Wednesday, May 21, 2008

Ucapan Dato' Mukhriz bin Tun Mahathir [Jerlun]: – Usul terima kasih titah DiRaja

(Dewan Rakyat 13 Mei 2008)

Dato' Mukhriz bin Tun Mahathir [Jerlun]: Terima kasih Taun Yang di-Pertua, kerana memberi saya julung-julung kalinya peluang untuk saya membahaskan Titah Ucapan Seri Paduka Baginda Tuan Yang di-Pertuan Agong di Persidangan Penggal Pertama Parlimen Ke-12. Tuan Yang di-Pertua, seperti yang kita sedari di era serba mencabar dalam ekonomi dunia, negara mesti menarik minat pelabur langsung asing atau FDI untuk membuka kilang, untuk mewujudkan industri-industri dan syarikat-syarikat yang mengeluarkan produk dan perkhidmatan untuk pasaran global.

Kita lihat kebelakangan ini Malaysia tidak dilihat sebagai destinasi pelaburan utama bagi setiap pelabur yg meninjau rantau ini dalam usaha mencari lokasi untuk membuka businessnya. Buat masa ini bukan sahaja negara penduduk ramai seperti China, India dan Indonesia yang dapat menawarkan harga buruh yang murah tetapi kita lihat kemunculan Vietnam, Cambodia dan juga Laos mendapat FDI yang lama-kelamaan akan melebihi FDI yang datang ke Malaysia. Malah sekarang ini, China dan India sudah menarik perhatian pelabur-pelabur yang memberi penekanan kepada keupayaan teknologi dan bukannya hanya kos buruh yang murah.

Bagi Malaysia yang berhubung rapat dengan dunia perdagangan dan perniagaan sudah tentu kadar kemasukan FDI menjadi petanda survival ability negara dengan izin. Pada waktu yg sama dalam usaha kita menjadi negara maju pada tahun 2020, sudah tentu kita perlu memberi penekanan kepada usaha untuk meningkatkan bilangan industri-industri besar dan juga IKS yang menjadi tulang belakang negara perindustrian. Soalnya, adakah industri-industri besar dan juga IKS Malaysia boleh diiktiraf sebagai bertaraf dunia?

Untuk menjadi negara perindustrian sudah tentu perlu wujudkan syarikat-syarikat perindustrian ala SONY, Hyundai, ACER dan sebagainya. Sudah tentu kita juga perlu lahirkan industrialist dengan izin seperti ‘Arkeomorita’ , ‘Chun Jung Yun’ dan ‘Stan Shih’ untuk menerajui syarikat-syarikat ini. Soalnya syarikat Malaysia yang manakah yang boleh kita banggakan sebagai syarikat teknologi tinggi yang berdiri dan duduknya sama tinggi sama rendah dengan syarikat-syarikat ternama di dunia dan siapakah industrialist Malaysia yang akan memacu negara ke arah menjadi negara perindustrian.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan takziah kepada balu dan keluarga Allahyarham Tan Sri S. M. Nasimuddin S. M. Amin pengasas NAZA Motor yang telah meninggal dunia baru-baru ini. Sebelum ini juga Allahyarham Tan Sri Yahaya Ahmad, pengasas DRB HICOM juga seorang tokoh yang dilihat sebagai industrialis negara telah meninggal dunia sebelum sempat membantu dalam usaha mengindustrikan negara.

Saya berharap kerajaan akan terus dengan pendekatan persyarikatan Malaysia ataupun Malaysian incorporated supaya jenama-jenama Malaysia industri besar dapat menerokai pasaran dunia untuk produk dan perkhidmatan hasil usaha Malaysia sekali gus merealisasikan aspirasi negara menjadi maju, berindustri. Kita mahu lihat GLC memainkan peranan yang lebih bermakna dalam usaha memacu negara ke arah menjadi negara industri. Pada waktu yang sama kita harap ruang dan peluang akan diberikan kepada mana-mana usahawan pihak swasta untuk mengusahakan industri besar.

Dalam penglibatan GLC dalam industri besar, biarlah ia tidak bersaing dengan syarikat swasta yang mencebur diri dalam sektor industri yang sama. Ini adalah kerana perbelanjaan dan pelaburan yang diperlukan untuk industri besar punyai kos risiko yang tinggi. Sudah tentu merugikan negara sekiranya, syarikat-syarikat swasta ini berhadapan dengan saingan daripada GLC dalam sektor industri yang sama. Kewujudan industri intensif buruh sudah tentu akan menyediakan banyak peluang kerja untuk anak-anak muda kita. Industri intensif kapital pula memerlukan tenaga kerja yang menguasai teknologi tercanggih. Negara China dan India makin hari makin berkemampuan untuk melahirkan tenaga kerja yang berdaya kreatif dan inovatif. Banyak produk dari negara maju yang dulunya direka bentuk di Barat, dikeluarkan di kilang di India dan China. Kini kita lihat kerja-kerja reka bentuk juga dilakukan oleh syarikat design di kedua-dua negara India dan China.

Nilai tambah yang disumbangkan oleh kedua-dua negara ini mampu mengurangkan kos untuk syarikat induk di negara maju sambil itu membuktikan bahawa syarikat India dan China juga mampu menyaingi Barat dalam fungsi mereka bentuk. Di mana Malaysia dalam soal ini? Walaupun India dan China sudah kurang dilihat sebagai negara pengeluaran kos rendah, tetapi negara membangun yang lain telah mengambil alih tempat kedua negara tersebut. Indonesia, Vietnam dan Cambodia dilihat sebagai destinasi pelaburan baru yang menarik. Mahu tidak mahu Malaysia tidak dapat mengelak daripada menarik pelabur yang lebih mementingkan kualiti produk dan tahap penguasaan teknologi tinggi daripada kos buruh yang rendah. Adakah tenaga kerja Malaysia bersedia untuk menerima kehadiran pelabur-pelabur seperti ini? Sudah tentu dasar pendidikan negara memainkan peranan amat penting untuk merealisasikan matlamat ini.

Tuan Yang di-Pertua, sambil kita membina modal insan seperti yang kerap kali diwar-warkan oleh kerajaan, kita juga perlu memastikan peluang kerja yang mencukupi untuk anak-anak muda kita termasuk graduan IPT tempatan dan juga yang menuntut di luar negara. Malangnya kita lihat kadar pengangguran yang masih membimbangkan. Atas sebab-sebab tertentu, ramai juga graduan kita yang tidak berpeluang untuk mencari kerja yang menepati kelulusan mereka dan ada juga yang masih menganggur. Ramai graduan di luar negara pula mencari kerja di negara tersebut. Ada juga bakat terbaik di antara anak muda kita yang diambil kerja di luar negara, ramai juga yang ke Singapura.

Ada di antara mereka yang berpendapat bahawa gaji yang ditawar di Malaysia untuk kerja mengikut kelulusan mereka tidak memenuhi keperluan mereka. Maka itulah sebabnya mereka berhijrah ke luar negara untuk mencari nafkah. Ini bermakna belanja yang banyak yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak kita tidak membawa hasil seperti yang diharapkan kerana peluang kerja yang tidak mencukupi. Lebih merugikan lagi, apabila bakat-bakat terbaik antara mereka bekerja di luar negara menetap di sana dan membayar cukai pendapatan di sana juga. Kalau trend ini tidak dibendung negara akan mengalami kerugian yang amat besar dan kesannya akan berpanjangan.

Tuan Yang di-Pertua, kita sering diberitahu bahawa ada di antara guru-guru di sekolah tidak mempunyai penguasaan bahasa Inggeris yang secukupnya untuk mereka menjayakan Program Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau PPSMI. Apabila guru-guru ini dikehendaki menjalani Peperiksaan Tahap Proficiency atau PTP, kerap kali peperiksaan ini dilakukan pada waktu yang tidak sesuai dan ianya menjadi satu bebanan kepada guru-guru. Oleh itu, guru-guru ini tidak mempunyai tempoh waktu yang mencukupi untuk membuat persediaan bagi menghadapi peperiksaan ini. Bagi mendapat gambaran yang sebenarnya mengenai tahap penguasaan bahasa Inggeris, saya cadangkan agar PTP ini diadakan sewaktu cuti penggal sekolah atau apabila guru-guru menghadiri kursus. Sekiranya diberi masa yang mencukupi saya yakin tahap pencapaian guru-guru yang menduduki PTP ini akan lebih memuaskan.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pelajaran kerana mewujudkan Program Pedagogi Enhancement and Way Enforcement of Learning Strategy dengan izin atau PEARLS di mana guru-guru sains dan matematik berkumpul dan berbincang mengenai pendekatan-pendekatan yang terbukti membawa hasil yang diingini dalam menjayakan PPSMI. Program ini diterima baik oleh guru-guru tersebut dan nampaknya memberangsangkan mereka untuk terus berusaha ke arah matlamat yang ditetapkan.

Kebelakangan ini kita melihat begitu ramai belia yang memerlukan bantuan kewangan dalam bentuk modal untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan. Kita tidak memerlukan wang yang banyak. Sekadar RM10,00 hingga RM20,000 pun memadai untuk perniagaan mereka tetapi kerana tidak dianggap dengan izin credit-worthy mungkin kerana mempunyai hutang-hutang lain yang belum diselesaikan atau oleh kerana tidak ada aset yang boleh dicagarkan untuk pinjaman tersebut, maka bakal usahawan muda ini tidak dapat membuat pinjaman dari institusi-institusi kewangan atau dari agensi-agensi peminjam kerajaan. Oleh itu saya ingin mengucapkan syabas kepada Kementerian Belia dan Sukan kerana memansuhkan beberapa syarat untuk pinjaman di bawah Skim Tabung Ekonomi Belia atau STEB. Ini membolehkan lebih ramai belia menyertai bidang keusahawanan sekali gus membantu mengurangkan kadar pengangguran di kalangan belia.

Untuk memastikan bahawa jumlah dana STEB sebanyak RM40 juta digunakan sepenuhnya bagi tujuan ini, saya cadangkan supaya pegawai Kementerian Belia dan Sukan turun mencari usahawan-usahawan kecil yang sudah berniaga seperti mereka yang mempunyai gerai makanan yang popular untuk ditawarkan pinjaman supaya dapat membantu meluaskan perniagaan yang mereka usahakan.

Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh sedikit mengenai apa yang telah diperkatakan oleh Yang Berhormat dari Gombak dan juga Yang Berhormat dari Padang Serai tadi yang telah menyatakan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah insan yang bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia. Saya tertanya-tanya mengenai tiga perkara yang telah dilaporkan dalam media asing tetapi tidak diberi liputan oleh media tempatan.

Yang pertama, mengenai artikel dalam majalah Time dalam edisinya bertajuk dengan izin The 2008 Time 100. Laporan mengenai Datuk Seri Anwar ditulis oleh rakan karibnya Paul Wolfowitz, bekas Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat merangkap ketua strategi perang Iraq untuk George W. Bush. Mengapa harus Datuk Seri Anwar bersekongkol dengan pembunuh lebih satu juta rakyat Iraq ini?

Yang keduanya, mengenai artikel dalam akhbar Israel iaitu Jerusalem Post yang menggambarkan Datuk Seri Anwar sebagai dengan izin Malaysia’s Future Prime Minister seperti yang telah disebut oleh kedua-dua Yang Berhormat yang saya sebutkan tadi dalam Dewan yang
mulia ini. Adakah ini juga bukti bahawa Israel juga setuju Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia dan kalau setuju mengapa?

Yang ketiga, mengenai sebuah badan bukan kerajaan atau NGO yang bernama Foundation of The Future. NGO ini menerima dana sebanyak 35 juta dolar dari Jabatan Negara atau State Department Kerajaan Amerika Syarikat, 10 juta dolar dari Bahrain dan 11 juta lagi dari sumber-sumber lain yang tidak ketahui. Pengerusi Foundation of The Future tak lain tak bukan Datuk Seri Anwar sendiri insan yang dikatakan bakal Perdana Menteri Malaysia. Di NGO ini jugalah Datuk seri Anwar mengambil kerja Shahariza, teman wanita Paul Wolfowitz yang telah mencetuskan kontroversi di Bank Dunia baru-baru ini.

Soalnya, adakah Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terlibat secara langsung dalam organisasi yang diragui latar belakangnya dan berkawan rapat dengan pengikut fahaman neo-konservatif yang membunuh rakyat Islam di Iraq Paul Wolfowitz ini hendak kita benarkan mengambil alih kepimpinan negara tercinta ini? Sudah tentu tidak. Selagi nyawa di kandung badan UMNO tetap akan mempertahankan kedaulatan negara kita. [Tepuk]

Tuan Yang di-Pertua, apa yang berlaku dalam pilihan raya yang lepas sebenarnya memberikan hikmah dan pengajaran yang besar kepada UMNO. UMNO sudah mendengar dan memahami isi hati rakyat dan akan membuka satu lebaran yang baru. Sejarah UMNO telah membuktikan setiap kali ia jatuh ia akan bangun dengan lebih gagah dan perkasa. [Tepuk] UMNO tidak akan berpeluk tubuh berdiam diri dan membuang masa. Percayalah kami akan menunaikan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat. Setiap apa yang kami lakukan dan bakal lakukan, pembangkang harus gusar dan gentar kerana perubahan dan kebangkitan semula UMNO sudah bermula. [Tepuk] Ia akan mendatangkan 1001 impak positif kepada semua pihak. Pihak pembangkang tidak perlu masuk campur atau menjaga tepi kain UMNO kerana kami tahu bagaimana untuk mengurus dan menjaga parti yang kami cintai ini. [Tepuk]

Sesungguhnya tsunami politik akan berlaku dalam pilihan raya yang akan datang cuma pada ketika itu pihak pembangkang pulalah yang akan dilanda badai tersebut. [Tepuk] Oleh itu, di atas dasar perjuangan agama, bangsa dan tanah air, saya ingin mengajak Ahli-ahli Yang Berhormat dari pihak pembangkang kembali ke pangkal jalan dan menyertai kami.

Tuan Yang di-Pertua, saya mohon menyokong. Terima kasih.

No comments: