yang di kecapi oleh Petronas selama ini masih dikawal dan dimiliki oleh satu syarikat
sahaja. Sudah sampai masanya bahawa kekayaan ini boleh dikongsi bersama dengan rakyat; khususnya rakyat miskin supaya sekurang-kurangnya sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban inflasi yang dihadapi oleh semua.

Jikalau RM80 bilion keuntungan oleh Petronas setiap tahun, kita hanya tuntut separuh sahaja bukan segala-galanya. RM40 bilion dibahagikan kepada orang miskin bukanlah lebih, bukanlah melampau hanya sebuah keluarga RM6,000 setahun sahaja bukankah ini sesuatu yang dapat menunjukkan kasih sayang, keprihatinan dan juga bahawa Kerajaan Malaysia adalah milik rakyat dan bukanlah milik satu atau dua orang.

Di samping itu, saya juga ingin menimbulkan tentang masalah yang harus di ambil perhatian oleh kerajaan. Saya ingin menarik perhatian Tuan Yang di-Pertua tentang buku ‘The Tipping Point’ dan saya rasa Malaysia sekarang adalah satu contoh yang paling jelas bahawa kita mungkin dalam peringkat the tipping point. Satu, ialah politik tsunami pada 8 Mac. Berikutan tsunami politik ini keadaan yang berubah telah menunjukkan kemungkinan bahawa ada perubahan yang lebih besar dan di antara agen-agen tipping point ini adalah selain daripada ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; termasuk juga Yang Berhormat dari Gua Musang dan juga Yang Berhormat-Yang Berhormat, Ahli-ahli Parlimen daripada Sabah dan termasuk juga Yang Berhormat dari Rembau yang juga merupakan agen tipping point ini.

Satu lagi perkara bukan individu yang memungkinkan tipping point ini berlaku, yang boleh membawa perubahan yang lebih besar adalah masalah rasuah. Di sini kami boleh bahawa Yang Amat Berhormat Perdana Menteri tahu kegagalan sebelum ini untuk menangani gejala rasuah dan telah mencadangkan beberapa langkah-langkah untuk menunjukkan komitmen beliau dalam menangani rasuah. Saya bimbang bahawa usaha beliau tidak akan tercapai sekiranya tidak ada hasrat politik, sekiranya beliau tidak ada pembantu yang dapat menyempurnakan tugasnya. Apa
gunanya kalau dia satu orang yang hendak hapuskan rasuah dan yang lain-lain tidak begitu committed. Dalam aspek ini ada banyak kes rasuah yang belum ditangani dan saya rasa kalau rasuah ini tidak ditangani, ia mungkin menjadi satu lagi unsur utama tipping point yang saya telah sebutkan tadi. Di antara contoh-contohnya ialah seperti yang saya sebut dalam soalan tambahan kepada Yang Berhormat Menteri tadi.

Gas, subsidi gas yang telah diberikan oleh Petronas, sejak tahun 1997 sebanyak RM58.2 bilion dalam bentuk gas subsidi telah diberikan. RM48.8 bilion kepada sektor tenaga manakala RM9.4 bilion kepada sektor bukan tenaga dan dalam jumlah ini yang diberikan kepada sector tenaga iaitu khususnya TNB dan IPP. Kebanyakan gas subsidi dinikmati oleh IPP, saya bagi satu contoh untuk tahun 2007 gas subsidi yang telah diberikan oleh Petronas adalah sebanyak RM15.6 bilion.
Di mana TNB hanya mendapat RM5 bilion sahaja. Sektor yang bukan swasta RM3.9 bilion, tetapi yang paling banyak ialah IPP - RM6.7 bilion. Di sini Tuan Yang di-Pertua saya hendak mencadangkan kurangkanlah gas subsidi kepada IPP kerana mereka adalah syarikat-syarikat yang telah disenaraikan dalam Bursa Malaysia yang boleh mendapat keuntungan berbilion-bilion ringgit. Mengapakah mereka boleh menikmati subsidi berbilion-bilion ringgit dan membolehkan mereka mendapat keuntungan berbilion-bilion ringgit? Manakah keadilan, manakah kesaksamaan, manakah keprihatinan kerajaan untuk rakyat-rakyat miskin?

Di sini kerana Malaysia kekurangan gas, di Pulau Pinang kerana ketidakadaannya bekalan gas, sungguhpun ada paip gas yang telah dibina dengan harga berbilion ringgit, tetapi kerana tidak ada gas, Pulau Pinang kehilangan pelaburan asing RM1 bilion. Saya difahamkan oleh pihak Kerajaan Pusat untuk satu Malaysia kita hilang RM6 bilion kerana tidak ada bekalan gas. Apa gunanya kalau kita adalah pengeluar gas, kalau kita tidak boleh menampung bekalan tempatan. Di sini saya juga hendak mempertikaikan macam mana Petronas menggunakan sumber kewangan yang sedia ada. Contohnya dalam keadaan di mana Kerajaan BN enggan memberikan wang Petronas kepada rakyat. Philharmonic Orchestra yang hanya dianggotai oleh 5% pemuzik tempatan.

Saya hendak tanya, adakah benar bahawa sejak Malaysia Philharmonic Orchestra itu bukan RM500 juta telah dibelanjakan? Kalau benar macam mana ia boleh membantu mereka yang miskin, mereka yang tidak ada beras sekarang yang tidak mampu beli sekarang. RM500 juta untuk menampung Malaysian Philharmonic Orchestra yang bukan dianggotai oleh orang tempatan, tetapi kebanyakan oleh orang asing. Sebanyak 95% pemuzik asing dibayar di antara RM16 ribu dan RM28 ribu sebulan. Setiap orang diberikan cuti berbayar 2 bulan setiap tahun. Ketua muzik atau konduktor dibayar RM130 ribu sebulan, manakala pembantunya RM50 ribu sebulan. Jumlah perbelanjaan orkestra Malaysia ini adalah RM33.5 juta sebulan. Adakah ini jumlah yang telah dibelanjakan?

Saya harapkan bahawa konduktor muzik Malaysia Ooi Chean See telah meletak jawatan .kerana tidak diberikan peranan penting. Dan saya hendak tahu bagaimana Petronas sanggup membazirkan wang begitu banyak, tetapi tidak diberikan banyak faedah kepada pemuzik tempatan. Alangkah baik kalau wang ini bolehlah disalurkan untuk membantu orang miskin di Sabah kita tidak akan menentang, dan saya rasa yang Ahli-ahli Parlimen daripada Sabah pun akan setuju.

Masalah beras perlu diselesaikan dengan secepat mungkin sebagai langkah jangka panjang. Monopoli syarikat BERNAS harus dihentikan kerana mereka telah gagal menjalankan tugas mereka. Apa gunanya BERNAS mengecapi keuntungan berlambung tinggi 2007 - RM107 juta, 2006 - RM135 juta. Mana wang itu pergi, bukankah ini masanya wang ini digunakan sebagai subsidi untuk membantu rakyat Malaysia dapat membeli beras dengan harga yang munasabah.

Di Pulau Pinang kami sungguhpun dalam sumber kewangan yang amat berkurangan, kami cuba mengambil berat tentang masalah mereka sungguhpun ini adalah satu usaha yang kecil. Tapi kami telah memberikan secara percuma kepada orang miskin, orang fakir. sekampit beg, sekampit beras 10 kilogram secara percuma kepada orang-orang fakir.

Di samping itu saya hendak sebut tentang kapal selam dan jet Sukhoi pun tidak sempat, tapi mungkin hanya secara ringkas adakah benar pesawat Sukhoi yang kita beli dengan RM50 juta satu kapal terbang, sedangkan India beli dengan RM40 juta sahaja. Vietnam pula USD25 juta, mengapa kita beli sebegitu mahal dalam skop tugas, komisen yang melibatkan Syarikat Perimekar. Saya harap ini boleh diberikan penjelasan dan akhirnya untuk menggulung bahawa kita haruslah membuat pendekatan baru ialah dengan menghadapi cabaran globalisasi. Sekarang dunia tidak akan sebut tentang geopolitik lagi, geopolitik dengan izin Tuan Yang di-Pertua, is a relationship between people and space, but when we are talking about globalization now, we are talking about human inter connectivity. When you talk about globalization it’s important that you must choose the best. Let us choose the best so that we can be on top of the rest. Dalam aspek ini Kerajaan Pulau Pinang telah mencadangkan satu urus tadbir berdasarkan tiga unsur utama iaitu CAT government. Competency, accountability and transparency. Di mana kita tidak akan berdiskriminasi kepada sesiapa tanpa mengira kaum, agama, jantina ataupun fahaman politik.

Di sini kami ikhlas, kalau ada mana-mana pihak termasuk daripada parti pembangkang di Pulau Pinang, tetapi parti kerajaan di Kerajaan Pusat yang boleh berkhidmat untuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Kita tidak akan kira baik dia Gerakan, baik dia UMNO, baik dia dari parti Barisan Nasional kita akan meminta mereka berkhidmat untuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Tapi janganlah usaha ikhlas ini kami ditindas, kami ditekan dan juga berbagai-bagai yang berlaku. Saya dengan ikhlas Tuan Yang di-Pertua... Saya hendak menghulurkan tangan, tangan rakan. Hand of friendship to the government. Marilah kita sama-sama, bekerjasama untuk pembangunan negara. Politik sudah lepas, kempen pilihan raya besar sudah lepas, marilah kita sama-sama berganding bahu supaya Malaysia boleh lebih berdaya saing dan boleh lebih maju lagi. Sekian, terima kasih.

No comments: