Dewan Rakyat (5 Mei 2008 : 11.32 pg)
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Saya ingin mengulang kembali apa yang saya katakan sedikit pada hari Rabu yang lalu dengan izin Tuan Yang di-Pertua.
Kebanyakan projek diluluskan tanpa penilaian ekonomi dan kewangan yang teliti. Rasionalnya kerajaan kaya dan berupaya meminjam dari pendapatan masa depan. Sejak sembilan tahun yang lepas perbelanjaan kerajaan mengalami defisit antara 4.5% hingga 6.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK setiap tahun.
Tuan Yang di-Pertua, banyak projek dianugerah secara penswastaan dengan syarat-syarat perjanjian yang amat menguntungkan penerima konsesi tanpa menekan untuk menjadi lebih efisien dan murah. Ini termasuk menjana tenaga bebas atau independent power producer. MAS, LRT, pembinaan hospital, bekalan perubatan, makmal perubatan, pemeriksaan kenderaan, bekalan air dan sebagainya hampir semua diluluskan dengan harga yang melambung tinggi akibat ketiadaan tender terbuka. Banyak tidak memenuhi kriteria asas ekonomi dan kewangan bagi memasti daya kejayaannya. Semua mengandungi elemen subsidi, baik secara langsung atau tidak langsung sama ada melalui geran, kadar tol dan caj yang tinggi kepada pengguna atau konsesi cukai. Banyak dijamin kerajaan untuk mendapat pinjaman dalam pelaksanaan projek-projek ini. Nisbah kos faedah atau cost benefit ratio tidak pernah ditakrif dan diumum tetapi dipilih untuk pelaksanaan di bawah slogan penswastaan.
Dalam hampir semua kes, kerajaan mewajarkan kelulusan projek-projek ini kerana negara perlu menyediakan persekitaran sesuai untuk menarik pelaburan baik tempatan mahupun asing. Apabila projek-projek mega ini siap tidak ramai pula pelabur tertarik tetapi makin berkurangan tahun demi tahun baik swasta mahupun pelaburan langsung asing malah pelaburan menjunam daripada 30% pada 1996 kepada hanya 9% dari KDNK sekarang. Pelaburan langsung asing pula menjunam dari 8% pada tahun 1996 kepada 4% sekarang ini. Penurunan ini adalah di antara yang paling parah dalam dunia.
Kerajaan selalu memberi alasan bahawa penurunan ini disebabkan kemelesetan ekonomi dunia sedangkan Tuan Yang di-Pertua, pelaburan tetap meningkat di banyak negara termasuk China dan Vietnam. Di India sejak lima tahun yang lepas pelaburan meningkat daripada 22% kepada 34% daripada KDNK mereka. Di Brazil pula pelaburan meningkat dari 15% kepada 27% dari KDNK mereka. Kekurangan pelaburan bermakna negara akan ketinggalan di masa hadapan. Walaupun kerajaan berbangga dengan lebihan akaun semasa yang meningkat dari 8% pada 2002 kepada 14% dari KDNK pada 2007 tetapi hakikatnya ia merupakan penurunan pelaburan kerana kita tidak lagi mengimport barangan modal untuk pelaburan. Pertumbuhan ekonomi sejak lima tahun lepas pula dijana oleh perbelanjaan peribadi yang dibiayai oleh pinjaman menyebabkan kadar hutang isi rumah rakyat Malaysia merupakan yang paling tinggi di rantau ini dan ini tidak boleh bertahan lagi melainkan kerajaan mengubah falsafah dan konsep negara.
Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya mohon penjelasan daripada Yang Berhormat daripada Permatang Pauh. Tadi Yang Berhormat telah sebut bahawa antara sebab kekurangan dari segi pelaburan asing dan sebagainya ialah kerana ketidakseimbangan dari segi kontrak-kontrak dan juga perjanjianperjanjian kerajaan contohnya IPP dan sebagainya. Saya mohon penjelasan daripada Ahli Yang Berhormat Permatang Pauh sejauh mana beliau setuju bahawa masalah ini sebenarnya ialah masalah legasi yang bermula pada tahun 90-an apabila Menteri Kewangan yang telah mengambil tanggungjawab ke atas pelbagai konsesi tersebut termasuk konsesi IPP yang disebutkan oleh Yang Berhormat daripada Permatang Pauh adalah sebenarnya penasihat kepada parti Yang Berhormat sendiri iaitu Datuk Seri Anwar bin Ibrahim dan sebenarnya ini semua adalah masalah legasi yang diturunkan daripada zaman Datuk Seri Anwar bin Ibrahim sebagai Menteri Kewangan. [Tepuk]
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Yang Berhormat Rembau. Apa kata legasi, bukan legasi. Itu adalah salah masa itu dalam erti kata kabinet. Itu adalah kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri dan dibawa sekarang juga oleh Perdana Menteri sekarang. Tidak boleh diletakkan satu kesalahan pada yang lain. [Tepuk] Sekarang ini kenapa tidak boleh dipulihkan? Ini yang saya katakan. Sebab itu sekarang ini kita membahas untuk ekonomi kita yang akan datang bagaimana kita hendak menjana dan memulihkan balik. Tuan Yang di-Pertua, tapi saya berterima kasihlah kerana mengingati bahawa ada juga jasa mantan Menteri Kewangan. [Dewan riuh][Ketawa][Tepuk]
Tuan Yang di-Pertua, rakyat terpaksa membayar segala pembaziran yang dilakukan selama ini. Kerajaan terus membebankan rakyat bagi mengurangkan subsidi kepada pemegang konsesi projek dengan mengenakan bayaran caj dan tol yang tinggi bagi kegunaan kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan. Kerajaan terus membiarkan pemegang konsesi mengaut keuntungan yang tinggi dan berterusan dengan menyambung hayat konsesi mereka. Kalau kata dulu salah, kenapa sekarang ini dah sambung? Kerajaan sentiasa menegaskan inilah win-win situation untuk semua, melainkan rakyat yang terpaksa menanggung bebannya. Sekarang, bagaimana kerajaan boleh mengurangkan kadar tol dan caj bagi kegunaan kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan yang disediakan.
Pemegang konsesi menuntut subsidi yang berterusan dan kerajaan terpaksa membayarnya. Dana yang sepatutnya boleh digunakan untuk memenuhi keperluan asas rakyat yang lain, semakin berkurangan. Sebagai contoh, kerajaan tidak dapat menyelesaikan perjanjian berat sebelah yang amat menguntungkan pemegang konsesi IPP yakni Independent Power Producer dan terus membebankan Tenaga Nasional dan rakyat, walaupun kerajaan memberi pelbagai jaminan untuk menyelesaikan dalam masa terdekat. Kos Tenaga Nasional mengeluarkan satu unit tenaga hanyalah lapan setengah sen, berbanding dengan kos yang terpaksa dibeli dari IPP dengan harga lima belas setengah sen seunit. Petronas terpaksa memberi subsidi lebih daripada RM58.3 bilion kepada IPP kerana harga bekalan gas telah ditetapkan sepanjang jangka hayat kontrak IPP. Sedangkan harga gas sekarang sudah melambung tinggi. Hasilnya kerajaan kekurangan dana dan rakyat terpaksa menanggung kos kenaikan elektrik.
Kerajaan heboh dengan subsidi petrol yang diberikan kepada rakyat, tetapi jumlah subsidi petrol ialah RM38 bilion berbanding, kalau disebutkan RM38 bilion itu masih kecil berbanding dengan subsidi yang diberikan RM58.3 bilion kepada pemegang konsesi IPP ini. Inilah yang dikatakan kerajaan hanya mementingkan keuntungan pemegang konsesi dan terus membiarkan rakyat dibebankan dengan kenaikan kos, caj dan tol. [Dewan riuh][Tepuk]
Begitu juga dengan penswastaan perkhidmatan kesihatan. Di mana pembinaan hospital, bekalan perubatan, makmal perubatan dan sebagainya diswastakan. Hasil kos pengendalian dan perkhidmatan hospital melambung tinggi. Rakyat tidak lagi berupaya menanggung kos pemeriksaan dan perubatan kerana kos telah meningkat. Apatah lagi sekiranya rawatan memerlukan penggunaan pelbagai peralatan.
Tuan Saifuddin Nasution bin Ismail [Machang]: Terima kasih Yang Berhormat bagi Permatang Pauh. Adakah Yang Berhormat setuju bila saya katakan bahawa setelah disemak daripada Laporan Kewangan Petronas setakat 31 Mac 2007, ternyata yang menikmati subsidi gas adalah lebih kepada syarikat-syarikat besar. Contoh; dalam sektor tenaga, TNB menikmati subsidi gas berjumlah RM5 bilion, IPP – RM6.7 bilion. Gas subsidi yang dinikmati oleh sektor bukan tenaga termasuk industri kecil dan juga residential users cuma 3.9%. Inilah yang kita maksudkan walaupun disebut gas subsidi daripada kerajaan ialah RM15.6 bilion, tetapi yang menikmati terbanyaknya ialah syarikat-syarikat besar dan bukannya pengguna yang melibatkan rakyat terbanyak. Adakah Yang Berhormat bersetuju dengan fakta ini? Terima kasih.
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Saya setuju.
Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, terima kasih Ketua Pembangkang. Dalam nada yang sama juga, kita cukup merakamkan rasa terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri yang setelah berlakunya tsunami politik dan pihak di sebelah sana akan keprihatinan terhadap penderitaan rakyat. Sehubungan dengan itu, langkah-langkah telah diambil dan mahu diambil walaupun kita masih menunggu pelaksanaan dan komitmen yang seterusnya. Apa pun sehubungan dengan apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat Permatang Pauh sebentar tadi, apabila kita menyaksikan keuntungan-keuntungan sama ada yang pemegang-pemegang concessionaire mahupun seperti mana yang disebutkan oleh Yang Berhormat sebentar tadi, TNB pemegang utiliti ataupun kalau kita sebutkan secara khususnya ketika mereka mendapat dan meraih keuntungan dan laba yang besar dari segi keuntungan mereka. TNB contohnya, dalam tahun 2003 mempunyai keuntungan sebelum cukai ataupun profit before tax sebanyak RM1.648 bilion. Dan pada tahun 2007 merakamkan keuntungan PBT atau profit before tax, keuntungan sebelum cukai sebanyak RM4.765 bilion yakni merupakan lonjakan keuntungan sebanyak 289% atau sebanyak puratanya 57.8% setiap tahun, year on year. Namun masih mahu memohon kenaikan tarif dan paling mutakhir diberikan 12% yang langsung memberikan penderitaan dan bebanan kepada rakyat. Begitu juga kedudukan-kedudukan yang lain seperti Puncak Niaga di mana keuntungan tahun 2002 sebanyak RM180 milion dan keuntungan pada tahun 2006 sebanyak RM367 milion, masih mahukan kenaikan tarif. Di sini Yang Berhormat Permatang Pauh, saya mohon untuk dikomentar kenaikan kepada concessionaire tetapi beban kepada rakyat. Terima kasih.
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Kuala Selangor. Itulah yang hendak saya tekankan. Apa yang kerajaan telah buat? Apakah tidak difikirkan, yang difikirkan subsidi yang telah diberi, itu yang diungkit-ungkitkan. Padahal yang mana yang diberikan kepada yang lain-lain itu, telah melambung dan menaikkan kos untuk yang lain, orang biasa untuk menanggungnya. Rakyat tidak lagi berupaya menanggung kos pemeriksaan dan perubatan kerana kosnya telah meningkat. Apatah lagi sekiranya rawatan memerlukan penggunaan pelbagai peralatan. Saya ulangi ya, ramai terlantar di rumah kerana tidak berupaya membayar perbelanjaan hospital. Sepatutnya, negara kita kaya, negara kita berupaya menyediakan perkhidmatan perubatan percuma kepada rakyat miskin dan mengurangkan beban kepada rakyat umum. Kami meminta kerajaan mengkaji semula kaedah penswastaan perkhidmatan kesihatan ini dan menjadikan perkhidmatan kesihatan berkualiti yang mampu dinikmati oleh semua lapisan rakyat.
Tuan Yang di-Pertua, kita alu-alukan wacana mengenai Dasar Ekonomi Baru, tidaklah baru sangat dah. Relevan dan keberkesanannya setelah diamalkan hampir selama 40 tahun. Kita tidak pernah menafikan kebijaksanaan dasar tersebut tatkala ia dilancarkan. Malah kita mengakui ada manfaatnya kepada rakyat termasuk bumiputera terutama dalam bidang pendidikan. Namun, penyalahgunaannya terlalu ketara. Berpuluh bilion ringgit dikaut oleh segolongan kecil atas nama DEB. DEB telah dimanipulasikan untuk mengalih kontrak terus ke tangan kroni yang diutamakan atau terpilih. Justeru DEB mesti diubah dan digantikan dengan yang lebih wajar dan bermakna kepada bumiputera dan rakyat Malaysia yang lain.
Tuan Yang di-Pertua, amat malang buat bumiputera manakala hanya kelompok kaya-raya yang mendabik dada dan melaungkan supaya ia diteruskan. Yang perlu dihiraukan adalah nasib majoriti bumiputera Melayu di desa, Kadazan dan Murut, Iban dan Bidayuh dan lain-lain di pedalaman dan di persisiran pantai. Namun pendekatan baru ini harus telus mengambil kira kepentingan kaum Cina dan India terutama yang miskin dan terpinggir.
Tuan Yang di-Pertua, masalah besar yang dihadapi ekonomi sekarang ialah pengagihan manfaat kepada segelintir masyarakat menyebabkan kesan manfaatnya tidak mengalir ke peringkat pertengahan dan akar
umbi masyarakat. Kita perlu memikir dan memperhebat gabungan dan kepelbagaian program dan projek seperti skim mikro kredit, pemodenan ladang pertanian, pengedaran dan penjualan hasil dalam pasaran, skim pelaburan, skim berorientasikan kebajikan dan sebagainya untuk meningkat pendapatan lapisan bawahan dengan lebih berkesan. Yang paling penting ialah program untuk meningkatkan pendapatan isi rumah kumpulan ini melalui ikhtiar yang produktif. Kita menerima prinsip dan keperluan dasar, dasar tindakan affirmative yang akan menghasilkan penyertaan bumiputera, golongan miskin dan terpinggir yang lainnya. Usaha mewujudkan golongan pedagang dan usahawan bumiputera perlu diperhebatkan menurut kerangka tindakan tersebut. Kita menggesa kerajaan melindungi, memelihara dan membimbing mereka yang benar-benar mengurus pengeluaran dan menyediakan perkhidmatan kepada sektor awam dan swasta.
Dr. Michael Jeyakumar Devaraj [Sungai Siput]: Saya ingin meminta penjelasan. Definisi kemiskinan sekarang ialah RM691 sekeluarga. Dengan definisi itu ada pihak kerajaan berbangga dan memuji diri sendiri kerana kita telah menurunkan kadar kemiskinan di negara kita ini dari 22% pada tahun 90-an kepada 5.7% sahaja sehingga pada masa sekarang. Bolehkah kita menerima RM690 itu sebagai satu paras untuk kemiskinan? Dengan harga-harga di bandar-bandar kita pada masa ini, kita perlukan lebih kurang RM2000 sekeluarga, iaitu kalau tidak ada tekanan kewangan. Jadi kadar garis kemiskinan yang telah ditetapkan iaitu sebanyak RM690 ini, adalah terlalu rendah. Kita telah solve masalah kemiskinan dengan definisi yang terlalu kurang. Jadi apabila kita sebut orang miskin di Malaysia, kita hanya bertumpu pada 5.7% sahaja. Ini berdasarkan pada satu kadar yang begitu rendah. Jadi saya hendak minta pandangan Yang Berhormat bagi Permatang Pauh, terima kasih.
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Yang Berhormat bagi Sungai Siput, saya setuju. Kadang-kadang apa yang digariskan sebagai garis kemiskinan itu tidak sebenarnya berlaku. RM690 memanglah pendapatan yang kurang kepada miskin. Jadi ini yang kita yang katakan bahawa kadang-kadang kita hendak ambil cut of point itu mestilah realistik mengambil kira di mana kedudukannya... Kita telah mengolah agenda ekonomi Malaysia untuk memacu pertubuhan yang lebih segar dan berdaya saing serta menggariskan program tindakan affirmative untuk semua agar mereka dapat menceburi serta bersaing secara adil dan saksama dalam ekonomi negara.
Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar [Rembau]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Yang pertama saya pohon penjelasan. Tadi saya setuju sangat dengan apa yang disebut oleh Yang Berhormat dari Permatang Pauh bahawa Dasar Ekonomi Baru ini ada banyak manfaat untuk masyarakat bumiputera dan Yang Berhormat bagi Permatang Pauh telah menggariskan beberapa langkah untuk meluaskan peluang untuk masyarakat bumiputera. Cuma saya hendak tanya pendapat, penjelasan daripada Yang Berhormat bagi Permatang Pauh apakah pendirian Yang Berhormat tentang keputusan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang telah menghapuskan Dasar Ekonomi Baru secara “lock, stop and barrel” dengan izin daripada segala dasar kerajaan negeri tersebut.
Yang keduanya tadi disebut tentang perjanjian berat sebelah konsesi dan sebagainya, tetapi yang saya hendak minta penjelasan daripada Yang Berhormat di sini bahawa tempoh konsesi tersebut adalah berpuluh-puluh tahun. Jadi apakah mesej atau isyarat yang kita hantar kepada pelabur asing apabila kita tidak menghormati sanctity of contract dengan izin dan sebenarnya semua ini adalah legacy. Legacy daripada 10 tahun dahulu di mana Dato’ Seri Anwar sendiri telah menandatangani konsesi tersebut dan hari ini susah untuk kita merombak semula konsesi ini kerana telah menjadi sanctity of contract. [Tepuk] Jadi susah Yang Berhormat, Yang Berhormat tadi berkata tentang pelabur asing FDI. FDI ini akan terjejas kalau kita tidak ada menghormati sanctity of contract dengan izin. Terima kasih.
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Yang dikatakan DEB oleh Kerajaan Pulau Pinang. Apa yang Kerajaan Pulau Pinang katakan adalah yang benar. Satunya, Pulau Pinang bumiputera 30% dan kalaulah katakan Dasar Ekonomi Baru itu berat sebelah, tidak menguntungkan bumiputera yang
sepatutnya dapat buat apa ada begitu punya dasar? Ini yang dikatakan, kalau dihijack kalau diambil kalau disalahgunakan, ini yang point saya katakan. Yang Berhormat bagi Rembau takkan (tak) faham-faham? [Tepuk] Sanctity of contract, ya. Yang orang tidak masuk, yang pelabur asing tidak datang ini kerana kehakiman kita. Point itu saya akan masuk. Tunggu dan sabar.
Tuan Haji Mohd. Nor bin Othman [Hulu Terengganu]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Yang Berhormat bagi Permatang Pauh. Saya sungguh terpegunlah dengan ucapan Yang Berhormat bagi Permatang Pauh tadi dengan menyebut tentang kekayaan yang diagih kepada segelintir dan kemudiannya kepada kroni-kroni. Tetapi apabila saya lihat sendiri apa yang telah dilakukan oleh wakil Permatang Pauh tadi, yang pertamanya beliau sendiri tidak menyatakan siapakah kroni-kroni yang mendapat kekayaan untuk segelintir tadi dan saya mohon penjelasan. Yang kedua, saya lihat dalam perbahasan di Dewan ini, nampak benar mentang-mentanglah kita mempunyai kuasa sebagai penyokong usul, saya nampak laluan yang diberikan kepada pihak pembangkang begitu mudah tetapi begitu payah kepada pihak kerajaan. Ini pun hanya baru sekadar Ketua Pembangkang. Kalaulah jadi pemimpin macam mana agaknya? [Tepuk] Sila beri jawapan. Terima kasih.
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Yang Berhormat Hulu Terengganu. Takkan lah tak tahu mana-mana kroni yang lama sudah bukan dalam politik. Tak payahlah saya beritahu, tahu sendiri. Ini adalah dasar ucapan dalam dasar, cari yang lain dan saya akan sebutkan. Tunggu dan sabar.
Dr. Mohd. Hatta bin Md. Ramli [Kuala Krai]: Terima kasih kepada Yang Berhormat Permatang Pauh. Disebutkan dalam salah satu permohonan penjelasan tadi mengenai sanctity of contract ini. Kalaulah kita mengambil pengalaman awal abad ini apabila Kerajaan Pusat membatalkan perjanjian royalti minyak kepada negeri Terengganu yang jumlahnya setahun ketika itu RM800 juta. Sekarang ini sudah katanya lebih dari RM1 bilion. Berapa banyak sudah ia kalau berpuluh-puluh tahun nanti? Adakah tidak itu sebagai satu jalan yang telah ditunjukkan oleh Kerajaan Pusat untuk merosakkan satu ikatan kontrak yang begitu baik? Jadi bagaimana pandangan Yang Berhormat Permatang Pauh? [Tepuk]
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Tuan Yang di-Pertua, tepat sekali. Tepat sekali. Itu menjawab dengan sendirinya Yang Berhormat Rembau.
Dr. Haji Mohd. Puad Zarkashi [Batu Pahat]: Terima kasih Yang Berhormat Permatang Pauh. Sebenarnya saya setuju tentang apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat Permatang Pauh tetapi saya harap kita dapat bezakan antara satu dasar yang baik dengan pelaksanaan yang buruk sebab kalau kita lihat apabila DEB diperkenalkan, sebenarnya tujuannya adalah baik iaitu untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat baru dan kita lihat kejayaannya adalah cukup besar. Cuma itulah yang saya setuju, bahawa akhirnya apabila berlaku salah guna dan sebagainya, sepatutnya ini yang harus kita perbetulkan. [Tepuk] Iaitu mencari apa yang salah sebenarnya, bukan siapa yang salah. Yang salah itu ialah dari segi pelaksanaannya. Maka ini kita perbetulkan. Jangan sampai apabila Yang Berhormat Permatang Pauh sebut tadi, hapuskan sahaja DEB ini. Yang ini saya tidak setuju sebab DEB ini penting sebenarnya. Sebab dia hendak membasmi kemiskinan, menyusun semula masyarakat baru. Jadi salahkan dasar yang baik ini dan tidak perlu dihapuskan sebenarnya. Yang perlu kita tingkatkan ialah bagaimana, supaya tidak berlaku penyelewengan ini dan yang ini harus kita berkongsi sebenarnya dan kalau kita lihat apa yang berlaku sekarang ini, kelahiran kelas menengah Melayu ini. Manfaatnya baik kepada pembangkang sekali pun. Semuanya datang daripada DEB sebenarnya. Ini tak ada siapa yang boleh nafikan. Kalau hendak sebut seorang-seorang boleh saya sebut sebab ini semua orang yang saya kenal sebenarnya. Jadi jangan maksudnya, marahkan nyamuk kelambu dibakar. DEB sebenarnya tetap bermanfaat dan sebab itulah sekarang ini DEB itu pun sudah berakhir. Yang kita teruskan ialah semangatnya, semangat DEB itu perlu diteruskan. Ini yang saya harap dapat penjelasan daripada Yang Berhormat Permatang Pauh.
Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail [Permatang Pauh]: Terima kasih Yang Berhormat Batu Pahat. Kalau setuju itu, sokong sahajalah. Memang kita katakan setelah 40 tahun Dasar Ekonomi Baru telah ada penyelewengan. Apa salahnya sekarang kita review, kita tukar. Kalau ada yang baik hendak pegang juga yang lama. Ini yang kita katakan. Sudah 40 tahun, sudah lama kita tengok penyelewengan. Hendak tunggu juga. Rakyat lebih matang dan pandai daripada itu dan membuat satu permohonan.
Tuan Yang di-Pertua, integriti kerajaan dalam pengurusan ekonomi kian teruk terjejas. Apabila pemimpin kerajaan merestui rasuah dan pembaziran. Mengamalkan nepotisme dengan mengagihkan kontrak dan saham kepada keluarga serta mengamalkan kronisme dengan memperkayakan kelompok kecil. Dalam kes terkenal, yang melibatkan pembekalan peralatan tentera atau secara spesifik kapal selam Scorpene yang bernilai RM4.5 bilion yang dibuat secara rundingan. Komisen yang melampau sebanyak RM530 juta. Bukan RM530, RM530 juta telah dibayar oleh pembekal kepada Perimekar Sdn Bhd yang dimiliki oleh Abdul Razak Baginda, penasihat kepada Menteri Pertahanan. Begitu juga dengan pembelian jet pejuang Sukhoi bernilai RM3.2 bilion di mana syarikat IMT Defence Sdn Bhd yang dikuasai oleh Datuk Adib Adam bekas Ketua Menteri Melaka dan bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Wilayah mendapat komisen RM380 juta. Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin Zin memberitahu Parlimen dalam Dewan yang mulia ini bahawa komisen tersebut dibayar. Memang ada komisen, dibayar untuk penyelarasan dan khidmat sokongan oleh pembekal dan tidak oleh kerajaan.
Ia tidak memerlukan seorang yang genius untuk menyedari bahawa sebenarnya kerajaanlah yang menanggung pembayaran komisen tersebut melalui nilai yang dilambungkan untuk mengambil kira bayaran komisen itu. Tanggapan rakyat ialah ia mungkin bukan komisen tetapi rasuah di antara pemimpin tersebut dengan individu yang mendapat komisen itu.
Dalam laporan audit yang dibentangkan dalam Parlimen 7 September 2007. Didapati bahawa PSC Naval Dockyard yang dimiliki oleh Tan Sri Dato’ Amin Shah Omar Shah ketika itu sepatutnya membekal 27 kapal peronda bernilai RM24 bilion tetapi sehingga pertengahan 2006 hanya dua buah kapal peronda sahaja yang siap. Itu pun terdapat 298 kompelin yang dikemukakan dan 383 peralatan tidak dibekalkan. Kontrak asal bernilai RM5.35 bilion meningkat kepada RM6.75 bilion sehingga Januari 2007. Kementerian Pertahanan membayar RM4.26 bilion walaupun kerja siap hanya bernilai RM2.87 bilion iaitu lebihan bayaran sebanyak RM1.39 bilion atau 48%. Anehnya, hairan bin ajaib, Kabinet pula, Kabinet sekarang bukan yang dahulu, Kabinet sekarang meluluskan pengecualian penalti sebanyak RM214 juta. Kerajaan dituntut supaya tidak berlengah lagi untuk menjalankan penyiasatan rapi terhadap kepincangan dan penyelewengan yang berlaku. Ini penting agar tiada percubaan dibuat untuk melindungi mana-mana pemimpin kanan kerajaan dan menutup skandal rasuah pembelian senjata yang melibatkan berbilion ringgit wang rakyat. [Tepuk] Maka dengan itu, atas nama rakyat yang membayar cukai, saya mencabar pada Perdana Menteri supaya menubuhkan satu suruhanjaya bebas bagi menjalankan penyiasatan dengan segera. [Tepuk] Penyiasatan ini harus rapi bagi mendedahkan kepincangan dan penyelewengan dalam bekalan peralatan ketenteraan yang melibatkan pembayaran dari dana awam dari cara yang tersangat meragukan. Ini adalah ketenteraan.
Kita perlu menyisih segala sistem, jenis sistem yang menyebabkan rakyat sangsi di atas integriti kerajaan di dalam pengurusan ekonomi. Bila kesangsian dibentuk dan berterusan, maka amat sukar pihak berkuasa mengurus ekonomi dengan berkesan kerana setiap keputusan akan dipersoalkan dan dipersendakan. Akibatnya, rakyat bertambah ragu terhadap integriti kerajaan dan kepimpinan negara.
Thursday, May 8, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment