Dewan Rakyat : 5 Mei 2008
5. Tuan Haji Nasharudin bin Mat Isa [Bachok] minta Menteri Kewangan menyatakan telah dapat dimanfaatkan oleh rakyat melalui Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai yang ditubuhkan oleh Bank Negara pada tahun 1990.
Menteri Kewangan II [Tan Sri Nor Mohamed Yakcop]: Tuan Yang di-Pertua, Tabung Projek Perumahan Terbengkalai (TPPT) ditubuhkan pada tahun 1990 untuk menyediakan bantuan kewangan kepada pemaju untuk membangunkan semula projek-projek perumahan yang terbengkalai pada waktu itu. TPPT berjaya membantu memulihkan 74 projek perumahan terbengkalai di seluruh negara. Keseluruhan projek perumahan yang berjaya dipulihkan melibatkan pinjaman daripada TPPT berjumlah RM356.2 juta yang diberikan kepada pemaju, melibatkan 17730 unit rumah. 32% dari jumlah ini iaitu 5717 unit adalah rumah kos rendah. TPPT telah pun ditutup kepada permohonan sejak tahun 1992.
Tuan Nasharudin Mat. Isa [Bachok]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, dan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri. Melalui rekod yang saya peroleh daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam tempoh 1990 sehingga 2005, menunjukkan terdapat 261 projek terbengkalai dengan 88,410 buah rumah terlibat dengan pembeli seramai 58,685 yang menjadi mangsa. Satu kajian telah dibuat oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang yang telah membuat analisis dalam perkara ini dan mendapati terdapat banyak sebab berlakunya penangguhan projek-projek terbengkalai ini antaranya ialah agensi kerajaan yang meluluskan projek, lambat membuat keputusan sehingga mengakibatkan harga meningkat. Persoalannya adalah, apakah yang bakal dibuat untuk menjamin pengguna khasnya pembeli-pembeli yang menunggu rumah mereka untuk disiapkan, memastikan mereka mendapat, memperoleh rumah mereka dalam tempoh yang telah ditetapkan.
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop: Tuan Yang di-Pertua, memang kerajaan sedar bahawa isu rumah yang terbengkalai ini telah menjadi satu isu sekian lama dan kerajaan telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan perkara ini tidak berulang. Kerajaan juga sedar, banyak rakyat termasuk pegawai kerajaan yang telah membeli rumah dan kemudian terbengkalai, terpaksa terus menyewa rumah dan bayar sewa; juga membayar balik pinjaman kepada bank untuk rumah yang dibeli tapi tidak jadi. Sejak tahun 1990-an, Kementerian Perumahan telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan bahawa isu ini dapat di atasi dan juga kerajaan telah melantik Syarikat Perumahan Negara Berhad atau SPNB dalam isu projek-projek terbengkalai dan setakat ini SPNB telah membantu untuk menyelesaikan sebanyak 9208 unit rumah terbengkalai.
Antara isu-isu yang timbul antara masalah yang dihadapi ialah tidak bersefahaman di antara pemilik tanah dan pemaju. Pemaju itu kadang-kadang over optimistik tentang permintaan, dan tidak begitu realistik tentang kos. Kerajaan telah mengambil langkah-langkah untuk memastikan bahawa pemaju-pemaju dapat memberi satu tawaran yang dapat lebih penyeliaan Kementerian Perumahan. Kementerian
Perumahan juga telah membuat satu kaedah baru untuk membolehkan bahawa semua permohonan untuk memaju tanah, untuk projek-projek perumahan dapat disegerakan, dapat diberi kelulusan dalam tempoh tidak sampai enam bulan. Terima kasih.
Tuan Fong Kui Lun [Bukit Bintang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan. Adakah Yang Berhormat sedar bahawa ada projek yang terbengkalai yang masih tertangguh di Kuala Lumpur seperti Plaza Rakyat yang satu usaha sama yang Kerajaan Tempatan DBKL dengan pemaju swasta dan juga Nas Pavilion di Jalan Imbi yang anak bekas menteri, salah seorang pemaju. Dua lot projek yang terbengkalai selama 12 tahun yang lalu. Apakah perancangan kerajaan untuk menyelamatkan, oleh kerana ramai pembeli-pembeli yang tersangkut dalam skim kewangan dan terpaksa membayar wang kepada Institusi bank. Minta penjelasan dari Yang Berhormat Menteri. Terima kasih.
Tan Sri Nor Mohamed Yakcop: Ya, projek yang disebutkan tadi, di bawah dewan bandar raya akan diselesaikan oleh dewan bandar raya. Dari segi seperti yang saya terangkan tadi iaitu dari segi kaedah untuk memastikan bahawa perkara-perkara yang berkaitan dengan rumah-rumah terbengkalai tidak berulang dan dapat dikurangkan telah pun diambil. Saya fikir telah berjaya, tetapi masih terdapat rumah-rumah yang terbengkalai dan dalam perkara ini juga kerajaan sedang memikirkan satu kaedah baru iaitu untuk memastikan bahawa ada juga alternatif bagi pembeli untuk membeli rumah selepas rumah disiapkan. Pada masa ini, seperti kita sedia maklum, kaedah yang digunakan ialah pembeli beli rumah dan kemudian rumah dibina. Keadaan itu mungkin baik dan digunakan di Malaysia sejak begitu lama dan juga digunakan di Singapura. Namun di negara-negara lain, kaedah yang digunakan ialah kaedah di mana pemaju membina rumah dahulu dan kemudian dijual, bila siap dijual kepada pembeli. Kerajaan kini telah mengambil langkah untuk mewujudkan kaedah ini juga di Malaysia. Apabila kaedah ini dilaksanakan Tuan Yang di-Pertua, isu tentang rumah terbengkalai, projek terbengkalai tidak akan wujud, sebab kalau projek itu terbengkalai, tidak ada pembeli. Pembeli beli kemudian, itu yang kita hendak wujudkan. Terima kasih Tuan Yang di-Pertua.
Thursday, May 8, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment