(Dewan Rakyat 13 Mei 2008)
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua untuk mengizinkan saya untuk menjunjung kasih dengan terlibat dalam perbahasan Titah Diraja. Sebelum saya mulakan saya ingin menarik perhatian Ahli Dewan terhadap ucapan daripada Yang Berhormat Sri Gading yang telah menyebut nama-nama patriot-patriot dan pejuang-pejuang kemerdekaan yang termasuklah Dato’ Maharajalela, Mat Kilau, Dato’ Bahaman. Tak ada seorang pun Ahli UMNO untuk makluman Yang Berhormat Pasir Salak. [Tepuk]
Pada hari semalam apabila ditanya Yang Berhormat Pasir Salak tidak dapat menjawab memang tidak ada pemimpin-pemimpin UMNO yang telah ditahan oleh Kerajaan British tetapi ada pemimpin PAS iaitu Almarhum Profesor Dr. Burhanudin Hilmi dan juga Ustaz Abu Bakar Bakir pengasas Hisbul Muslimin. Lalu yang penting bagi kita apabila kita menyambut hari kemerdekaan seperti mana hari kemerdekaan ke-50 yang telah kita adakan baru-baru ini, janganlah kita sambut seolah-olah hari kebanggaan UMNO Barisan Nasional kerana umat Islam, orang Melayu rakyat Malaysia telah lama memperjuangkan kemerdekaan walaupun UMNO tidak wujud di atas muka bumi ini lagi.
Sambil itu pada mulanya saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengundi-pengundi di Shah Alam ke atas kemenangan saya di Parlimen Shah Alam. Mereka telah mengubahkan kekalahan dengan majoriti sebanyak 13,000 lebih untuk Barisan Nasional pada 2004 kepada kemenangan dengan majoriti sebanyak 9,000 lebih untuk Pakatan Rakyat pada 2008. Kemenangan ini menyumbang kepada kejayaan usaha menafikan Barisan Nasional penguasaan 2/3 di Parlimen dan oleh itu amat bermakna.
Saya bersetuju, bahawa keadaan seperti ini, seperti mana yang disebut oleh Kinabatangan adalah perkara yang biasa walaupun memeranjatkan kerana ia baru dan saya menganggarkan bahawa ianya akan menjadi satu kebiasaan selepas PRU ke-12 ini di mana tidak ada 2/3 majoriti bagi Barisan Nasional lagi selama sejarah negara Malaysia ini, insya-Allah. Maka saudara saudari Ahli Yang Berhormat yang dihormati sekalian, saya merupakan orang baru di Dewan yang mulia ini walaupun telah lama menceburi bidang politik bersama PAS. Oleh sebab saya baru, tidak peliklah sekiranya saya merasa hairan dan keliru dengan sebahagian dari perbahasan yang telah berlaku. Saya keliru dengan ucapan-ucapan terima kasih atas pembangunan yang dibawa oleh Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional Sarawak yang diakhiri pula dengan rungutan bahawa pembangunan yang telah dibawa jauh dari memuaskan. Begitu juga dengan ucapan tahniah kepada pihak polis dan dengan itu Menteri Dalam Negeri tetapi diakhiri pula dengan teguran bahawa kadar jenayah telah meningkat dengan begitu mengejut dan polis telah gagal membendungnya.
Saya keliru juga dengan pujian terhadap kewibawaan yang kononnya hanya terdapat pada pimpinan Barisan Nasional tetapi disimpulkan kemudiannya bahawa kewibawaan ini masih belum dapat dizahirkan setelah hampir 50 tahun memerintah. Percakapan yang terlalu berlapik seperti ini mungkin adalah di antara faktor yang menyebabkan pihak pemerintah menjadi leka dan tidak sedar betapa prestasi mereka begitu lemah dan semakin meleset. Pakatan Rakyat ingin membina satu kesedaran baru di kalangan rakyat jelata. Kesedaran yang inginkan hanya yang terbaik dan menuntut hanya yang terbaik dari pimpinan mereka sambil kejayaan perlu diberikan pengiktirafan dan penghargaan. Kegagalan perlu juga ditegur dan dikenakan tindakan. Sekiranya pembangunan kawasan luar bandar dan desa terabai, dan terdapat rakyat Malaysia yang masih meminum air perigi setelah 50 tahun merdeka maka Menteri Pembangunan Luar Bandar harus didesak meletak jawatan.
Sekiranya jenayah dan keselamatan awam tidak terkawal maka Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri harus didesak meletak jawatan seperti mana pegawai-pegawai kerajaan mempunyai KPI untuk mengukur prestasi mereka maka begitu juga sepatutnya menteri-menteri dan timbalan-timbalan mereka. Percakapan yang terlalu berlapik dan budaya berkompromi di atas kegagalan pemimpin harus dihentikan dan satu ketegasan baru diasas.
Saya juga kagum dengan kesetiaan dari sahabat-sahabat dari Malaysia Timur, Sarawak khususnya yang begitu tabah dan sabar dengan gelagat rakan-rakan mereka dari Barisan Nasional Semenanjung. Kesabaran dan ketabahan ini pada hakikatnya tidak patut dinikmati oleh Barisan Nasional kerana ketidakprihatinan mereka terhadap sahabat-sahabat mereka selama ini di Malaysia Timur. Mereka berada di rumah banglo yang sama tetapi Sabah dan Sarawak bagaikan dibiarkan tidur di tepi tandas dan di bilik yang tingkapnya pecah dan bumbungnya bocor. [Tepuk] Sambil itu, sebahagian bilik-bilik lain dilakukan renovation dengan izin tahun demi tahun selama hampir 50 tahun. Kesetiaan ini wajib dikaji semula dalam keadaan Sabah dan Sarawak sekarang ini berada di kedudukan unit yang mampu mencari rakan kongsi kuasa yang baru untuk memerintah negara Malaysia yang amat kita cintai ini. Mempersia-siakan peluang ini dengan pemikiran yang simplistic dengan izin dan kesetiaan membabi buta boleh dianggap sebagai satu pengkhianatan kepada rakyat yang menaruhkan harapan yang begitu tinggi terhadap kepimpinan tuan-tuan yang daripada Barisan Nasional.
Saya tercengang juga dengan soalan kurang bijak Ahli Parlimen Barisan Nasional yang bertanya sama ada pembangunan di bawa oleh kerajaan atau pembangkang. Sudah pasti pembangunan hanya mampu dibawa oleh kerajaan yang memerintah kerana mereka pemerintah. Sekiranya pembangunan yang dibawa tidak diagihkan dengan cara yang adil ataupun dengan cara yang tidak cekap, membazir dan dihiasi rasuah dan salah guna kuasa, maka amat wajar kerajaan berkenaan ditukar dengan satu kerajaan yang lebih bersih, lebih amanah, lebih adil dan lebih berkebajikan.
Barisan Nasional sekarang ini mampu membawa pembangunan kerana mereka memerintah tetapi sekiranya mereka dijadikan pembangkang, semestinya Pakatan Rakyat pula yang akan menjadi pembawa pembangunan dan pembangunan yang dibawa akan semestinya lebih adil dan lebih bersifat berkebajikan. [Tepuk] Sememangnya Kerajaan Barisan Nasional begitu bangga dengan pembangunan yang dibawa mereka, namun pada hakikatnya pembangunan yang dibawa dipenuhi dengan amalan pembaziran, kronisme, rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Ada juga corak pembangunan yang meletakkan dengan izin the cart before the horse seperti mana yang disebutkan tadi tentang perkhidmatan jalur lebar tetapi genset digunakan lalu bila infranya tidak mencukupi dipentingkan persoalan perkhidmatan jalur lebar.
Wang yang dibazirkan seperti untuk jambatan bengkok, dan Kompleks CIQ, Customs, Immigration dan Quarantine yang sekiranya dijumlahkan, jumlahnya menghampiri RM2 bilion pasti mampu membawa perubahan yang begitu bermakna di kawasan-kawasan seperti Batang Sadong, Kinabatangan, Putatan dan Kalabakan. Laporan Ketua Audit Negara berhubung dengan pembelian barang-barang dengan harga yang jauh lebih mahal dari yang sepatutnya merupakan bukti jelas bahawa rasuah merupakan amalan yang dibiasakan oleh pentadbiran Barisan Nasional. Malangnya, masih ada di kalangan Ahli Parlimen Barisan Nasional yang ingin menafikan hakikat ini dan mengatakan bahawa ini hanya satu persepsi. Pihak Pakatan Rakyat pula dituduh mengelirukan rakyat melalui ceramah-ceramah dan risalah-risalah mereka. Bagaimanakah ceramah dan risalah yang begitu terhad boleh mengatasi kuasa penerangan radio dan televisyen serta akhbar harian arus perdana yang dikuasai dengan mutlak oleh Barisan
Nasional. [Tepuk]
Pada hakikatnya, rakyat menyedari kebenaran dakwaan pihak Pakatan Rakyat kerana seperti mana peribahasa Melayu “ada bau, ada bangkainya” dan bau dari bangkai rasuah dan pembaziran Kerajaan Barisan Nasional telah memenuhi udara Malaysia sehingga ramai dari rakyat Malaysia telah menyatakan dengan izin enough is enough. [Tepuk] Kalau ada yang mengelirukan rakyat Malaysia ianya adalah pihak Barisan Nasional melalui media yang dikuasai mereka yang mana telah menyelamatkan mereka untuk kali ini buat seketika.
Sudah pasti sekiranya Barisan Nasional menghormati rakyat dan menghormati dasar-dasar demokrasi yang mewajibkan media yang adil dan bebas......merupakan ucapan dengan izin sayonara kepada Barisan Nasional. Bagi kami dari PAS sukar diterima adalah pembelaan, penyelewengan dan rasuah ini dengan bertopengkan Islam. Walaupun Islam Hadhari itu bukan anutan kami, begitu banyak lips service dengan izin yang diberi terhadap Islam dan usaha-usaha meninggikan syiarnya semata-mata sedangkan apa yang dituntut dan ditegaskan langsung tidak dihiraukan Kerajaan Barisan Nasional.
Rasulullah SAW telah bersabda dengan izin [Membaca sepotong ayat Al-Quran] perasuah dan penerima rasuah di dalam neraka yang secara jelas menunjukkan sikap tiada kompromi terhadap amalan rasuah yang ditunjukkan oleh Islam namun rasuah terus ditegakkan dan dipertahankan oleh Barisan Nasional. Sambil itu ada pula Yang Berhormat Barisan Nasional yang ingin mengambil berat soal murtad yang menimpa umat Islam di negara ini. Tidakkah jelas kepada mereka bahawa di antara faktor yang menyumbang kepada berlakunya murtad ini adalah kegagalan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional UMNO khususnya untuk menzahirkan corak kepimpinan yang menghayati Islam yang boleh dibanggakan oleh umat Islam.
Gejala murtad ini akan dapat ditangani secara lebih berkesan sekiranya pemimpin di kalangan umat Islam menghayati sepenuhnya ciri-ciri kepimpinan Islam seperti adil, telus, amanah, berkebajikan, serta takut akan kemurkaan Allah. Kemunculan kepimpinan sedemikian akan menambah kukuhnya keyakinan terhadap kebenaran Islam dan kemampuan Islam di kalangan umat Islam itu sendiri. Pentingnya soal pemimpin dalam soal ini jelas mengikut sebuah hadis [Bercakap dalam bahasa Arab] “Manusia kebanyakan akan berada atas ugama pemimpin-pemimpin mereka.” Inilah sebab mengapa kepimpinan penting dalam Islam. Bukan sekadar pembangunan duniawi tetapi juga untuk menjaga kepentingan ukhrawi.
Sambil itu usaha mendidik umat Islam perlu dijalankan tanpa apa-apa sekatan kepentingan politik. Sebaliknya Barisan Nasional mengongkong Islam dengan mengenakan sekatan demi sekatan ke atas usaha membangunkan kefahaman Islam yang mantap di kalangan rakyat Muslim demi kepentingan politik UMNO sekolah-sekolah agama terabai, guru-guru agama diskriminasi dengan bayaran gaji yang rendah dan institusi-institusi seperti masjid dan surau dikongkong dan dikekang mengikut kepentingan UMNO. UMNO khuatir sekiranya rakyat Islam celik Islam, mereka akan menyokong PAS. Sebagai contoh sekiranya ingin melihat komitmen UMNO-Barisan Nasional terhadap pengajian Islam bandingkanlah jumlah pelajar hafiz yang dibiayai, yang dihantar oleh Kerajaan Negeri Kelantan yang melebihi 1,000 pelajar setahun dengan jumlah dihantar oleh Kerajaan Barisan Nasional Selangor sebanyak 84. Masya-Allah ramainya. Sekolah-sekolah tahfiz di negeri Selangor yang berjumlah lebih dari 100 buah selama ini tidak diiktiraf dan tidak juga dibantu oleh Kerajaan Negeri Selangor-Barisan Nasional walaupun satu sen sehingga naiknya Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di negeri Selangor baru-baru ini.
Gejala murtad ini adalah gejala krisis keyakinan dan ianya tidak boleh ditangani melalui undang-undang semata-mata. Undang-undang boleh melambatkan proses ini tetapi ianya bukan penyelesaian. Memilih pendekatan undang-undang memberikan gambaran yang negatif terhadap Islam seolah-olah Islam tidak mampu menangani krisis keyakinan ini melainkan dengan paksaan.
Kecenderungan Barisan Nasional ke arah paksaan jelas apabila ISA itu sendiri yang merupakan undang-undang yang zalim dan bercanggah dengan prinsip keadilan Islam dipertahankan dengan menggunakan hujah-hujah yang meleset dan mengelirukan. Pendekatan paksaan adalah
pendekatan golongan bankrap idea, bankrap hujah dan bankrap moral.
Saya ingin menyatakan syabas kepada Ketua Menteri Pulau Pinang yang telah beberapa kali menyatakan hasrat beliau untuk mencontohi corak kepimpinan Umar bin Abdul Aziz. Saya ingin menyatakan dengan izin shame on you kepada UMNO-Barisan Nasional yang walaupun kecoh dengan retorik Islam Hadharinya tetapi hingga hari ini masih gagal menzahirkan kepimpinan seperti yang diperlukan oleh umat Islam. Saya doakan semoga kesedaran yang seperti mana yang ditunjukkan oleh Yang Berhormat Ketua Menteri Pulau Pinang akan dihayati juga oleh UMNO. Saya juga terhibur dan inilah di antara sebab kenapa saya senyum. Yang Berhormat Pasir Salak tidak tahan tengok saya senyum.
Dengan tayangan semangat kebangsaan yang berkobar-kobar oleh Ahli-ahli Parlimen UMNO apabila soalan DEB dibahaskan. Sebenarnya DEB telah lama diabaikan oleh UMNO Barisan Nasional dan telah lama secara senyap-senyap ditukarkan dengan satu dasar lain yang dinamakan DEC atau DEK iaitu Dasar Ekonomi Kroni. Laungan DEB hanya merupakan laungan berkepentingan politik yang bertujuan menimbulkan perasaan takut di kalangan masyarakat Melayu dan perasaan saling khuatir mengkhuatiri di antara kaum.
Terakhir, saya hendak gulungkan. Saya hendak bagi tahu untuk makluman Ahli Dewan saya telah berada di sebuah negara kecil iaitu Bahrain pada tahun 2005. Harga minyak petrol di Malaysia pada masa itu RM1.60 satu liter di Bahrain RM0.80 satu liter. Kerajaan Bahrain menjelaskan bahawa harga minyak di pasaran antarabangsa adalah harga untuk menjual ke pelanggan antarabangsa. Bukan untuk rakyat negaranya sendiri kerana rakyat adalah pemilik sebenar harta negara ini. Baru-baru ini, tahun ini sahabat rapat saya iaitu isteri saya telah ke Bahrain. Dia menceritakan bahawa bukan sekadar harga minyak di stesen minyak kekal pada harga sama tetapi Kerajaan Bahrain memberikan bantuan kepada rakyat melalui kenaikan gaji sebanyak RM41...
Tuan Yang di-Pertua: Terima kasih Yang Berhormat, lain kalilah kita cerita hal Bahrain.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Terima kasih saya mencadangkan menyokong.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment