Wednesday, April 9, 2008

Kenyataan Kerajaan Negeri Selangor mengenai projek ternakan babi

Harakahdaily Wed: 9 Apr 2008

Kerajaan Negeri Selangor berharap pihak yang begitu prihatin tentang kelulusan Projek Ternakan Babi Moden di Selangor memeriksa fakta mereka terlebih dahulu.


Projek di Ladang Tumbuk, Mukim Batu Kuala Langat ini telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri dibawah Barisan Nasional dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipimpin YB Dato' Seri Dr. Khir Toyo pada 30 Januari 2008.


Dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2 April 2008, Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang baru merasakan wajar meneruskan projek tersebut dengan memantapkan lagi proses pelaksanaan memandangkan kawasan tersebut sememangnya sudah menjadi tapak ladang babi utama di negeri Selangor dan ia memenuhi piawaian kualiti yang tinggi selaras dengan kehendak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Kerajaan Negeri Selangor.

Sebarang bahan buangan dari ladang tersebut akan diguna semula dalam bentuk biogas untuk menjanakan elektrik, air untuk pembersihan ladang serta penanaman makanan untuk babi yang diternak. Justeru, tiada bahan buangan yang akan menjadi sisa dan keluar dari kawasan ladang tersebut.

Pada masa yang sama, menerusi projek ini, tiada ladang-ladang khinzir baru akan diluluskan di negeri Selangor dan semua ladang babi di luar kawasan ini dikehendaki memindahkan operasi mereka ke Projek Modern Pig Farming. Ini sejajar dengan dasar Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani agar sebarang usaha penternakan babi dilakukan di satu tempat untuk memudahkan kawalan dan penyeliaan bagi pihak berkuasa.

Kerajaan Negeri juga berhasrat memperkenalkan dasar 'one stop' yang sama bagi penternakan yang lain bagi menjadikan industri penternakan lebih efisyen dan dapat diteruskan di sebalik kemajuan pesat Selangor. Kerajaan Negeri Selangor yang baru di bawah Pakatan Rakyat antara Keadilan, PAS dan DAP berhasrat menyelesaikan masalah perniagaan, sosial dan budaya masyarakat pelbagai kaum dengan meluluskan projek ini dan melaksanakan dengan adil dan saksama dengan mengambilkira keharmonian hidup berbilang kaum di Selangor.

No comments: