Dewan Rakyat (5 Mei 2008 : 2.32 ptg)
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya sambung apa yang akhir tadi tentang keputusan Pilihan Raya Umum yang lalu. Keputusan Pilihan Raya Umum yang lalu tanpa sebarang kesangsian Tuan Yang di-Pertua, membuktikan kematangan rakyat Malaysia dan memperjelaskan lagi tuntutan hak rakyat bahawa:
(i) suara dan pilihan rakyat harus di hormati;
(ii) dasar dan program kerajaan di semua peringkat perlu adil;
(iii) salah guna kuasa mesti dihentikan; dan
(iv) kerajaan sama ada pemimpin atau pegawai-pegawai mesti berkhidmat demi keperluan dan kepentingan rakyat, tanpa pilih kasih atau sentiment politik.
Tuan Yang di-Pertua, keputusan rakyat dengan jelas memberikan mandat kepada perubahan kerajaan-kerajaan negeri kepada Parti-parti Pakatan Rakyat khasnya bagi negeri Selangor yang dipimpin oleh Ahli Yang Berhormat dari Bandar Tun Razak. Negeri Pulau Pinang yang diterajui oleh Ahli Yang Berhormat dari Bagan. negeri Perak yang dipimpin oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Ir. Haji Mohammad Nizar bin Jamaluddin. Negeri Kedah yang diketuai oleh Yang Amat Berhormat Ustaz Haji Azizan Abd Razak dan negeri Kelantan yang kekal di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Tuan Guru Haji Nik Abd Aziz Nik Mat.
Namun demikian sejak Jemaah Menteri dibentuk, sudah nampak petanda dan bukti bahawa keputusan dan pilihan rakyat tidak dihormati. Tuan Yang di-Pertua, antaranya ada berbagai ugutan bahawa peruntukan belanjawan Kerajaan Pusat untuk negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat akan ditarik balik, dibatalkan atau disalurkan melalui saluran-saluran yang tidak lain bertujuan untuk membentuk suatu jelmaan parallel state government menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan yang ternyata tidak demokratik sifatnya. Pelbagai tindakan telah diambil dengan tujuan menjejaskan pentadbiran negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat. Contohnya; memaksa semua ketua kampung dan Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) meletakkan jawatan dan menyalurkan dana belanjawan awam melalui parti-parti politik Barisan Nasional atau agensi tertentu yang dikuasai oleh Kerajaan Pusat.
Tuan Mohamed Azmin bin Ali [Gombak]: Terima kasih Timbalan Yang di-Pertua. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Permatang Pauh. Penegasan yang dibuat oleh Yang Berhormat Permatang Pauh tentang ugutan Kerajaan Persekutuan bukanlah sesuatu perkara yang mengejutkan, kerana ianya telah berlaku di negeri Sabah, berlaku di negeri Kelantan, pernah berlaku di Terengganu. Namun, saya kira pada ketika itu amalan ini dilakukan oleh rejim yang lama. Akan tetapi yang mengejutkan saya Yang Berhormat Permatang Pauh, di bawah pentadbiran yang baru ini, yang kononnya mengamalkan pentadbiran Hadhari, amalan ugutan ini masih diteruskan. Sebagai contoh; pada 25 Mac 2008 yang baru lalu, Yang Berhormat Menteri Pelancongan Malaysia telah mengarahkan supaya semua acara bagi signature events dengan izin, di Selangor, Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan digugurkan daripada senarai acara signature events yang berkenaan. Yang Berhormat Menteri Pelancongan juga telah mengarahkan supaya semua MTPM dengan segera tidak menyenaraikan acara berkenaan dalam calendar of events dengan izin, laman web serta sebarang bahan promosi dan publisiti. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Permatang Pauh, apakah ini mengesahkan bahawa pentadbiran yang baru ini tidak ada bezanya dengan pentadbiran yang lama, yang mengamalkan politik ugutan setelah 8 Mac yang lalu?
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Yang Berhormat Gombak. Ini yang dikatakan dah menang tu, dah orang lain menang, tak boleh buat begitu! Mestilah kita amalkan sikap federalisme yang baik. Apakah tidak negeri-negeri ini, Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak pun negeri yang dicintai. Bila kita katakan tidak adil, di sana marah. Ini bukti! Tuan Yang di-Pertua...
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh. Pertama ialah tentang projek-projek tadi, sebenarnya saya rasa kerajaan bersikap adil sebab itulah mana-mana projek yang dia rasa tidak lagi relevan, sesuai dan diperlukan dibatalkan atau ditangguhkan. Contohnya; fast trek Kuala Lumpur ke Johor Bahru. itu tidak melibatkan tempat pembangkang pun, tetapi dicadangkan untuk ditangguhkan sebenarnya sebab tidak sesuai lagi dalam soal kita nak memberikan kualiti hidup kepada rakyat. Kedua, soal ketua kampung tadi kalau tidak letak jawatan pun nanti dipecat juga seperti mana yang berlaku di Kelantan. Jadi lebih baik letak jawatan dulu. Jika hendak diikutkan soal
ini, kita lihat apa yang berlaku krisis sekarang ini, antara Menteri Besar Perak dengan Sultan Perak pun ialah kerana nak suruh Ketua Pengarah Agama Islam itu ditukarkan. Bukankah ini juga satu penganiayaan dan tidak ikut prosedur pun. Jadi ini antara contoh-contoh bila dah ada kuasa pun dua kali lima juga. Apa penjelasan?
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Yang Berhormat Batu Pahat. Apa yang kita katakan, satu surat! Satu surat mengarahkan kelima-lima negeri yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat, tidak diberi peruntukan. Ini yang kita katakan, kalau hendak berhentikan program yang tidak mendatangkan keuntungan itu lain. Tidak termasuk kategori itu. Katakan JKKK hendak suruh dia letak jawatan, belum letak jawatan, apa salahnya teruskan. Bukan lagi dipecat, bukan apa selepas itu dia kata ikut Kelantan, ikut apa. Tapi kalau ikut Barisan Nasional pun, bagaimana. Yang telah kita lihat sejak lama.
Tuan Nga Kor Ming [Taiping]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Ketua Pembangkang, adakah Ketua Pembangkang setuju di mana, daripada tindakan Kerajaan Barisan Nasional yang telah pun mengeluarkan arahan memberhentikan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri dalam kelima-lima negeri dan juga mewujudkan kerajaan dalam kerajaan iaitu untuk mewujudkan JKKKP mewakili JKKK merupakan satu amalan yang tidak menghormati demokrasi, dan merupakan satu amalan yang amat tidak matang sekali. Adakah Yang Berhormat bersetuju?.
Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail [Permatang Pauh]: Ya, memang saya setuju. Itulah point saya. Saya sambung ya, Tuan Yang di-Pertua.
Tuan Ahmad Maslan [Pontian]: Yang Berhormat Permatang Pauh, saya rasa mesti bersetuju bahawa yang penting ialah rakyat. Apakah salahnya kewujudan contohnya Jabatan Pembangunan Persekutuan di negeri-negeri berkaitan seperti Kelantan untuk mengendalikan pembangunan, asalkan pembangunan itu sampai kepada rakyat. Kaedah penyaluran itu terpulang kepada kebijaksanaan Kerajaan Pusat. Yang penting ialah rakyat dapat pembangunan itu.
Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail [Permatang Pauh]: Yang Berhormat Pontian, dalam satu rumah ada dua kepala ke? Bagaimana pengendaliannya? Yang Berhormat, kalaulah ada itu hak Kerajaan Kelantan yang dipilih oleh rakyat, kenapa pula hendak disalurkan melalui saluran lain?
Puan Hajah Siti Zailah binti Mohd. Yusoff [Rantau Panjang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Permatang Pauh. Saya sangat tertarik dengan apa yang kita perbincangkan berkenaan dengan projek yang disalurkan ke negeri Kelantan. Sebenarnya kalau kita lihat, banyak ketidakadilan berlaku terutama kepada rakyat di Kelantan. Baru-baru ini satu kes saya dilaporkan oleh rakyat dalam kawasan saya sendiri, bagaimana penghulu di bawah pembangunan mukim JKKK ini, dia tidak mahu tandatangan permohonan yang sepatutnya beliau bertanggungjawab kerana melibatkan Kerajaan Persekutuan tetapi kerana semata-mata kerana mereka merasa dendam terhadap rakyat mereka telah enggan menandatangani sehingga mengadu kepada kami daripada wakil rakyat PAS. Jadi ini suasana ketidakadilan berlaku. Begitu juga kita lihat dari segi projek rumah mesra rakyat yang tidak disalurkan kepada kerajaan negeri. Begitu juga kita lihat bagaimana peruntukan kepada pihak berkuasa tempatan yang tidak diberi sebagai mana diberi keadilan kepada negeri-negeri lain. Jadi di mana sebenarnya keadilan yang didakwa oleh pemerintah hari ini. Jadi saya minta pandangan Yang Berhormat Permatang Pauh.
Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail [Permatang Pauh]: Ini point saya Tuan Yang di-Pertua, kerana kalau dikatakan saluran untuk rakyat, itu kita akui kalau untuk kebaikan rakyat. Tapi ini untuk kepentingan politik Yang Berhormat Pontian. Tidakkah Yang Berhormat tidak tahu. Silakan Yang Berhormat Kubang Kerian.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh, Tuan Yang di-Pertua yang saya hormati. Kalau kita bercakap tentang semangat federalism bila Lord Reid dulu menggubal Perlembagaan Negara ini, nilai inilah yang dipakai hari ini, sistem Persekutuan yang memberikan hak, ada federal list, ada state list, concurrent list yang kita kena hormati. Takkanlah satu kapal ada dua kapten, tidak boleh. Satu kapal mesti ada satu kapten. Jadi, tirulah, hormatilah apa yang dibuat oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri baru-baru ini yang menghapuskan JPP di Sabah dan kenapa di Sabah dihapuskan JPP? Adakah semata-mata ada muslihat politik, ada political motivated? Jadi saya harap ini tidak berlaku dan batalkan JPP di Kelantan untuk rakyat.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Ronald Kiandee]: Yang Berhormat Kubang Kerian, JPPS belum dihapus, baru dikaji sekarang.
Tuan Salahuddin Ayub [Kubang Kerian]: Ya, tetapi itu pandangan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk supaya birokrasi kerajaan, semangat federalism itu diamalkan untuk kebaikan rakyat. Jadi adakah Ketua Pembangkang setuju supaya JPP ini diharamkan dan hormati demokrasi dan hormati mandat rakyat yang telah diberikan dalam pilihan raya yang lalu.
Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Yang Berhormat Kubang Kerian, memang Yang di-Pertua itu point yang saya hendak katakan, ketengahkan, dan hendak tegaskan. Kami sedar, bahawa dasar pemusatan belanjawan yang fiscal membolehkan Kerajaan Persekutuan bertindak dengan sewenang-wenangnya berdasarkan bulu politik dan bukannya berdasarkan kepada penghormatan suara rakyat, prinsip demokrasi dan nilai keadilan sejagat. Silakan Yang Berhormat Pengkalan Chepa.
Dato' Haji Ab. Halim Ab. Rahman [Pengkalan Chepa]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh. Pertama sekali Tuan Yang di-Pertua, saya hendak memperbetulkan tuduhan Yang Berhormat Batu Pahat tadi bahawa Kerajaan Kelantan pecat ketua kampung, tidak benar. Kita tidak pecat, kebetulan habis, tahun itu sudah habis tamatnya, itu sahaja. Maknanya kita tidak pernah memecat. Tamat masa, habis. Itu satu. Yang kedua, rugi bila ada JPP kerana dia menggantikan ketua kampung yang menjadi hak kerajaan negeri itu dengan JKK dalam kampung yang sama, dalam mukim yang sama, ada dua penghulu, dalam daerah yang sama ada dua penghulu kemudian dalam jajahan yang sama ada dua DO kemudian berapa peruntukan pegawai-pegawai yang tidak fasal-fasal yang juga pegawai Federal ada melalui jabatan-jabatan di negeri yang dulunya tidak ada tergendala langsung segala projek ini sama ada melalui JKR, JPS dan lain-lainnya. Tetapi bila ada ini, berapa gaji yang kita terpaksa belanja untuk itu. Saya nampak Tuan Yang di-Pertua dan juga Yang Berhormat Permatang Pauh, saya hendak tanya pandangan ini. Nampaknya JKK ini ditubuh, JPP ditubuh sebenarnya untuk menjaga ahli-ahli parti. Ahli-ahli parti ini yang sebenarnya, kalau tidak, parti tidak boleh bergerak jadi untuk supaya UMNO ini dapat terus hidup orang-orangnya, itulah sebenarnya ditubuh JPP. Apa pandangan Yang Berhormat.
Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Yang Berhormat Pengkalan Chepa. Itu yang dikatakan, jangan adakan parallel government, government and government. Kalaulah semangat federalisme itu, semangat negeri itu dipatuhi dan dihormati sepatutnya penyelarasan itu baik. Tempat-tempat yang diperlukan, tempat itulah ya Yang Berhormat Pontian, yang terus menerus
mendapat kebaikan, manfaat kepada rakyat.
Tuan Sim Tong Him [Kota Melaka]: Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh, Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin minta Yang Berhormat Permatang Pauh, adakah Yang Berhormat sedar bukan hanya di negeri-negeri yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat tetapi di negeri yang masih dikuasai oleh Barisan Nasional, pemimpin tinggi di negeri Barisan Nasional di negeri Melaka ini sudah dengan secara terbuka mengatakan projek-projek di Kota Melaka iaitu yang dimenangi parti pembangkang ini semua projek akan diperlahankan atau dibatalkan dan juga wujudkan bapa angkat kepada semua kerusi baik Parlimen atau pun DUN yang dimenangi parti pembangkang. Bukankah ini hendak mewujudkan satu keadaan bahawa dua wakil rakyat di satu tempat dan bapa angkat ini juga berikan kuasa untuk mendapatkan peruntukan. Sebab itu adakah ini sebagai satu ugutan politik ke, saya minta bolehkah beri komen Yang Berhormat Permatang Pauh.
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Saya setuju kerana persoalannya mengapa rakyat yang memilih, yang mengundi pembangkang itu harus dihukum, ini persoalannya.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Terima Kasih Yang Berhormat Ketua Pembangkang. Saya rasa isu ini memang satu isu yang cukup menarik dan saya ingin mendapat pandangan daripada Yang Berhormat Ketua Pembangkang di mana tindakan yang dilakukan ini menunjukkan bahawa pihak Kerajaan Barisan Nasional tidak menghormati keputusan rakyat yang telah memilih calon-calon Pakatan Rakyat dan telah membuat satu keputusan supaya menyerahkan amanah untuk mentadbir dan menyelenggarakan bajet pembangunan negeri kepada calon-calon daripada Pakatan Rakyat. Tidakkah ini merupakan satu pengkhianatan terhadap pilihan rakyat, yang pertama.
Kedua, tidakkah dengan tindakan yang diambil oleh Barisan Nasional ini ianya merupakan satu tindakan yang begitu berbahaya kerana dalam usaha kita untuk membina dan memupuk perpaduan negara, perpaduan nasional dan sebagainya. Tindakan yang seperti ini memecahbelahkan institusi pemerintahan dan kerajaan itu sendiri. Tindakan insubordination yang akan menyebabkan berlakunya perpecahan dan boleh berlakunya satu keadaan di mana kerajaan yang memerintah di negeri-negeri Pakatan Rakyat tidak lagi akan mampu untuk melaksanakan tanggungjawab mereka dengan baik dan ini akan mendatangkan satu implikasi yang serius. Saya harap Yang Berhormat Ketua Pembangkang boleh menjelaskan. Terima kasih.
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih. Itu yang kita katakan apakah rakyat dihukum kerana tidak memilih Barisan Nasional tetapi saya hendak katakan dan tegaskan di sini juga, berilah peluang kepada Kerajaan Pakatan Rakyat. 50 tahun merdeka, sudah lama dah pegang. Berilah peluang sekejap, tidak sekejaplah kalau elok baik sambungkan. Tuan Yang di-Pertua, ini berlaku tidak lain dan tidak bukan semata-mata kerana dasar dan pemikiran politik yang sempit.
Dr. Haji Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Ketua Pembangkang. Saya hendak bagi satu senario bagi menyambung kepada Yang Berhormat Shah Alam tadi dan minta penjelasan daripada Yang Berhormat Ketua Pembangkang. Di tempat saya kalau dulu Ketua Pembangkang Dato' Fadzil Noor. Kemudian dimenangi oleh Barisan Nasional dan kemudian saya menangi pula pada 2004. Kami telah didiskriminasikan tentang pembahagian dan ini menjadi perebutan kepada ketua bahagian iaitu Datuk Osman Abdul dan Datuk Rozai sehingga menyebabkan mereka telah berbalah dan inilah yang menyebabkan pergaduhan berlaku di antara kedua-dua ketua bahagian tersebut. Jadi bersetujukah Yang Berhormat Ketua Pembangkang bahawasanya inilah sebenarnya yang menyebabkan perpecahan di dalam masyarakat sesama mereka di dalam Barisan Nasional atau pun UMNO. Bukannya daripada kita yang menyebabkan perbalahan atau pun perpecahan berlaku. Jadi sekiranya senario ini diteruskan saya rasa mungkin perbalahan akan lebih besar dan mungkin untuk masa akan datang mereka akan sukar lagilah untuk memenangi kerusi tersebut. Minta penjelasan.
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Yang Berhormat Pendang. Itu masalah dalaman perebutan jawatan dalam parti UMNO. Kita biarkanlah mereka. Saya menggesa Kerajaan Persekutuan supaya menghentikan amalan diskriminasi terhadap kerajaan-kerajaan negeri yang dipilih secara sah menurut pilihan rakyat sekali pun pilihan raya tersebut tidak sehaluan dengan kehendak pimpinan Barisan Nasional.
Tuan Ahmad Maslan [Pontian]: Soalan. Saya ingin mendapatkan penjelasan bahawa Jabatan Pembangunan Persekutuan di Kelantan ini bermula semenjak tahun 1990. Ketika penasihat parti Keadilan sekarang ini menjadi Timbalan Perdana Menteri perkara itu diteruskan juga. Kenapa pada ketika itu tidak dibangkitkan soalan dua nakhoda ini?
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Yang Berhormat Pontian, kawan lama dulu. Bukankah dia timbalan? Timbalan, sebab itu yang dia dimasukkan dalam penjara itu apa? Yang dimasukkan enam tahun itu apa? Kerana tidak sehaluanlah, kerana nak tegur pimpinan. Ini yang kita katakan itu, jangan disebut-sebut yang mana yang sepatutnya tidak disebut.
Tuan Yang di-Pertua, saya juga menggesa Kerajaan Persekutuan tidak mengulangi kesilapan demi kesilapan yang lalu dengan mengetepikan konsep dan prinsip federalism seperti mana yang pernah dilakukan terhadap Kelantan, Terengganu dan Sabah.
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, sebab saya ingatkan tadi dah dibetulkan, masih lagi dalam review. Saya juga menggesa kerajaan supaya memastikan sistem pemerintahan Persekutuan benar-benar memenuhi tanggungjawab menurut kehendak peruntukan Perlembagaan. Saya menggesa agar kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan prinsip tiada paksaan dalam beragama tidak dicabuli. Jaminan peruntukan dana awal untuk negeri-negeri mesti disempurnakan. Kedudukan istimewa orang Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak serta kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain dijamin dengan kukuh tanpa disalah gunakan. Saya menyeru agar kerajaan menyerah semua royalti kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan menaikkan kadar royalti kepada 20 peratus dari lima peratus sekarang. Bukan sahaja untuk Terengganu malah termasuk Sabah dan Sarawak di samping memastikan peruntukan yang seimbang dan adil untuk negeri-negeri lain dalam Persekutuan.
Tuan Yang di-Pertua, akhirnya saya ingin menyarankan Perdana Menteri ubahlah sikap dan tindakan. Tunaikanlah janji bahawa jawatan Perdana Menteri itu adalah untuk semua tanpa mengira bulu dan sentimen politik. Kotakanlah kata dan hormatilah suara dan pilihan rakyat. Wallahualam dan terima kasih.
Thursday, May 8, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment