Thursday, May 15, 2008

Ke arah pembentukan Akademi Bola Sepak Bangi

Dengan izin Allah swt pada 24 dan 25 Mei nanti akan berlangsung Kejohanan Bola Sepak Sembilan Sebelah ADUN Bangi. Kejohanan yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu Bawah 12 dan Bawah 15 tahun itu akan diadakan di Kompleks Sukan MPKj, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi. Ahli Dewan Undangan Bangi, Dr Shafie Abu Bakar dijadual merasmikannya tepat 8.00 pagi 24 Mei 2008.

Setakat ini sambutan masyarakat di Bangi dan kawasan-kawasan sekitarnya amat menggalakkan. Sudah hampir 100 borang diambil dan penganjur terpaksa menghadkan bilangan pasukan kepada antara 24 hingga 32 pasukan sahaja bagi setiap kategori. Ini adalah kerana kesuntukan masa dan stadium itu hanya mempunyai sebuah padang bola sepak sahaja. Jadi dasar kita sekarang ialah siapa cepat dia dapat, ‘first come first serve’

Fenomena sambutan hangat terhadap mana-mana kejohanan bola sepak adalah sesuatu yang lumrah di negara ini kerana sukan itu memang sukan paling popular. Sebenarnya negara kita mempunyai puluhan ribu pemain bola sepak yang berbakat. Selama ini bakat mereka diasuh dan diketengahkan oleh badan-badan sukan seperti Persatuan-Persatuan Bola Sepak Negeri-Negeri, Majlis-Majlis Sukan Negara dan Negeri, Majlis-Majlis Sukan Sekolah-Sekolah dan sebagainya.

Hasilnya wujudlah berpuluh-puluh sekolah-sekolah sukan di seluruh negara. Harapan rakyat melihat kembalinya kegemilangan bola sepak negara seperti di tahun-tahun 50an dan 60an terletak di sekolah-sekolah sukan ini. Bagaimanapun dengan menyedari betapa peluang untuk ke sekolah-sekolah sukan amat terhad maka kejohanan pada 24 dan 25 Mei nanti merupakan percubaan awal ADUN Bangi mengwujudkan sebuah akademi bola sepak swasta. Pada kejohanan itu seramai antara 30 hingga 40 pemain bagi setiap kategori akan dikenalpasti untuk diserap ke Akademi. Ini bererti seramai hampir 80 orang pemain muda akan dijadikan pelatih perintis Akademi. Perkara-perkara teknikal akan diperhalusi masa demi masa berdasarkan maklum balas semua pihak.

Namun yang penting ialah langkah pertama. Tanpa langkah pertama, langkah kedua dan berikutnya tidak mungkin dapat diatur. Persoalannya apakah langkah pertama itu? Adakah menyediakan seorang atau sekumpulan jurulatih atau sekumpulan pengurus Akademi? Atau mencari penaja di kalangan orang persendirian, syarikat swasta atau agensi-agensi kerajaan kerana dijangkakan sekurang-kurangnya Akademi memerlukan RM5,000 sebulan bagi belanja rutin.

Pada saya langkah pertama ialah semua pihak terutamanya ibu bapa yang mempunyai anak yang berbakat mesti merancang masa depan anak-anak yang mereka ingini. Paradigma bahawa pemain bola sepak Malaysia tidak akan ke mana-mana sehebat manapun bakat mereka perlu diubah. Kita perlu yakin bahawa jika hari ini pemain-pemain Asia boleh beraksi di liga-liga terkenal dunia, maka bukan mustahil dalam masa sepuluh tahun akan datang, pemain Malaysia pula akan mempunyai peluang yang sama. Syaratnya mereka mesti menerima didikan berterusan secara profesional.

Oleh itu titik mula mesti dicari dan bagi ibu bapa di sekitar Bangi ianya bakal bermula pada hujung bulan ini. Sudah lebih dua tahun kita menganjur kejohanan ‘street soccer’ secara bersiri. Ianya dilakukan ketika hak kita untuk menggunakan padang-padang yang sesuai disekat oleh kerajaan yang memerintah ketika itu. Kini kita melangkah setapak ke hadapan dengan kejohanan bola sepak sebenar – walaupun sembilan sebelah. Dan dengan izin Allah swt sebuah Akademi Bola Sepak Bangi bakal menjadi kenyataan dalam masa terdekat. Inilah sebenarnya antara janji dan tawaran kita kepada rakyat Bangi. Sebuah masyarakat yang sejahtera.

No comments: