Monday, May 12, 2008

Masanya Pakatan rebut Persekutuan

Hishamuddin Rais | Apr 30, 08 4:14pm

Sesudah pilihan raya ke-12, Pakatan Rakyat telah ditubuhkan sebagai satu wadah untuk membawa politik baru. Pada awalnya ramai yang memiliki pendapat bahawa lima negeri yang telah dimenangi oleh Pakatan perlu dijadikan negeri contoh. Ertinya ada ketelusan, ada keterbukaan dan ada sistem pentadbiran yang menyebelahi kepada tuntutan rakyat. Tanpa amalan rasuah dan tanpa birokrasi menyusahkan, maka negeri-negeri ini akan makmur. Pada pilihanraya akan datang, lima negeri Pakatan akan menjadi contoh untuk membawa masuk negeri-negeri lain pula.

Bodoh, pandangan bodoh ini tidak memiliki asas politik dan ekonomi. Pakatan Rakyat wajib mengambil kerajaan Persekutuan sekarang. Lailatul Qadar hanya datang sekali sahaja (setiap tahun). Jika tidak diambil masa dan ketikanya sekarang, saat seumpama ini tidak akan berulang lagi. Kerajaan Barisan Nasional adalah sebuah kerajaan yang enggan dan tidak memahami apa itu konsep persekutuan atau federalisme. BN yang selama 50 tahun dulu telah memerintah tanpa mengambil endah dan menghormati konsep federalisme. Persekutuan Tanah Melayu, Malaya dan Malaysia adalah negara federalisme yang membenarkan wujud dua kuasa serentak - kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Pemisahan ini jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Kerajaan BN selama 50 telah meraban-raban ke hulu ke hilir dengan kuasa mereka tanpa sebarang halangan. Penyalahgunaan kuasa seperti ini wajib dijadikan sejarah. Pakatan Rakyat wajib mengambil kerajaan Persekutuan secepat mungkin untuk memberhentikan penyalahgunaan kuasa BN ini. Lailatul Qadar hanya datang sekali sahaja.

Pakatan Rakyat hari ini sedang berhadapan dengan gerombolan BN yang telah kalah teruk. Kita tidak perlu membuka kitab Mao Zedong untuk memahami garis politik yang tepat - ketika musuh menyerang, kita berundur dan ketika musuh lemah, kita menyerang. BN kini sedang nazak. Saat inilah masa yang tepat untuk terus menyerang dan membungkus mereka untuk dimasukkan ke dalam tong sampah sejarah. Lailatul Qadar hanya datang sekali.

Perhatikan apa tingkah laku gerombolan BN ketika mereka nazak. Perjanjian antara negeri-negeri Pakatan dengan Kementerian Pelancongan telah dilupuskan. Ketua-ketua kampung di Perak telah diberhentikan (oleh kuasa BN). Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung diubahsuai. Fail dan maklumat negeri (dulu) telah dimusnahkan. Keadaan ini muncul ketika mereka nazak.

Bayangkan jika mereka dapat bangun berjalan semula, pasti Pakatan Rakyat akan dipukul musnah. Lihat pula apa yang terjadi di Selangor - dana NGO Balkis pimpinan isteri Mohamad Khir Toyo telah dipindahkan seolah-olah dana ini harta datuk nenek moyang mereka yang dibawa dengan tongkang dari Jawa. Pemindahan ini tidak termasuk berapa banyak fail yang telah dikoyak-rabak dan dimusnahkan sebelum pentadbiran kerajaan baru Pakatan dapat memasuki pejabat kerajaan.

Silalah jangan lupa, apa yang terjadi kepada stesen radio Selangor? Stesen radio menggunakan ruang pejabat hak milik kerajaan negeri - tiba-tiba stesen radio ini dipindahkan ke Angkasapuri. Apakah perkara ini dengan niat jahat atau dengan niat baik?

Silalah jangan lupa, apa yang berlaku pada subuh 15 April 2008? Rumah Dr Wan Azizah Wan Ismail dan rumah menteri besar Selangor telah didatangi polis. Polis telah diarahkan untuk mengambil kenyataan daripada Dr Wan Azizah dan MB Selangor kerana malam sebelumnya Pakatan Rakyat telah mengadakan satu rapat raksasa di Kampung Baru yang dianggap ‘perhimpunan haram’. Dengan angkuhnya pihak polis enggan mengambil kenyataan Dr Wan Azizah dan MB Selangor di pejabat mereka. Polis mendesak mereka berbondong-bondong ke balai seolah-olah untuk dilihat umum sebagai orang jahat.

Tindakan polis ini arahan siapa? Mereka langsung tiada niat untuk menghormati menteri besar dan ketua pembangkang. Bandingkan dengan kes raba-raba buntut pelayan yang pelakon utamanya JJ. Daripada laporan akhbar, kita diberitahu bahawa ketua polis yang sama telah menjalankan siasatan. Tetapi di mana kenyataan JJ ini diambil? Daripada akhbar kita hanya diberitahu bahawa "pihak polis telah menemui bekas menteri ini di satu tempat". Satu tempat ini di mana? Kenapa JJ tidak diminta datang ke balai polis? Kenapa Dr Wan Azizah dan MB Selangor dipaksa datang? Walhal kes raba-raba buntut itu satu jenayah seksual yang amat berbahaya.

Dua senario ini menjadi bukti bahawa pihak polis juga kini telah menjadi perkakas BN. Mereka ini akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan gerombolan Barisan Nasional. Kerana itu Pakatan Rakyat tidak akan selamat jika tidak mengambil kerajaan Persekutuan secepat mungkin. Lailatul Qadar datang hanya sekali. Jangan nanti tercengang-cengang apabila melihat songkok tersadai di atas pucuk kelapa.

Saya yakin dalam masa jangka yang singkat gerombolan BN dan United Malays National Organisation akan melakukan pelbagai bentuk sabotaj. Berita telah mula keluar tentang dana persekutuan akan dikurangkan di lima negeri Pakatan Rakyat, walhal lima negeri inilah pembayar cukai terbanyak dan penjana ekonomi Malaysia. Menjadi satu kesilapan besar jika ada penyokong Pakatan Rakyat berasa takut untuk terus mara merampas dan mengambil pentadbiran persekutuan. Warga dan para penyokong Pakatan Rakyat wajib bersedia dan jangan takut dengan kemenangan.

Jika gerombolan BN ini memahami dan menghayati konsep dan falsafah federalisme, maka tidak timbul saranan untuk merebut kerajaan Persekutuan. Tidak timbul tiupan sangkakala ini. Kerajaan dalam sistem demokrasi boleh beralih dan bertukar ganti. Menjadi satu kesilapan politik besar jika para pemimpin Pakatan Rakyat cuba menunggu lama dan hanya melihat gerombolan BN yang telah tergelincir kuasa. Mereka yang tergelincir dan berkemungkinan hilang kuasa akan melakukan apa sahaja.

Bayangkan berbilion-bilion ringgit dana yang selama ini mereka rompak dan agihkan kepada suku-sakat mereka. Tiba-tiba pengaliran dana ini dihentikan oleh Pakatan Rakyat! Bayangkan pula ratusan ribu hektar tanah yang tela diberikan oleh Mohamad Khir Toyo kepada para penyokongnya di Selangor. Bagaimana pula di Perak, di Negeri Sembilan, di Kedah dan di Pulau Pinang? Semua ini akan dikaji siasat. Dan mereka sedar jika mereka tidak menyerang Pakatan Rakyat, mereka semua akan dibawa ke mahkamah. Tetapi buat masa ini, kerana mereka sedang bergaduh sesama sendiri, maka tenaga dan daya usaha mereka belum sempat dihadapkan kepada Pakatan Rakyat. Justeru, apabila musuh lemah, kita menyerang. Jangan tunggu mereka kuat. Lailatul Qadar hanya datang sekali.
Pakatan Rakyat wajib belajar daripada apa yang telah terjadi di Terengganu. Apabila Haji Abdul Hadi Awang telah menemui ratusan ribu duit tunai dalam laci Wan Mokhtar Wan Ahmad pada malam kemenangan di Terengganu pada 1999, tidak ada apa-apa tindakan diambil - ini kesilapan besar. Apabila musuh jatuh, itulah masanya kita menerkam. Apabila musuh lemah, itulah masanya kita menyerang. Dalam politik, kita mesti berani mencekik leher seteru politik kita. Jika tidak, musuh ini akan menyusun untuk bangun dan melawan kembali.

Rakyat sedang menunggu untuk merebut kemenangan. Kerajaan Persekutuan wajib diambil secepat mungkin. Saat dan masanya untuk bertindak ialah sekarang! Jangan biarkan saat itu beredar. Malam Lailatul Qadar hanya datang sekali. Lima tahun dari hari ini, jangan ternganga dan tercengang kerana songkok tersangkut di atas pucuk kelapa. petikan dari Malaysikini

No comments: