Wednesday, April 9, 2008

2,100 ketua kampung empat negeri diberi jawatan baru


SERI ISKANDAR: Semua 2,100 ketua kampung di empat negeri yang diperintah Pakatan Rakyat akan meletak jawatan dan diserapkan semula dalam Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah. Menterinya, Senator Tan Sri Muhammad Muhd Taib, berkata permulaan, 817 ketua kampung dan 11,438 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Perak meletakkan jawatan masing-masing berkuat kuasa 1 Mei ini dan berurusan terus dengan kementeriannya tanpa melalui kerajaan negeri. “Nama jawatan mereka belum diputuskan tetapi semua mereka kemungkinan akan dikenali sebagai Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Persekutuan (JPPP) seperti cadangan Persatuan Ketua Kampung Perak hari ini (semalam).

“Serentak itu, kementerian akan berurusan terus dengan mereka dalam melaksanakan projek pembangunan yang disalurkan Kerajaan Persekutuan di kampung masing-masing," katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan 817 ketua kampung di negeri ini di Institut Latihan Kemas di sini, petang semalam. Empat negeri yang diperintah kerajaan Pakatan Rakyat selepas pilihan raya umum lalu ialah Perak, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah. Muhammad berkata, elaun RM400 sebulan kepada ketua kampung, elaun mesyuarat JKKK serta elaun lain yang diberikan kepada mereka sebelum ini juga akan dibayar seperti biasa tetapi terus kepada mereka dan tidak melalui kerajaan negeri.

Beliau berkata, butiran lanjut mengenai perkara itu dijangka dibawa ke mesyuarat Kabinet hari ini untuk dibincangkan seterusnya diluluskan. Katanya, kementerian itu juga sedang mengkaji kemungkinan menaikkan jumlah elaun sedia ada memandangkan ketua kampung terbabit tidak lagi akan menerima elaun antara RM50 hingga RM200 yang lazimnya dibayar oleh kerajaan negeri. Beliau berkata, keputusan meletak jawatan itu bukan dibuat oleh kementeriannya tetapi atas permintaan dan kehendak ketua kampung sendiri yang berasakan agak sukar untuk bekerja di bawah kerajaan negeri Pakatan Rakyat. “Mereka terutama ketua kampung di Perak ada pendirian yang jelas iaitu berdiri teguh dan sokongan sebulat suara terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Di Selangor, walaupun mereka menggunakan pendekatan berbeza setakat ini tetapi sudah menyatakan sokongan kepada kerajaan Persekutuan, begitu juga dengan Pulau Pinang dan Kedah yang difahamkan akan mengikut langkah diambil Perak," katanya.

Ditanya kemungkinan wujud dua jawatan ketua dalam satu kampung dan pertindihan tugas, Muhammad berkata, JPPP akan bekerja di bawah kerajaan Persekutuan manakala ketua kampung dilantik kerajaan negeri bertugas untuk negeri masing-masing.

"Bagi kita, ketua kampung di empat negeri ini hanya satu iaitu yang dilantik oleh kerajaan Pusat kerana mereka sudah menyandang jawatan itu sejak berpuluh tahun lalu, berpengalaman luas dalam pentadbiran kampung dan pengaruh yang sudah kukuh. “Jadi, mereka amat diperlukan untuk melaksanakan projek pembangunan di luar bandar dan kita tidak akan membabitkan ketua kampung yang dilantik kerajaan negeri," katanya.

Mengenai dakwaan Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin bahawa ada ketua kampung di Perak yang dipaksa meletak jawatan serta tandatangan mereka dipalsukan, Muhammad berkata semua 817 ketua kampung di negeri ini hadir pada perjumpaan semalam dan tiada seorang pun yang membangkitkan perkara berkenaan. (Berita Harian : 9 April 2008)

No comments: