Friday, April 11, 2008

Taklimat JAIS

WAKIL RAKYAT KERAJAAN BARISAN ALTERNATIF SELANGOR HADIR TAKLIMAT ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM

Shah Alam - Seramai 14 wakil rakyat beragama Islam daripada Barisan Alternatif telah menghadiri satu taklimat berkaitan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang telah diadakan di Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam pada hari ini, 25 Mac 2008.

Majlis taklimat yang dipengerusikan oleh YAD Dato’ Haji Mohd Adzib bin Mohd Isa, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor telah membincangkan berkaitan enakmen Agama Islam khusunya yang berkaitan dengan enakmen tauliah penceramah, pengurusan masjid dan enakmen khutbah. Wakil-wakil rakyat yang hadir adalah YB Dato’ Dr. Haji Hassan bin Mohd Ali, EXCO Hal Ehwal Agama Islam, EXCO Kerajaan Negeri lain yang baru dilantik turut hadir antaranya YB Tuan Haji Yaakob bin Sapari, ADUN Kota Anggerik (EXCO Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan), YB Puan Rodziah Ismail, ADUN Batu Tiga (EXCO Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi), YB Tuan Iskandar bin Abdul Samad ADUN Cempaka (EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan) dan YB Puan Dr. Halimah bt Ali ADUN Selat Klang (EXCO Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan).Lain-lain wakil rakyat yang hadir termasuklah YB Tuan Dr. Ahmad Yunus Hairi ADUN Sijangkang, YB Tuan Mat Shuhaimi bin Shafiei ADUN Sri Muda, YB Tuan Badrul Hisham bin Abdullah ADUN Pelabuhan Klang, YB Puan Haniza bt Mohamed Talha ADUN Taman Medan, YB Tuan Dr Mohd Nasir bin Hashim ADUN Kota Damansara, YB Dr. Haji Abd Rani bin Osman ADUN Meru, YB Tuan Khasim bin Abdul Aziz, ADUN Lembah Jaya dan YB Tuan Haji Shaari bin Sungib ADUN Hulu Klang. Ahli Parlimen Kota Raja, YB Puan Dr. Siti Mariah bt Mahmud juga hadir.

YAD Dato’ Setia Pengerusi MAIS dalam ucapan pembukaan taklimat berkata, tujuan taklimat mengenai enakmen ini dilakukan adalah atas titah perintah DYMM Sultan Selangor yang mahukan agar wakil-wakil rakyat Barisan Alternatif diberi pendedahan mengenai enakmen pentadbiran agama Islam agar tidak timbul sebarang kekeliruan yang akan berlaku selain memberi kefahaman yang jelas memandangkan enakmen ini mungkin sesuatu yang baru bagi mereka yang baru bergelar Yang Berhormat di Selangor.

Sementara itu, YB Dato’ Dr. Haji Hassan bin Mohd Ali, EXCO Hal Ehwal Islam berkata, Institusi Islam di Selangor harus lebih efisien dan berdaya saing agar ia akan dihormati serta dipandang tinggi oleh Jabatan-jabatan yang lain. Pengukuhan asas akidah dan sahsiah diri kakitangan perlu ditingkatkan dan diutamakan dalam melaksanakan tugas-tugas seharian agar mereka bukan sahaja mendapat gaji malah kerja akan diberkati dan dirahmati Allah.Beliau juga melihat bahawa Institusi Islam di Selangor perlukan beberapa penyusunan semula agar lebih efisien, cekap dan berkesan dalam usaha untuk berkhidmat dan berbakti kepada masyarakat.

Majlis turut dihadiri oleh SS Dato’ Setia Haji Mohd Tamyes bin Abdul Wahid, Mufti Negeri Selangor, Pegawai kanan JAIS, MAIS dan LeZaS.Taklimat telah disampaikan oleh SS Dato’ Haji Mohammed KHusrin bin Haji Munawi, Pengarah, Jabatan Agama Islam Selangor yang juga Setiausaha MAIS. (dari laman web JAIS)

No comments: