Dewan Rakyat (6 Mei 2008)
8. Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling] minta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan adakah pihak kementerian bercadang untuk menghapuskan dana PTPTN yang nyata membebani pihak pelajar bumiputera khasnya dan keluarga dengan menggantikan ia dengan skim biasiswa yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia.
Menteri Pengajian Tinggi [Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin]: Tuan Yang di-Pertua, kerajaan tidak bercadang untuk memansuhkan dana PTPTN. Dana ini bertujuan untuk memastikan pembiayaan pendidikan berbentuk pinjaman kewangan yang berkesan dapat disediakan kepada semua pelajar yang layak mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi selaras dengan hasrat kerajaan bagi memastikan tidak ada mana-mana pelajar yang gagal memasuki IPT atas sebab-sebab kewangan. Bayaran balik pinjaman PTPTN ini juga akan dapat menjamin dana ini sentiasa ada untuk membiayai pelajar-pelajar lain pada masa akan datang. Pinjaman PTPTN tidak membebankan pelajar-pelajar kerana pertama kerajaan melalui PTPTN, menyediakan kemudahan pinjaman pendidikan bagi membolehkan pelajar melanjutkan pengajian mereka di IPTA dan IPTS. Kedua, pelajar hanya perlu membayar balik pinjaman enam bulan setelah mereka tamat pengajian dan erti kata lain, pelajar tidak perlu membayar balik sewaktu mereka masih belajar.
Ketiga, jumlah bayaran balik yang dikenakan pada tahun pembayaran hanyalah serendah RM70 sebulan berdasarkan kepada jumlah pinjaman yang diperoleh dan keempat bagi pelajar yang tidak memperoleh sebarang pekerjaan atau melanjutkan pengajian yang lebih tinggi mereka dibenarkan membuat penangguhan bayaran balik.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga kerajaan masih menyediakan biasiswa kepada bumiputera dalam bidang-bidang kritikal melalui JPA, MARA, agensi-agensi kerajaan dan yayasan-yayasan negeri yang lain. Mengenai perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan, MARA dan JPA akan terus memainkan peranannya dalam menyediakan pembiayaan kepada pelajar-pelajar bumiputera dengan sokongan dan penyediaan peruntukan dari kerajaan.
Tuan Nasharudin Mat Isa [Bachok]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Yang Berhormat Menteri, saya telah bertanya soalan yang berkaitan tentang caj 3% yang dikenakan di atas pinjaman PTPTN ini dan jawapan yang diberikan oleh pihak kementerian adalah caj 3% ini akan terus dikekalkan sebagai kos perkhidmatan. Walaupun tadi telah disebut RM70 sebulan sebagai bayaran balik tapi tidak disebut dan tidak dinyatakan tadi tentang 3% beban ini yang terpaksa ditanggung oleh pelajar-pelajar dan juga ibu bapa mereka. Kenapa tidak caj 3% ini dihapuskan sahaja kerana alasan ianya adalah kerana untuk kos perkhidmatan itu bagi saya mungkin tidak munasabah kerana agensi ini adalah agensi kerajaan yang melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh rakyat.
Saya juga ingin mencadangkan supaya tempoh pembayaran balik itu kalau boleh dibuat bukan dalam tempoh enam bulan tetapi selepas pelajar itu mendapat pekerjaan paling tidak selepas tiga atau empat bulan selepas dia mendapat pekerjaan selepas menerima gaji tiga empat bulan itu baru dipotong daripada gaji mereka. Terima kasih.
Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin: Terima kasih Yang Berhormat. Seperti yang kita semua sedia maklum kos 3% itu adalah kos untuk membiayai perkhidmatan yang perlu ditanggung oleh PTPTN bagi membolehkan ianya menjalankan operasinya secara berkesan. Walau bagaimanapun, buat ketika ini kementerian sedang mengkaji dua aspek dari segi perjalanan PTPTN. Pertamanya ialah mengenai kadar itu sendiri untuk tentukan agar ianya benar-benar satu kadar yang menepati kos operasi dan juga tidak membebankan pelajar. Yang keduanya, kita sedang mengkaji perubahan sistem dan fungsi kutipan balik pinjaman pendidikan yang akan mengambil kira semua pandangan yang diberikan oleh pelbagai pihak.
Tuan Haji Taib Azamudden bin Md. Taib [Baling]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Menteri. Kalau kita lihat statistik setakat 2006 sejumlah peningkatan 3.6% kadar pinjaman yang diluluskan oleh PTPTN yang melibatkan lebih kurang 149,471 orang pelajar. Itu setakat 2006. Ini menunjukkan angka para pelajar yang miskin yang tak ada duit hendak menyambung pelajaran ramai. Ini yang berani untuk minta pinjaman. Yang mereka tak berani hendak minta pinjaman dengan kerana kemampuan yang disebut oleh Yang Berhormat Menteri walaupun rendah tapi serendah itu pun mereka tak mampu untuk hendak bayar balik sudah tentulah jumlahnya makin ramai. Ini dapat kita lihat kerana bayaran balik yang diterima oleh pihak PTPTN pada tahun 2006 hanya RM185.4 juta sahaja. Jadi kerajaan pernah dan sampai sekarang pun ada melaksanakan Skim Pinjaman TEKUN, Skim Pinjaman Amanah Ikhtiar. Maknanya satu pinjaman yang tanpa faedah. Apa salahnya kalau pihak kementerian mengadakan satu skim seperti ini pertama sekali untuk pinjaman tanpa faedah dan yang kedua kita lihat balik supaya biasiswa ini dapat dikaji semula supaya para pelajar yang memerlukan, yang berpotensi untuk menyambung pelajaran dapat belajar dan kalau boleh satu lagi perkara ialah kita juga perlu lihat tekanan jiwa yang dihadapi oleh ibu bapa. Anak boleh belajar tetapi kemampuan ibu bapa untuk membiayai itu tidak ada. Jadi ibu bapa menghadapi tekanan jiwa. Jadi ini minta penjelasan Yang Berhormat Menteri. Terima kasih.
Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin: Terima kasih Yang Berhormat. Memanglah tidak dinafikan bahawa setiap tahun jumlah yang memohon pinjaman meningkat. Seperti yang dikatakan Yang Berhormat daripada tahun 2006 - 140,000, 2007 - 160,000 dan 2008 dianggarkan 181,000 tetapi itu bukan bermakna bahawa mereka daripada kalangan yang miskin tetapi hanya mereka mendapat kemudahan yang kerajaan sediakan bagi membiayai dan bagi membolehkan mereka berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti.
Dari segi soal sama ada ia membebankan ataupun tidak seperti yang telah saya katakan kita sedang membuat kajian dari segi soal sistem dan fungsi kutipan balik dan sebagainya yang kita rasakan seperti yang diamalkan di sesetengah negara yang tidak akan memberi bebanan kepada pelajar-pelajar yang telah pun keluar daripada IPT. Dari segi soal biasiswa apa yang ada di negara kita sekarang seperti yang telah saya katakan bukan bermakna kita tidak menyediakan biasiswa, masih ada. PTPTN hanyalah satu kaedah dan pendekatan untuk membantu mereka yang telah mendapat tempat dalam IPT.
Pada masa yang sama kerajaan masih lagi menyediakan penajaan misalnya kita mungkin sedar bahawa baru-baru ini melalui kenyataan Ketua Setiausaha Negara bahawa pada tahun 2008 kerajaan akan menaja seramai 2,000 orang pelajar ke luar negara. Untuk 2008 - 2,000 orang iaitu di bawah program ijazah luar negara dan bagi program ijazah dalam negara seramai 10,000 orang pelajar di institusi pengajian tinggi tempatan. Selain daripada itu, Jabatan Perkhidmatan Awam juga akan menaja semua pelajar lepasan SPM 2007 yang memperoleh keputusan 9A dan ke atas dan ini pelajar-pelajar yang melanjutkan pengajian sama ada ke tingkatan enam sekolah bantuan penuh kerajaan dan pusat-pusat matrikulasi di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia termasuklah Pusat Asasi Sains Universiti Malaya, Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan seterusnya sehinggalah ke peringkat ijazah pertama di IPT tempatan. Jadi masih lagi ada biasiswa dan sebahagian besarnya adalah untuk bumiputera dan saya ucapkan tahniahlah kepada Yang Berhormat kerana masih mempertahankan agenda Melayu. [Tepuk]
Friday, May 9, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment