Thursday, May 15, 2008

BPR di takuk lama

Dewan Rakyat 13 Mei 2008

3. Puan Teo Nie Ching [Serdang] minta Perdana Menteri menyatakan sama ada kerajaan akan mengikut seruan rakyat untuk membebaskan Badan Pencegahan Rasuah daripada kawalan Jabatan Perdana Menteri dan diletakkan di bawah Parlimen. Jika tidak, mengapa.?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz]: Tuan Yang di-Pertua. Seperti mana Ahli Yang Berhormat sedia maklum, kerajaan baru-baru ini telah mengumumkan langkah-langkah untuk meningkatkan keberkesanan usaha pembanterasan rasuah melalui penambahbaikan dan penstrukturan semula Badan Pencegah Rasuah iaitu BPR kepada sebuah suruhanjaya. Kerajaan tidak berhasrat untuk meletakkan suruhanjaya tersebut di bawah tanggung jawab Parlimen secara khusus. Dalam struktur baru suruhanjaya, akan diwujudkan satu Lembaga Penasihat Bebas Pencegahan Rasuah serta satu Jawatankuasa Parlimen Mengenai Pencegahan Rasuah. Ahli-ahli Lembaga Penasihat Bebas Pencegah Rasuah akan dimaklumkan oleh pihak suruhanjaya mengenai kes-kes rasuah yang melibatkan kepentingan umum. Ahli-ahli Lembaga tersebut dapat memantau dan membuat pertanyaan lanjut mengenai kes-kes tersebut dan memberi syor-syornya mengenai tindakan lanjut yang sewajarnya. Pihak suruhanjaya tersebut juga akan membentangkan laporan tahunannya kepada Ahli-ahli Jawatankuasa Parlimen Mengenai Pencegahan Rasuah.

Dengan itu, Lembaga Penasihat Bebas dan Jawatankuasa Parlimen tersebut akan dapat memastikan ketelusan dan keberkesanan dalam pelaksanaan fungsi pelaksanaan suruhanjaya tersebut di samping wujud elemen akauntabiliti bagi setiap tindakan yang diambil.

Puan Teo Nie Ching [Serdang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya juga telah membaca daripada surat khabar bahawa suruhanjaya ini tidak mempunyai hak untuk mengambil apa-apa tindakan ke atas mahkamah. Pada pendapat saya, suruhanjaya ini menjadi sebuah badan yang bebas dan kebebasan itu bukan terletak kepada kebebasan untuk mengambil kakitangan sahaja, tetapi lebih kepada hak untuk mengambil tindakan undang-undang. Jadi, soalan saya kenapa Kerajaan Pusat tidak memikir ataupun tidak mengizinkan suruhanjaya ini untuk mengambil tindakan-tindakan mahkamah?

Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Tuan Yang di-Pertua, pertamanya sudah tentu, Parlimen juga tidak ada hak untuk mendakwa di mahkamah kerana mengikut Perlembagaan kita, segala pendakwaan itu hendaklah dibuat oleh Peguam Negara. Jadi, saya rasa untuk kita mendakwa mereka di mahkamah, itu adalah bertentangan dengan Perlembagaan. Nombor dua, BPR tidak dibenarkan untuk mendakwa sebab kita mengamalkan prinsip undang-undang separation of duties. Iaitu orang yang menyiasat lain, yang mendakwa lain dan yang menghakimi lain. Ia mesti separate. Kalau BPR sendiri diberikan kuasa untuk mendakwa, maka oleh sebab dia yang menyiasat, maka dia sudah mungkin dalam penyiasatan itu telah merapatkan hubungan dengan orang yang dia siasat. Maka oleh sebab itu, kita bimbang soal dia bertindak secara tidak ada conflict of interests itu tidak mungkin boleh berlaku. Atas sebab itu kita pisahkan. Penyiasat satu badan, mendakwa satu badan dan juga yang menghakimi satu badan. Itulah sebabnya mengapa pendakwaan itu kita tidak berikan kepada BPR.

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Baru-baru ini Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ada menyalahgunakan kuasa apabila mencampuri tangan dalam perkara Yang Berhormat Bukit Gelugor dan mengarahkan Peguam Negara mengenai siasatan dan mempercepatkan siasatan tuduhan-tuduhan yang tidak berasas bahawa Yang Berhormat Bukit Gelugor ada menghina institusi Raja-raja. Kalau begitu, bagaimana kita boleh yakin bahawa ACA atau MCAC akan dapat kebebasan untuk siasat Kempen Melawan Rasuah tanpa apa-apa campur tangan daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atau pucuk pimpinan pentadbiran kalau MCAC masih di bawah bidang Jabatan Perdana Menteri? Bukankah perlu ini dikeluarkan langsung daripada Jabatan Perdana Menteri bertanggung jawab kepada Parlimen sahaja? Tunjuk bahawa bebas.

Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Tuan Yang di-Pertua, lain kali bagi dekat orang lainlah. Lama, kasihan kepada yang baru belum dapat tanya. [Ketawa] Yang Berhormat, saya rasa apabila kita memberi arahan kepada seseorang, saya percaya ini satu perkara biasa. Saya percaya dalam kerjaya Yang Berhormat sebagai seorang ahli politik, Ketua Pembangkang, sekarang sudah tidak jadi Ketua Pembangkang, saya rasa dalam banyak kenyataan juga, Yang Berhormat pun pernah membuat kenyataan minta supaya AG siasat kes ini, BPR siasat kes ini. Apakah itu merupakan satu arahan? Apakah itu merupakan satu perkara kita mencampuri hak kuasa seorang AG untuk menjalankan tugas dia? Ini perkara biasa.

Soal sama ada AG hendak ikut atau tidak hendak ikut, dia bebas. Itu terpulanglah kepada dia. Jadi sebab itu, tidak berbangkit soal ini sebab kita semua boleh buat kenyataan. Kemudian soal MCAC diletakkan di bawah Perdana Menteri. Saya percaya ini satu perkara, bukannya dia merupakan Malaysia sticks out like a sore thumb. Banyak negara lain juga mempunyai sistem yang sama di mana dia tidak meletakkan soal penyiasatan itu di bawah Parlimen. Parlimen pun susah juga. Dahulu Yang Berhormat pernah dalam konvensyen di Perak, DAP punya apabila kita hendak siasat MP buat force clean. Yang Berhormat sendiri cakap, “Apa hak BPR hendak siasat Ahli Parlimen?” Jadi, itu belum lagi letak di dalam Parlimen, Yang Berhormat sudah bercakap macam itu. Kalau diletakkan di Parlimen, maknanya kita...

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Perbetulkan, perbetulkan. Patut diuruskan oleh Parlimen dahulu sebelum diserahkan kepada ACA. Belum lagi diperbetulkan, diperbetulkan.

Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Yang Berhormat, ini bukan mesyuarat kongsi gelap. [Ketawa] Kita ada peraturan, saya menjawab.

Tuan Lim Kit Siang [Ipoh Timur]: Tidak boleh untuk memutar belitkan. Yang Berhormat ini memutar belitkan...

Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz: Kita membetulkan Yang Berhormat. Ini Parlimen Yang Berhormat. Ini Parlimen, jawablah. Jadi, kalau dahulu pun Yang Berhormat kata apalah hak BPR menyiasat Parlimen, alangkah bahayanya kalau kita letakkan BPR di bawah Parlimen.

No comments: