KOTA BHARU, 7 April 2008 (Hrkh) - Timbalan Menteri Besar (TMB) Kelantan, Dato' Ahmad Yakob melahirkan rasa kesal di atas laporan akhbar yang dianggap menyimpang daripada kenyataan asalnya mengenai isu Pakatan Rakyat. Katanya, beliau tidak bermaksud mahu parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat dipaksa menerima PAS sebagai tunjang kepada pakatan yang baru dibentuk.
"Pakatan itu masih lagi di peringkat awal yang dipersetujui semua parti pembangkang termasuk PAS, KeADILan dan DAP. Jadi soal siapa yang perlu mengetuai pakatan itu belum diputuskan. "Sesiapa pun boleh mengetuai pakatan tersebut apabila ia dipersetujui semua ahli dalam pakatan yang dibentuk," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kota Darulnaim, hari ini.
Sebelum ini akhbar melaporkan Ahmad menyebut PAS wajar menjadi tunjang Pakatan Rakyat yang dibentuk parti-parti pembangkang sekiranya ia mahu merealisasikan impian menubuh sebuah negara Islam. Bagaimanapun kenyataan itu disifatkannya ditulis mengikut persepsi wartawan itu sendiri dan bukannya menulis apa yang dicakap. Menurutnya dalam kenyataannya sebelum ini tidak pernah pun disebut soal negara Islam sebagaimana dilaporkan. Kata beliau apa yang diutarakan sebenarnya mahu memberi masa kepada mana-mana pihak dalam Pakatan Rakyat faham mengenai konsep pentadbiran berteras Islam yang dilaksanakan di Kelantan sejak lebih 18 tahun lalu.
"Tidak dinafikan kita memerlukan masa untuk memberi kefahaman kepada semua pihak mengenai konsep pentadbiran Islam yang dibawa PAS. "Buat masa ini biarlah semua ahli dalam pakatan faham sebelum sesuatu itu dilaksanakan. Ini kerana pakatan yang dibentuk dilihat sudah diterima rakyat," ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan.
Setiausaha Politik Menteri Besar, Haji Anual Bakri Harun berkata, isu pertelagahan di antara PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat sengaja ditimbulkan media massa bagi menenggelamkan perpecahan dalaman Umno yang berlaku sekarang. Katanya, media harian milik Umno dan BN sengaja membesar-besarkan isu pertelagahan dalam Pakatan Rakyat, sedangkan pada hakikat ia tidak berlaku.
"Buat masa sekarang tidak timbul siapa yang akan menerajui Pakatan Rakyat kerana ia masih baru dan di peringkat awal lagi. Ahli-ahli parti hendaklah menyerahkan perkara itu kepada pemimpin atasan. "Belum sesuai lagi kita mahu mengutarakan pandangan peribadi masing-masing mengenai Pakatan Rakyat. Sekarang adalah masa untuk bekerja selepas diberi mandat rakyat pada pilihan raya umum lalu," ujarnya. - mj
No comments:
Post a Comment