Dewan Rakyat : 13 Mei 2008
Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail [Permatang Pauh] minta Perdana Menteri menyatakan:
a) jumlah pengeluaran minyak dan gas pada tahun 2007 mengikut pecahan negeri; Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak serta hasilnya mengikut pasaran dunia; dan
b) berapakah jumlah ‘royalti’ yang diperoleh negeri-negeri tersebut sejak tahun 2004 berdasarkan kadar pengeluaran ini, dan berapa lama lagi rizab minyak dan gas dapat bertahan di kawasan-kawasan tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Datuk Amirsham A. Aziz]: Tuan Yang di-Pertua, untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bagi soalan pertama,
(a) Berkaitan jumlah pengeluaran minyak dan gas pada tahun 2007 untuk negeri-negeri berkaitan, sukalah dimaklumkan bahawa bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2007, jumlah pengeluaran minyak mentah termasuk condensate dan gas di negeri-negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak adalah seperti berikut:
Negeri Minyak Mentah Condensate Gas
(Juta/Tong) bilion/kaki padu)
(Juta/Tong)
Terengganu 133.7 748.2
Sabah 28.6 41.2
Sarawak 79 1292
Jumlah 241.3 2081.4
Daripada jumlah pengeluaran minyak dan gas tersebut, 70% adalah dihasilkan oleh Petronas, manakala selebihnya dihasilkan oleh kontraktor-kontraktor perkongsian, pengeluaran atau pun PSC yang lain, dengan izin.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, produk petroleum dan gas yang dieksport oleh anak-anak syarikat Petronas adalah berdasarkan harga pasaran semasa dunia. Manakala harga produk petroleum dan gas yang dijual di pasaran domestik sebahagiannya adalah ditetapkan oleh kerajaan, seperti harga jualan gas sektor elektrik dan bukan elektrik. Hasil keseluruhan dari jualan produk petroleum dan gas oleh Petronas adalah sebanyak RM165.3 bilion pada tahun kewangan tersebut.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, setakat ini tiada minyak dan gas yang dikeluarkan di negeri Kelantan.
Tuan Yang di-Pertua, bagi soalan kedua,
(b) Mengenai royalti, ingin dimaklumkan bahawa jumlah royalti yang telah dibayar oleh Petronas kepada negeri-negeri berkaitan untuk tahun-tahun kewangan 2004 hingga 2007 adalah seperti berikut:
- Jumlah untuk Kerajaan Persekutuan kesemuanya RM13.419.5 juta; (RM13.4 billion)
- Terengganu RM7364.1 juta; (RM7.3 billion)
- Sabah RM1234.2 juta; dan (RM 1.2 billion)
- Sarawak RM4821.3 juta. (RM4.8 billion)
Jumlah keseluruhannya RM26.6391 juta. Berhubung rizab minyak dan gas, sukalah dimaklumkan bahawa pada kadar pengeluaran semasa dan dengan andaian bahawa keseluruhan rizab dapat dikeluarkan, rizab minyak mentah dan condensate dijangka akan bertahan selama 22 tahun. Manakala rizab gas selama 39 tahun. Walaupun pada zahirnya tempoh hayat rizab masih panjang, hakikatnya negara juga mengimport minyak dan gas untuk menampung sebahagian daripada pengeluaran tempatan. Oleh itu, negara dijangka menjadi pengimport bersih tenaga, net energy importer dengan izin, dalam tempoh terdekat iaitu dianggarkan pada tahun 2014.
Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan tambahan, daripada jumlah yang diberikan berapa banyak pengeluaran Petronas terikat pada harga lama kerana komitmen kepada kontrak jangka panjang atau long term contract yang telah ditandatangani sebelum kenaikan harga petroleum dan gas dunia dan berapa lama lagi? Berapakah jumlah opportunity lost dengan izin atau kerugian peluang sekiranya Petronas dapat menjual semua pengeluarannya pada harga pasaran dunia sekarang? Nyatakan kenapa Petronas memasuki perjanjian demikian? Kenapakah negeri-negeri yang telah disebut yang dikurniakan hasil minyak dan gas seperti Terengganu, Sabah dan Sarawak merupakan negeri-negeri yang paling miskin di Malaysia? Terima kasih.
Datuk Amirsham A. Aziz: Tuan Yang di-Pertua, pengeluaran gas cecair untuk Petronas di Sarawak memerlukan pelaburan yang besar. Oleh itu Petronas harus mendapatkan kontrak yang panjang untuk menetapkan kedudukan kewangannya dari segi perbelanjaan untuk capex ataupun capital expenditure dengan izin. Oleh itu kontrak-kontrak Petronas adalah kontrak jangka panjang yang dieksport ke Korea, Jepun dan juga Taiwan. Kontrak itu ada formula yang terapung mengikut kadar pasaran terkini, ada formulanya. Jadi tidak ada persoalan yang timbul mengenai kerugian Petronas dari kontrak itu kerana ini diadjust dengan izin mengikut pasaran.
Dari segi sumbangan Petronas ataupun royalti yang telah dibayar kepada negeri-negeri yang berkaitan, itu mengikut formula yang telah ditetapkan iaitu 5% ataupun setengah daripada royalti yang telah diperolehi oleh Kerajaan Persekutuan. Royalti-royalti itu telah ditetapkan mengikut hasil yang dikeluarkan oleh tiap-tiap negeri itu.
Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail [Permatang Pauh]: Soalan saya belum lagi terjawab. Berapa banyakkah opportunity lost dan kenapakah negeri-negeri itu dengan hasil minyak masih miskin?
Datuk Amirsham A. Aziz: Saya sudah jawab dengan mengatakan tidak ada opportunity lost kepada Petronas.
Tuan Alexander Nanta Linggi [Kapit]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, soalan saya ringkas sahaja. Saya pohon kenyataan daripada Yang Berhormat Menteri jumlah sebenarnya oil fuel ataupun gas fuel yang terletak di wilayah Sarawak? Adakah kerajaan bersetuju memberi Sarawak kadar royalti sebanyak 20% sekarang ataupun nanti, atas keluaran minyak dari new oil fuel? Adakah atau tidak wakil dari Sarawak duduk sebagai ahli lembaga Petronas. Kalau tidak, mengapa? Terima kasih.
Datuk Amirsham A. Aziz: Saya tidak ada maklumat mengenai berapa banyak oil fuel yang ada untuk negeri Sarawak. Saya akan menjawab secara bertulis mengenai maklumat itu. Dari segi lembaga pengarah juga saya tidak ada maklumat itu. Saya akan beri maklumat mengenai siapa lembaga pengarah, wakil kerajaan negeri Sarawak dalam lembaga pengarah Petronas. Oh ya, maafkan saya. Berkenaan dengan royalti yang dicadangkan itu sekarang ini kerajaan tidak ada rancangan untuk menyemak semula royalti. Royalti yang didapati daripada production sharing itu adalah 10%. Jadi kalau nak bayar royalty lebih daripada 10% itu tidak ada timbullah. Timbul masalahnya kerana kita dapat 10% sahaja. Terima kasih.
Thursday, May 15, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment