Wednesday, May 21, 2008

Dr M teruskan asakan terhadap Abdullah

20-05-2008 06:19:57 PM

Oleh SA'ODAH ELIAS

PETALING JAYA: Sehari selepas membuat kejutan dengan mengumumkan tindakan keluar Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan asakannya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Dalam posting terbarunya di blog peribadinya di www.chedet.com tengahhari Selasa, bekas Perdana Menteri itu membangkitkan isu kegiatan melobi yang menjadi amalan kebanyakan negara termasuk Amerika Syarikat.
Tulisan beliau yang seolah-olah sengaja dimuatkan pada hari sempena penjualan rasmi laporan rasmi Suruhanjaya Diraja klip video melibatkan peguam V.K Lingam itu secara sinis mengatakan bahawa kerajaan Abdullah nampaknya mahu bertindak lebih mulia daripada negara-negara lain apabila cuba menjadikan kegiatan melobi satu "jenayah".

"Dalam banyak hal, Malaysia lebih kehadapan daripada negara-negara lain dalam penerimaannya terhadap apa yang betul dan apa yang salah. "Di Amerika Syarikat melobi diterima dan dianggap kegiatan mulia. Banyak kenamaan, terutama bekas-bekas pemimpin kerajaan memiliki firma menyediakan khidmat melobi. Negara-negara asing, termasuk Malaysia mendapati khidmat ini sangat berguna. "Kita pernah melobi untuk mendapatkan dasar yang memihak kepada kita bagi minyak sawit, timah dan getah agar dapat diimport ke negara itu, sebagai contoh," katanya dalam penulisannya itu.

Tetapi kini, katanya, kerajaan berpendirian bahawa kegiatan melobi adalah satu jenayah dan mereka yang terlibat dalam kegiatan itu dianggap penjenayah. Kenyataan itu mungkin dirujukkan kepada keputusan kerajaan untuk menyiasat beberapa personaliti yang terlibat dalam kes klip video mengenai pelantikan hakim itu, termasuk beliau sendiri.

"Syabas kerajaan, kerana kini telah menjadikan Malaysia lebih mulia daripada Amerika Syrikat," tulis Dr Mahathir lagi.

Di akhir artikel terbarunya itu, Dr Mahathir juga mengungkit laporan mengenai surat sokongan yang pernah ditulis Abdullah ketika masih menjadi Timbalan Perdana Menteri untuk adik iparnya di dalam kes melibatkan program Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu "makanan untuk minyak" di Iraq sebelum jatuhnya rejim Saddam Hussein.

"Jika seseorang timbalan perdana menteri itu menulis surat sokongan untuk adik iparnya kepada pegawai atau menteri negara lain yang akan memberikan pertimbangan positif kerana surat sokongan itu datangnya daripada timbalan perdana menteri sebuah negara sahabat, adakah ini dikira sebagai melobi atau salah guna kuasa?" tanya beliau.

Katanya, perkara ini perlu diperjelaskan agar ia tidak diulangi dan sama ada tindakan boleh diambil terhadap si penulis sekarang memandangkan kerajaan kini sedang berusaha mengambil tindakan terhadap perkara yang telah lama berlaku.

Mengulas mengenai isu itu dua tahun lalu, Abdullah pernah dilaporkan sebagai berkata: "Saya tiada kepentingan... menyokong orang mendapat peluang untuk turut serta tidak boleh dianggap bahawa saya terbabit dalam sebarang urusan.

"Menjadi perkara biasa bagi pemimpin kerajaan untuk menulis surat pengenalan kepada mana-mana kumpulan yang mahu mendapat peluang perniagaan tulen."- MStar

No comments: