Ini kitab pada menyatakan hukum riddah iaitu sekeji-keji bagi kafir.
(Maka makna riddah itu) memutus oleh orang yang sah talaknya akan Islam iaitu orang yang baligh lagi berakal lagi dengan ikhtiarnya. Maka keluar kanak-kanak dan yang gila atau yang digagahi akan dia. Maka tiada sah riddah sekeliannya. (Dan memutuskan) Islam itu adakalanya dengan niat kafir atau perkataan kafir atau perbuatan kafir. Maka niat kafir itu jika pada masa lagi akan datang sekalipun seperti cita-citanya bahawa ia kafir esok hari atau pada masa yang lagi akan datang maka kafir ia pada ketika itu jua. Dan seumpama niat kafir taradudnya pada kafir maka kafir pula dengan dia. Dan perkataan kafir itu seperti katanya (Allah salasa salasata) atau katanya (ana Allah) selama tiada terlanjur lidahnya atau katanya itu hikayat daripada orang lain atau takut atau berkata wali pada ketika ghaibnya. Dan jika ada yang demikian itu maka tiada kafir. Dan seperti nafi as-sanak atau di nafikan satu sifat daripada sifatNya atau dinafikan seorang nabi daripada anbiya’ yang wajib beriman dengan mereka itu dengan tafsil dan iaitu segala anbiya’ yang 25 yang disebutkan mereka itu di dalam Al-Quran.
Atau mendustakan dia atau ia ingkarkan sesuatu yang sudah ijma’ ulama’ atasnya dengan isbatnya atau nafinya yang maklum daripada agama lagi sangat nyata dengan tiada diuzurkan seperti satu rakaat dari sembahyang 5 waktu pada isbatnya dan seperti sembahyang yang ke 6 pada nafi. Bersalahan jika ia ingkarkan sesuatu yang sudah ijma’ ulama’ atasnya yang tiada diketahui akannya melainkan orang yang hawas. Dan jikalau padanya nas sekalipun seperti mustahak cucu perempuan daripada anak lelaki akan sadas serta anak perempuan dan bersalahan yang diuzurkan dia. Seperti orang yang hampir masanya dengan Islam dan perbuatan kafir itu selama tiada diperbuatnya kerana takut daripada kafir seperti ada ia pada negeri mereka itu. Dan disuruhnya akan dia dengan perbuat yang demikian itu. Dan takut ia atas dirinya. Dan jika ada seperti yang tersebut tiada kafir kerana digagahi akan dia.
Dan maka perbuatan kafir itu seperti sujud akan berhala atau matahari atau bulan. Dan seperti sujud itu ruku’ bagi yang lain daripada Allah maka jadi kafir dengan ruku’nya jika ia qasad membesarkan dia. Seperti membesarkan Allah dan jika tiada maka haram jua. Adapun yang telah berlaku adat dengan merendahkan kepala dan tunduk yang tiada sampai kepada sekurang-kurang ruku’ maka tiada jadi kafir dengan dia dan tiada haram pula tetapi sayugianya makruh jua (dan sama ada) memutuskan Islam itu atas jalan bersenda-senda atau innat atau iqtikad dan bersenda-senda itu seperti dikatakan baginya keratkan kuku kamu bahawasanya sunat ia. Maka katanya tiada aku perbuat dan jika ia sunat sekalipun dan qasad meringankan ia. Dan innat itu seperti katanya (Allah salasa salasata) kerana innat bagi orang yang marah akan ia serta ia iqtikad bahawa Allah Esa ia.
Dan iqtikad itu seperti ia iqtikad hadusal sana’ maka kafir dengan yang demikian itu. Demikian lagi orang yang meringankan dengan nama Allah atau meringankan suruhanNya atau tegahNya atau janji rahmatNya atau janji azabNya. Atau ia ingkar satu ayat daripada Quran yang diijmakkan sabitnya. Bersalahan yang tiada ijma’ atau sabitnya seperti Bismillah yang lain dari Surah An-Naml. Atau ia tambah dalam Quran satu ayat yang tiada ia daripadanya. Atau ia meringankan dengan sunat seperti dikatakan baginya keratkan kuku kamu bahawasanya ia sunat. Maka jawabnya seperti yang terdahulu sebutnya. Atau katanya jikalau disuruh akan daku oleh Allah atau RasulNya dengan begian tiada aku perbuat.
Atau katanya tiada aku ketahui apa iman atas jalan menghinakan ia. Atau katanya bagi orang berkata (Lahaulawalakuwataillahbillah) Lahaula tiada terkaya ia daripada lapar. Atau ia kafirkan seorang Muslim dengan tiada takwil dengan kafir nikmat. Atau tiada mengajarkan Islam kepada orang yang menuntuti Islam daripadanya. Atau ia isyarat dengan kafir atas Muslim atau atas kafir yang berkehendak masuk Islam. Atau memaki nabi atau rasul atau diringankan dengan dia. Atau dinafikan risalah rasul atau nubuwah nabi. Atau katanya tiada aku ketahui nabi itu manusiakah atau jin. Atau menghalalkan sesuatu yang haram dengan ijma’ seperti zina dan minum khamar dan liwat dan zalim. Atau mengharamkan yang halal dengan ijma’ seperti berkahwin dan jual beli dan makan dan minum dan lainnya.
Dan bahawa ditakutkan daripada barang yang jatuh daripada setengah manusia bagi setengahnya pada ketika bermain-main membunuh engkau itu halal atau seumpamanya seperti kata mereka itu halal membunuh akan dikau. Berkata mereka itu atas jalan bersenda-senda tetapi membawa kepada kafir wali’azubillah.
(Dan orang yang) murtad daripada Islamnya wajib disuruhkan dia taubat bersegera pada ketika itu jua. Maka jika taubat ia dengan kembalinya kepada Islam sahlah Islamnya dengan bahawa mengucap dua kalimah shahadat atas tertib iaitu beriman dengan Allah dahulu kemudian dengan rasulNya. Maka jika di ingkasnya tiada sah Islamnya seperti berkata Imam Nawawi di dalam Syarah Mahazab. Maka jika tiada ia taubat ditaubatkan ia oleh imam atau naibnya jika ada ia orang merdeka dengan dipukulkan batang lehernya dengan pedang. Maka jika dibunuh akan dia lain daripada imam ditakzirkan ia. Dan jika murtad itu sahaya harus bagi penghulunya membunuh akan ia pada qaul yang asahnya. Dan tiada dimandikan murtad dan tiada disembahyang atasnya dan tiada ditanam akan dia pada perkuburan Muslimin yakni tiada wajib dimandikan dia tetapi harus jua. Dan tiada harus sembahyang atasnya kerana haram sembahyang atas kafir dengan segala begiannya dan tiada harus ditanamkan pada perkuburan Muslimin. Dan harus ditanamkan dia pada perkuburan kafir. Dan tiada wajib ditanamkan dia pada asalnya seperti kafir harbi. Maka harus diserukan anjing atas bangkai keduanya itu.
(Dan anak) murtad jika jadi ia dahulu daripadanya murtadnya adalah ia Muslim kerana jadinya pada ketika Islam maka dihukumkan dengan Islamnya. Dan tiada memberi bekas padanya kedatangan riddah dua ibubapa atau salah seorangnya. Demikian lagi jika jadi anak itu pada ketika riddah dan ada seorang Muslim pada usulnya yang dibangsakan dia kepada mereka itu maka adalah ia Muslim kerana mengikut ia daripada usulnya yang tersebut jikalau jauh sekalipun sekira-kira dibangsakan dia kepadanya. Dan jika segala usulnya murtad sekeliannya maka anak itu murtad kerana mengikut bagi mereka itu. Tetapi tiada dibunuh akan dia hingga baligh dan disuruh taubat maka jika taubat maka nyatalah hukumnya. Dan jika tiada mahu taubat maka dibunuh akan dia. Dan jika salah seorang daripada dua ibubapanya murtad dan seorangnya kafir asli maka anaknya kerana asli seperti berkata oleh Baghawi.
(Dan segala milik) murtad itu muwakuf yakni terhenti. Maka jika matinya hal keadaannya murtad nyatalah hilang miliknya daripada ketika riddahnya. Dan jika Islam ia nyatalah kekal miliknya. Dan ditaruhkan hartanya pada orang adil. Dan sahaya perempuannya pada umpama mahram seperti perempuan yang kepercayaan. Dan dinafkah daripada hartanya atas dirinya dan atas segala orang yang wajib nafkahnya seperti segala anaknya dan segala isterinya dan dibayar daripadanya hutangnya yang lazim akan dia dahulu daripada riddah. Dan ganti barang yang dibinasakan pada ketika riddahnya. Dan dibayar oleh mukatabnya akan nujum ketabahannya bagi qadi dan jadi merdeka ia. Dan jangan diterima oleh yang murtad itu kerana diterimanya tiada diiktibarkan dia. (Dan segala tasraf) orang murtad jika sesuatu yang tidak menerima taklik seperti jual beli dan bergadai dan hibah maka batal. Dan jika menerima taklik seperti merdeka dan tadbir dan wasiat maka terhenti jika Islam ia nyata lulusnya dan jika tiada maka nyata batalnya.
Sumber : (Matla'al Badrin Wa Jami' al Bahrain, ms 200-202 Cetakan 13 Oktober 1984 dari karangan asal bertarikh 12 Syaaban 1303H oleh Muhammad bin Ismail Daud Fatani)
No comments:
Post a Comment