Dewan Rakyat (5 Mei 2008)
Tuan Yang di-Pertua, saya hendak masuk tentang krisis makanan. Akhir-akhir ini, banyak diperkatakan bahawa dunia sedang menghadapi krisis makanan di mana pengeluaran beras dan bahan-bahan makanan lain tidak dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat dan menyebabkan harganya melambung tinggi. Kekurangan berlaku kerana permintaan yang tinggi terutama daripada China dan India. Pertambahan penduduk dunia, berkurangnya kawasan pertanian untuk memberi laluan kepada pembangunan hartanah dan industri. Kurangnya insentif untuk penerokaan kawasan baru untuk penanaman padi, kekurangan air kerana digunakan untuk industri, cuaca dan kenaikan harga bahan bakar.
Yang menghairankan Tuan Yang di-Pertua, hampir kesemua negara-negara Asia dapat menghasilkan padi dan beras bagi memenuhi keperluan dalam negara mereka masing-masing, melainkan empat buah negara iaitu Filipina, Bangladesh, Singapura dan Malaysia. Hatta, negara-negara Asia yang maju industri, seperti Jepun, Korea dan Taiwan dapat menghasilkan beras melebihi keperluan dalam negara mereka. Kerajaan perlu memandang serius perkara ini dan menjadikan agenda pengeluaran padi dan beras mencukupi untuk keperluan negara sebagai agenda penting seperti mana Jepun menjadikan pengeluaran padi dan beras sebagai agenda pertahanan negara.
Tuan Yang di-Pertua, sepatutnya daripada berbelanja berbilion ringgit untuk kapal selam dan kapal terbang Sukhoi, lebih baik kerajaan memberi tumpuan dalam peningkatan rangsangan bagi sektor pertanian khasnya dalam merangka menjamin pengeluaran makanan yang mencukupi untuk keperluan rakyat dan juga sebagai persiapan dalam pertahanan makanan. Kami menggesa agar usaha yang bersungguh-sungguh, baik bagi peringkat Kerajaan Persekutuan mahupun kerajaan-kerajaan negeri dilakukan untuk membantu golongan petani dan penanam padi. Peruntukan dana awam harus dijamin untuk program-program pembinaan keupayaan bagi masyarakat tani kita bagi menghasilkan pengeluaran makanan yang memenuhi keperluan negara.
Saya masuk bab pendidikan dan modal insan. Tuan Yang di-Pertua, pengurusan ekonomi semakin kompleks dan perlu kepada penyelesaian baru, baik domestik mahupun peringkat global. Dalam usaha mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi, kita tidak boleh lagi beranggapan berbelanja melalui ciptaan beberapa projek mega ataupun infrastruktur koridor atau asas ekonomi baru untuk menjana permintaan masa hadapan. Kita sudah melihat pemikiran sedemikian tidak berjaya menghasilkan daya ekonomi yang mapan. Atas asas ini, bagi memastikan masa hadapan yang dinamik, usaha konkrit patut dilakukan untuk mengubah komponen ekonomi modal insan bersesuaian dengan ekonomi global. Kita perlu membina semula asas baru ekonomi dengan meningkatkan nilai modal insan demi masa hadapan negara.
Saya ingin memberi contoh Tuan Yang di-Pertua, di mana pembangunan koridor tersilap seperti mana pembangunan Cyberjaya. Tidak ada sebab untuk mempercayai apa yang dipanggil pembangunan koridor-koridor yang dicadangkan kerajaan tidak mengalami nasib yang sama seperti Cyberjaya. Apabila kerajaan bercadang mencipta asas baru ekonomi berlandaskan teknologi maklumat, kerajaan mengarahkan pelaburan kepada pembangunan infrastruktur dan hartanah di Cyberjaya. Bagaimana ia boleh menjana pembangunan ekonomi berasaskan teknologi maklumat melalui pembangunan infrastruktur dan hartanah sedangkan pembangunan teknologi maklumat diasaskan melalui idea, pengetahuan dan aplikasi komputer. Nilai hakiki pembangunan teknologi maklumat bermula dari modal insan yang menjurus kepada sistem pendidikan negara. Kualiti dan pengetahuan yang disampaikan di universiti memainkan peranan penting di dalam pembangunan modal insan ini yang kemudiannya boleh diguna pakai di dalam pembangunan ekonomi berasaskan teknologi maklumat atau keusahawanan produktif yang lain.
Semua mengetahui semasa kita membangunkan Cyberjaya, prestasi universiti kita merudum terutama dalam bidang sains dan teknologi. Kita tidak mempunyai persediaan yang mencukupi apabila melancarkan pembinaan Cyberjaya. Dengan yang demikian, kita gagal mencipta ekonomi berasaskan teknologi maklumat, walaupun kerajaan berbelanja berbilion ringgit di dalam pembangunan koridornya. Cyberjaya merupakan contoh terbaik di mana kerajaan gagal mengambil kira fundamental dan hakikat asas ekonomi teknologi maklumat sebelum membangunkan Cyberjaya. Apa yang dikehendaki oleh pemimpin politik pada ketika itu ialah pujian dan pujaan serta-merta dari pemimpin dunia dalam pembangunan Cyberjaya dan bukannya pulangan ekonomi yang sepatutnya membina asas baru ekonomi negara.
Sehingga hari ini, hasil pulangannya masih kabur. Tuan Yang di-Pertua, pembaharuan dan perubahan dalam modal insan amat diperlukan dalam menghadapi persaingan sengit ekonomi global. Seperti yang dapat dilihat di India dan di Ireland, pembangunan teknologi maklumat adalah hasil langsung sistem pendidikan kelas pertama yang diperlukan dalam era teknologi maklumat. Dalam contoh kedua-dua negara tersebut, pembangunan infrastruktur dan hartanah datang selepas pengumpulan kebolehan modal insan dan pembentukan asas teknologi maklumat dalam ekonomi negara dan bukan sebelum itu. Ini membawa kita kepada keperluan menaksir semula pengurusan ekonomi negara dengan memberi penekanan untuk membincang segera dan bersungguh-sungguh masalah yang dihadapi untuk memulihkan kedudukan persaingan ekonomi negara dalam arena global.
Dalam hubungan ini, kita tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa memperhebatkan lagi usaha meningkatkan prestasi dan kualiti pendidikan di dalam sistem universiti kita. Kita kena pastikan graduan yang dikeluarkan berkualiti dan marketable dengan izin. Sistem pendidikan kita mestilah berupaya mendidik modal insan yang bersedia diserapkan di dalam perusahaan negara sama ada melalui syarikat multinasional atau keusahawanan atau bekerja di luar negara.
Saya difahamkan ada kalangan profesor di universiti tempatan terpaksa menyelia sehingga 10 pelajar Ph.D sedangkan di universiti terbilang dunia, seliaan tidak lebih daripada dua atau tiga orang sahaja pelajar dalam satu masa. Bagaimana kita hendak meningkatkan kualiti modal insan kalau demikianlah hanya dalam sistem di universiti dalam negara kita. Sistem pendidikan juga boleh digunakan untuk mengimbangi kedudukan struktur sosioekonomi negara. Golongan lemah dan tidak berkemampuan harus diberi peluang seluas-luasnya untuk mengubah kedudukan sosioekonomi mereka agar dapat sama-sama bersaing dalam arus pembangunan negara. Keutamaan yang diberi kepada golongan ini tidak bermakna kita perlu merendahkan standard pendidikan kita tetapi mereka perlu memenuhi standard dan kualiti yang ditetapkan oleh institusi pengajian dan keperluan ekonomi negara.
Kami menganggap pembangunan modal insan merupakan komponen kritikal dan terpenting dalam pembangunan ekonomi negara. Ketika ini kalau dilihat ekonomi terulung Asia, khasnya Jepun, Taiwan dan Korea, mereka tidak mempunyai sumber asli tetapi menjadi pesaing ekonomi global yang berjaya kerana keupayaan mentakrif semula isi kandungan modal insan mereka. Malaysia perlu melakukan perkara yang sama. Kita mesti mengalih mentaliti daripada pembangunan jenis infrastruktur atau pembangunan ala koridor dan memberi tumpuan kepada peningkatan tahap modal insan dengan menggalakkan inovasi berdasarkan idea yang kreatif dan penerapan pengetahuan baru ke dalam sistem. Kami percaya itulah pemacu asas baru pembangunan ekonomi negara.
Tuan Yang di-Pertua, kami mengalu-alukan titah dan saranan Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah agar ditubuhkan Suruhanjaya Kehakiman bagi memulihkan semula imej badan kehakiman dalam Perasmian Persidangan Tahunan Majlis Hakim Malaysia 2008 pada 9 April baru-baru ini. Ini bagi memastikan keyakinan rakyat ke atas badan kehakiman pulih semula dan tidak tertakluk di bawah kuasa eksekutif. Saranan tersebut sangat bertepatan memandangkan sistem kehakiman tidak lagi bebas, telah tercemar dan boleh di rasuah seperti mana terdedah dalam kes video V. K. Lingam. Pendedahan dalam kes ini hanya sedikit atau dengan izin, tip of the iceberg, banyak lagi kes-kes yang disangsikan mendapat keadilan di bawah sistem kehakiman sekarang termasuk pendakwaan terhadap mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Yang Berhormat Lim Guan Eng dan Yang Berhormat Wee Choo Keong.
Tuan Wee Choo Keong [Wangsa Maju]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan juga Ketua Pembangkang. Saya ingin menanya Ketua Pembangkang bahawa beliau sedar atau tidak, Commission of Enquiry yang telah tamatkan pendengaran kes V. K. Lingam ini pada bulan Februari dan telah ditetapkan pada 11 Mac untuk mengeluarkan reportnya ataupun memberikan reportnya kepada Yang di-Pertuan Agong dan Kerajaan Malaysia. Selepas pilihan raya, 8 Mac, telah ditangguhkan pula dan diminta untuk memberikan laporan mereka pada 11 April dan sekarang telah bulan Mei, 5 Mei dan pada hari ini kita tidak tahu apa-apa yang berlaku. Yang Berhormat sedar atau tidak, laporan ini telah disalurkan kepada kerajaan atau tidak pada masa ini? Terima kasih.
Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Yang Berhormat Wangsa Maju. Nama Yang Berhormat saya sebutkan dalam ini, terus Yang Berhormat bangun. Saya juga masih dalam kegelapan tentang perkara ini dan kita harapkan bahawa kerajaan di bawah pimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri memberi kita cahaya dengan memberitahu apakah laporan ataupun kandungan laporan dalam suruhanjaya yang telah diadakan. Namun saya dapati bahawa ramai yang mengatakan dan mempertikaikan skop suruhanjaya ini terlalu sempit untuk kita mengetahui dan mencedok sampai ke akar umbi. Bagaimana perkara ini boleh berlaku kepada sistem kehakiman kita di negara kita yang tercinta ini?
Katalah Yang di-Pertua dituduh atau apa-apa, apakah boleh merasakan diri terbela dalam sistem kehakiman sekarang? Kalau saya ambil kata-kata Al-Marhum Tun Sufian, dahulunya Chief Justice, Lord President dipanggil pada masa itu, dia kata, “saya tidak percaya atas kehakiman sekarang ini, jika saya tertuduh...”. Apakah ini kata-kata seorang yang di kedai kopi? Tidak. Ini adalah kata-kata seorang yang mempunyai latihan dalam kehakiman, seorang judge, seorang hakim yang sampai ke tahap tinggi sekali dalam sistem kehakiman Malaysia.
Datuk Wira Ahmad Hamzah [Jasin]: Peraturan, Yang Berhormat Speaker, peraturan. Saya bangun dengan Peraturan 36(2)... ...”mana-mana perkara tidak boleh disebut yang dalam timbangan mahkamah”. Seperti yang Tuan Yang di-Pertua maklum, bahawa perkara ini sekarang dalam timbangan mahkamah. Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan kita ada satu kerajaan yang cukup telus walaupun hanya mendapat laporan daripada orang-orang perseorangan yang mungkin kita tidak tahu hujung pangkalnya tetapi kita telah menubuhkan satu suruhanjaya. Jadi saya berharap supaya perkara ini tidak ditimbulkan lagi. Terima kasih.
Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail [Permatang Pauh]: Minta maaf, Tuan Yang di-Pertua, ini bukan dalam mahkamah, ia suruhanjaya. [Tepuk]
Datuk Wira Ahmad Hamzah [Jasin]: Tuan Speaker, Suruhanjaya Mahkamah itu serupalah, dalam pertimbangan suruhanjaya. [Ketawa] Terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Tunggu, Yang Berhormat. Saya akan buat keputusan. Kalau Yang Berhormat mencelah, biarlah Yang di- Pertua buat keputusan. Saya berpendapat tidak ada benda pun yang hendak ditegurkan di sini, Yang Berhormat. Ini ucapan dalam Dewan, kalau kita kongkong sangat, semua tidak boleh bercakap nanti. [Tepuk] Ini kerana saya membuat keputusan bukan untuk seorang, bukan untuk sebelah tetapi untuk semua. Jadi kita kena beri peluang dan ruang untuk semua bercakap asalkan jangan bertentangan sangat dengan peraturan. Silakan Permatang Pauh.
Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Peristiwa kebelakangan ini jelas menunjukkan kuasa eksekutif memijak sistem kehakiman negara. Ketua Hakim Negara sendiri mengakui persepsi negatif masyarakat terhadap sistem kehakiman. Hanya Jasin mungkin masih lagi tutup sebelah mata – yang dulu, tetapi yang ini mungkin sama. Ini satu pengakuan yang terbuka bahawa sistem kehakiman berat sebelah. Rasuah dan pengadilannya boleh diatur. Saya dan semua Ahli Pakatan Rakyat berpendapat bahawa sebenarnya ia bukan lagi persepsi tetapi ternyata dan terbukti. [Tepuk]
Demokrasi sebenar yang menjamin budaya cemerlang ekonomi berhajat kepada sistem kehakiman yang bebas, berkecuali dan adil. Hakim-hakim tidak boleh membiarkan penghakiman mereka curang oleh dorongan sama ada kewangan, kenaikan pangkat atau kepentingan peribadi. Perbuatan ini akan membawa kerosakan teruk kepada pentadbiran keadilan dan kepentingan ekonomi negara. Tidak menjadi rahsia lagi, kemerosotan pelaburan langsung asing dan keengganan syarikat multinasional menandatangani perjanjian yang memperuntukkan pertikaian dirujuk kepada perundangan Malaysia kerana kesangsian dan pengalaman pahit mereka dengan sistem kehakiman negara kita. Dari pengalaman itu, datang kesedaran kedudukan sebenar dan terbukti bahawa sistem kehakiman negara tidak boleh dipercayai untuk mendapat keadilan yang saksama, berkecuali dan adil dalam pentadbiran undang-undang negara. Bersemuka dengan kenyataan ini, ramai dari kalangan mereka mengambil keputusan lebih baik berpindah ke negara lain. Atas dasar ini, negara perlu memberi nafas baru untuk menjadi sebuah negara demokrasi sebenar untuk membuat reformasi ke atas sistem kehakiman negara yang bebas, berkecuali dan adil.
Ia sepatutnya menjadi keutamaan negara, kerajaan telah mengumumkan hasrat penubuhan Suruhanjaya Kehakiman. Walaupun terlewat, ia merupakan langkah yang dialu-alukan ke arah mengembalikan keyakinan rakyat dan masyarakat antarabangsa terhadap sistem kehakiman negara. Namun demikian Tuan Yang di-Pertua, masih terdapat kesangsian dan kekhuatiran mengenai cadangan tersebut, kenapa? Sejauh manakah keupayaan dan keberkesanannya?
Kita sudah ada contoh DEB tadi, yang kata bagus, bagus tapi pelaksanaannya katakan. Ini samalah. Sejauh manakah keupayaan dan keberkesanannya? Apakah kerajaan dapat memberi jaminan bahawa ia tidak akan berdolak-dalik dalam melaksanakan syor-syor itu nanti? Kita tidak mahu nanti Suruhanjaya Kehakiman mengalami nasib seperti mana Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan kerajaan bagi menambahbaikkan pasukan polis PDRM, Polis Diraja Malaysia bukan Polis Raja di Malaysia. Kemudiannya, setelah syor dikemukakan untuk membentuk satu mekanisme penyemakan yang bebas mengenai aduan dan salah laku polis atau lebih dikenali sebagai Independent Police Complaints and Misconduct Commission, IPCMC, cadangan penubuhannya masih kabur malahan tidak kedengaran lagi.
Kesimpulannya, reformasi badan kehakiman amat diperlukan bagi memulihkan kembali kebebasan kehakiman. Malahan apa jua bentuk reformasi terhadap sistem pengadilan negara mesti tidak mengecualikan Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia agar tidak berbangkit lagi amalan pincang seperti penyiasatan terpilih ataupun pendakwaan terpilih.
Tuan Yang di-Pertua, bab antarabangsa. Malaysia merupakan anggota ASEAN, APEC, Komanwel, OIC, PBB dan sebagainya. Dalam arena antarabangsa, tentunya kita tidak seharusnya terasing terhadap apa-apa yang berlaku di sekeliling kita baik sebagai jiran serantau mahupun global. Malahan dalam kapasiti atau kepentingan yang sah, kita perlu mempunyai sikap dan pendirian yang jelas dan tegas untuk mempertahankan kedaulatan negara dan bertindak seiring dengan tuntutan nilai dan keadilan sejagat. Dalam hubungan ini, kita tidak seharusnya bersikap apologetik, membisu atau menyepikan diri daripada menyumbang dan memainkan peranan dalam arena dan forum antarabangsa untuk menegaskan pendirian kita dengan sewajarnya.
Tuan Yang di-Pertua, Malaysia pernah diberi mandat mewakili negara-negara Islam sebagai Pengerusi OIC. Harapan ummah dikecewakan kerana Malaysia tidak mengambil tindakan berkesan untuk membela nasib negara dan umat Islam di serata dunia. Malaysia dilihat lemah dan lesu dalam menangani konflik yang melanda negara-negara Islam.
Dato’ Haji Ismail bin Abd. Mutalib [Maran]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat. Saya tertarik dengan ucapan Yang Berhormat ni, tetapi kadang-kadang mengecewakan saya kerana daripada mula Yang Berhormat cakap, tak pernah menampakkan rasa terima kasih kepada Malaysia, negara kita ini. Saya tak tahu sebenarnya Yang Berhormat dalam Dewan ini adalah kerana negara kita ini aman makmur dan sebagainya. Saya tidak nafikan adanya kelemahan, bermaknanya suatu pun tak ada Yang Berhormat berterima kasih sedangkan apa yang kita peroleh ini adalah usaha yang dimainkan oleh kerajaan. Apa salahnya kalau sebut sikit terima kasih, yang tidak baik, okey kita hentam tak apa. Saya nak tanya Yang Berhormat, kalau lah negara Malaysia ni teruk sangat, apakah Yang Berhormat bercadang untuk pindah ke negara lain? [Dewan riuh][Tepuk] Macam suasana yang tidak baik. Saya kecewa sebagai orang lama saya hidup ni, saya kecewa. Minta pandangan Yang Berhormat, terima kasih.
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Maran, tak dengar ke tadi, saya kata ada kebaikannya. Saya kata, tak dengar ke? Saya mengakui ada kebaikannya, tetapi saya kata tadi tidak mahu, Yang Berhormat, kalau kena pendakwaan terpilih, Yang Berhormat kena pukul, Yang Berhormat kena telanjang, apakah itu yang kita mahu untuk negara kita? Yang baik itu, dah lama, banyak dah cakap. Yang Berhormat baru pertama kali masuk Dewan, kalau duduk dalam Dewan ni lama-lama, yang mana belah sana semua cakap puji-pujian, kutuk saja belah sini. Ini saya bukan kutuk tapi saya ini dalam kritikan membina. Sama-samalah kita membina negara kita ini yang kita cintai. Nak suruh saya keluar kenapa? Ini kah caranya. Tak suka, keluar. Ini kah caranya. Tidak boleh sikit menerima kritikan. Nipis sangat ke telinga ini? [Dewan riuh][Tepuk] Itu belum lagi jadi menteri, apa lagi, itu baru backbencher.
Tuan Yang di-Pertua, semasa Malaysia menjadi Pengerusi OIC, kita dilihat kaku dan tidak berperanan menangani konflik di Timur Tengah khasnya campur tangan Amerika Syarikat bersama beberapa negara lain Barat, di bumi Iraq dan keganasan berterusan rejim Israel di Palestin. Kami mengutuk dengan sekeras-kerasnya kehadiran tentera Amerika Syarikat bersama negara-negara Barat lain di bumi Iraq dan mendesak mereka keluar dengan kadar segera. Kami menyokong desakan masyarakat antarabangsa supaya Amerika Syarikat menghentikan dasar campur tangannya di Iraq dan menyerah kepada rakyat Iraq sendiri untuk menentukan penyelesaian terhadap permasalahan dalam negara mereka sendiri.
Mengenai Palestin, kami menggesa Kerajaan Persekutuan dan masyarakat antarabangsa supaya mengiktiraf Hamas dan melibatkannya dalam proses pendamaian di bumi Palestin. Penyisihan Hamas dalam proses perdamaian akan menafikan suara rakyat Palestin yang telah memilih mereka melalui proses demokrasi yang diiktiraf dunia. Demi keadilan kepada rakyat Palestin, kami menyeru negara Malaysia memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada Kerajaan Palestin pimpinan Hamas sebagai mewakili rakyat Palestin secara sah.
Mengenai ASEAN secara khususnya kami mendesak supaya segala langkah tegas diambil bagi memastikan Myanmar akur terhadap tuntutan antarabangsa agar membebaskan Aung San Suu Kyi bersama tahanan-tahanan politik lainnya dan mengembalikan hak-hak asasi mereka.
Tuan Yang di-Pertua, saya masuk bab hak-hak perlembagaan. Kami memperakui hak Melayu dan bumiputera yang merangkumi negeri-negeri Semenanjung, Sabah dan Sarawak seperti mana yang ditakrifkan dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Kami menghormati dan mempertahankan semua hak yang diperuntukkan dalam perlembagaan baik secara khusus mahupun tersirat. Hak orang Melayu dan bumiputera, dan kedudukan istimewa mereka seperti mana yang ditakrifkan dalam perlembagaan akan kekal. Begitu juga dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara tidak akan dikompromi di samping memberi kebebasan beragama kepada penganut agama lain. Usaha memartabatkan kedudukan Islam dan kemuliaannya tidak harus memberi legitimasi kepada gejala fanatisme, seperti merobohkan kuil penganut Hindu dan mengenakan sekatan yang tidak munasabah terhadap penganut Kristian dan ajaran agama lain selain Islam.
Bahasa Malaysia, bahasa Melayu akan dimartabatkan. Kami mencadangkan supaya mutu penggunaan bahasa Melayu dipertingkatkan melalui pengeluaran buku-buku bermutu, memperbanyakkan karya sastera dan sains dalam bahasa Melayu, mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu dan memperhebatkan penggunaan bahasa Melayu dalam program-program media. Kami juga mencadangkan supaya bahasa ibunda rakyat negara ini baik di negeri-negeri Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak diberi tempat yang sewajarnya dalam sistem pendidikan negara. Bantuan dan peruntukan yang mencukupi diberikan kepada semua sekolah termasuk Sekolah Agama Rakyat, sekolah Cina dan sekolah Tamil. Kami juga menegaskan bahawa penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat perlu diperhebat. Silakan Yang Berhormat Shah Alam.
Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat Permatang Pauh. Berhubung dengan apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat Ketua Pembangkang, sekatan terhadap agama-agama lain iaitu Hindu dan juga Kristian, saya ingin bertanya, tidakkah Yang Berhormat juga mengakui dan menyedari bahawa agama Islam dan umat Islam juga telah dikongkong di bawah Kerajaan Barisan Nasional, di mana masjid-masjid dan surau-surau serta tenaga-tenaga penceramah telah dikawal dengan begitu rapi, dan begitu juga dengan sekolah-sekolah agama. Saya harap mendapat penjelasan. Terima kasih.
Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Itulah yang kita katakan kita tidak mahu didiskriminasi dan agama Islam sebagai agama Persekutuan - Relegion of the Federation akan dipertahankan dan dimuliakan.
Tuan Yang di-Pertua, Kami menegaskan bahawa kami menentang keras sebarang diskriminasi terhadap
rakyat semata-mata kerana perbezaan agama, kaum, keturunan, jantina, bahasa atau fahaman politik. Hakikatnya jati diri negara harus dibina di atas asas ketuanan rakyat yang berteraskan prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan dan nilai-nilai keadilan sejagat.
Tuan Yang di-Pertua, saya akan masuk tentang bab hak asasi manusia. Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan skop yang menyeluruh mengenai hak asasi manusia termasuk hak bersuara dan hak berhimpun. Dalam pada itu, negara Malaysia telah menerima dan memperakui Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 yang secara jelas dan nyata memperkukuhkan lagi hak-hak tersebut di samping dengan tegas menolak sebarang pencabulan sekatan dan halangan terhadap hak bersuara, hak berhimpun dan lain-lain lagi hak asasi manusia. Namun demikian...
Datuk Dr. Marcus Makin Mojigoh [Putatan]: Terima kasih, Yang Berhormat. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saya berminat sangat teks ucapan Yang Berhormat Permatang Pauh, Ketua Pembangkang yang dari mula menggunakan istilah “kami”, “kami”, seolah-olah Yang Berhormat ini sudah memerintah. Jadi, apa yang janji, apa yang dibuat seolah-olah Yang Berhormat yang melaksanakan apa yang terkandung dalam teks ucapan Yang Berhormat. Minta penjelasan sikit.
Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail [Permatang Pauh]: Itu kan bahasa kita! “Kami”. “Kita”. Saya rasa tidak ada apa-apa yang sangsi dan kelainan. Kalau hendak memerintah, kalau diizinkan oleh Allah, apa salahnya! [Sorakan dan tepukan daripada Ahli-ahli Pembangkang]
Tuan Yang di-Pertua, namun demikian, hak-hak pada realitinya hak-hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan secara sistematiknya dibendung sejak dahulu melalui pelbagai peruntukan undan-gundang yang digubal dan dikuatkuasakan sehingga sekarang ini. Justeru itu, sebagai mewakili seluruh suara pembangkang Parlimen dan rakyat Malaysia amnya serta pernyataan tegas saya untuk menentang sebarang bentuk penindasan terhadap kebebasan rakyat dan hak asasi manusia...Melalui Dewan yang mulia ini, sekali lagi saya menggesa kerajaan bertindak memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), [Tepuk] Akta Rahsia Rasmi (OSA), [Tepuk] Akta Polis, Akta Penerbitan dan Percetakan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Ordinan-ordinan Darurat dan pelbagai undang-undang yang menindas kebebasan dan hak asasi manusia. [Tepuk]
Sebagai jaminan kukuh, demi mempertahankan hak asasi manusia, kerajaan digesa supaya bertindak menandatangani segera dan memperakui protokol antarabangsa mengenai hak-hak sivil dan politik iaitu dengan izin International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR). Protokol ini telah ditandatangani dan diperakui oleh kebanyakan negara dunia sejak ia dikemukakan pada tahun 1966 lagi. Tetapi Kerajaan Malaysia masih tidak berbuat demikian. Malahan Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia) telah pun mengemukakan cadangan kepada kerajaan supaya memperakui ICCPR ini namun tidak dipedulikan oleh kerajaan. Saya ingin tahu mengapa kerajaan masih berdegil untuk tidak menandatangani dan memperakui protokol tersebut.
Tuan M. Monagaran [Telok Intan]: Saya minta penjelasan Yang Berhormat Permatang Pauh. Malaysia masih belum lagi mengendorskan Human Right Declaration United Nation tahun 1948. Apakah pandangan Yang Berhormat sehingga sekarang Malaysia belum mengendorskan deklarasi tersebut dan rekod-rekod human right di Malaysia pada masa ini adalah amat teruk sekali dengan penahanan lima orang Hindraf di mana saya percaya mereka bukanlah satu ancaman kepada negara tapi mungkin menjadi ancaman kepada Barisan Nasional. Security negara bukan security Barisan Nasional. Apakah pandangan Yang Berhormat?
Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail [Permatang Pauh]: Tuan Yang di-Pertua, itulah yang dikatakan tadi. Saya nak bahawa ISA semua itu dimansuhkan akta-akta yang mengongkong tapi bukan saja Hindraf yang lima itu tetapi 70 lain. Semua itu. Ada sudah 6 tahun dalam tahanan tanpa bicara. Itu prinsipkah? Prinsip tanpa bicara.
Seterusnya saya ingin mengingatkan Kerajaan Barisan Nasional di peringkat Persekutuan supaya menerima hakikat dan kenyataan bahawa rakyat inginkan perubahan seperti mana yang diperlihatkan dalam keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu. Keinginan rakyat kepada perubahan ini tidak diperolehi dengan mudah. Bukan saja kami berdepan dengan kekuatan Barisan Nasional yang memperalatkan segala jentera kerajaan, media awam dan penggunaan politik wang tetapi serentak dengan itu juga kami terpaksa menghadapi segala tindak-tanduk Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bagaikan bertindak sebagai komponen Barisan Nasional. [Tepuk] Demokrasi hampir terhakis dek kerenah SPR semasa Pilihan Raya Umum yang lalu. Proses Pilihan Raya yang didakwa telus dan bebas oleh Pengerusi SPR sebenarnya tercemar teruk dengan penyediaan daftar pemilih yang mencatatkan pendaftaran ribuan pengundi-pengundi hantu. Empat hari menjelang hari penamaan, semua calon dikehendaki untuk memastikan duty setem yang dikenakan pada borang akuan berkanun iaitu borang 5 atau borang 5(a) yang kemudiannya secara tiba-tiba ditarik balik tanpa sebab pada hari penamaan. Proses pengundian yang melibatkan undi pos berlangsung dalam keadaan yang amat mencurigakan. Apakah boleh kita panggil setengah itu...
Dr. Lo' Lo' Mohamad Ghazali [Titiwangsa]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih Yang Berhormat Ketua Pembangkang. Di sini kita semua menyedari bagaimana pada masa yang sama dan pilihan raya yang lepas bagaimana penggunaan dakwat kekal telah dibatalkan juga di saat-saat akhir. Adakah Yang Berhormat Ketua Pembangkang sehingga kini mendapat maklumat ke manakah perginya stok dakwat kekal ini sehingga kini dan bagaimana duit sebanyak RM24 juta yang dibelanjakan iaitu duit rakyat. Adakah dapat balik kembali kepada rakyat, kepada kerajaan ataupun membazir begitu saja. [Tepuk] Minta penjelasan.
Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih. Saya akan masuk ke bab itu kerana ia dalam teks ucapan saya. Seperti yang saya katakan undi-undi pos itu. Apakah boleh kita panggil wakil pos? Lebih meragukan kami ialah empat hari sebelum hari mengundi, satu sandiwara murahan direncanakan untuk membatalkan cadangan penggunaan dakwat kekal atau indelible ink yang dicapkan pada jari pengundi yang merupakan antara percubaan terakhir bagi memberi laluan mudah kepada kemenangan Barisan Nasional. Keputusan pilihan raya umum yang lalu yang memihak kepada calon-calon Pakatan Rakyat sebenarnya tidak ada kena mengena dengan apa yang didakwa pengerusi SPR sebagai pilihan raya yang paling telus dalam sejarah. Sebaliknya keputusan tersebut adalah kemuncak...
Dr. Mohd. Hayati bin Othman [Pendang]: Terima kasih Ketua Pembangkang. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Berhubung dengan dakwat indelible ink ini Yang Berhormat telah sentuh tadi. Daripada kenyataan Ketua Polis Negara mengatakan mereka telah menahan kalau tak silap saya empat orang yang dikatakan telah membawa masuk dakwat-dakwat ini dan kita ingin mendapat penjelasan dan juga kalau boleh Yang Berhormat masukkan dalam teks ucapan, kemanakah empat orang yang di tahan oleh polis ini yang mengatakan mereka ini membawa masuk dakwat dan ini mengancam keselamatan negara. Terima kasih Yang Berhormat.
Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih. Itulah yang menjadi tanda tanya. Mana pergi empat orang ini? Yang polis ‘cekap dan betul’. Sekarang dah tukar yer. ‘Integriti...’ apa entah dia punya slogan. Empat orang yang dikatakan. Sebab itu kita tidak boleh gunakan dakwat kekal. Kerana empat orang ini telah masuk dan mengancam perjalanan pilihan raya kita. Ini yang kita katakan SPR ini. Apa jadi kepada mereka yang empat ini? Saya akan masukkan dalam teks ucapan saya.
Sebaliknya, keputusan pilihan raya ke-12 yang lalu adalah kemuncak kepada manifestasi rakyat yang telah sekian lama menuntut perubahan dan manifestasi rakyat ini tidak mungkin lagi dapat dibendung oleh BN mahupun SPR. Malahan jikanya, sekira pilihan raya umum yang dilangsungkan secara adil, bebas dan telus menurut nilai dan norma antarabangsa dan bukannya menurut acuan SPR. Kami yang berkeyakinan bahawa Pakatan Rakyat berjaya memenangi majoriti kerusi Dewan Rakyat dan membentuk kerajaan di peringkat persekutuan.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Yang Berhormat Permatang Pauh, lagi panjang?
Datin Seri Dr. Wan Azizah binti Wan Ismail [Permatang Pauh]: Sambung petang.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Ahli-ahli Yang Berhormat, kita tangguhkan Dewan sekarang. Kita mula lagi pukul 2.30 petang.
Mesyuarat ditempohkan pada pukul 1.00 petang.
Thursday, May 8, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment