Monday, May 12, 2008

Jawatankuasa Masjid dan Surau

Petang Sabtu lepas saya mengiringi YB Dr Shafie ke Majlis Dialog dengan AJK PIBG dan guru-suru sebuah sekolah rendah agama di DUN Bangi. Selain dari mendengar dan cuba menyelesaikan beberapa masalah asas sesebuah sekolah kesempatan diambil oleh YB untuk menerangkan hala tuju Kerajaan Negeri.

Respon hadirin cukup baik dan saya tertarik untuk memanjang pandangan seorang AJK PIBG yang saya kira kritikal tetapi konstruktif. Beliau menyatakan rasa terkilan dengan kenyataan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipetik oleh sebuah akhbar mengenai penyusunan semula Jawatankuasa Masjid dan Surau di seluruh Selangor. Bagi beliau bila Exco itu menyatakan alasan utama penyusunan semula ialah berlakunya penyelewengan dana masjid dan surau ia merupakan satu kenyataan yang menempelak seluruh jawatankuasa sedia ada. Kini kata beliau semua yang terlibat berasa kecil hati dengan tuduhan Exco itu.

Kita tidak bertujuan untuk mempersoal kebenaran kenyataan kedua-dua belah pihak tetapi rasanya teguran AJK PIBG itu patut diambil kira. Rasanya adalah lebih manis jika sebab-sebab penyusunan semula jawatankuasa berkenaan didiplomasikan seperti memberi nafas baru kepada institusi itu. Cukup dan noktah. Tak perlu beritahu akhbar sebarang bentuk penyelewengan – jika ada – jawatankuasa yang sedia ada. Tentunya seluruh rakyat memahami aspirasi kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang mahu menjadikan institusi itu sebagai penjana utama modal insan.

Ternyata ‘kebimbangan’ saya tentang kebenaran teguran AJK PIBG itu menjadi kenyataan keesokan harinya iaitu semalam – Ahad. Akhbar yang sama menyiarkan respond mufti Selangor yang ‘menasihatkan’ Exco berkenaan mendapatkan perkenan DYMM Sultan terlebih dahulu sebelum memulakan langkah menyusun semula jawatankuasa masjid dan surau serta menghidupkan kembali Badan Amar Makruf Nahi Munkar (BADAR). Dalam nada yang penuh diplomasi beliau dipetik sebagai berkata kedua-dua langkah berkenaan tentunya mendapat perkenan baginda kerana tujuannya adalah baik. Hari ini – Isnin – Exco berkenaan menyatakan beliau akan mendapatkan perkenan tersebut.

Menjejaki urutan ini kita amat mengharapkan supaya seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat supaya lebih berhati-hati bila membuat sebarang kenyataan kepada media massa. Sudah tentu kita tidak mahu peristiwa pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) berulang kembali di Selangor. Bayangkan kini kes itu semakin rumit dengan kenyataan Pengerusi DAP dan siasatan polis terhadap beliau. Dan tentunya lebih mendebarkan bila YAB Menteri Besar Perak masih gagal mendapat perkenan Sultan Perak untuk menghadap menyembah surat memohon ampun. Mungkin untuk memujuk perasaan kita boleh beranggapan sultan sibuk dengan Kejohan Hoki Piala Sultan Azlan Shah hingga tiada masa melayani menteri besar. Namun semakin panjang isu ini diheret semakin untunglah musuh-musuh politik kita.

No comments: