Wednesday, May 14, 2008

Selangor sasar 60 emas di SUKMA, Terengganu

SHAH ALAM - Selangor meletakkan sasaran pungutan 60 pingat emas di Kejohanan SUKMA, Terengganu pada bulan Jun nanti. Menurut Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Mohd Zubir Idrus, Selangor turut mensasarkan untuk mengekalkan gelaran juara keseluruhan pada sukan dwitahunan itu. Zubir menambah, dengan pembentukan kerajaan negeri Selangor yang baru di bawah kemimpinan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, program pembangunan dan kecemerlangan atlet-atlet di Selangor dapat diteruskan dan dipertingkatkan seperti sebelum ini.


"MSNS akan menyokong apa sahaja perancangan Tan Sri Khalid terutama dari segi aspek pembangunan sukan, seiring dengan elemen-elemen lain yang menjadi agenda pembangunan negeri Selangor," kata Zubir pada Majlis Penutup Bengkel Pengurusan Pasukan Sukan Kontinjen Negeri Selangor SUKMA 2008 yang dirasmikan oleh Menteri Besar negeri Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Hadir sama pada majlis itu ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bahagian Pengurusan, Datuk Tarmedi Omar, Pegawai Kewangan negeri Selangor, Datuk Mohd Arif Abd Rahman, dan Ahli Jawatankuasa Pengurus MSNS, Datuk Amiruddin Mohd Radzi.

Khalid pada majlis itu berkata, kerajaan negeri akan terus menyokong dan memartabatkan industri sukan di Selangor sebagai salah satu elemen pembangunan negeri terutama kepada generasi muda dalam meningkatkan kualiti modal insan dan pembangunan sukan. Beliau memuji MSNS kerana mengambil langkah yang bijak dengan mengadakan bengkel seperti ini, ia noleh memantapkan jentera pengurusan dan teknikal kontinjen negeri pada SUKMA 2008 nanti.

"Oleh itu, saya berharap kontinjen negeri Selangor akan terus maju dan dapat mengekalkan kejuaraan seperti tahun-tahun sebelumnya." Soal insentif, kami akan bincang kemudian. Tapi habuan buat mereka yang menyumbangkan pingat tetap ada," kata Khalid.

Tambah Khalid, kerajaan negeri juga akan mengambil inisiatif untuk menghantar atlet-atlet yang cemerlang untuk berlatih di luar negara dalam mempertingkatkan mutu sukan di Selangor. Atlet-atlet telah pun menjalani persediaan rapi yang mempunyai tiga fasa dan kini mereka sudah memasuki fasa yang terakhir. Setakat ini, Selangor telah menjadi juara keseluruhan sebanyak tujuh kali dan enam daripadanya berturut-turut dari tahun 1996 hingga 2006. Selangor bakal menghantar kontinjen seramai 600 orang termasuk atlet dan pegawai serta menyertai kesemua 31 jenis sukan yang dipertandingkan.


Posted by MSN Selangor

No comments: