SHAH ALAM – Pemegang Tauliah Mengajar Al-Quran kategori D3, disaran supaya mempertingkatkan sahsiah diri agar menjadi contoh teladan kepada masyarakat setempat. Demikian saranan yang telah diberikan oleh YB Dr. Halimah bt Ali, EXCO Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan semasa merasmikan penangguhan Muzakarah Ilmu kepada Pemegang Tauliah Mengajar Al-Quran yang telah diadakan di Bangunan Annex, Shah Alam pada 29 Mac, 2008 yang lalu.
Selain itu, penekanan juga perlu diberikan dalam aspek-aspek kesalahan-kesalahan dalam pembacaan Al-Quran. “Ini kerana, sebagai seorang guru Al-Quran, tuan-tuan dan puan-puan seharusnya mendalami lagi aspek-aspek tersebut dari masa ke semasa, agar tuan-tuan dan puan-puan dapat memberikan bimbingan yang betul dan tepat kepada anak didik yang diajar.” Katanya. Peserta muzakarah seramai hampir 150 orang patut berasa bertuah kerana mendapat bimbingan Guru Al-Quran terkenal tanahair, Y.Bhg Dato’ Haji Hassan Azhari. Antara tajuk perbincangan dalam muzakarah tersebut adalah “mendalami Ilmu Tajwid” dan “Kesalahan Dalam Pembacaan Al-Quran”.
Pemberian Tauliah Mengajar yang mula diperkenalkan sejak tahun 2003, setelah Jabatan Agama Islam Selangor menyedari perkembangan ajaran salah dan fahaman yang bertentangan dengan amalan majoriti umat Islam semakin membimbangkan di Selangor. Sejak tahun 2003 sebanyak 1,216 kad tauliah telah diberikan kepada mereka yang layak setelah melalui proses temuduga bagi melayakkan mereka diberi tauliah. Buat masa ini tauliah yang diberikan tertakluk kepada 3 tahun sahaja. Sehingga kini seramai 300 orang telah tamat tempoh tauliah mereka pada tahun 2006 dan telah membuat permohonan lanjutan.
Sementara itu, Jabatan Agama Islam Selangor bercadang memaparkan profil penceramah di laman web JAIS bagi memudahkan masyarakat mengenali serta menghubungi penceramah yang dikehendaki. Penyenaraian penceramah juga dibuat mengikut kemahiran dan bidang masing-masing bagi memudahkan masyarakat.Majlis Muzakarah Ilmu turut dihadiri oleh Tuan Haji Ahmad Zaki bin Arsad, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Dakwah, Jabatan Agama Islam Selangor. (dari laman web JAIS)
No comments:
Post a Comment