Friday, April 11, 2008

EXCO HAL EHWAL ISLAM SARAN ADAKAN TAZKIRAH SEBELUM MESYUARAT


Shah Alam – 31 Mac 2008, YB Dato’ Dr. Haji Hassan bin Mohamad Ali, Pengerusi, Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, hari ini telah diberi taklimat mengenai Jabatan Agama Islam Selangor dalam satu majlis ringkas di Bangunan Sultan Idris Shah. Taklimat yang disampaikan oleh SS Dato’ Haji Mohammed Khusrin bin Haji Munawi, Pengarah, JAIS juga turut dihadiri oleh Ketua-ketua Bahagian.

Dalam ucapan ringkas di majlis tersebut, YB Dato’ Dr, Hj. Hassan menyarankan agar diadakan tazkirah ringkas sebelum memulakan mesyuarat. Usaha ini dilakukan bagi menerapkan nilai-nilai murni melalui tazkirah atau peringatan bagi membentuk sahsiah diri serta pengisian rohani di kalangan pegawai dan jabatan-jabatan kerajaan. “Bayangkan kalau dalam sehari kita menghadiri 3 mesyuarat dan setiap mesyuarat diadakan 15 minit tazkirah, kita dapat 45 minit tazkirah dalam sehari, dalam 45 (minit itu) pelbagai ilmu dan peringatan yang kita perolehi.” katanya.

Jabatan Agama Islam Selangor sebagai salah satu jabatan kerajaan yang mengurus hal ehwal islam disaran memulakan program ini agar dapat dicontohi oleh jabatan-jabatan lain. Isntitusi Islam lain seperti Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LeZaS) juga disaran memulakan program ini.

Pembangunan sahsiah diri penting bagi melahirkan pegawai yang berdedikasi, berhemat tinggi, bermoral. Dengan adanya sifat-sifat terpuji diterapkan dalam diri semua pegawai segala tugas yang diberikan akan dilaksanakan dengan sempurna.

Dr. Hassan juga telah menyarankan beberapa aktiviti dan program keagamaan yang menjurus kepada pengisian rohani juga boleh dilaksanakan di Selangor yang dipertanggungjawabkan kepada JAIS untuk melaksanakannya.

Menyentuh berkaitan aktiviti penguatkuasaan, beliau menyarankan agar pendekatan yang berkesan dapat dilakukan. Beliau akan mengadakan perbincangan mengenainya secepat mungkin.

Masjid dan Surau perlu mempergiatkan serta membanyakkan (aktiviti) yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat. Jawatankuasa yang sedia ada tidak perlu bimbang akan dipecat kerana beliau belum lagi memikirkan perkara tersebut

Beliau mengharapkan kerjasama yang erat daripada pegawai dan kakitangan JAIS dalam usaha melaksanakan aktiviti serta program yang dirancang. Banyak program yang boleh dilaksanakan tetapi tanpa kerjasama yang erat daripada pegawai, aktiviti dan program tersebut hanya tinggal perancangan sahaja. (dari laman web JAIS)

No comments: