Thursday, May 15, 2008

USUL KENAIKAN HARGA BERAS

Dewan Rakyat (6 Mei 2008 11.38 pg.)

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Bismillahirrahmanirahim. Tuan Yang di-Pertua, saya Salahuddin bin Haji Ayub – Kubang Kerian mohon mencadangkan supaya Parlimen ini ditangguhkan untuk merundingkan dan membincangkan usul yang melibatkan perkara yang tertentu, berkepentingan ramai dan perlu disegerakan iaitu berkaitan dengan kenaikan harga beras di seluruh negara yang mencatatkan kenaikan mendadak di antara 15% hingga 40% baru-baru ini.

Tuan Yang di-Pertua, media melaporkan harga beras gred Super seberat 5kg sekarang dijual dengan harga RM13.50 berbanding dengan sebelum ini RM8 dengan kenaikan RM5.50, dan beras gred Super seberat 10kg sekarang dijual dengan harga RM27 berbanding RM16 sahaja sebelum ini yang telah naik sebanyak RM11. Manakala bagi beras Jati pula, peket 5kg dijual dengan harga RM11.50 berbanding dengan RM10.60 sebelum ini. Manakala beras Jati seberat 10kg dijual dengan harga RM21.50 berbanding RM19.50 sebelum ini. Turut terkesan ialah beras import seperti beras Wangi Siam, naik antara RM8 hingga RM10 sekampit yang seberat 10kg mengikut gred.

Tuan Yang di-Pertua, misalnya beras tempatan Jati Special yang biasa dijual pada harga RM18.50 sekampit seberat 10kg, kini dijual antara RM23.90 dan RM26. Pemborong beberapa tempat di Alor Star pula dapati harga seguni beras yang mereka beli dari pengilang naik antara 30% hingga 50%. Kita kesal dengan penafian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang telah memberikan jaminan bahawa harga beras Super Tempatan dikawal dan tidak boleh dinaikkan sedangkan hari ini di mana sahaja kita pergi rakyat terpaksa membayar harga beras yang naik dengan begitu mendadak dan ini tentu sekali membebankan rakyat dalam negara kita. Saya berpandangan dan berpendapat sebagai mewakili rakyat dalam negara ini bahawa Parlimen wajar ditangguhkan untuk membincangkan isu ini kerana beras adalah makanan ruji dan utama dalam negara kita dan ia amat berkepentingan ramai. Saya mohon mencadangkan. [Tepuk]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Baik, terima kasih Yang Berhormat. Ahli-ahli Yang Berhormat, saya telah menerima satu Pemberitahu Usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) daripada Ahli Yang Berhormat bagi kawasan Kerian pada hari Jumaat, 2 Mei 2008. Teks Usul itu adalah seperti yang dibacakan oleh Ahli Yang Berhormat itu sebentar tadi.

Bagi membolehkan perkara ini ditimbangkan oleh Majlis Mesyuarat pada hari ini, saya sebagai Tuan Yang di-Pertua hendaklah berpuas hati bahawa perkara yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat itu memenuhi tiga syarat:

(i) bahawa perkara itu tertentu;
(ii) (ii) bagi kepentingan orang ramai; dan
(iii) (iii) ia berkehendak disegerakan.

Saya telah meneliti perkara ini dan saya dapati bahawa perkara ini adalah perkara yang tertentu dan ini adalah juga bagi kepentingan orang ramai. Berkehendak disegerakan, saya berpendapat bahawa perkara ini perlu disegerakan. Oleh yang demikian saya membenarkan usul ini dibahaskan. [Tepuk] Mengikut Peraturan Mesyuarat 18(3)(b), usul ini hendaklah ditempohkan sehingga pukul 4.30 petang, petang ini dan hendaklah ditangguhkan pada jam 5.30 petang. Saya akan membenarkan pihak pencadang membahaskan selama 30 minit dan selepas itu pihak kerajaan menjawab selama 30 minit. Sekian.


Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Ahli-ahli Yang Berhormat sekarang masa telah pun pukul 4.30 petang dan menurut keputusan yang telah dibuat pagi tadi satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) telah dibenarkan dibahaskan pada petang ini. Saya sekarang memulakan perbahasan usul itu. Pihak pencadang akan diberi masa 30 minit dan pihak kerajaan pun 30 minit. Yang Berhormat bagi Kawasan Kubang Kerian, sila kemukakan.

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Bismillahi rahmani rahim. Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kerana Parlimen telah memberikan izin untuk saya membahaskan satu usul yang sangat penting yang sedang menjadi isu yang sedang diperkatakan oleh seluruh rakyat di dalam negara kita, iaitu mengenai kenaikan harga beras di pasaran.

Berdasarkan kepada laporan-laporan yang dibuat oleh seluruh media dalam negara kita dan untuk membuktikan dan memperbetulkan segala fakta yang terdapat di dalam akhbar-akhbar dan media. Saya telah membuat usaha untuk bertemu dengan kumpulan-kumpulan rakyat dan juga pergi ke kedai-kedai runcit di beberapa negeri di dalam negara ini untuk memastikan adakah benar ataupun tidak laporan-laporan yang
disiarkan oleh media di dalam negara kita. Saya mendapati dan mengambil tanggungjawab mewakili seluruh rakyat di dalam negara ini yang telah berhadapan dengan isu kenaikan harga beras di pasaran. Ini sudah tentu menjejaskan kehidupan mereka terutama masyarakat luar bandar dan mereka yang berpendapatan rendah di dalam negara kita.

Tuan Yang di-Pertua, Dewan ini perlu ingat dulu ada sebuah badan yang ditubuhkan oleh kerajaan iaitu Lembaga Padi dan BERNAS Negara. Badan ini telah ditukar di atas nama penswastaan dan diberikan nama BERNAS yang diberikan tanggungjawab, di antaranya:

i. iaitu lesen ataupun keizinan untuk mengimport beras daripada luar negara;

ii. untuk membeli padi dan beras tempatan di dalam negara kita;

iii. untuk memastikan bekalan beras negara mencukupi dalam keadaan apa jua sekalipun; dan

iv. untuk menentu dan menyelaras harga padi dan beras di dalam negara kita.

Tuan Yang di-Pertua, berdasarkan kepada perwujudan BERNAS ini, saya ingin memberikan satu soalan penting dalam Dewan yang mulia ini. Pada hari ini siapakah yang sebenarnya yang menentukan harga beras di dalam negara kita. Adakah BERNAS menunaikan tanggungjawab besar ini? Ataupun BERNAS telah menjadi sebuah badan korporat yang berorientasikan keuntungan semata-mata dan melupakan tanggungjawab asal penubuhan mereka iaitu untuk menjaga, memelihara dan menentukan bekalan beras yang cukup dalam negara kita supaya rakyat dalam negara ini mampu untuk membeli makanan asas ataupun ruji dalam negara kita.

Kita tidak boleh mengambil faktor pemanasan global, faktor berlakunya bencana alam di peringkat global sebagai alasan paling kukuh untuk kerajaan mengelakkan diri daripada memantau harga beras di pasaran pada hari ini. Dengan hujah itu sahaja tidak mungkin melahirkan kerajaan yang cukup berintegriti, kredibiliti untuk menjawab persoalan besar yang dihadapi oleh rakyat pada hari ini.

Saya ingin mendapat kepastian adakah BERNAS pada hari ini dengan syarikat-syarikat yang bersamanya yang di kenali sebagai CBUD yang saya difahamkan ada 101 syarikat. Kemudian 100 non-bumi dan satu bumi sahaja yang mewujudkan edaran BERNAS Nasional telah menunaikan tanggungjawab sosialnya untuk menentukan:

i. harga beras ini dapat kekalkan atau di selaraskan berdasarkan kemampuan rakyat; dan

ii. bagi memastikan bekalan ini cukup atau tidak pada masa akan datang dalam keadaan apa jua sekalipun.

Jikalau kita hanya menjadikan alasan pemanasan global, bencana alam dan seumpamanya sebagai hanya alasan untuk kita mengelakkan diri. Maka saya melihat BERNAS tidak pernah melakukan sesuatu tindakan yang proaktif untuk menjangka apakah kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku. Sehingga kita tidak menyedari bahawa stok beras dalam negara kita, seperti mana yang di laporkan hanya mampu bertahan tiga bulan sahaja lagi sekiranya negara-negara pengeksport beras dunia tidak lagi mengeksport beras mereka ke dalam negara kita.

Oleh itu seperti mana yang saya perjelaskan sebentar tadi, pertanyaan yang penting dijawab oleh kementerian pada hari ini adalah, apakah sistem pengeluaran dan sistem pengedaran tidak dipantau sebelum isu kenaikan harga beras ini berlaku? Jika sebelum ini sistem ini wujud, apakah pihak kerajaan tidak dapat mengenal pasti masalah kenaikan harga akan berlaku dan bekalan mencukupi atau di sebaliknya.

Kedua, kenapa pihak kerajaan tidak menyelaraskan pelbagai kementerian penting seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (MITI), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam urusan bekalan dan harga beras negara.

Ketiga, kerajaan telah mengumumkan untuk mewujudkan stok penimbal makanan. Di manakah stok penimbal itu disimpan dan berapa banyak stok penimbal beras diwujudkan bagi setiap masa? Bagaimana jumlah stok penimbal itu dikira? Apakah termasuk stok yang telah pun diedarkan di peringkat pasaran.

Tuan Yang di-Pertua, pergerakan dan keperluan beras di setiap negeri sepatutnya sudah di ketahui. Berapakah pecahan keperluan setiap negeri? Jika ada negeri yang tidak mendapat bekalan yang mencukupi dan ada yang berlebihan apakah tindakan yang akan dilakukan oleh kementerian. Bagaimana pergerakan beras di setiap negeri itu dipantau secara bijaksana.

Kelima, adakah kerajaan telah menyiasat dengan serius punca sebenar kenaikan harga beras dan isu bekalan? Adakah berpunca dari sindiket menyorok atau spekulasi? Kini sudah ada pengguna yang panik dan membeli bekalan lebih dari sepatutnya, bagaimanakah pihak kerajaan akan menangani isu ini

Keenam, sepatutnya satu agensi khusus diwujudkan berkaitan dengan sekuriti makanan sama ada berfungsi untuk melihat bagaimana bekalan dan pengeluaran dalam negeri dan import dari luar dapat di pantau, merencana tindakan menstabilkan bekalan serta memastikan sistem pengedaran itu dilancarkan. Apakah kerajaan bersetuju untuk mewujudkan agensi tersebut dengan serta merta.

Ketujuh, apakah kerajaan akan bertindak untuk melaksanakan rancangan menambah kawasan keluaran makanan dan mencari jalan bagaimana kos input pertanian boleh dikurangkan serta memastikan kos pengeluaran akan dapat di kurangkan.

Di sini telah begitu lama perbahasan-perbahasan menyentuh tentang Kementerian Pertanian Asas Tani, tentang bagaimana kemudahan-kemudahan diberikan kepada petani-petani, khususnya pesawah-pesawah padi. Maka janji hanya tinggal janji; baja, racun, baja yang bermutu. Sebagai contoh yang pernah saya sebut untuk meningkatkan bekalan padi baja yang diimport seperti ‘Behn Mayer’ dan baja seperti nitrous green dan blue. Setiap hari setiap tahun meningkat di pasaran dan ini tidak pernah diambil kira, tidak pernah dilihat dengan serius oleh pihak kerajaan khususnya kementerian yang berkenaan untuk membantu petani secara serius dan memberikan subsidi yang lebih terhadap mereka.

Kelapan, sehingga kini apakah Malaysia mempunyai polisi khusus mengenai sekuriti makanan dan jika tidak apakah pihak kerajaan akan mewujudkannya.

Kesembilan, pembaziran makanan di negara ini sangat tinggi. Makan di hotel-hotel besar, jamuan di acara-acara rasmi kerajaan seperti seminar, mesyuarat dan persidangan serta tabiat makanan mewah di kalangan golongan elit sangat ketara. Apakah kerajaan akan mencari langkah untuk membudayakan makanan yang berjimat cermat di peringkat kerajaan.

Tuan Yang di-Pertua, menyentuh tentang BERNAS saya berdiri bagi pihak rakyat, adakah kerajaan bersedia untuk mengkaji balik peranan BERNAS. Hanya BERNAS sahaja yang diberikan lesen besar untuk mengimport beras. Hanya BERNAS sahaja satu-satunya yang melakukan suatu peranan dan ia telah memonopoli pasaran beras dalam negara kita. Adakah kerajaan sedia bertindak untuk memecahkan monopoli ini? Sila Yang Berhormat Pokok Sena.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Terima kasih Yang Berhormat Kubang Kerian,Tuan Yang di-Pertua. Saya hendak mintak penjelasan daripada Yang Berhormat bahawa adakah Yang Berhormat bersetuju bahawa sepatutnya kerajaan telah pun menyedari sewaktu tamat tarikh tempoh penswastaan yang diberikan hak pengimport beras selama 15 tahun yang berakhir pada tahun 2007. Sepatutnya kerajaan telah lama menyedari kegagalan BERNAS ini telah timbul pelbagai-bagai isu apabila BERNAS pada hujung tahun yang lalu membawa masuk beras ke pelabuhan di Sabah atau pun Sarawak tanpa permit dan ditahan oleh pihak berkuasa. Sepatutnya kerajaan telah pun menyedari kegagalan dan tipu muslihat dilakukan oleh BERNAS. Sepatutnya kerajaan tidak menyambung untuk lima tahun lagi hak untuk mengimport beras. Adakah Yang Berhormat bersetuju bahawa sepatutnya kerajaan telah pun menamatkan hak mengimport itu dan kerajaan sepatutnya mengambil tanggungjawab itu untuk memastikan food security, keselamatan pemakanan bahan utama beras negara kita dapat dikawal dengan baik kerana BERNAS lebih mengutamakan untuk kepentingan pemegang-pemegang saham mereka.

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Saya sangat bersetuju dengan cadangan dan pandangan daripada Yang Berhormat Pokok Sena. Ini masalah rakyat, beras adalah masalah rakyat dan BERNAS hanya satu-satunya badan yang diberikan keizinan oleh kerajaan untuk empat objektif besar yang saya sebutkan tadi. Kenapa bila BERNAS ada bukti melakukan penyelewengan ini, kerajaan teragak-agak untuk mengambil tindakan? Adakah ada udang di sebalik batu? Siapa yang duduk di dalam BERNAS ini? Kenapa monopoli BERNAS ini tidak boleh untuk dipecahkan dan diberikan pada syarikat-syarikat yang lain untuk mereka merasakan? Sila Yang Berhormat Kuala Selangor.

Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Bismillahirahmanirrahim. Tuan Yang di-Pertua, Dewan yang mulia ini merakamkan bahawa setiap kali krisis seumpama ini berlaku yang paling malang dan terhimpit dalam krisis ini adalah rakyat. Rakyat termiskin, rakyat berpendapatan rendah sama ada di luar bandar mahu pun yang tinggal di celah-celah pembangunan dalam bandar. Sudah lah mereka terpaksa menanggung segala kesusahan dan penderitaan akibat kenaikan harga barang kos saraan hidup.

Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Tuan Yang di-Pertua, apa yang penting di sini adalah persoalan yang penting adalah rakyat sekarang sedang menghadapi kenaikan harga beras di pasaran. Fakta ini tidak boleh dinafikan dan Parlimen pada petang ini membahaskan usul ini supaya pihak-pihak kementerian yang berwajib mengambil tindakan yang sewajar terhadap isu ini. Apa yang penting Tuan Yang di-Pertua, adalah BERNAS mesti mengambil tanggungjawab ini dan sekiranya BERNAS tidak boleh lagi mengambil peranan penting ini dan menjadikan badan ini satu-satunya badan yang boleh mengimport beras telah menyalahgunakan kuasa mereka atau pun terdapat penyelewengan-penyelewengan yang menyebabkan harga beras pada hari ini meningkat dan rakyat terpaksa menanggung kesan daripada kenaikan harga ini, maka kerajaan mesti bertindak dengan tegas dan membubarkan BERNAS dan melantik satu badan yang lain demi menjaga kepentingan rakyat ini.[Tepuk] Sekian dan memberikan izin kepada rakan-rakan lain Tuan Yang di-Pertua.

Tuan William Leong Jee Keen [Selayang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. BERNAS adalah satu syarikat swasta dan dengan izin satu private entity dan disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 1997. Pemegang saham terbesar di BERNAS ialah Budaya Generasi (M) Sdn Bhd yang memegang 3.79 peratus saham. Mengikut kenyataan yang telah difailkan BERNAS telah mencapai keuntungan sebanyak RM2.1 bilion pada tahun 2006 dan RM2.24 bilion pada tahun 2007. Untung bersih selepas cukai adalah RM135, 226, 000 pada tahun 2006 dan untuk tahun 2007 keuntungan bersih ialah RM170, 343, 000. Di dalam situasi kecemasan yang sedang melanda dan kesusahan kepada rakyat miskin dan berpendapatan rendah, syarikat swasta tidak harus memperoleh keuntungan setinggi ini. Adakah Yang Berhormat bersetuju? [Ketawa]

Dato’ Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Tuan Yang di-Pertua, saya ingin mengambil bahagian untuk membahaskan usul ini. Saya hendak bangkit dua tiga perkara. Satu, mengenai dengan beras ini Tuan Yang di-Pertua. Beras ini makanan utama rakyat negara kita. Macam mana kita membangun sekali pun tanpa beras akan menjadi masalah yang besar kepada rakyat dan masalahnya sekarang ialah BERNAS dan BERNAS ini memonopoli mengenai dengan pengedaran beras. Apakah pihak kerajaan sedar dan saya minta supaya pihak yang bertanggungjawab, kementerian yang bertanggungjawab supaya mengkaji dengan teliti bagaimana permainan yang dilakukan oleh CBU yang disebut oleh Ahli Parlimen Kubang Kerian tadi yang namanya sekarang ini Edaran BERNAS Nasional yang ada pihak-pihak tertentu berkepentingan di mana BERNAS mengedar beras melalui EBN ini, Edaran BERNAS Nasional ini secara monopoli. Manakala Edaran BERNAS Nasional mengedar kepada peruncit-peruncit. Kenapa BERNAS tidak boleh mengedar beras terus kepada peruncit-peruncit? Kenapa melalui syarikat ini yang mana seratus lebih ahli gabungan syarikat ini hanya dua sahaja usahawan bumiputera. Sudahlah peranan usahawan bumiputera, diketepikan dipinggirkan manakala beras pula tidak mencukupi.

Yang kedua Tuan Yang di-Pertua, masalah kenaikan harga beras sekarang ini - tadi saya hendak tanya waktu Menteri Kewangan II menjawab soal kedudukan nilai ringgit berbanding dengan Dolar Amerika. Yang sebenarnya Tuan Yang di-Pertua, oleh kerana nilai ringgit kita sekarang ini jatuh bila dibandingkan dengan baht daripada Thailand. Negara Thailand tak disebut dari segi perbandingan pengukuhan nilai wang ringgit. Dahulu RM10 = 100 baht, sekarang ni tinggal 95 baht. Bila beras di Thailand naik dengan harga yang berganda, duit kita pula jatuh 5 baht daripada RM10 tentulah harganya lebih meningkat lagi. Jadi bukan sahaja beras termasuklah lain-lain makanan. Jadi untuk itu Tuan Yang di-Pertua, bagi mengatasi masalah beras ini selain
daripada kekurangan dan juga harga, saya mintalah sangat dengan pihak kementerian
supaya mengambil tindakan segera supaya Bernas mengedarkan beras-beras ini terus kepada peruncit-peruncit. Sekian, terima kasih.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Satu persoalan yang saya hendak bangkitkan di sini ialah berkaitan dengan isu stockpile, iaitu simpanan beras yang sepatutnya digunakan pada waktu-waktu yang tertentu. Seperti mana yang berlaku sekarang, apabila berlaku kekurangan bekalan beras dan kita telah pun melihat bagaimana India telah pun stop eksport berasnya ke negara kita dan juga ke negara-negara luar. Begitu juga Vietnam dan Thailand saya difahamkan telah pun mengurangkan jumlah eksport beras keluar daripada negara mereka untuk menjamin soal security ataupun keselamatan makanan dalam negara mereka. Jadi isunya sekarang Tuan Yang di-Pertua ialah, saya katakan bahawa sepatutnya harga tidak boleh naik secara begitu mendadak. Bagi saya bahawa sepatutnya ada perancangan jangka panjang masa depan yang telah dibuat sebelum ini, tetapi dalam konteks semasa ini sepatutnya beras tidak boleh naik secara mendadak sehingga boleh dikatakan tiga hari sekali, empat hari sekali naik.

Hari ini pun berlaku lagi kenaikan harga daripada kilang khususnya. Sebab kalau kita betul-betul mempunyai stockpile yang sepatutnya 92,000 tan, sepatutnya saya katakan bahawa stockpile inilah yang boleh digunakan untuk dilambakkan dalam pasaran untuk memastikan supaya harga itu dapat distabilkan, dan sekali gus kalaupun untuk menghadapi kenaikan harga pasaran beras dunia, satu peringatan ataupun signal awal dapat diberitahu kepada pengguna, bahawa sekurang-kurangnya tiga bulan akan datang maka harga beras kemungkinan akan berlaku. Sebab saya sendiri pun tidak tahu berapa stockpile untuk tempoh berapa bulan. Adakah tiga bulan, adakah enam bulan? Tetapi yang saya difahamkan tiga bulan. Maknanya kalau tiga bulan sepatutnya tiga bulan daripada kenaikan pasaran harga dunia, ini barulah harga dalam negara kita boleh dinaikkan, sebab kita mempunyai stockpile untuk dilambakkan bagi mengatasi masalah-masalah ini. Persoalan sekarang ini, soal stockpile ini, apakah Bernas telah menggunakan stockpile ini untuk membina keuntungan yang lumayan, sebab stockpile
ini dibeli ataupun sekurang-kurangnya diambil dalam tiga bulan yang lalu pada waktu harga ketika itu masih rendah. Jadi bila berlaku kenaikan harga pasaran antarabangsa lalu stockpile itu digunakan sendiri oleh BERNAS, tetapi saya tidak pasti adakah ini digunakan ataupun stockpile memang tidak ada. Sebab saya mengatakan bahawa kalau mengikut rekod yang ada kepada saya ini Tuan Yang di-Pertua, bahawa stockpile dahulunya disimpan di gudang-gudang besar. BERNAS ataupun LPN dahulu ada gudang besar. Sekarang ini ada gudang dan kilang. Kilang kecil, gudang besar. Kilang ini hanya belian, kemudian untuk kisar beras-beras tempatan, tetapi setakat yang saya tahu bahawa sebahagian daripada gudang-udang besar itu telah pun ditutup umpamanya gudang seperti di Perai, di Teluk Intan, Pelabuhan Klang, Senawang, Lendau, Melaka, Temerloh, Pasir Gudang, gudang-gudang di Sabah kemudian diserahkan kepada anak syarikat, kemudian gudang-gudang lain seperti Anak Bukit, Parit Buntar, Bagan Serai telah dirobohkan ataupun ditutup untuk dibuat pembangunan yang lain.

Sebahagian daripada gudang-gudang dan kilang milik LPN dahulu diserahkan kepada anak-anak syarikat ini, dan saya tidak pasti sama ada kerajaan melalui kawal selia padi telah membuat spot check ataupun membuat semakan tentang soal ini. Jadi sebab itu kalau kita lihat daripada pengarahan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan pada...12 April dikeluarkan kepada Pengarah Urusan BERNAS yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Kawal Selia Padi, iaitu mengarahkan supaya pihak BERNAS mengeluarkan beras Super Tempatan 15% di kompleks-kompleks BERNAS tetapi ini tidak berlaku. Beras 15% hancur ini tidak berlaku. Maknanya kalau wujud pun terlalu kecil jumlahnya, tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap kilang-kilang anak-anak syarikat daripada BERNAS ini. Jadi ini bermakna saya mempersoalkan juga ialah kementerian khususnya pihak kawal selia padi ini. Terima kasih.

Dr. Tan Seng Giaw [Kepong]: Tuan Yang di-Pertua, di sini saya menyeru kerajaan supaya mengkaji sedalam-dalam cara:

i. memberhentikan monopoli pasaran beras oleh BERNAS;
ii. mengkaji sama ada mampu diri untuk beras 70% masih munasabah;
iii. membuka lebih tanah untuk tanaman padi;
iv. memastikan sama ada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna atau Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, atau kedua-duanya memainkan peranan yang berkesan dalam memantau dan mengendalikan harga beras ataupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna tidak langsung ada peranan di dalam harga beras ini.

Tuan Yang di-Pertua, pada tempoh hari kita tahu kerana pelbagai faktor yang menyebabkan kekurangan bekalan beras di dunia dan dengan ini ada tekanan ke atas negara kita. Walau bagaimanapun, kerana BERNAS tidak mempunyai saingan untuk mengimport beras, maka syarikat ini boleh bermaharajalela untuk menindas para pengguna. Walaupun bertahun-tahun kita telah menyeru kerajaan agar mengkaji semula peranan BERNAS untuk mengimport 30% beras dan dasar 70% mampu diri untuk beras, tetapi seruan ini merupakan (mencurahkan) air di daun keladi.

Tuan Yang di-Pertua, di antara para pengguna dan BERNAS boleh disifatkan sebagai kambing dengan harimau, yang lemah melawan yang kuat. Sampailah masanya kita memberhentikan monopoli BERNAS ini dan beras biasa mempunyai campuran beras hancur 15% dan beras Super 5%-10%. Beras biasa adalah barang kawalan tetapi bekalannya sangat kurang. Biasanya rakyat Malaysia membeli beras Super. Itulah hakikat dan kenyataan sama ada mempunyai kawalan atau tidak, itu merupakan satu perkara yang sia-sia sahaja. Bila BERNAS membeli padi daripada petani dia membayar RM700 setan. Dua bulan yang lepas ia naik kepada RM1,000 setan kerana syarikat-syarikat yang lain menawarkan harga RM1,150 setan. Hakikatnya harga beras melambung, tetapi harga padi tidak naik dengan banyak.

Dua hari yang lepas Yang Berhormat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna yang kata kita hendak itu, ada buka tanah baru untuk menanam padi di Sabah misalnya, tapi ini mungkin 10 tahun kita boleh menikmati hasilnya. Walau bagaimanapun kerajaan mesti mengkaji sama ada kita hendak buka lebih banyak tanah untuk menanam padi, dan sama ada kita boleh menggalakkan pengusaha-pengusaha dan petani-petani dapat meningkatkan keluaran padi daripada sekeping tanah. Sekeping tanah itu 1.2 hektar, 3.3 ekar dan kerajaan mengatakan boleh mengeluarkan lapan tan satu keping tapi ada di Endau Rompin, di Sekinchan boleh mengeluarkan satu keping, 12 tan atau 13 tan. Sekian, terima kasih.

Dato' Ismail bin Kasim [Arau]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk turut bahas usul yang dibawa oleh wakil Kubang Kerian. Cuma saya ingin memperjelaskan kepada rakan-rakan tentang kedudukan penguasaan pasaran beras yang berada di negara kita iaitu 45% beras tempatan dan import dikuasai oleh BERNAS, sementara 55% dikuasai oleh pemborong-pemborong dan peruncit-peruncit yang lain.

Kemudian untuk pasaran beras tempatan, BERNAS hanya menguasai sekitar 24% sahaja. Bermakna kata walaupun, ditimbulkan Yang Berhormat Kubang Kerian pembawa usul bahawa dalam CBUD dan sebagainya ini termasuk rakan-rakan dalam CBUD dan lain-lain. Walaupun di sini melihat peranan pemborong bumiputera amat begitu kurang, tetapi kita melihat secara keseluruhannya bahawa dalam keadaan sekarang, kalau keputusan tidak dibuat oleh pihak kerajaan dengan kadar yang segera, maka kita lihat market ataupun pasaran akan berada dalam keadaan panik yang boleh menyebabkan sesuatu yang perlu kita ambil tindakan dengan jelas.

Jadi di sini, Arau ingin mohon mencadangkan bagi memastikan bersama dengan Bernas yang masih ada tempoh tertentu dalam mereka menguruskan tanggungjawab sosial ini, kita berharap G to G atau government to government dilaksanakan dengan kadar yang segera terutamanya menerusi beras import. Begitu juga kita harus membuat pemantauan, walaupun rakan-rakan tadi membangkitkan soal penguat kuasa padi beras yang dahulunya diletakkan di bawah Kementerian Hal Ehwal Negeri dan Pengguna dan diubah kembali kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Tindakan ini adalah wajar kerana yang memantau daripada proses penanaman, pengeluaran, pemasaran dan penghasilan ini adalah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sudah tentu secara langsung kementerian dapat membuat pemantauan berhubung dengan semua perkara yang berkaitan dengan pasaran.

Yang menjadi masalahnya di sini ialah apabila market menjadi panik, tindakan tidak bertanggungjawab dari sebahagian besar pemborong-pemborong, yang sengaja menjual dalam pasaran harga beras yang 5% kandungan broken ataupun kandungan hancur, di mana harga ini tidak dikawal oleh kerajaan sepenuhnya. Jadi ST, Super Tempatan atau SST ini tidak dibuat oleh pihak pemborong kerana dalam keadaan market ataupun pasaran seperti sekarang ini, mereka mengambil kesempatan untuk membuat keuntungan. Sebab itu dalam keadaan sekarang, apabila pemantauan yang kita buat kepada semua kilang-kilang swasta dan kilang-kilang BERNAS, mesti kita buat dan kita harus memeriksa semua stok ini agar tidak berlaku perbuatan sorok dan sebagainya. Oleh kerana ini adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk pastikan bahawa segala urusan pasaran yang berhubung dengan kenaikan harga ini dapat dikawal sepenuhnya.

Tuan Yang di-Pertua, kita melihat penubuhan BERNAS pada asalnya yang telah diberi sebagai hak pengimport tunggal. Pertama, BERNAS harus mengendalikan bayaran Skim Subsidi. Bayaran Skim Subsidi duitnya diberi oleh kerajaan tetapi kos pengurusan dan juga kos untuk mengendalikan subsidi ini ditanggung oleh pihak BERNAS. Kemudian dalam perjanjian yang kedua, BERNAS diberi hak mengimport ini dia mesti bagi modal tanpa faedah kepada kilang-kilang ataupun yang dipanggil Skim Pusat Belian yang mana semua Skim Pusat Belian ini adalah kilang-kilang bumiputera yang berada di seluruh negara. Yang ketiga, buyer of the lost, BERNAS adalah pembeli terakhir. Padi elok tak elok macam mana pun BERNAS wajib beli, itu di antara syarat yang dikenakan oleh kerajaan bagi import yang telah diberi kepada BERNAS. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, saya akur kepada masa.

Datuk Bung Moktar bin Radin [Kinabatangan]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya sehaluan dengan rakan saya daripada Arau bahawa pada hari ini bukan sahaja di negara kita, bahkan di seluruh dunia hampir-hampir panik kerana berhadapan dengan krisis makanan. Kalau satu ketika dahulu kita berhadapan dengan krisis makanan seperti gula, minyak makan dan sebagainya. Hari ini yang lebih ketara iaitu isu beras, rakyat Asian keseluruhannya, rakyat Malaysia, Thailand, Indonesia, China semua makan beras. Apabila negara-negara yang mengeksport beras ini telah mengehadkan eksport mereka, maka inilah krisis yang kita hadapi iaitu seperti negara China, Vietnam, India dan Thailand.

Tujuan mereka mengehadkan ialah untuk keperluan domestik, keperluan rakyat mereka sendiri. Dan ini telah mengakibatkan pelbagai andaian. Dalam masa yang sama, ada pihak yang tertentu yang mengaut keuntungan dan ini tugasan Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk kalau boleh memperbanyakkan enforcement, sebab kita tahu stok beras di negara kita. Kita tahu di mana-mana ada dan ada rekod dalam kementerian, siapa pemborong-pemborongnya harus dipantau 24 jam.

Sebab kalau tidak saya terus terang menyatakan di Sabah contohnya; beras kita ada pergi Indonesia, ada pergi Filipina, ini betul berlaku. Sebab mungkin permukaan sempadan muka bumi Sabah itu terlalu luas maka sukar untuk melaksanakan penguatkuasaan. Maka berlakulah unsur-unsur penyelewengan sedangkan beras ini ada subsidi kerajaan. Akan tetapi subsidi itu tidak sampai ke sasaran yang seharusnya mereka yang layak sahaja boleh menerima. Saya juga memuji langkah kerajaan iaitu dengan mengeluarkan peruntukan RM4 bilion, semata-mata untuk memastikan bahawa pengeluaran makanan dalam negara kita boleh dikeluarkan dengan sebanyak mungkin dan tidak lagi bergantung pada negara-negara pengimport.

Saya, Tuan Yang di-Pertua, enam tahun yang lalu saya telah berbicara kenapa kita bergantung pada negara-negara seperti India, Thailand, Vietnam, China, semata-mata
bergantung pada negara ini untuk mengeksport beras mereka. Saya telah berkata bagaimana sekiranya ada satu krisis berlaku, peperangan ataupun tidak persetujuan maka akan berlaku pemberhentian eksport dan import pemakanan ini. Hari ini telah menjadi kenyataan, bukan sebab krisis apa-apa tetapi mereka juga kena mempertahankan rakyat mereka daripada mati kelaparan. Sebab kita tahu bahawa krisis makanan ini akan mengundang dan akan mendorong kepada kejatuhan sesebuah kerajaan di mana-mana sahaja dalam dunia itu.

Justeru itu, saya memang melihat bahawa langkah drastik yang diambil oleh kerajaan merupakan satu langkah yang bijaksana, termasuk mewujudkan satu Jawatankuasa Makanan yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri. Dan ini harus dilihat ke arah yang lebih positif, sehingga boleh meyakinkan rakyat sebab banyak perkara kita boleh tidak ada, tetapi kalau rakyat sudah tidak boleh makan, maka negara itu akan menghadapi satu krisis kemanusiaan yang tidak boleh diberhentikan oleh sesiapa. Dan apabila ini kita tidak laksanakan secara bijaksana, maka kita akan menuju satu jalan yang boleh rakyat kita bangkit untuk menidakkan segala-galanya.

Justeru itu saya berkeyakinan dengan pertama, dengan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan untuk menangani isu-isu seumpama ini. Dengan langkah-langkah penguatkuasaan yang lebih komprehensif dilaksanakan, dikaji bagaimana subsidi makanan dan beras ini dapat sampai ke sasaran yang sebenarnya, maka harus dibicarakan secara lebih sempurna dan lebih bijaksana untuk memastikan bahawa kita
telah berhadapan dengan krisis yang kita hadapi pada hari ini. Terima kasih Tuan Yang
di-Pertua.

Tuan Ahmad Maslan [Pontian]: Pengeluaran makanan seperti padi dalam negara telah meningkat kepada 2.3 juta metrik tan pada tahun 2007 berbanding 2.2 juta metrik tan pada tahun 2006. Sebagaimana termaklum ini hanya 73% bekalan negara. Walaupun penduduk Malaysia memerlukan 82 kilogram beras seorang setahun telah berkurang kepada 77 kilogram seorang setahun. Saya ingin mencadangkan beberapa perkara dalam perbahasan usul ini.

Pertama langkah membina jelapang padi baru di Sabah seluas 41 ribu hektar dan Sarawak dan seluas 31 ribu hektar patut segera dilaksanakan. Peruntukan tahun 2008 ini untuk Sabah sebanyak RM50 juta dan Sarawak RM54 juta tidak cukup, maka tambah lagi peruntukan itu. Peruntukan ini termasuk di kawasan-kawasan lain hanya sekitar RM25 juta, perlu tambah lagi peruntukan ini.

Kedua 45% beras negara dikeluarkan oleh BERNAS, tetapi 55% beras dikeluarkan oleh 204 pengilang padi swasta. BERNAS telah mengikuti arahan kementerian untuk mengeluarkan Super 15 yang harganya dikawal. Sejumlah 250,000 metrik tan daripada pengeluaran tempatan. Saya difahamkan bahawa ada banyak, ada ratusan pengilang padi swasta tidak mengikuti syarat lesen yang sepatutnya mengeluarkan 10% hingga 30% daripada pengeluaran mereka sebagai beras Super 15. Ini disebabkan kerana harga Super 15 dikawal dengan harga RM16.50 sepuluh kilogram. Mereka ini cuba mengambil kesempatan dalam kesempitan. Kita menyeru agar tarik sahaja lesen-lesen mereka yang degil-degil ini. [Tepuk]

Ketiga, terdapat 1,239 pemborong beras dan 44,637 peruncit beras di seluruh negara. Saya difahamkan bahawa terdapat sebahagian pemborong beras yang mencampurkan beras Super 15 untuk menjadikan Super 10 yang harganya kini RM27 sepuluh kilogram atau Super 5 yang harganya RM30 sepuluh kilogram untuk mencari keuntungan lebih. Kejadian mencampurkan beras ini adalah satu kesalahan. Maka ambillah tindakan terhadap mereka ini dengan segera.

Keempat, memang elok kita kurangkan pembaziran nasi dalam majlis-majlis keramaian yang dibuang merata tempat. Seterusnya didik masyarakat untuk menggunakan pilihan kepada nasi. Banyak sekali pilihannya;

i. roti;
ii. mee;
iii. sagu;
iv. keledek;
v. kentang;
vi. labu;
vii. jagung;
viii. ubi;
ix. keladi;
x. pulut dan lain-lain.

Seterusnya kita perlu makan ikan dan sayur berlaukkan nasi dan bukannya makan nasi berlaukkan ikan dan sayur. Ini paradigma baru makanan. Kelima, kita menyokong keputusan Kabinet baru-baru ini bahawa satu stok penimbal beras negara dinaikkan daripada dua atau tiga minggu selama ini, selama berpuluh tahun itu kepada tiga bulan. Ini bermakna jumlah stok penimbal beras 90 ribu metrik tan dinaikkan kepada 540 ribu metrik tan sebagai langkah jaminan bekalan makanan. Rupa-rupanya selama ini tidak pernah sekali pun stok penimbal 92 ribu metric tan itu diguna kerana beras adalah mencukupi. Oleh itu semacam kekurangan beras Super 15 yang berlaku sekarang ini adalah suatu ilusi bukan realiti tetapi harga beras gred lain telah naik mendadak.

Akhirnya, Tuan Yang di-Pertua kita perlu menguatkuasakan undang-undang agar segala penyelewengan, agar segala sorok beras, mencekik darah, mengambil kesempatan dalam kesempitan, menahan lukah di pergentingan ini segera dibanteras. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani ada 176 pegawai kawal selia, Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna dan 2,000 penguat kuasa dan 2,000 orang lagi pemantau harga. Tindakan bersepadu perlu diambil agar akhirnya rakyat akan terkeluar daripada ilusi kurang beras seperti Super 15 yang dari segi realitinya masih boleh dikawal lagi. Sekian , saya mohon mencadangkan. Terima kasih.

No comments: