Thursday, May 15, 2008

USUL KENAIKAN HARGA BERAS – JAWAPAN MENTERI

Dewan Rakyat (6 Mei 2008 5.15 pg.)

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani [Dato' Mustapa Mohamed]: Tuan Yang di-Pertua, saya ucap terima kasih kepada Yang Berhormat bagi Kubang Kerian dan lima Ahli Yang Berhormat yang lain yang telah mengambil perbahasan dalam satu isu yang penting. Itu sebabnya kerajaan membuat keputusan untuk menjawab usul ini. Oleh kerana kita mempunyai sikap terbuka dan kita rasa perlu rakyat mengetahui apa masalahnya, isunya dan rakyat berhak mengetahui tindakan-tindakan yang sedang diambil oleh kerajaan bagi menangani isu yang dihadapi oleh negara pada hari ini.

Memang kerajaan sedar bahawa sebahagian rakyat menghadapi sedikit himpitan akibat kenaikan harga beras, itu sebabnya seperti yang disebut oleh beberapa Ahli Yang Berhormat tadi termasuklah Yang Berhormat bagi Kinabatangan, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Membendung Inflasi yang dipengerusikan sendiri oleh Yang
Amat Berhormat Perdana Menteri seminggu sekali bermesyuarat. Tujuannya adalah untuk membincangkan isu-isu khususnya berkaitan dengan bekalan dan harga makanan dan Insya-Allah jawatankuasa ini semalam pun telah membincangkan sehingga jam 8 malam, isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat bagi Kubang Kerian dan Ahli Yang Berhormat yang lain. Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dan beberapa perakuan sedang kita rumuskan dan tempoh terdekat perakuan-perakuan ini akan kita muktamadkan dan akan diumumkan kepada rakyat. Ada empat perkara utama yang saya hendak sebut secara umum. Selepas itu saya akan menjawab beberapa persoalan secara terperinci.

i. berkaitan dengan fakta, fakta berkaitan beras bekalan dan juga harga;
ii. berkaitan dengan BERNAS;
iii. langkah-langkah yang sedang diambil oleh kerajaan bagi menangani masalah ini khususnya dalam menjamin bekalan makanan yang mencukupi ataupun food security; dan
iv. saya akan menggariskan beberapa tindakan yang sedang diambil oleh kerajaan dalam tempoh terdekat.

Isu sekarang ialah bekalan yang mana 15% dengan izin broken, mempunyai beberapa tempat mungkin berkurangan, yang kedua harga yang ada dikawal ada yang tidak dikawal. Selepas itu saya akan menjawab beberapa persoalan secara spesifik.

Izinkan saya Tuan Yang di-Pertua untuk memberi sedikit sebanyak latar belakang. Yang
pertamanya harga beras di pasaran dunia telah meningkat, harga beras diquote dengan
izin, USD dan pada 4 Mei, dua hari yang lepas harganya adalah USD1,100 bagi beras Siam 5% berbanding USD 371. Ia tidak diquote dalam Baht Thailand dan peningkatannya 196% ataupun hampir tiga kali ganda 200%, 371 sampai 1,100 itu realitinya seperti mana kita melihat peningkatan minyak petrol dua tahun lalu kira-kira USD60 satu barrel, ini kira-kira USD120 satu barrel, maka beras juga tidak terkecuali, malah bukan sahaja beras, gandum, corn, soya bean dan banyak lagi barang-barang bijirin ataupun ruji, cereal telah naik harga. Itu fakta yang berlaku. Itu yang pertama, ini ada kaitannya dengan beberapa perkara. Kita tidak boleh elak daripada hakikat bahawa harga beras telah meningkat di pasaran dunia.

Kita bukannya hendak mengaburi mata rakyat, itu realiti yang boleh kita baca di mana-mana. Jadi ini di antara sebab kenapa harga beras di pasaran tempatan meningkat. Selain itu satu lagi fakta saya hendak sebut di sini, pada masa ini harga yang dikawal cuma harga ST 15, Super Tempatan 15%, iaitu beras tempatan. Yang lainnya tidak dikawal. Saya hendak nyatakan di sini faktanya ialah bagi harga ST 15% tidak ada kenaikan harga. Harganya di sekitar RM1.50 hingga RM1.80 mengikut zonnya. Yang murah di Kedah RM1.65 yang mahal sekali RM1.80 Johor jauh sedikit daripada jelapang padi. Maka bagi Super Tempatan 15% dikawal, yang lain-lain tidak dikawal termasuklah harga import. Itu fakta yang kedua.

Yang ketiganya saya hendak maklumkan bahawa biasanya yang 15% ini demandnya biasa iaitu kira-kira 10% sahaja daripada pengguna yang memakan 15%. Tetapi oleh kerana harga dikawal, oleh kerana harga beras di pasaran antarabangsa meningkat maka terdapat switching, pengguna yang dahulunya tidak makan macam orang-orang Kelantan umpamanya dahulunya beza antara Super Tempatan 15% dengan beras import Siam cuma 10 sen, 20 sen yang 15% RM1.65 sen, beras Siam tahun lepas cuma RM1.80. Bezanya cuma 10 sen, 20 sen. Jadi kebanyakan orang Kelantan makan beras import beras Siam, tidak makan 15%. Tetapi oleh kerana harga telah naik hari ini Tuan Yang di-Pertua, harga di Thailand dan di beberapa buah negara adalah oleh kerana di Malaysia kita kawal, secara puratanya harga di Malaysia bagi 15% ialah kira-kira RM3.20, di Thailand bagi beberapa jenis harga beras dan juga di Vietnam melebihi harga di Malaysia.

Tidak pernah lagi berlaku dalam sejarah negara kita di mana harga beras lebih rendah di Malaysia daripada negara-negara luar. Biasanya harga di Malaysia lebih tinggi. Itu sebabnya orang Malaysia menyeludup beras daripada Thailand dan lain-lain. Itu sebabnya, orang Sabah dan orang Sarawak ada menyeludup beras dari luar negara kerana apa? Kerana harga beras di pasaran tempatan sebelum ini adalah lebih tinggi daripada harga luar negara. Hari ini oleh kerana harga di Malaysia terkawal, di Malaysia harganya 15% broken RM3.20 dan bagi beberapa beras di Thailand dan Vietnam, di Thailand RM3.60, di Vietnam RM3.80, ini keadaan. Maksudnya bukan sahaja di Malaysia harga naik tetapi juga di negara-negara termasuklah di negara-negara pengeluar. Saya ingin membuat pembetulan ini dan itu sebabnya saya membuat fakta, bahawa fakta yang perlu saya perbetulkan.

Jadi 15% ini ada switching. Pengguna dahulunya makan beras Siam, sekarang oleh kerana yang dikawal hanya RM1.80, maka berlaku peningkatan yang ketara. Kalau dahulunya 10% sahaja yang menggunakan beras 15%, sekarang lebih daripada itu. Selain daripada itu beras hancur yang digunakan untuk mi, mihun, sekarang RM2.20 harganya satu kilo, tetapi beras ST 15% sudah naik RM1.80. Oleh itu, yang membuat mihun dahulunya, dahulu beras hancur cuma RM1.80 satu kilo. Sekarang RM2.20 yang membuat mihun juga beli 15%. Jadi apa yang berlaku akhir-akhir ini dalam dua, tiga minggu ini, Tuan Yang di-Pertua ialah kalau dahulu beras 15% ini cuma 10% sahaja jumlah penggunaannya tetapi hari ini peniaga kecil di warung-warung mereka menggunakan beras 15%. Dahulu dia guna beras hancur, pengguna yang dahulunya makan beras Siam, oleh kerana beras Siam sudah melambung naik lebih tinggi daripada
5% dalam negara, maka ini telah menjadikan...

Dato' Ibrahim Ali [Pasir Mas]: Penjelasan. Yang Berhormat, apa Yang Berhormat sedar
bahawa beras yang disebutkan murah di Malaysia ini adalah beras yang kurang diminati
oleh rakyat Malaysia untuk makan. Maka beras ini apabila kurang pasaran diseludup ke
Thailand dan dicampur dengan beras Thailand dan dibawa masuk ke negara Malaysia.

Dato' Mustapa Mohamed: Tuan Yang di-Pertua memang perkara ini dikesan berlaku oleh kerana beras 5% ini sebenarnya, yang pertama tidak dikawal. Yang keduanya tidak boleh dibezakan. Rupanya sama apabila masuk dalam periuk barulah rasa beras siam dia lembik sikit. Beras Malaysia ini ia keras sikitlah. Beras siam lembik sikit. Jadi beras 5% tidak dikawal, oleh yang demikian beras ini naik tidak seiring berbanding dengan beras 15% broken. Itu fakta yang saya hendak sebut. Yang keduanya berkaitan dengan BERNAS. Saya hendak maklumkan di sini. Saya...

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Fasal 15% hancur itu. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Tadi Yang Berhormat Menteri mengatakan bahawa berlaku maknanya orang yang dahulu tak makan beras 15% diskaun, sekarang dia dah makan. Saya masih mempersoalkan fakta itu dari segi kebenaran sebab saya turun ke kilang-kilang di Kedah. Saya turun ke kilang-kilang, saya menyamar sebagai seorang pembeli, pemborong dan sebagainya, tetapi diberitahu kepada saya bahawa beras itu tidak keluar bukan masalah kerana yang dahulu tak makan 15 sekarang dah makan 15. Memang tak keluar. Ini persoalannya. Saya minta supaya pihak kementerian kena turun ke kilang-kilang buat spot check. Ini masalah yang dihadapi. Jangan menjadikan itu alasan untuk mengatakan dalam keadaan fakta sebenarnya memang pengilang-pengilang ini sebahagian besarnya adalah anak syarikat BERNAS yang menjalankan usaha sama dengan BERNAS.

Dato' Mustapa Mohamed: Terima kasih Yang Berhormat Pokok Sena. BERNAS telah pun keluarkan arahan bertulis untuk menambah pengeluaran. BERNAS cuma keluar beras 15% broken, dia tidak keluar yang lain. Sebelum ini 11,000 metrik tan sebulan, sekarang ini 20,000 telah diarahkan dan kita diberi jaminan petang tadi oleh BERNAS bahawa bermula esok bekalan 15% akan bertambah kerana BERNAS telah pun diarahkan untuk menambah bekalan 15% broken.

Tuan Yang di-Pertua, yang kedua ialah mengenai BERNAS, saya mendengar dengan cukup prihatin pandangan-pandangan yang dikeluarkan oleh Yang Berhormat Kubang Kerian, Yang Berhormat Pokok Sena, Yang Berhormat Kinabatangan dan Yang Berhormat Arau dan yang lain-lain. Yang Berhormat Pasir Mas berkaitan dengan BERNAS ini dan saya ingin memaklumkan di sini yang pertamanya betul BERNAS sebuah syarikat diswastakan 1996. Betul ia merupakan sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham. Betul ia membuat keuntungan, ada juga dia rugi walaupun angka-angka Yang Berhormat Selayang tadi bukan keuntungan, itu turnover ataupun jumlah perniagaan. Untuk pembetulan Yang Berhormat Selayang sebut tadi. Bukan keuntungan, turn over.

Jadi itu benar, sebahagiannya tetapi saya hendak maklumkan di sini bahawa mengambil kira pandangan-pandangan oleh Ahli Yang Berhormat dan rakyat biasa, maka kerajaan sudah pun membuat keputusan untuk mengkaji keberkesanan BERNAS dalam menjalankan tugasnya. Tugasnya seperti Yang Berhormat sedia maklum banyak tugas. Tugas untuk menstabilkan harga, menjamin bekalan, untuk tanggungjawab sosial. Ini antara tugas BERNAS EPU sudah pun diminta oleh Kementerian Pertanian supaya memulakan kajian berkaitan dengan keberkesanan BERNAS...Kita akan tunggu hasil kajian ini dan setelah kajian ini selesai, maka tindakan-tindakan diperakukan oleh kerajaan ini akan kita ambil.

Puan Rosnah bte Haji Abd. Rashid Shirlin [Papar]: Minta, saya hendak bertanya satu soalan Yang Berhormat Menteri. Sekarang ini kita melihat bahawa persepsi terhadap BERNAS nampaknya begitu negatif sekali seolah-olah BERNAS ini dipersalahkan di atas isu kenaikan harga beras. Persoalan saya, sejauh manakah peranan BERNAS di dalam isu kenaikan harga dibandingkan dengan players-players yang lain dengan izin di dalam industri beras seperti pengilang, pemborong, peruncit dan juga pengedar beras? Terima kasih.

Dato' Mustapa Mohamed: Terima kasih Yang Berhormat Papar. Yang pertama BERNAS tidak boleh menaikkan harga borong tanpa kelulusan kerajaan. Kerajaan belum lagi meluluskan. BERNAS ada membuat permohonan, belum lagi meluluskan. Jadi yang kita tahu hari ini ialah khususnya bagi beras yang tidak dikawal. Maka seperti Yang Berhormat Papar kata pemborong khususnya mungkin ada peranan dalam keadaan semasa di mana harga beras meningkat tetapi seperti yang saya maklumkan tadi, ini kita serah kepada pasaran yang kita kawal ialah 15% broken, yang lain dalam masa ini tidak dikawal oleh kerajaan.

Tuan Yang di-Pertua, oleh kerana masa singkat, Tuan Yang di-Pertua mungkin hendak tamat lagi dua minit, yang pertama saya hendak maklumkan, sudah fakta dah ini. BERNAS sudah. Langkah yang diambil oleh kerajaan jangka pendek dan jangka panjang, kerajaan sudah memperuntukkan RM4 bilion. Daripada RM4 bilion 2.5 bilion untuk hal Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan daripada itu 803 juta adalah untuk padi. Dua tujuan yang pertama untuk meningkatkan pengeluaran padi dalam short term dengan izin, lebih baja, lebih bantuan. Yang Berhormat Pokok Sena sebut tadi, insya-Allah kita akan bagi lebih bantuan. Tahun ini kita beri RM923 juta sudah ada bantuan subsidi baja, padi dan lain-lain. Harga padi dan hendak tambah lagi RM803 juta, ini menunjukkan keprihatinan kerajaan. Kita hendak lihat dalam tempoh terdekat peningkatan dalam pengeluaran dan kita juga ingin melihat dalam jangka sederhana medium term, dengan izin pertambahan.

Yang Berhormat Kinabatangan sebut tadi, pertambahan dalam kawasan baru di Sabah dan Sarawak. Kita jangka kalau dibuka semuanya, mungkin 100,000 hektar. Hari ini ada kira-kira 650,000 hektar tanah padi, mungkin 100,000 hektar ada potensi untuk ditambah kawasan pengeluaran padi. Ini langkah-langkah yang kita akan ambil dalam tempoh terdekat RM800 juta diperuntukkan tahun ini. Selain daripada RM923 juta itu telah diperuntukkan, jangka sederhana akan ditambah keluasan padi termasuk kawasan jelapang padi baru, sekarang ada lapan hendak tambah di Sabah dan Sarawak dan kawasan lain.

Tuan Yang di-Pertua, satu lagi ialah mengenai enforcement dibangkitkan oleh Yang Berhormat Pontian. Saya ucap terima kasih. Memang perkara yang kita sentiasa beri perhatian. Setakat ini empat peniaga sudah pun diambil tindakan dan mereka akan dikenakan hukuman seberat mungkin. Kita harap oleh mahkamah untuk memastikan amalan tidak beretika yang enforcement ini yang menjual beras melebihi RM1.80 iaitu harga kawalan Super 15. Jadi insya-Allah, saya ucap terima kasih kepada Yang Berhormat Pontian dan lain-lain Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mencadangkan agar ditingkatkan enforcement, semoga mereka yang tidak bertanggungjawab ini akan dihadapkan ke mahkamah.

Saya ingin maklumkan bahawa kerajaan amat prihatin dan kita bincang semalam dalam jawatankuasa sampai pukul 8.00 malam dan saya sedang merumuskan beberapa cadangan dan insya-Allah akan muktamadkan, saya harap hari Jumaat ini. Next Cabinet Meeting kita akan dapat muktamadkan beberapa cadangan untuk menangani isu yang dihadapi hari ini. Kita jaga kepentingan pengguna, hendak jaga kepentingan penanam padi, ya tadi isu harga yang disebutkan oleh Yang Berhormat Pokok Sena dan yang lain-lain, kita hendak jaga kepentingan kerajaan dan rakyat Malaysia. Jadi insya-Allah kesemuanya ini akan diberi pertimbangan yang sewajarnya dan kita harap ia sedikit sebanyak akan dapat menangani. Ia tidak akan dapat selesai semuanya, sudah pasti kerana ini masalah global, bukan masalah Malaysia. Tiga kali ganda peningkatan harga beras memang tidak mampu kita hendak menangani 100%, melainkan kita hendak bagi subsidi yang banyaklah subsidi. Subsidi memanglah diberikan kepada penanam padi dan kita merasakan bahawa kita akan membuat tindakan-tindakan akan diambil dengan serius untuk menangani isu-isu yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat dan terima kasih saya ucapkan kepada enam Ahli Yang Berhormat yang berucap, Assalamualaikum warahmatulallahi wabarakatuh.

No comments: